Suara ~ Bab 2 : Toreh

Ray FL
0


"S(caps)eni menyelesaikan sesuatu melalui manusia. Merancang, mengatur, memimpin, dan mengawal.”

“Tidakkah itu membosankan?” Tak senang sang hati tengok sang otak selalu berusaha untuk memusatkan perhatian pada pembelajaran. Kalau boleh biar sampai otak tunduk kepada perintah hati yang selalu tak puas hati.


“Diam.” Tegas tapi tenang, otak cuba menghalau hasutan hati. Tapi hati terlalu bijak. Dia diam namun dalam diam dia menyucuk jarum. Aku masih neutral. Tak endahkan kedua mereka. Baik otak, baik hati. Bertelagahlah. Buat apa kau orang suka.


Sesekali mataku melintasi dia yang lengkap mengenakan seluar hitam dan blouse biru, dengan rambut diikat kemas. Cermin mata yang tadinya berehat di atas rambut, diturunkan kembali ke tempat sepatutnya. Tak ada apa yang menarik hingga dapat memancing dan mencangkuk aku untuk ikhlas berada di situ. Meski terperangkap dalam penjara kebosanan, aku tak gagal menangkap setiap butiran penjelasan yang diberikan dengan penuh dedikasi. Kelas senyap dan sunyi, seluruh perhatian berjaya dia tawan. Macam selalu.


Dan aku pula… Bukanlah satu kemahuan untuk mengabaikan kelas apalagi sengaja tak nak bagi perhatian, tapi minat aku untuk mendalami ekonomi dah mati. Dialah yang membunuh semangat aku, siapa lagi? Dia yang selalu kelihatan begitu bersemangat memikul tugas, lengkap dengan semua karisma — menurut desas desus yang aku dengar. Dia yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik dengan mesra. Sayangnya, dia jugalah yang sama sekali kurang mesra, atau lagi tepat kalau aku cakap, tak mesra langsung.


Rina. Cikgu Rina. Cikgu yang mata dan seluruh pancainderanya begitu peka kepada kesilapan aku, walau kesalahan yang tak dapat dilihat di bawah mikroskop sekali pun. Seperti kamera litar tertutup yang dipasang pada segenap sudut institusi ini, matanya ada di mana-mana. Aku selalu rasa diperhatikan. Setiap gerak dan geri. Setiap langkah dan jejak kaki. Dan umpama racun yang terpaksa aku telan, mata pelajaran ekonomi yang dulunya menarik kini dah jadi beban buatku sekaligus menimbulkan satu perasaan terhadap dirinya. Kurang senang atau mungkin lebih layak dipanggil benci.


Kadang-kadang aku sendiri hairan kenapa aku begitu tak selesa dengan cikgu Rina. Hanya dengan dia, tidak dengan guru-guru lain. Kemunculan dia selalu memberi aku satu macam tekanan hingga menimbulkan resah gelisah. Setiap kali loceng berbunyi menandakan waktu dah tiba untuk aroma minyak wanginya menusuk deria bau, semua organ yang mengisi tubuh ini gagal berfungsi dengan gembira, seterusnya memilukan seluruh anggota badan. Di masa yang sama, semangat yang selalunya berkobar seperti obor sukan olimpik, padam begitu saja, dihembus aura puting beliung seorang cikgu Rina. Malangnya, pilihan apa yang aku ada selain menghadirkan diri?


Beban kebosanan terlalu berat untuk ditampung mata. Berkali-kali aku menguap dan sekerap itu jugalah aku menggosok muka dengan kedua belah tapak tangan, cuba mengusir rasa mengantuk. Suaranya masih bergema, mengisi seluruh ruang, memecah gegendang telingaku. Cikgu Rina kelihatan sangat bersemangat dengan kuliah yang dia sampaikan, bagaikan semangat itu membara semata-mata untuk menyeksa aku.


(ads)


Mataku separuh terpejam sewaktu aku cuba pandang ke depan, berusaha untuk beri perhatian kepada dia yang tak pernah letih membebel, memperluaskan pengaruh. Sesekali aku perhatikan kelas. Semua mereka sangat teruja mendengar khutbah Cikgu Rina mengenai ekonomi, yang langsung tidak menganjakkan apa-apa paradigma pun dalam diri aku.


