Suara ~ Bab 11 : Kambing Hitam

Ray FL
0


B(caps)anyak perkara yang dah diajar oleh masa. Perkara-perkara yang bercantum menjadi pengalaman. Mengimbas kenangan di Pekan Mutiara, teringat aku kepada beberapa orang kenalan yang sering merungut bila kebebasan disekat orang tua. Nak ke situ tak boleh, nak ke sini, tak diizinkan. Nak berkawan pun kena kawal apalagi nak keluar dengan kawan-kawan, ke bandar, berkhemah, berkelah. Bagi memenuhi keinginan, menipu adalah satu-satunya cara untuk membebaskan diri. Lalu satu rumusan aku buat — Bila keinginan disekat, peraturan diperketat, maka memberontaklah jiwa. Percaya dipadam. Kejujuran dipersoalkan, lalu terjadilah penafian dan penuntutan hak.


Pernah aku lihat beberapa kenalan yang beg sekolahnya diisi baju, bukan buku. Pada awalnya aku tak faham mengapa perlu buat macam tu, tapi setelah aku dengar keluh kesah mereka tentang sekatan ibu bapa, aku mula mengerti. Lalu aku membuat perbandingan antara kehidupan aku dan mereka. Lain benar. Mungkin kerana terlalu obses duduk di rumah, mak selalu suruh aku keluar.


“Go out, explore the world.” Begitulah mak berbunyi bila tengok aku asyik duduk melepek di rumah peluk gitar. Tak peluk gitar aku menenggek dekat piano. Tak menenggek dekat piano, aku main dengan kucing sampaikan kucing pun ikut sama berkebun. Kalau tak berkebun, kucing ikut aku bergulung atas katil. Aku cakap kat mak, nak buat apa keluar? Tak ada apa nak cari, kenapa nak cari penat? Berkebun lagi baik. Hari ni semai benih, dua tiga hari nampak benih bercambah. Minggu depan naik tunas. Tidakkah itu indah? Lebih produktif?


Semenjak ditegur mak, aku mula gemar berbasikal mengeliling kampung dan pekan. Tak payah susah hati nak fikir alasan, aku diberi kebebasan sebab mak abah tau aku lagi suka mencipta hiburan di rumah dari mencarinya di luar. Aktiviti aku bukan rahsia. Muzik, buku, lukisan, berkebun. Bilik. Katil. Bantal. Selimut. Membuta — perkataan kegemaran cikgu Rina. Itulah syurga bagi aku. Dan kalau betul-betul ada keperluan nak keluar, aku tak perlu menipu. Bila difikirkan balik, kini aku nampak, itulah namanya percaya.


#

(ads)


Sebelum ada motor dan berlesen, basikal adalah kenderaan rasmi aku. Ke sana sini, turun naik bukit, tak berteman, tak ada kawan, kebebasan menjadi hak mutlak. Tidak dikejar dan tak ada apa yang nak dikejarkan. Kalau ada pun hanyalah masa. Manusia mana yang tak dambakan kebebasan seperti ini? Semua orang dambakan kebebasan. Konsep setua tamadun, hak asasi yang tidak wajar dinafikan. Kebebasan, batu asas kehidupan, merangkumi intipati autonomi, pilihan, dan ekspresi diri. Ia ibarat permata berbagai rupa yang mencakupi pelbagai dimensi. Walaupun keupayaaan dalam berfikir dan bertindak dapat memperkasakan individu, ia tak datang sendirian. Tentu saja ia diiringi tanggungjawab. Aku tak terlepas dari itu dan pelajaran pertama yang paling berat bagi aku tak lain adalah menjadi diri aku yang sebenar.


