Wahyu

Ray FL
0

Kau percaya pada syurga, pada neraka tapi pernah tak kau ambil tau tentang hukum Alam atau kau lebih leka banggakan kesamaran? Sesuatu yang tanpa ragu kau ikrarkan hingga tergadai kewarasan dan hak-hak engkau untuk menghargai anugerah fikiran. 

Percaya. Itu satu perkataan besar dan bagaikan bertaruh di meja judi, kau gagal menebus semua kekalahanmu.

Begitu banyak pesongan yang berbelit-belit, tak letih-letih dinafikan oleh golongan seperti engkau, lalu dengan mudahnya memerangkap mindamu hingga tak dapat digerak-gunakan lagi. Kaku. Akhirnya mati.

Tapi tak apa. Kau tau kenapa? Sebab hukum Alam sentiasa melihat kesempatan untuk memukul engkau. 
Selari bergeraknya waktu, dengan lembut semua nikmat yang kau bangga-banggakan dengan dada mendabik, satu persatu ditarik, lalu mulutmu pun terkumat-kamit, merintih bertanya, "kenapa? Kenapa aku? Apa salah aku?"

Kekecewaan dengan tulus membuktikan betapa pelupanya engkau. Kau lupa sebab kau terlalu lemah. Tak berdaya. Tak kuasa dan tidak sama sekali berkuasa. Tapi kau tetap gelojoh mau jadi yang terhebat hingga kau nafikan hakikat bahawa engkau bukan yang terkuat. Macam juga semua kita, kau tidak sama sekali apa-apa pun. 

Kau remehkan kuasa memori. Keupayaan yang mampu memantul ulang tiap patah perkataan yang kau lempar dari ayat ke ayat, tanpa perlu bersurat. Tiap perbuatan engkau dapat dilukis, ditulis, tanpa perlu bakat. 

Jadi tak perlulah engkau ulang bercerita tentang syurga, tentang neraka. Tengok diri engkau sendiri. Singkap apa yang ada bawah jubah yang kau pakai, yang kononnya mampu menerbangkan engkau ke langit ke tujuh dan menjadi penghuni kekal di sana. Saksikan bagaimana dosa-dosa lama yang kau tempa di kata-katamu dulu, yang melekat berkarat di setiap pergerakanmu, kini memamah hati engkau yang hilang. 

Ingat satu perkara sebelum satu perkara;
"tak kan ada satu manusia ataupun makhluk yang akan berjaya menafikan kejujuran Alam." 
Cubalah. 
Kau bebas untuk mencuba walaupun jelas, kau mencuba tak lain hanya untuk gagal. 

Mungkin hingga sampai di situ, ada wahyu yang lembut akan menjemput rasionalmu pulang ke realiti saat kau tersungkur mencium harumnya bau tanah.


Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!