Perempuan bernama Rina ini begitu handal memukau semua rakan seperjuangan dan hasilnya, aku jadi mangsa tekanan perasaan kesan lontaran suaranya yang berdesing di telinga hingga menjadi beban di kepala. Lebih mengerikan lagi bila ada waktu-waktunya, dia gemar benar menusuk pedang mata ke mukaku. Setiap kali itu berlaku, sepantas cahaya kualihkan pandangan, tak rela membiarkan diri turut dipukau seperti rakan-rakan sekelas. Pedang matanya itu bukan saja mampu merosakkan pengamatan malah akan turut mencederakan kewarasanku.


“Unit sosial di mana dua atau lebih orang berinteraksi untuk mencapai matlamat bersama pada satu set matlamat.” Kelas diteruskan dan kapur pun mendarat tepat di muka untuk kesekian kalinya sewaktu aku leka menconteng buku teks dengan tangan mengalas kepala, berbaring di atas meja.


“Datang depan!” Satu arahan berintonasi tegas keluar dari mulut cikgu Rina, melagakkan dominasi. Aku tersentak dan akibatnya secara spontan mulutku laju melatah, “huh... What the hell?” Sepantas gerak bibir, aku mendongak dengan muka terkejut. Kesabaran diuji lagi. Tak dapat aku jelaskan betapa sakitnya hati ini bila disergah begitu. Detak jantung menjadi laju seperti baru berlari keliling padang bola. Mulalah peluh timbul di tapak tangan. Sarung kaki terasa basah. Nasib seluar dalam tak basah sama. Peluh timbul di dahi. Ketiak aku turut terkesan walaupun bilik itu dilengkapi penghawa dingin. Kerenah cikgu Rina yang memunculkan peluh di seluruh tubuh ini terpaksa juga aku layan. Terpaksa.


“Sini.” Dia menudingkan jarinya ke lantai di mana dia sedang berdiri.

“Jelaskan apa yang dah saya terangkan kepada kelas tadi!” Tinggi suara cikgu Rina menuntut hak untuk perintahnya ditaati. Dada yang terlihat bengkak dengan keangkuhan itu tergambar jelas diraut wajahnya yang sombong. Bangga sungguh dia dengan kemampuan untuk menguasai, mengetahui aku tidak punya apa-apa daya untuk mengingkari arahannya.


Hati yang marah ingin melawan, tapi otak segera memujuk. “Dia cikgu, kau tu siapa? Dia tua, kau muda. Orang muda kena hormat orang tua selalu, tak kiralah kurang ajar macam mana pun dia.”

Aku memutuskan untuk mematuhi nasihat otak. Dalam keterpaksaan, aku berjalan malas ke depan kelas, mengizinkan diri didominasi tanpa rela.


“Apa saya cakap tadi?” Sorotan matanya mengikut pergerakan aku sehingga langkah aku matikan untuk berdiri di depan mukanya, membelakangkan papan hitam. Seperti yang dah dijangka, dia akan merenung mata aku dengan muka bengang, wajah garang, dan seperti biasa, sudah tentu tiada kemesraan. Memang jarang sangat aku tengok dia tersenyum. Untuk aku? Jangan mimpi.


“Pengurusan, cikgu.” Jantung masih laju. Peluh terasa menyerap kemeja yang menyalut badan.

“Define.”

Aku angkat bahu. Mata pandang meja. “No idea.”

“Orang datang kelas nak belajar, awak membuta. Awak ni umur berapa?” Sengaja dia tanya soalan yang aku pasti sangat dia sendiri dah tau apa jawapannya. Sebagai guru kelas, mana mungkin tak pernah sekali dia semak profil pelajarnya.

“19.”

“19!!! See, 19. Bukan 9 tahun!” Suara ditinggikan. Nampak sangat dia memang sengaja cari bahan nak hentam aku. Semua mata tertumpu ke arah kami dengan mulut rapat terkatup. Nyaring suara cikgu Rina menggema di segenap ruang yang sunyi sepi. Suasana begini menambahkan lagi darjah kebencian aku untuk terus berada di situ. Di institusi ini secara keseluruhannya. Aku dipaksa. Dia tak tau. Apa yang dia tau hanyalah memalukan aku, sebagaimana yang dia lakukan saat ini dengan matanya tak mahu dialihkan dari memandang mukaku. Bebelan diteruskan lagi.