Agak berat tanggungjawab yang aku pikul untuk membentuk keteguhan demi mempertahankan pendirian dan pilihan. Dalam usia semuda itu, apalah sangatlah yang aku faham? Semua yang aku tau sebenarnya kupelajari dari mereka. Dari mulut manusia. Semua muka dan nama aku masih ingat. Hinaan dan kutukan yang dilempar dari hati yang tak berperasaan kuterima tanpa perasaan. Penerimaan itu boleh jadi kerana aku tak nampak sebab mengapa aku mesti berpura-pura menjadi orang yang lain. Tak ada sebab mengapa perlu berubah demi memuaskan orang lain. Mulut tempayan boleh ditutup. Mulut manusia, selagi tak pejam mata, selagi tu dia akan ternganga.


Di antara beberapa kerat yang cuba menghampiri aku secara positif , yang datang dengan aura negatif melebihi angka. Semakin lama semakin peka diri ini pada cemuhan-cemuhan yang dilontar, terutama setahun sebelum tempat itu aku tinggalkan. Kata-kata kesat ludahan mereka, kalau nak dibandingkan dengan apa yang terjadi antara aku dengan cikgu Rina, macam langit dengan bumi. Namun begitu, aku tak pernah memberontak.


“Kau tak malu ke? Aku yang malu tau bila kau hantar surat kat Angel. Dah tak de lelaki ke kat sekolah ni, dalam dunia ni, sampai kau carik perempuan? Kau tak takut dosa?” Ziana menemui aku pada suatu satu hari, selepas tamat waktu sekolah.


Aku pandang dia, cuba menerangkan dengan baik, “itu puisi. Apa salahnya aku kongsi puisi. Dia suka. Dosa ke tu?”

“Cinta sejenis. Memang dosa besar.”

“Bercinta ke aku dengan Angel?”

“Semua tingkatan tiga ni tau kau bagi surat cinta, bukan puisi.” Aku diam sebab aku tau apa yang aku bagi. Angel pun tau apa yang dia terima.


“Puisi dalam bentuk surat... Terus orang panggil surat cinta. Pandai. Memang aku suka Angel. Apa masalahnya?”

“Aku malu dengan engkau. Ramai yang tak suka engkau. Siapa je yang suka kat kau? Aku. Aku ni je yang sanggup terima, nak berkawan dengan engkau.”


Masak sangat dengan kata-kata macam tu, jiwa aku dah lali dengan hinaan seperti ini. Mudah benar manusia menghakimi dan buat pengadilan tanpa perlu mengenal apalagi memahami. Bagaimanapun, kata-kata itu aku telan dan aku simpan dalam memori. Marah tidak, benci pun tidak. Neutral. Namun tanpa aku sedari, kata-kata itu sebenarnya telah membawa kesan yang amat dalam pada diri aku. Hingga ke hari ini semua itu masih segar di ingatan. Pengalaman menghadam kata-kata tak bermutu dah bagi inspirasi untuk satu pengertian aku simpulkan — Bila tiada kebebasan dan hidup sekadar putaran siang dan malam, wajah dan kisah yang sama, fikiran dan pemikiran pula ditanam di atas batas tak berbaja, perbualan dan pendapat didiskusi dalam lingkaran yang serupa, apa bezanya engkau dengan dia?


Ingatanku terlayang lagi kepada Ziana, salah seorang mangsa kongkongan keluarga. Dia hidup dalam satu putaran pemikiran tak bervariasi. Kecenderungannya memandang rendah dan merendahkan orang lain, terutamanya aku, baginya satu perkara yang biasa. Kewajipan agaknya. Setiap butir perkataan yang dimuntahkan, boleh aku lukis tanpa perlu bakat. Barangkali dia fikir aku akan terkesan dengan apa yang dia kata dan semua yang dia buat. Ziana tak salah. Kesan yang ditinggalkan manusia-manusia seperti dia amat dalam, sejujurnya aku akui. Mereka dan mulut mereka telah menguatkan semangat aku untuk mencari diri. Manusia-manusia seperti dialah yang dah memupuk keyakinan dan kepercayaan dalam perjalanan aku mengenal diriku.


