Suara ~ Bab 3 : Ditangkap

Ray FL
0


S(caps)atu jemputan rasmi dihantar kepadaku pada hari berikutnya. Ke mana? Mana lagi kalau bukan ke bilik kaunseling. Memang dah aku jangka dan inilah julung-julung kalinya aku dijemput ke situ. Selama dua tahun menuntut di sekolah ini, tak pernah sekali aku buat hal sampai kena mengadap guru disiplin. Ini tahun ketiga. Aku pecah rekod. Semuanya pasal kau Rina!


“Saya tak suka ekonomi dan perdagangan, pengurusan, apa je yang berkaitan dengan cikgu.” Telus aku suarakan apa yang terpendam bila disoal siasat mengenai lakaran yang aku ilhamkan di pintu kereta cikgu ekonomi itu.


“Termasuk kereta saya? Apa masalah awak?” Sambil tangan memeluk tubuh, Cikgu Rina merapati aku. Berdiri betul-betul depan mata, dapat aku lihat kulitnya yang cerah bertukar merah macam udang kena bakar. Kembang kempis hidungnya menahan marah sampai kulitku terasa hembusan nafas yang dia hela. Kalaulah cikgu tu betul-betul singa gunung mau diterkamnya aku kat situ juga. Tanpa malu, aku mengaku, sebenarnya ada kegugupan bila matanya membaham mukaku dalam jarak sedekat itu. Namun kucekalkan hati untuk tidak mengalihkan pandangan, sebaliknya aku perintahkan mata ini untuk berlawan dengan matanya.


“Jangan berkerdip.” Pesanku pada deria penglihatan. "Tengok betul-betul muka dia sampai hafal. Esok-esok boleh kau lukis atas kertas putih buat pameran. Untung-untung dapat anugerah lagi.” Peristiwa ini akan aku ingat sampai mati.


“Memang nak bagitau, saya ni tak puas hati dengan cikgu.” Aku berterus terang tanpa sekelumit pun rasa terancam. Perasaan yang sering aku alami sewaktu dia mengajar hilang sama sekali. Saling menikam, kami berlawan pedang mata macam selalu. Akhirnya dia tewas oleh renungan yang aku pulangkan terus ke matanya.


“Saya serahkan kepada cikgu untuk uruskan hal ni mengikut akta peraturan dan undang-undang kolej.” Kata cikgu Rina kepada cikgu Remy yang duduk tenang membuat catatan.


“Saya nak pergi sekarang.” Tanpa teragak-agak, kuraih beg galas yang aku biarkan terbaring atas lantai. Sempat aku mengintai sewaktu dia menurunkan tanda tangan di atas sehelai kertas sebelum cikgu Remy menyerahkan dokumen itu kepadaku.


“Kes ini akan kami bawa dan bincangkan dengan pengetua untuk tindakan lanjut. Sementara itu, awak akan digantung sekolah selama dua minggu. Tolong sign sini.” Tegas Cikgu Remy. Kertas itu aku ambil, membacanya sekali lalu. Aku pandang cikgu Rina sambil surat itu aku tandatangani. Dia menjeling aku — bengang. Itu jelas terpancar dari mukanya yang tegang.


Dengan bermurah hati aku sedekahkan sekuntum senyuman kepada dia dan berkata, “sekurang-kurangnya saya bebas dari sekolah selama dua minggu… What a relieved.”


Aku melangkah keluar dari bilik kaunseling bersama satu kepuasan yang mampu menyentuh langit. Sewaktu berlalu menuju ke pintu, sengaja aku langgar bahuku ke bahu dia yang sedikit tinggi dari aku.


Bebas seperti seekor helang melayang terbang ke syurga ketujuh, aku pacu motosikal laju-laju meninggalkan sekolah. Kepada diri, akal dan hati, aku berikrar, “kalau kena buang pun aku tak kisah. Lantaklah abah nak cakap apa, nak buat apa. Nak halau aku dari rumah pun aku tak peduli lagi. Aku boleh hidup berdikari.”


Mengenangkan Cikgu Rina, sekolah itu tak lain hanyalah tempat untuk menyakitkan hati sendiri. Tapi mengapa perempuan itu begitu hebat dalam subjek tersebut? Mana perginya cikgu-cikgu lain? Tak boleh ke sesiapa ambil alih tempat dia? Selalu aku berdoa semoga dia digantikan supaya dapat aku menuntut ilmu ekonomi dengan tenang. Supaya aku cemerlang sepertimana cemerlangnya aku dalam subjek-subjek lain. Sayangnya, seteguh mana pun aku beriman dengan doa, masih doa-doaku itu belum mau didengar Tuhan.