“Kalau sekolah rendah ke, menengah rendah ke, mungkin saya boleh faham, boleh tolerate tapi awak ni sekarang ambil A'Level tau? A'Level! Sedar tak? Awak faham tak apa maksudnya A'Level?” Tangan menyilang tubuh. Suara direndahkan tapi matanya seperti tak kenyang-kenyang menjamah mukaku. Garang perempuan ni.


Kedengaran akalku berbisik, “mungkin dia ni sunyi, kurang kasih sayang, sebab tu dia jarang senyum dan berceria,” cuba memujuk hati.

Pertanyaan cikgu Rina aku abaikan. Kata orang, api jangan dicurah minyak nanti menyambar, sendiri yang terbakar. Jadi aku diam.


“Bukan sekali dua awak membuta dalam kelas saya. Prestasi tercorot. Teruk. Tak malu ke? Apa tujuan awak datang sekolah? Menyusahkan mak bapak bayar yuran beribu-ribu sebulan?”

“Tak payahla sebut mak bapak pulak.” Aku mula protes. Pantang betul aku kalau orang petik nama mak bapak. Nak marah aku, aku ajelah.

“Memang sedih kalau mak bapak tau perangai awak camni kat kolej. Orang buat A'Level untuk persiapan nak masuk universiti. Yang awak, tak. Amik A'Level tapi buat perangai macam budak baru masuk tadika. Awak sepatutnya serius sebab ini yang akan menentukan masa depan awak esok. Itupun kalau awak serius tentang masa depan.” Dia membebel lagi. Bukan sekali dua dia cakap benda yang sama. Depan kelas. Depan budak-budak sekelas. Skrip dia pun aku hafal dah.


Aku garu telinga kemudian sengaja aku betulkan kolar baju kemeja yang aku pakai sebelum berdiri senang diri, tanda sedia menerima maki hamun dia lagi.


“Nineteen...” Dia menggeleng. “Awak tau tak ada antara kawan-kawan sekelas awak ni baru lapan belas? Apa awak buat setahun lepas O'Level? Buang masa? Membuta? Dah tua bangka bukan budak lagi dah boleh jadi...” Dia tak meneruskan kata-kata. Punggungnya disandarkan ke meja. Tangan masih memeluk tubuh. Mata garangnya yang masih lagi menjamah mukaku kini kelihatan seperti mahu menelan aku bulat-bulat.


“Jadi apa, cikgu? Go ahead. Say it. Say it to my face.” Hati yang mula membengkak dengan kesakitan melupakan pujukan otak. Tak ada sabar lagi lalu aku minta dia meneruskan kata-katanya yang tergantung.


“Kalau berani sangat, cakap aje lah apa kau nak cakap.” Bisikku dalam hati. Dari nada yang dialun, aku rasa semua orang pun boleh menyambung kata-katanya tadi. Biji mata ini aku tempelkan ke mukanya, menghantar keinginan untuk mendengar dia melengkapkan ayat. Mungkin tak tahan dipandang seperti itu, dia mengalihkan cengkaman matanya yang dari mula melekat di muka aku.


“Apa awak cakap sebelum ke depan tadi?” Licik dia mengubah topik. Sempat pula mengerling aku sambil tangannya mengemas beberapa buku di atas mejanya yang kemas.

What the hell.” Dengan sopan aku menjawab. Gelagatnya aku perhatikan. Seketika kemudian aku palingkan pandangan ke luar tingkap, cuba cari ayat yang sesuai untuk menanyakan dia satu soalan yang dah lama berlegar di benak. Satu soalan yang memerlukan jawapan jujur dari dia — “Mengapa engkau begitu membenci aku?”

Ingin sekali aku mengajak dia berbicara mata ke mata, hati ke hati.


“Now you can get the hell out of my class!”

Baru je hati nak ajak berbicara dengan aman, dah kena halau. Ambil kau!


(ads)


Dah begitu kerap cikgu Rina buat aku macam ni. Dia ingat aku tak ada perasaan agaknya. Tak ada rasa malu. Mana etika dia sebagai seorang cikgu sampai aku dah tak tau macam mana nak hormat dia sepertimana aku hormat cikgu-cikgu lain?


Cikgu Rina, menurut pengamatan aku, memang lain macam sangat perangainya. Lain daripada semua cikgu yang aku kenal. Selama aku menuntut kat sini, tak ada seorang cikgu pun pernah buat aku rasa teruk. Kalau kat sekolah lama dulu lain ceritalah.


