Friday, 5 February 2021

KITAB HATI

Helaian-helaian kitab hati ini kau selak 
dan kau telaah seolah-olah itulah kitab perjanjian 
yang tak berawal dan tak bernoktah. 

Setiap percamtuman huruf-huruf 
membentuk perkataan 
lalu dengan lancar perkataan-perkataan itu 
menjadi kalimah-kalimah indah, 
menakluk relung hatimu yang gundah resah, 
dijajah rindu tak sudah.

Sentuhan lembut jari jemarimu yang runcing halus 
menyelak dengan sabar lembaran-lembaran hitam dan putih, 
memberi persetujuan setulus hati 
hingga titis hangat dari kolam matamu terpecah 
lantas menyerap hangat ke dada kitab karangan tulus 
dari hati yang dicuba rindu. 

Terbuktilah satu cinta yang terbit dari langit. 
Mengalir dari sungai syurga, 
menyusur tenang ke daerah-daerah dunia. 

Dan kita nikmati tiap peristiwa, 
menyaksikan ajaibnya kejadian-kejadian 
yang jarang-jarang dilihat oleh mata hati manusia. 

Post a comment

Whatsapp Button works on Mobile Device only

Start typing and press Enter to search