Mungkin aku tak bernasib baik.
Atau mungkin juga Tuhan dah mengarahkan sesuatu…

 

(ads)

#


Pukul tiga, hari yang sama. Masih terlalu awal untuk pulang ke rumah jadi aku memilih untuk melepak di kedai kopi kegemaranku. Lepas bergaduh dengan cikgu Rina tadi, perut terasa lapar. Jadi, aku pesan secawan teh untuk membasahkan tekak bersama sekeping pizza untuk mengisi perut. Aku bercadang untuk menghabiskan hari di tasik sehingga matahari tenggelam selepas kekosongan di perutku ini terisi.


Tasik Biru adalah tempat di mana aku selalu meluahkan segala apa yang terbuku dalam hati. Banyak yang dah dia dengar. Rungutan, kekesalan, rasa gembira, bimbang. Semuanya. Aku rasa selamat di situ. Lepas bebas melakukan apa saja yang aku mau, apa saja yang aku suka, tanpa perlu menunggu sesiapa untuk meneruskan, apatah lagi memerlukan keizinan untuk meneruskan. Tasik itu adalah satu tempat yang sentiasa ikhlas menerima kehadiran aku.


Duduk di atas tanah beralaskan rumput segar, aku temui ketenangan hakiki. Hanya cara ini dapat aku menghargai masa secara peribadi. Bila bersendiri, fikiran lebih aman, jiwa lebih bebas, tiada tekanan, tiada ancaman. Tak perlu pedulikan apa-apa atau sesiapa pun. Dah terlalu selesa tanpa teman, bagiku, waktu-waktu bersendirian adalah gambaran kehidupan di syurga. Malah, bersendirian juga sering memperkayakan jutaan falsafah, setelah letih dihenyak dan dikerumuni bising dan sesak.


Alunan lagu dari pemain mp3 mendendangkan Ordinary World aku nikmati bersama sisipan Earl Grey. Otak mula rancak merancang aktiviti untuk ‘percutian’ dua minggu yang telah dihadiahkan buatku pagi tadi. Fikiran berputar bersama lagu nyanyian Duran Duran itu bermain di telinga. Tiba-tiba terasa bahuku disentuh dan menarik fikiran aku keluar dari lamunan. Sentuhan itu lembut sahaja, namun hampir membuat jantung aku tercabut. Suara pemain mp3 aku rendahkan. Kutoleh kepala ke arah susuk tubuh yang berdiri di sisiku, di sebelah kanan. Dia kemudiannya melangkah dua tiga tapak untuk berdiri di depan mukaku. Di situ dia menancap mata garangnya yang berselindung di balik kaca.


“Teh?” Tanyaku, acuh tak acuh. Kejutan yang dibuat cikgu Rina dah tentu berjaya buat aku sesak nafas. Tapak tangan mula terasa berpeluh. Aku gelisah. Mujur aku masih mampu mengawal diri untuk bertenang, atau sekurang-kurangnya berlagak begitu. Jiwa yang tadinya terbang ke syurga seakan ditarik-tarik kembali ke neraka. Bibirnya yang tak dicalit sebarang pewarna menggaris senyuman kelat. Dia menghela nafas. Bunyi macam berat tapi bukan mengeluh. Kerusi ditarik. Tanpa dijemput dia duduk di depanku.


“Now, tell me... The suspension flies you over the moon, hmm?”

Pelawaanku tidak dihiraukan.


Lidah menjadi kelu sepantas waktu, lalu kubuang pandang ke jalan. Sementara perkara terbaik yang dapat aku buat hanyalah membenarkan dia bercakap. Untuk menenangkan diri, aku nyalakan sebatang rokok. Perlahan-lahan aku hembuskan asap ke mukanya, berharap asap itu dapat memukau dia untuk diam dan dengan aman angkat kaki, tinggalkan aku sendirian dengan duniaku.


“Nervous?” Dia memerli. Ternyata dia kebal. Asap rokok yang aku hembus tak meninggalkan apa-apa kesan langsung pada dia. Mulutku terkunci namun dalam diam, aku memerah akal untuk merangka kata-kata terbaik supaya aku tidak kalah berlawan bicara.


