Suara ~ Bab 12 : Pembebasan

Ray FL
0



T(caps)ak ada tempat lain nak dituju selepas rehat melainkan tempat kegemaranku. Di situ aku selamat, tak ada siapa yang boleh nampak. Orang tak berani datang sini. Ketawa aku bila dengar cerita, kononnnya tempat ni keras, ada hantu. Kejadian misteri pernah terjadi termasuk pelajar perempuan diserang histeria, penampakan, kelibat, suara… Macam-macam cerita, macam-macam versi. Lama dah aku jadi penunggu belakang bangunan, tak pernah sekali aku nampak hantu berkeliaran atau dengar suara-suara misteri. Satu-satunya hantu kat situ adalah aku. Akulah penunggu, akulah penampakan. Akulah suara itu.


Hari ini aku tak ditemani Jacques. Lepas makan tadi, dia cakap dia ada mesyuarat Kelab Memanah. Ada dia ajak, tapi aku ni tak minat sangat bersukan. Nanti-nantilah. Selepas sebatang rokok, aku teruskan niat ke bilik Seni dan Kebudayaan. Memang dah aku rencanakan sejak beberapa hari lepas. Keputusan untuk menyertai semula kelab seni, perlu aku suarakan kepada cikgu Fauzi. Sesuatu dah memanggil aku untuk mendedikasikan waktu di situ. Sesuatu yang susah nak aku jelaskan.


Cikgu Fauzi menyambut kedatangan aku dengan wajah riang. Ternyata dia gembira dengan berita yang aku sampaikan. Dua tahun pertama di TBC, dialah yang banyak mendidik aku dalam bidang seni lukis. Kini dia meyakinkan aku lagi bahawa aku telah membuat satu keputusan yang tepat. Bakat perlu digilap begitulah katanya dan aku setuju.



“Lepas awak tamat tingkatan lima, banyak yang dah dirombak. Awak mungkin tak tau kita dah ada presiden baru. Saya nak berehat dah tak lama lagi. Lepas ni saya jadi penasihat je sementara tunggu pencen. Sepatutnya awak jumpa dia, tapi tak apalah, saya wakilkan. Hari ni dia ada meeting dekat PPD.”


Betul, aku tak pernah ambil peduli tentang kelab selama aku kembali menuntut di sini. Kenapa aku hilang minat? Sebab aku berharap sangat dapat masuk Akedemi Seni. Akibat terlalu kecewa, aku mengalami depresi buat beberapa bulan. Aku cuba protes keputusan abah sehingga beberapa bulan itu akhirnya mencapai setahun. Semua yang aku suka tak aku hiraukan, termasuk duduk di tasik, bermain muzik, menulis, melukis, berkebun. Apa yang aku buat sepanjang tempoh itu hanyalah menghabiskan masa di katil, berkurung dalam bilik. Tidur. Membuta. Tanggungjawab pada diri aku abaikan. Makan minum pun aku tak peduli sampai badan aku jadi kurus kering.


Akhirnya aku berserah. Keputusan abah aku ikut. Tak tahan diri kena marah, kena bebel hari-hari. Katanya aku buang masa melepek di rumah selama setahun, tak ada progres. Macam mana nak ada progres bila aku depres? Aku tak faham kenapa abah begitu susah nak faham aku. Besar sangat ke permintaan aku? Sekadar nak teruskan pelajaran di Akademi Seni, apa yang teruk sangat?


Semuanya dah aku usahakan sendiri. Selepas terima keputusan O’Level, aku hubungi Akademi Seni, bertanya tentang pengambilan baru. Mereka memaklumkan bahawa pengambilan sedang dibuka. Sebaik meletakkan ganggang telefon, secepat mungkin aku terus ke sana. Borang akhirnya ditangan. Aku baca semua kelayakan dan syarat-syarat yang diperlukan. Cukup lengkap dengan apa yang aku ada. Semuanya aku lakukan secara diam-diam. Mak tak aku maklumkan. Andy tak aku beritahu. Dia pulak sibuk dengan program IB. Dalam bilik aku pun mula rakamkan demo tape, seperti yang tertera dalam syarat. Kurakam sebuah lagu cover dan lagu ciptaan aku sendiri. Demo aku buat, aku hantar dengan tangan. Tak lama lepas tu, sepucuk surat aku terima. Surat jemputan untuk temuduga dan uji bakat. Betapa gembira dan bangganya aku.