Cuma aku hairan, kalau aku ni memalukan, kenapa dia nak kawan dengan aku? Untuk mengubah aku, membawa aku ke jalan yang lurus, katanya. Tapi dia juga memandang aku seperti kawan-kawannya yang lain memandang diri aku ini — tak normal. Sakit jiwa. Begitulah manusia bila merasakan diri mereka sempurna hingga layak jadi ahli syurga, tapi terlupa mereka tak layak dan tak berhak menentukan neraka untuk sesiapa pun. Ziana menyifatkan dirinya seorang yang lengkap serba serbi — gadis terhangat di sekolah, tercantik, buruan jejaka, ramai peminat, terbijak dan terpandai. Pendek kata, dia lahir berkembarkan kesempurnaan — dari kaca mata dia sendiri. Dan mungkin kerana berkantakan kaca mata itulah dia melihat aku ini begitu kecil. Baik dari segi akademik atau peribadi, akulah kambing hitam. Namun begitu, kambing hitam inilah yang selalu dia cari.


Samada surat-surat yang dia tulis atau kata hinaan yang dia anggap nasihat selalu gagal mencederakan perasaan aku. Sebaliknya itu semua dah menenggelamkan aku jauh ke dasar jiwa, menyelami lubuknya yang terdalam untuk mencari makna kewujudan ini. Keperibadian terbentuk meneguhkan pendirian. Aku berkenalan dengan jiwaku. Lelaki di dalam perempuan yang aku tumpangi. Semangat yang berumah di dalamnya. Suaranya aku dengarkan dengan teliti dan aku terpanggil untuk mencari jawapan tentang dosa, tentang pahala.


(ads)


“Hoi pengkid!!!” Satu suara melaung dari jauh dan pemiliknya melambai ke arah kami, sewaktu aku dan Ziana keluar dari perpustakaan.

“Tengok, akak yang kau suka tu panggil kau pengkid. Tak malu ke?”


Aku tak hiraukan apa yang aku dengar. Lambaian Ika, seorang pelajar tingkatan empat aku balas. Kami memang berkawan sebab sama-sama ahli Kelab Seni. Tapi biasalah, setiap kali aku ada kawan perempuan, secara automatik perempuan tu awek aku. Bertuah betul aku, kan? Begitulah mentaliti mereka. Dan pengkid? Tak pernah aku kenal perkataan tu, apalagi faham maksudnya dan tidaklah aku teruja nak ambil tau. Terkesan? Sikit pun tak. Tapi aku benci bila mereka menggelar aku lesbian.


Jacques pernah tanya kenapa aku masih sanggup layan Ziana sedangkan dia langsung tak ada rasa hormat dan empati terhadap manusia lain. Jawapannya mudah. Kerana dia adalah sebahagian dari kitab alam yang tak akan pernah habis aku baca.


Entah apalah khabar dia sekarang. Tamat tingkatan tiga di Pekan Mutiara, aku pindah ke sini. Pernah kami berutus surat, kadang-kadang ada dia menelefon. Lepas tingkatan lima, dia ada hubungi aku dan menyatakan yang dia dapat masuk Kolej Komuniti. Berita terakhir aku terima dari dia, sebelum sempat habiskan diploma, dia berkahwin, atas pilihan keluarga. Hubungan kami terputus macam tu saja. Aku pun tak ada usaha nak jejak dia.


“Kau ingat elok benar kau pakai camni? Buruk kau tau?” Kata Ziana sewaktu kami berjumpa di kedai ibunya pada satu petang. Dia memang langsung tak dibenarkan keluar seperti remaja lain. Di situ sajalah tempat kalau kawan-kawan nak jumpa dia di luar waktu sekolah.


“Buruk kau tau?” Ayat itu berulang-ulang ditelingaku.

Balik ke rumah aku memandang diri di cermin. Buruk ke aku? Ketika itulah pintu bilikku diketuk dan Andy masuk.


“Hey, kau baru balik jumpa Ziana, kan?”

“Kenapa?”

“Taklah… Aku perasan dah lama… Setiap kali kau jumpa dia mesti muka kau macam ni.”

“Macam apa?”