“Dah tertelan lidah? Tadi bukan main lagi awak bercakap.”

Aku tak menghiraukan provokasi itu. Rokok kusedut lagi dan sekali lagi aku kepulkan asap ke mukanya.


“Saya anggap awak ada penyelesaian bijak untuk hal ni.” Cikgu Rina terus bersuara, kali ini tenang bunyinya. Riak wajahnya kelihatan serius tapi tak setegang dan semerah tadi, sewaktu kami di bilik kaunseling. Dia duduk memeluk tubuh, kakinya disilangkan. Sengaja atau terkena, terasa kakinya melanggar kakiku. Lantas aku beranjak sedikit ke kiri bagi mengelak kami dari bersentuh kaki.


Sebenarnya aku gementar. Dalam hati Tuhan saja yang tau tentang kebimbangan yang sekuat daya aku sembunyikan. Otak aku dah nampak macam-macam. Manalah tau dia akan memanjangkan kes tersebut ke tahap lebih parah. Entah-entah dia dah buat laporan polis. Karang tak pasal-pasal aku kena gari kat kedai kopi ni.


“Ahhh, tak mungkin.” Untungnya, aku ada hati yang berani. Saranannya untuk membunuh semua fikiran negatif aku turuti. “Jangan jadi pengecut. Confident kena ada. Pandang muka sombong tu tepat-tepat. Dia bukan boleh buat apa-apa.” Aku turutkan. Sesuatu yang jarang aku buat. Mata bertemu mata dan beberapa saat pun berlalu. Akhirnya aku ambil sedutan terakhir, dalam dan tenang sebelum rokok aku matikan.


“Dengan apa?” Tak menjawab, sebaliknya aku balas pertanyaan dia dengan soalan. Keyakinan bagaikan telah menyuntik ubat penenang dalam darah. Badan aku sandarkan, mencari selesa di tempat duduk.


“Dengan kereta saya yang dah awak toreh. Awak ingat kereta saya tu apa? Pokok getah?”

Aku ketawa. “Pokok getah… Abih kau ingat otak aku ni apa? Kotak kosong?” Balas hatiku yang sakit bersama kemarahan yang tak terlepas di mulut.


“Saya tak nak drive dengan tulisan tu kat pintu kereta saya. Sekarang dengan cukup sopan, saya bertolak ansur.”

“Sopan…” Hatiku mengejek, memperlekehkan kata-kata cikgu Rina.

“Tak nak drive naik bas.” Aku menjawab, selamba.

“Awak ni memang kurang ajar, kan?”

“Cikgu tak ajar.”

“Nak ajar macam mana kalau awak asik membuta? Cakap kat saya. Dahlah buat salah, biadab pulak. Nak saya report polis?”

Reportlah.”

“Jangan cabar saya.”

“Cikgu yang dah cabar kesabaran saya.”

“Balai dekat je tu.”

“Point your wish, miss.” Sebut perkataan balai, kecut pulak perut aku. Tadi macam berani sangat. Manalah aku tak kecut, muka abah tiba-tiba menerpa ruang mata. Lepas tu aku nampak pulak muka mak. Ada kecewa terlakar kat situ. Kemudian abah tumbuk muka aku sebab dah buat bini dia kecewa. Mau aku tak takut.


“Awak nak suruh saya lupakan semua ni? Tak sangka pandai awak buat lawak. Saya anggap awak dah ada jawapan sebelum buat perkara sia-sia. Train your brain, Adriana.”

“Saya tak de duit nak bayar. Sorry.”

Dia mentertawakan jawapan yang aku beri. Kepalanya digeleng-geleng, macam teruk sangatlah aku ni.

“Biar saya tengok.” Aku berdiri. Dompet aku keluarkan dari saku poket belakang jeans lusuh yang aku pakai.

“Nah, tepat 45.70, lepas bayar minum. Kalau cikgu belanja teh dan pizza ni, adalah lebih sikit. Saya harap cukup untuk cat balik kereta cikgu.” Aku kembali duduk selepas menyerahkan setiap wang tunai yang aku ada. Satu ekspresi yang tak suka aku tengok terukir di muka cikgu Rina. Dilengkapi dengan senyuman mengejek, seakan mahu memberitahu betapa bangga, bongkak, megah, berlagak dan sombongnya dia.