Berbekalkan sebuah gitar, aku hadiri jemputan itu dengan penuh harapan. Ada empat orang yang menemuduga aku. Seorang perempuan dan tiga lelaki. Gemuruh darah berkocak sewaktu mereka meminta aku mulakan nyanyian. Aku pilih lagu ciptaan aku sendiri. Masih jelas diingatan, pensyarah perempuan itu memuji. Katanya, aku ada suara yang bagus dan berbakat dalam bidang nyanyian dan penciptaan. Bangga aku rasa dan kepada mereka aku luahkan hasrat aku untuk menjadi seorang komposer atau pemimpin orkestra.


Sebulan kemudian, sepucuk surat aku terima lagi. Kali ini surat itu adalah ucapan tahniah dari Akedemi Seni atas kejayaan aku dalam ujibakat. Aku diterima untuk mengikuti program Diploma Seni Muzik selama tiga tahun di situ. Berita gembira itu aku sampaikan kepada semua orang. Mak, Andy dan abah. Mak dan Andy mengucapkan tahniah dan menyokong apa saja yang nak aku buat. Sayang seribu kali sayang, berita itu tak bererti apa-apa pada abah sewaktu surat itu aku tunjukkan kepadanya.



Kecewa. Aku terlalu kecewa sehingga aku rasakan mata ni pedih menahan tangis. Semuanya terpaksa aku lupakan. Usaha aku menelefon, bertanya, ambil borang, rakam demo, audition, semua itu sia-sia belaka. Dengan hati berat, setelah dipujuk emak, akhirnya aku menyerah. Menyerah dengan pilihan abah.


Hanya selepas dua tiga bulan memulakan perjalanan seterusnya di TBC, barulah perlahan-lahan motivasiku menjelma semula. Meskipun pada mulanya aku sangat terganggu dengan keputusan tegas abah, tapi lama kelamaan, sekolah menjadi sebuah tempat yang nak aku tuju setiap hari, walaupun hujung minggu. Semuanya kerana dia. Institusi itu menjadi semakin menarik dan dialah penyerinya. Cikgu Sophia. Ketenangan dan kekuatan yang aku perlu ada di wajahnya. Memuja dalam diam, aku selitkan angan-angan untuk memiliki hati wanita itu. Aku mengaku, kadang-kadang aku malu simpan perasaan ini, tapi apa daya aku untuk menipu hati? Setiap kali cikgu Rina menyimbah gusar, cikgu Sophialah tempat aku mencari perlindungan, hanya dengan menghadiri kelasnya atau sekadar selayang fikiran. Begitulah kesan yang diberi cikgu Sophia kepada aku tanpa dia sedari.


“Kelab baru kita dah set up di blok C. Awak tau pasal tu?” Cikgu Fauzi menarik fikiran aku keluar dari masa lalu.

“Tak tau, cikgu. Tapi kenapa tak kat sini je?”

“Situ lebih strategik, view lebih menarik. More inspiring. Bilik lebih besar, memandangkan bilangan ahli makin bertambah sebab kita dah buka penyertaan untuk semua tingkatan. Dari satu sampailah enam atas, tak ada limit. Jadi saya harap, awak sebagai senior, dengan bakat yang awak ada, dapat jadi inspirasi dan contoh yang baik kepada junior.”

“Saya cuba.”


Aku melangkah dari dinding ke dinding, mengagumi karya-karya yang terbingkai di situ, termasuk karya yang pernah aku ilhamkan di atas kanvas untuk pameran tahun-tahun sebelumnya. Senyuman bangga terukir di bibirku. Damai dan tenang dikelilingi seni, aku terasa semakin hidup. Semakin pasti bahawa di sinilah jiwa aku mau berada.

Sebuah lukisan menghentikan langkahku. Untuk beberapa ketika, aku terpaku merenung lukisan itu, kagum dengan apa yang aku lihat. Jiwaku seakan dihentak oleh satu momentum luar biasa — Satu perasaan yang sangat halus. Lukisan itu bukanlah sebuah lukisan abstract yang memerlukan imaginasi untuk penghuraian. Sekadar sebuah lukisan alam yang ringkas. Permainan warna dan cantuman kehidupan di bumi dan di langit, lukisan itu kelihatan seakan menyanyi. Tentu pelukis mendambakan kehidupan begitu, di situ, seperti yang dia curahkan di atas kanvas. Lukisan itu begitu hidup.


“Presiden kita yang lukis tu. Apa pendapat awak?”

