Musim Bunga

Farah Lye Yusoff


Hembusan bayu lembut musim bunga
menerpa sama jutaan kisah, menusuk sanubari
mekar mengharum dalam hati.

Musim bunga menyaksikan pertemuan pertama,
membentang jalan ke musim-musim seterusnya.

Musim luruh pertama;
Ku ucap 'Selamat Hari Jadi' buat pertama kali
dihiasi sebuah kucupan di pipimu.
Mukamu bertukar kemerahan...
bukan kerana bibirku berwarna
tapi kerana darah yang tersentak,
membuat engkau kelihatan semakin kacak.
Kau kata itu lah kali pertama
dan aku lah yang pertama mencium pipimu.

Masa mengikat hati kita
hingga tiba musim bunga ke dua.
Pertama kali aku kenalkan engkau dengan keluargaku.
Kau nampak kekok dan malu tapi aku sangat bangga
memperkenalkan engkau kepada mereka.

Musim panas yang kedua,
kau sangat teruja menyambut hari jadiku.
Antara malu dan mahu kau hadiahkan
sekuntum ciuman di pipi ini lalu di telingamu kuberbisik,
"kau yang pertama..."

Musim datang dan pergi silih berganti...
Aku makin pasti. Kau semakin berani.

Diri ini kau lamar juga pada musim bunga,
Hati ini bergegar bercahaya seribu warna.

Di musim bunga kita simpulkan ikatan cinta.
Menyemat kasih abadi ikatan dua hati.

Aku mahukannya. Engkau.
Aku mahukannya. Sampai bila-bila.
Hanya dirimu. Dirimu yang paling suling.

Tags

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!