“Macam bukan Andrey, my little brother. Now, tell me what’s bothering you?”

“Nothing.”

“Nak rahsia dengan aku macam aku tak kenal Ziana tu. Anyway, nah…” Satu bungkusan dia baling dan aku sambut kemas. Sehelai kemeja berwarna biru.

For our birthday. Try it on.”

“Kau pun biru jugak ke?”

“Tak. Nampak macam boria pulak karang. Aku punya warna biru kelabu.”

“Haha, biru jugak.”

“You look great, bro.”

Bila Andy meninggalkan aku sendirian, aku kembali merenung cermin. Kata-kata Ziana terngiang lagi.


“Buruk ke aku?” Melihat ke cermin, aku bertanya lagi kepada refleksiku. Kali ini agak kuat. Kemeja biru yang baru aku terima melekat dibadan. Aku suka apa yang aku lihat. Diri aku tanpa topeng.

“Buruk kau tau?” Suara Ziana bergema lagi.

“Fuck it! Isn’t beauty lie in the eye of the beholder?”


#

(ads)


Aku tersentak bila bahuku ditumbuk, melenyapkan bayangan kisah silam. Jacques. Dia ajak aku ke kafeteria. Katanya Rosy and the Chicks nak jumpa. Tujuan? Untuk beramah mesra. Ya, cara dia bercakap agak poyo, kadang-kadang, tapi dia kelakar setiap masa. Sikap bersahaja itu yang buat aku selesa. Kalau aku kata aku tak ambil berat tentang apa-apa, dia lebih tak peduli tentang apa-apa pun.


“Aku suka betul sekolah ini. Cikgu garang, cikgu hot, cool. Cutie kitties, semua ada.” Kata Jacques sambil ketawa. Aku tengok Jacques ni tak pernah tak happy. Berceria je dia tiap hari.


“Rosy cakap kau famous kat sini, di kalangan mak bapak dan anak kucing?"

Famous? Haha, tak langsung. Apasal?”

“Jom, aku nak kenalkan beberapa ekor anak kucing yang comel-comel kat engkau. Pilih je mana satu yang paling kau suka. Semua berhaluan kiri.”


Dari jauh lagi dah dengar suara gelak ketawa anak-anak kucing si Jacques. Seronok betul mereka tiap hari bersuka ria macam tak ada masalah langsung. Sekolah ni macam pesta dibuatnya. Berat hati aku nak jumpa apalagi berkenalan dengan budak-budak tu. Janggal. Tapi untuk Jacques, aku tak bagi banyak alasan.


“Hello, girls...” Bukan main mesra lagi Jacques melayan Rosy & The Chicks. Siap peluk cium pipi.

“Kenalkan, kawan baru I, Andrey.”

Gadis-gadis itu tersenyum kepada aku dan kami berjabat tangan.


“Jacques, you tak tau ke kawan baru you ni... Siapa tak kenal Andrey, kan girls? A famous butch in school. A biker. A heartbreaker, a trouble maker,” kata si gadis yang gincunya lebih merah daripada darah, seolah-olah sepanjang hidupnya dia hanya mengenali manusia bernama Andrey.

“Ohh, cam tu..., Jadi y'all memang dah kenal antara satu sama lain?”

“Tak.” Semuanya termasuk aku menjawab serentak, kecuali gadis yang paling senyap antara mereka berempat. Dia hanya memandang aku. Entah kenapa, gadis berbaju hitam itu buat aku rasa lain macam. Satu baris ayat pun tak keluar dari mulutnya. Bila aku pandang, dia senyum. Bila aku senyum balik, dia pun sama senyum. Bila aku tengok arah lain, dia terus memandang. OK, agaknya dia suka apa dia tengok. Bagaimanapun, terima kasih kepada telefon bimbit. Bunyi bip, menandakan ada mesej masuk.


“Well, I can see, you’re surrounded by chicks. I’m looking at you now, adoring you, Andrey. Still finding the best way to your heart.”