“Hebat.” Hanya ada satu kata yang dapat mendefinisikan kekaguman aku. Cikgu Fauzi ketawa. Aku hairan. Lalu kening aku angkat, meminta penjelasan.

“Saya harap, awak tak toreh kereta dia lagi.”

Terlopong aku mendengar jawapan cikgu Fauzi.

“Seriusla, cikgu...”

“Kenapa saya nak main-main pulak? Memang cikgu Rina presiden kelab ni. Dia dah tukar nama kelab ni kepada AC Club. Itu lukisan dia. Itu dan ini juga. Tengoklah semua…” Cikgu Fauzi membawa aku melihat satu per satu karya presiden kelab yang baru.


“Setiap Sabtu, dia akan berkarya di sini. Sebagai presiden kelab seni dan kebudayaan, awak jangan pulak terkejut bila saksikan bakat-bakat lain yang dia ada.”

Terdiam oleh kenyataan, cikgu Fauzi menepuk bahu aku sambil menyerahkan sekeping kertas. Borang penyertaan.

Let bygones be bygones. Saya pasti cikgu Rina akan merasa bangga bila saya serahkan borang ni kepada dia,” kata cikgu Fauzi sewaktu borang yang dah siap diisi bertukar tangan.


Berlegar di minda, macam mana aku boleh terlepas benda ni? Macam mana aku boleh tak tau pasal ni? Cikgu Rina, pelukis? Pandai melukis? Bakat-bakat lain? Apalah agaknya aktiviti yang akan dia anjurkan dan bagaimanakah nanti bila aku menyertainya pada setiap hujung minggu di kelab? Malunya aku…


(ads)

#


“Jacques, kau nak join AC Club tak?”

“Apa kebendanya tu? Kelab lumba haram ke?”

“Kalau haram, tak de pakai kelab la monyet.”

“Ye tak ye... Abih kelab malam tu halal la ye?”


Kami ketawa berdekah, menarik perhatian rakan sekelas yang sibuk dengan aktiviti masing-masing sebelum kelas pertama selepas rehat dimulakan.


“Kelab seni dan kebudayaan la bongok. Halal. 100% guaranteed.”

“Seni tu aku paham. Kebudayaan tu macam mana?”

“Ada macam-macam cabang. Tapi tak semestinya ikut semua. Kau pilih mana kau nak je. Ada muzik, seni lukis, visual, tarian, performance, entah apa lagi. Aku baru join balik kelab tu.”

“Oooo... Aku ni tak reti benda-benda macam tu.”

“Kau minat muzik atau lukisan?”

“Tak.”

“OK, then forget about it.”

“Baik.” Jacques tak menunjukkan apa-apa reaksi, sebaliknya dia mengeluarkan Game Boy dari poket seluarnya. Game Boy? Hmm... Melihat itu, aku singgung tangannya dengan lenganku.


“Monyet, aku rasa elok kalau ada aktiviti. Cubala, mana tau kau dapat explore bakat seni dan minat kau nanti.”

“Hmm... Kau nak aku teman kau, kan?” Dia tak pandang aku, leka membelek konsol di tangannya.


Nak tak nak terpaksa aku mengaku. Ada bimbang dalam hati bila membayangkan kejanggalan menyertai kelab yang diterajui cikgu Rina. Dan aku nak bagi Jacques kejutan bila nanti dia tau siapa yang akan memimpin kami dalam kelab.


“OK, nanti bawak aku daftar.”

“Thanks, buddy.” Spontan dia aku peluk.

“Hoi apa ni peluk-peluk?! Geli lah.”


Selesai sekolah aku terus ke tempat letak motor. Jacques, seperti anjing yang setia pada tuannya, mengekori aku.


“Aku still tak dapat bayangkan macam mana singa gunung tu tunggang motor ni. Aku ni suka jugak nak jadi biker cam kau, tapi aku tak reti bawak moto. Kaki aku pulak pendek.”

Ada saja idea si Jacques. Dia pandai betul buat jenaka dan dia melakukannya secara spontan.


“Aku tak mampu pakai kereta macam kau.”

“Hahahaha, bro, kau ni bodoh ke naif? Kau ingat aku mampu sangat? Kalau bukan mak bapak, memang merangkak la aku.” Ketawa besar keluar dari dadanya. Jacques sememangnya seorang yang happy go lucky.