Dia dah buat aku menyampah nak belajar ekonomi sampai aku rasa menyesal pilih subjek itu. Hari-hari hadap muka dia buat aku sakit jiwa sampaikan otak aku dah mula mencongak-congak untuk lepaskan saja subjek tersebut. Tapi hati pula selalu memujuk. Katanya, kenapa pasal cikgu Rina aku nak mengalah sedangkan aku memilih secara sukarela? Jadi aku ikut nasihat hati. Ego dan maruah harus dipertahankan.


Kalau boleh, nak saja aku cakap terus kat muka dia supaya berlembut sikit dengan aku. Sikit pun jadilah. Jangan mengada, jangan berlagak, jangan poyo sangat. Tapi aku tak berani dan mengapalah dia terlalu kuat? Kekuatan dia mampu buat aku menangis kebosanan dan secara langsung memaksa aku mencari alasan untuk tidak menghadirkan diri dalam kelas ekonomi. Malangnya, kuasa aku tak sehebat kuasa dia. Kehadiran aku dalam kelas yang dia ajar adalah satu kewajipan. Hadir dengan kekecewaan, aku sering cari kesempatan untuk lari, ikutkan kata hati. Peluang kena halau keluar dari kelas memang sentiasa aku tunggu walaupun pada hakikatnya amat memalukan. Dah tentulah tak wajar untuk dijadikan rutin.


“Tunggu apa lagi, Andrey, blah la lekas, apa lagi kau pandang-pandang singa gunung tu?” Terdengar satu suara mendesak dari dalam. Entahkan hasutan hati, entahkan dorongan otak. Satu yang dah tentu, suara itu aku patuhi. Segera aku angkat kaki dan kembali ke mejaku yang terletak di tempat duduk paling belakang. Setelah mengemas buku-buku yang berterabur atas meja dan kusumbat semuanya ke dalam beg, dengan pantas aku tinggalkan kelas yang dijajah oleh singa gunung bercermin mata.


#

(ads)


Macam anjing dapat tulang, aku bergegas ke kafe. Hanya sekerat dua pelajar yang duduk minum di situ. Ada yang baca buku, ada yang duduk berbual-bual. Ada yang dating. Aku berkata dalam hati, “dia orang ni kena halau dari kelas jugak ke macam aku?”


Bersama secawan kopi ditangan, aku terus ke belakang sebuah bangunan lama berhampiran dewan. Duduk di bawah pokok, aku cuba rehatkan otak untuk merawat hati yang disakiti cikgu Rina sementara menunggu loceng berbunyi menandakan tamatnya kelas ekonomi. Gabungan asap kopi dan asap rokok berjaya menenangkan aku. Otak rasa cergas. Selepas sebatang rokok dan mengosongkan cawan kopi, aku bingkas bangun meninggalkan bangunan lama yang jarang-jarang dijejak warga sekolah. Sebaik saja aku berjalan melintasi tempat letak motosikal untuk kembali ke kafeteria, mataku seakan dipanggil memandang tempat letak kereta yang dikhaskan untuk para guru. Dari jauh, kelihatan kilauan kereta hitam milik si singa gunung terparkir kemas di situ.


“Hmm... Aku rasa singa tu patut diajar. Hari-hari nak malukan aku depan kelas je kerjanya. Bukan ke sepatutnya kerja kau jadi cikgu, bukan buli aku?” Hati, memang kadang-kadang terlalu panjang akalnya. Satu inspirasi kurang sihat pun menjelmakan diri di imaginasi dalam sekelip mata.


Termakan dorongan dan pujukan sang hati yang pandai memanipulasi emosi, aku memerhati sekeliling. Ke kafeteria, ke kaki lima, ke padang, ke deretan bangunan dan kelas di seberang tempat letak kereta. 360 darjah kepala aku berpusing untuk memastikan keadaan selamat dan terkawal bagi melunaskan niat jahatku. Waktu-waktu macam ni, semua pelajar dan guru masih sibuk dengan kelas masing-masing. Keinginan membuak secara mendadak, tak sabar nak memuaskan nafsu, tanpa sedikit keraguan atau rasa takut. Di atas dan di bawah, depan dan belakang, dalam dan luar, aku diajak dendam untuk mengajar seorang guru. Mataku tertumpu semula pada kereta cikgu Rina. Kilauannya seakan menyeru-nyeru namaku.