Mesej itu mula merisaukan aku. Seseorang sedang memerhati dari tiap sudut sekolah. Bukan makcik kantin, bukan anak dara dia. Sebab aku tengok masa mesej tu masuk, makcik tu dengan anak dara dia tengah sibuk layan pelanggan. Tak mempedulikan perbualan antara Jacques dan kawan-kawannya, mata aku memandang sekeliling kafe, cuba mencari suspek. Siapalah yang syok sangat kat aku camni sekali?


Di satu sudut, ada sekumpulan budak perempuan dan di sudut lain, ada sekumpulan budak lelaki, kumpulan lelaki dan perempuan. Dekat dengan tingkap, ada beberapa pasangan dengan hal mereka. Beberapa orang guru, termasuk cikgu Rina ditemani cikgu Sophia, cikgu Wong dan cikgu Rudy. Cikgu Fizi. Huh!!! Menoleh ke belakang hanya pokok, tempat letak kereta. Mustahil untuk aku pastikan siapakah gerangan yang stalk aku selama ni.


“Kau kenapa? Nampak hantu?”

“Tak de apa… Hey, Jacques, aku kena blah dulu. Korang enjoy la... Jumpa dalam kelas.”

“Peliklah kambing tu.” Dengan jelas telinga aku menangkap kritikan dari salah seorang gadis yang menemani Jacques. Yang mana satu, aku tak pasti sebab aku dah berlalu meninggalkan meja tanpa menoleh ke belakang. Mungkin Rosy, si bibir merah berdarah.


Entah kali ke berapa aku terima sms daripada nombor tak dikenali. Siapa orang ni sebenarnya? Teka-teki itu mula menghantui aku. Memerhati tanpa berani mendekati, pasti orang itu terselit antara warga TBC. Mungkin juga guru, atau pekerja... Bermula di sekolah, mesej itu sampai terikut-ikut balik ke rumah. Malangnya, aku tak ada ramai kawan. Kalau tidak, boleh jugak aku tanya-tanya. Manalah tau ada yang kenal. Lalu Arni aku cari lagi.


“Adalah tu yang memuja dalam sepi... Aku tak kenal la nombor ni. Tak de dalam contact list aku pun.” Kata Arni selepas memeriksa telefon bimbitnya.


“Berapa lama dah dia mesej kau macam ni?”

“Dua tiga bulan kot… Cuba kau tengok bila mesej pertama masuk.”

“Dua tiga bulan apanya? Enam bulan lepas kau dapat mesej pertama. Lama tu. Pelik jugak.”

“Memang pelik.”

“Tak cuba call?”

“Sia-sia. Banyak kali aku cuba. Guna public phone pun pernah. Mana berani nak angkat. Aku rasa ni second phone dia. Yang dia guna semata-mata nak kacau orang.”

“Entah-entah handphone ketiga, ketujuh, mana kita nak tau. Nak-nak kalau dia orang yang senang kita detect dalam sekolah ni.”

“Seseorang yang dekat dengan kita. Boleh jadi?”

“Tak mustahil. Aku save nombor dia, kalau ada info aku roger.”

Thanks, Arni.”

No sweat, man. Susah jadi orang handsome ni, kan? Hehe…”

Handsome ke aku ni Arni?”

Handsome la kot tu yang cikgu Rina geram.”

“Dia geram kat aku ke?”

“Manalah aku tau, kau pergi la tanya dia. Budak ni… kau kenapa? Kena sampuk?”

“Tak pe la kalau camtu… Sape la agakya yang syok kat aku ni… Ntah-ntah kau tak?”

“Hahaha… Aku? Kalau boleh buat duit, mungkinlah kot. Tapi kalau sekadar nak buang duit beli topup, baik aku beli karipap.”

“Dasar pelahap.”

“Orang bunian kot yang hantar mesej tu. Ntah-ntah cikgu Rina...” Arni terkekek, mentertawakan kata-katanya sendiri.


(getButton) #text=(Bab 12 : Pembebasan) #icon=(link) #color=(#ff000)


Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!