“Kucing-kucing aku tengah menunggu. Lisa je tak nak ikut, tak tau apa hal. Entah apa apa kucing seko tu. Tapi yang lain OK. Dah janji nak bawak lunch. Lepas tu... haha, aku akan bagitau kau esok. Betul ni kau tak nak join?”

“Aku dah ada plan. Lain kali la. Eh Jacques… Camne kau yakin sangat diorang tu semua lessy?”

Semakin kuat ketawa Jaqueline Adam. Dia datang dekat dan menumbuk bahuku.


Gosh, bro… kau ni tak pernah rasa nikmat hidup ke? Kalau tanya aku, perempuan lah jawapannya. Kau ingat anak kucing berekor lurus nak layan aku? Hahaha...”

Aku angkat kening, tidak begitu jelas dengan apa yang dia katakan.


“Meh sini aku cerita.” Jacques melingkarkan tangan kanannya ke bahu kiri aku.

“OK, sebenarnya Sue yang jumpa aku mula-mula, kat sini. Dia tegur aku, masa tu aku dapat hint dah. Aku ni ada gay radar, kau tau? Dia tanya sama ada aku nak jumpa PLU. Aku pun apa lagi...”

“Kucing liar datang kat kau la ni?”

“Undoubtedly. I can be a charmer without being charming haha…”


Dengan jawapan itu, Jacques pun berlalu meninggalkan aku, mendapatkan gadis-gadis yang bersandar menunggu di Prelude merahnya. Rokok aku nyalakan sambil memerhati dari jauh kegembiraan yang kedengaran dari hilai tawa mereka.


(ads)

#


Duduk di atas motosikal aku berfikir, betapa mudahnya Jacques memikat perempuan. Senang betul dia dapat kawan. Selama tiga tahun bersekolah di sini, satu-satunya PLU yang aku kenal dan berbual ialah cikgu Rina. Itu pun baru-baru ni je. Lain dengan Jacques, hari pertama saja dah dapat empat... lima, jika Lisa disenaraikan.


“Memangla... Dia pandai menghidupkan suasana bukan macam kau, Andrey. Kau tu pendiam, singa pun tak thrill nak terkam.”

“OK…” Aku senyapkan otak dengan perkataan tersebut. Malas aku nak dengar dia mengata-ngata aku lagi.

“Andrey, tunggu sapa?” Satu suara yang tidak dikenali menyapa aku dari belakang. Bila menoleh, aku nampak dia berjalan ke arahku sambil tersenyum.


“Lisa…”

“Awak tau nama saya... What a surprise…” Tangannya bersilang memeluk buku. Gadis itu kini berdiri di hadapanku. Penampilannya sederhana saja. Macam aku, T-shirt dan jeans. Pernah sekali dua aku nampak dia di perpustakaan awam bandar kami. Sekali lagi, seperti aku, dia selalu bersendiri.


“Oh, Jacques yang bagitau. Dia baru je gerak pergi lunch dengan kawan-kawan awak. Kenapa tak ikut?” Kutanya soalan yang tidak dapat dijawab Jacques. Lisa menggelengkan kepala.


“Saya tak selesa. Maksud saya, kita baru je kenal, dia dah ajak party semua... Macam cepat sangat, bagi saya la... Plus, dia banyak mulut.”

“Ya, tapi dia funny. Ada dia ajak saya tadi tapi saya setuju dengan alasan awak. Jadi mungkin lain kali.”

“Ya, betul. Lagipun saya tak biasa lepak dengan butch. Kawan-kawan saya lebih sesuai dengan dia, macam Rosy.”

“Biar saya teka, Rosy mesti yang bibir merah berdarah tu kan?” Sengaja aku tanya, walaupun sebenarnya dah lama aku tau. Siapa je yang tak kenal Rosy. Dari jauh orang boleh nampak bibir dia.


“Sesuai dengan nama.”

“Awak ni nampak pendiam, lain sangat dengan dia orang tu semua. Macam mana boleh clique?”

Lisa ketawa. “Rosy mintak saya ajar Fizik. Lepas tu dia kenalkan dengan kawan-kawan dia. Saya OK je. Yang penting kita jadi kita, kan?”

Aku mengangguk, setuju dengan pandangan Lisa. “Betul... Biar sesat, jangan terpesong.”

Aku tengok ada kerut di dahi Lisa. Keliru agaknya pada apa yang cuba aku sampaikan.


“OK… Jadi, awak nak balik terus ke ni?”

“Ya… Ngantuk, nak siesta. Penat.”

Dia mengangguk. “Tapi kenapa tak balik terus je?”