“Kau jangan carik masalah.” Otak bagi amaran.

“Ah, singa betina tu memang patut diajar!” Bantah hati. “Tak ingat apa dia cakap, apa dia buat selama ni?”

“Itu salah sendiri. Tidur dalam kelas, cikgu mana yang suka perangai macam tu?” Akal tetap dengan pendiriannya untuk tidak membela aku. Tapi hati terlalu bijak mencetus luapan. Dibawanya ingatan menerjah ke satu hari ketika kebosanan mencapai tahap tertinggi dan cikgu Rina perlu untuk mengadakan kuiz. Rakan sekumpulan tak puas hati bila aku gagal memberi penyelesaian yang baik sewaktu aku dipertanggungjawab untuk menjawab. Bosan dengan permainan itu, kuiz aku abaikan. Dia pun datang menghampiri. Telescopic pointer kegemarannya menyentuh lengan aku dengan agak kasar. Lenganku tarik.


“Apa ni cikgu?” Kataku dengan suara agak tinggi. Sakit kot kena pukul. Nasib tak berbirat.

“Mengada. Sentuh sikit macam tu pun sakit.” Menyenget senyum cikgu Rina mempersendakan tindakan aku menggosok lengan sendiri. Aku nampak dan dengar reaksi rakan sekelas bila dia cakap macam tu. Semua dalam kelas tu penyokong tegar dia. Kalau ikutkan geram hati aku ni, memang nak aje aku rampas pointer tu dari tangan dia, sebat dia balik. Bukan kat lengan tapi kat bontot!

Khayalan aku dipadam suaranya yang kembali bergema.


“Saya tak nak tengok awak dalam kelas saya lagi. Awak ingat ni hotel? Nak membuta, balik rumah atau tidur je dalam tandas, mana je awak suka, tapi bukan dalam kelas saya! Kalau tak berminat nak belajar, sila jangan datang. Jangan habiskan duit mak bapak! Datang pun ganggu kelas aje, tak bagi kerjasama. Tak tahu apa-apa langsung pasal topik yang kita bincangkan. Apa tersekat dalam kepala otak awak? Kotak kosong?”


Perkataan yang diludah tepat ke mukaku itu masih jelas terngiang. Kata-kata keramat yang telah menggunungkan kebencian. Bingkas aku berdiri. Kukumpul buku-buku dan alat tulis lalu kusumbat dalam beg. Tanpa melemparkan pandangan apalagi bersuara untuk membalas kata-katanya, aku terus keluar, meninggalkan dia yang bermaharajalela dalam kelas ekonomi.


“Kotak kosong ye, Rina?” Rentus hatiku lagi. Patuh pada hasutan, aku melangkah perlahan berbekalkan dendam, mendekati tempat letak kereta. Mataku berhati-hati memerhati lagi ke setiap sudut, untuk memastikan tiada sesiapa menyaksikan perlakuanku. Perfect.


Menyelinap di belakang deretan kereta, aku berjaya mendekati Honda City milik cikgu Rina. Kereta berwarna hitam itu terparkir kemas di antara dua kereta lain, seakan bersedia memudahkan kerja aku menunaikan hajat tanpa usaha keras, tak seperti menjawab kertas soalan ekonomi. Aku duduk mencangkung di pintu pemandu. Berhati-hati, aku seluk poket beg galas. Swiss Army Knife kesayangan yang selalu aku bawa ke mana saja aku keluarkan. Tanpa berfikir panjang, kuguris kebencian di pintu kereta cikgu Rina tanpa sikit pun rasa berdosa.


“U sucks.” Pesanan ikhlas itu aku coretkan betul-betul di pintu pemandu.


Aku cukup sedar, tak akan susah bagi cikgu Rina untuk mengesan siapa punya angkara yang dah mencemar pintu kereta dia — jenayah pertama aku di sini. Perbuatan aku ini pasti akan dihadiahkan satu hukuman maha berat. Biarlah perkara ini sampai ke pengetahuan mak abah sekalipun, tak aku heran. Polis? Ahhh... Aku tak peduli. Duduk dalam penjara atau pusat pemulihan daripada dipenjara dalam drama arahan cikgu Rina akan lebih memulihkan jiwa dan kewarasanku. Aku dah sangat bersedia untuk berurusan dengan dia, muka ke muka. Dopamin menyentak ke seluruh urat saraf. Kepuasan hakiki yang aku rasa bersama satu tiupan dalam pembuluh darah, nikmatnya bagaikan bisikan syaitan yang menggoda manusia ke syurga dunia.