“Saja nak relaks kejap hisap rokok… Awak?”

“Saya ada meeting kelab tenis jap tadi. Pukul lima saya ada latihan. Awak masuk sukan apa?"

“Sukan? Tak de. Kelab Seni je. Saya tak minat sukan.”

I see. I love sports. Art is not my cup of tea, but I like Van Gogh. Hmm... Kereta saya dah sampai tu. Jumpa awak lain kali. Nice talking to you, Andrey."


Lisa minta diri, berjalan keluar dari pintu pagar sekolah. Sebelum sampai ke kereta yang sedang menunggu, dia berpaling.

“Don’t smoke too much. Not good for your health.”


Aku buat andaian bahawa Lisa seorang gadis yang baik. Sebagai markah tambahan, Lisa di mata aku, adalah yang paling menarik di kalangan rakan-rakannya yang lain. Sekurang-kurangnya dia sopan, tak macam Rosy, Sue, Zana dan Liya yang suka bercakap kosong, kuat, ketawa macam kena histeria. Tak faham aku macam mana Jacques boleh selesa dengan mereka. Kalau aku, memang serabut kepala otak dibuatnya.


(ads)

#


Senyap sunyi persekitaran sekolah. Semua dah pulang ke rumah masing-masing, atau menyambung aktiviti harian mereka, sedangkan aku masih di situ. Mencari, menunggu… Apa yang dicari, apa yang ditunggu, aku sendiri tak tau. Yang aku tau, esok, Sabtu. Ada perjumpaan AC Club. Jacques dah setuju nak daftar sebagai ahli, jadi aku bercadang nak heret dia sama esok. Ada aku terangkan pada dia tadi tentang perjumpaan tu. Harap Jacques tak bagi apa-apa alasan untuk membatalkan janji.


Kereta cikgu Rina masih di situ. Sejenak aku tertanya, dah ke dia dimaklumkan tentang penyertaan aku? Hati aku berdebar, ada bimbang, malu, segan, ragu-ragu, excited. Taulah aku kini, cikgu Rina bukan calang-calang orang. Aku masih tak menyangka yang dia begitu berbakat sampai dilantik sebagai presiden kelab. Perasaan tak suka dulu bertukar menjadi segan. Bila kukenang semua perbualan kami sebelum dan selepas insiden toreh kereta, aku jadi semakin malu. Apalagi bila ucapannya sering kedengaran begitu tulus dan halus. Sejauh manakah dia menyukai aku atau mungkinkah itu hanya satu gurauan?


Masih duduk berteleku atas motor, masa berlalu begitu saja, sehingga dia menyapa aku, lebih kurang jam tiga petang. Jawapan kepada penantian aku tadi terjawab sudah. Dialah yang aku tunggu, yang aku cari. Atas alasan apa, tak dapat aku berkata dengan pasti tapi debaran menghadap hari esok telah menggerakkan aku untuk bersiap sedia pada hari ini.


“Dah dapat target kereta mana nak ditoreh?” Tegur cikgu Rina. Aku tau dia bergurau. Itu terbukti di bibirnya yang menghantar segaris kemesraan.

“Lama termenung? Dari tadi saya nampak awak kat sini. Ke memang tunggu saya?”


Waktu tu jantung aku berdetak lebih kencang seperti genderang mau perang. Dari tadi nampak aku kat sini? Abih dia tak de kerja lain ke nak buat selain skodeng aku? Jangan-jangan dia ada simpan teropong dalam handbag.


“Hmm... Cikgu... Pasal esok...”

“Ohhh... Pasal tu...”

Aku angguk, cuba mengelak kontak mata lebih-lebih lagi waktu tu cermin mata dia jadikan hiasan rambut. Bimbang diri terhipnotis lagi.


Angin berhembus sepoi-sepoi bahasa. Cuaca redup dan segar di bawah lindungan pokok-pokok, tapi seluruh badan aku berpeluh. Sentuhan nafas alam di kulit membuat aku terasa dingin di bawah pancaran bahang matahari Khatulistiwa.


“Tahniah. Cikgu Fauzi ada bagitau saya pasal tu. Borang awak dah pun saya terima. Welcome back to the club. See you tomorrow.” Lemparan senyuman kecil dihantar. Cikgu Rina meneruskan langkahnya ke kereta.


Eh eh... Cepatnya nak blah... Biasanya kau yang suka curik masa aku…


“Tahun-tahun sebelum ni, cikgu tak de pun join kelab?” Usaha menghentikan langkahnya berjaya. Dia memusingkan badan. Tak lepaskan peluang, terus dia aku rapati.

“Biar saya bawakan.” Fail-fail di tangannya segera aku ambil tanpa tunggu persetujuan. Kami jalan bahu-ke bahu menuju tempat letak kereta guru.


“Baru dua tahun setengah saya mula mengajar. Tak kan itu pun tak tau?” Pintu kereta bahagian belakang dibuka.


“Oh… Sama dengan cikgu Sophia.”

“Dia awal setahun.” Katanya sambil mengarah aku untuk meletakkan fail-fail itu di tempat duduk belakang.


“Itulah, lama sangat honeymoon lepas O’Level…”

Aku ketawa.

“Rehat cikgu. Kalau honeymoon lama cam tu, mau patah pinggang saya.”

Ungkapan itu telah memberhentikan pandangan matanya di muka aku. Dia tersengih. Aku garuk dahi, apalah aku merepek tadi…


“Cikgu, mungkin Jacques pun nak join. Saya ada ajak dia sekali esok.” Nak tutup malu, aku terus tukar tajuk.

Why not? Lagi ramai lagi bagus. Kita memang galakkan remaja dekatkan diri dengan seni dan kebudayaan, dengan alam. Cara ni dapat mengelakkan aktiviti sia-sia disamping mengeratkan pertalian sesama manusia, melalui seni dan budaya.” Sambil memberi sedikit penjelasan tentang visi dan misi kelab, cikgu Rina berjalan ke pintu depan. Baru separuh pintu dibuka, dia terpaksa menutupnya semula bila namanya aku panggil.


“Cikgu Rina…” Kegugupan nyata telah menguasai aku. Nak cakap apa pun tak tau tapi hati mendesak jangan diam. Cikgu Rina memadang muka aku yang dah mula ditumbuhi peluh di dahi. Dia menanti kata-kata lanjut dariku. Ekspresi di wajahnya jelas mempamerkan keinginan. Setelah mencampakkan beg tangan ke tempat duduk pemandu, pintu kereta dia tutup semula. Kunci kereta disangkutkan dijari.


“Hmm... Lukisan cikgu... Hebat.” Seikhlas penghormatan kulontar apresiasi.

“Saya impressed dengan karya-karya cikgu. Tak sangka cikgu melukis dan... ada sentuhan.” Rasa kagum aku zahirkan dengan memilih kata-kata terbaik untuk mempotretkan ketulusan hati. Ucapan itu berjaya membawa cikgu Rina berdiri di sisiku yang masih bersandar di kereta yang pernah aku toreh.


Tangan pun mula berpeluh. Nafas aku tarik perlahan dan perlahan-lahan juga aku lepaskan, tak nak dia perasan kegugupan yang sedang melanda sampai berjaya buat aku tertunduk tengok kasut. Di saat bahunya menyentuh bahuku, terpantul lah kata-kata dari kotak suaranya. Alunan nada kedamaian pun menerjah telinga kiriku.


“Terima kasih, Andrey. Saya nampak potensi awak. Semua bakat yang awak ada, sayang kalau tak digunakan. Lagu-lagu awak, lukisan awak. Semua saya...”

“Cikgu...” Alunan nada kedamaian itu aku hentikan. Bukan sebab tak suka dengar tapi aku berniat nak mendengarkan dia lagu hatiku.

Cikgu Rina dah hilang kuasa ubat tidur. Mengantuk lenyap sama sekali. Niat nak siesta serta merta terbatal dari potongan 24 jam aku.


“Ye, apa dia?”


Nampaknya cikgu Rina macam nak cepat je. Serba salah pulak aku nak ambil masa dia. Tapi aku nekad, lalu mataku yang merenung kasut tadi aku angkat. Keyakinan yang berlawan dengan keraguan aku padukan. Dari mana timbulnya keberanian, itu bukan persoalan untuk wajahnya aku pandang penuh. Rasa percaya yang mula terpupuk bukan untuk disia-siakan. Luka dah menyembuh, meminta dilepaskan dari balutan.


Lembut raut wajah cikgu Rina waktu itu, hanya hati yang bermata saja tau menilai.

“Nak minum teh tak? Teh, pizza?”


Tercetus di harapan semoga mata hatiku tak terus tertidur lagi.


(getButton) #text=(Bab 13 : Tuxedo) #icon=(link) #color=(#ff000)


Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!