Bimbang dan takut tak wujud langsung dalam diri aku. Mengapa aku perlu takut kepada cikgu sombong macam dia? Dia minta pengajaran, biar dia rasakan. Dah lama benar hati aku merana memendam rasa sakit atas apa yang selalu dia buat kat aku. Sampai sakit hati tu jadi benci. Benci jadi dendam dan longgokan dendam itu mendambakan pembebasan. Tak adil kalau aku biarkan cikgu Rina terus memperbudakkan aku, seolah-olah aku ini seorang manusia paling teruk, bodoh, tak berdisplin, paling bermasalah di sekolah. Gunung berapi pun pandai meledak, inikan pula aku, manusia yang ada hati dan perasaan. Aku ada maruah dan dia dah pijak-pijak maruah aku. Sampai bila mesti aku biarkan dia pijak aku macam tu? Malu tau? Malu! Masanya dah tiba untuk letupan. Tak kira apa pun akibatnya, punca itu nyata.


Selepas menghias dendam di pintu kereta cikgu Rina, aku buat keputusan untuk menghabiskan baki sesi persekolahan pada hari itu di tepi tasik. Dalam erti kata lain, memonteng, perkara yang dah biasa aku buat bila malas dah merasuk waras. Selepas menyelesaikan satu misi yang hebat, aku berhak untuk merehatkan akal dan fikiran.


Merenung ke dalam diri, aku bertanya, mengapa mesti aku ambil A'Level di sini? Mengapa perlu aku mengkaji lima subjek lagi selama dua tahun di sekolah yang sama? Tak layak ke aku teruskan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Swasta, dalam bidang yang aku minat? Bukankah itu lebih mudah dan kelihatan lebih matang? Atau lagi baik aku terus cari kerja, dapat jugak aku kumpul duit untuk diri sendiri. Untuk buat apa saja yang aku nak tanpa perlu meminta bantuan mak abah.


Ahhh ... Semuanya sebab abah. Abah yang memutuskan semua ini. Bukan mak, bukan aku. Permintaan dan arahan abah, siapa yang berani lawan? Mak mungkin selalu dapat memujuk abah, tapi tidak dalam soal ilmu dan pendidikan.


“Your result is very disappointing.” Abah membaling kertas itu ke mukaku. “This is not what I expected. Memalukan!”

Aku tergamam, sedih dan pedih mendengar kata-kata abah. Sakitnya bagaikan luka disimbah cuka.


“Saya nak sambung terus kat Akademi Seni. There's always another option if I don't deserve university. A better option, indeed.” Seikhlas hati aku menjawab, berharap abah akan bagi aku peluang untuk memilih. Namun, senyum sinis abah disertai renungan tajamnya yang menembusi tangkai hati telah menewaskan mataku hingga jatuh menyentuh lantai. Mulut terkunci, menghindar aku untuk menyuarakan hasrat apatah lagi meminta untuk hajatku diperkenankan.


“My wings may be broken but abah, flying is not an option.” Bisikku antara dengar dengan tidak.

“Pilih salah satu antara dua. Terus belajar di situ, buat A'Level atau kamu boleh keluar dari sini, tentukan hidup sendiri.”


Mahu saja aku sahut cabaran abah. Mungkin aku boleh jadi pelukis atau pemuzik jalanan untuk menampung hidup demi kepuasan peribadi. Aku tau aku mampu hidup berdikari tapi mampukah kehidupan seperti itu memberi keselesaan seperti mana yang aku kecapi sekarang?


Kata putus abah mendahului. Aku ditinggalkan tanpa dapat mempertahankan diri apalagi niat suciku.

 

Di situlah titik tolak kehidupan keduaku. 
Nak tak nak aku terpaksa akur, terpaksa terima. 
Separuh hati. Hati yang hampir mati.
Dan hati yang mati ini berhak untuk dibangkitkan semula.

 

 (getButton) #text=(Bab 3 : Ditangkap) #icon=(link) #color=(#ff000)

 

Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!