(ads)


“Awak nak main-main dengan saya?”

“Tak. Saya jujur dengan cikgu. Itu je saya ada.”

Look, saya ada idea. Idea yang sihat, bijak, munasabah dan adil.” Katanya sambil meletakkan semula duit ke tapak tanganku. “Simpan.”


Getah rambut berwarna hijau kebiruan yang melilit pergelangan tangan dikeluarkan lalu rambutnya yang lurus itu diikat. Dia membetulkan duduknya di kerusi kemudian cermin mata dibuka lalu diletakkan ke atas meja. Tangannya menggali beg tangan. Sebungkus tisu dikeluarkan. Dia mengesat mukanya sebelum cermin mata berbingkai hitam itu disarung semula.


“Apa?”

“Motor tu, awak punya, kan? Bukan motor pinjam?” Dia menghalakan jari telunjuknya ke arah tempat letak motosikal. Aku mengangguk. “Tak sangka pulak dia kenal motor ni,” hatiku berbisik.


Nafasnya ditarik dan dilepas, tanda puas. Seketika, aku nampak ada gembira di mukanya. Memang luar biasa sebab dalam kelas dia jarang senyum. Dengan aku memang jangan haraplah. Tapi kat sini, sekarang ni, senang pulak dia senyum. Walau sekadar senyum kelat, senyum sinis, senyum nipis, senyum hambar, senyum tawar. Apa yang nyata aku tahu senyumannya yang beragam-ragam itu bukan dibuat-buat.


“Motor tu hadiah daripada parents saya. Birthday present. Kenapa?” Tambahku dengan bangga apabila dia diam tidak menjawab. Perhatiannya tertumpu pada Aprilia hitam yang aku sayang. Nampaknya cikgu Rina sangat teruja melihat satu-satunya harta yang aku ada.


Spoilt brat. Anyway, great... Saya suka motor tu. Cantik. Pandai awak jaga.” Dia memalingkan pandangannya, kembali memeriksa mukaku dengan teliti.

“So?”

Well, let’s be fair and square. Saya akan simpan motor awak tu sebagai cagaran untuk hutang yang awak tak mampu bayar, sampai awak dah cukup duit untuk baiki kereta saya, faham? Sekarang bagi saya kunci.” Tanpa memanjangkan mukadimah, dia membentangkan ideanya yang ‘sihat, bijak, munasabah dan adil’ itu.


Kelihatan sangat tenang, dengan penuh yakin dia terus memaksa aku menyerahkan kunci motor. Sepantas kilat aku rentap kunci yang dari tadi terletak di atas meja lantas menyumbatnya ke dalam saku seluar. Nasib dia tak perasan kunci tu ada atas meja, depan mata dia. Kalau tidak… memang ranap.


“You can’t be serious. Please, leave me alone.”

I’m serious. Masalah ciptaan awak ni memang sangat serius. Awak yang mintak semua ni. Kalau nak saya pergi, bagi saya kunci. Sekarang!”

“Ahh, macam la reti bawak motor.”

“Ingat awak je tau merempit? Gimme the key, you will see.

“You must be joking.”

“No, I am not... Take this for scratching my car.”

“No way...!”


Jaket denim berwarna biru yang kusangkut di kerusi aku ambil dan terus aku sarungkan ke badan. Beg aku sandang ke bahu. Cepat-cepat aku melangkah ke kaunter. Selepas membayar harga sekeping pizza dan secawan teh yang belum sempat aku habiskan, aku bergegas keluar, menuju anak tangga untuk segera ke tempat letak motor. Malangnya, tak sempat kaki aku jejak anak tangga pertama, tanganku ditarik kasar tanpa mengendahkan orang sekeliling apa lagi memberi aku kata dua. Kini kami berdiri muka ke muka. Dekat, begitu dekat. Pengunjung kedai kopi terpegun melihat apa yang terjadi. Ada makcik, ada pakcik, abang, kakak, adik... Hitam, putih, coklat semua ada. Majmuk. Memang majmuk penonton sinetron antara aku dan cikgu Rina. Argghhh... Sungguh memalukan. Peristiwa yang membabitkan maruah aku ini akan tertoreh diingatan selamanya. Kau tak malu ke, Rina?!


Ketika itu, perasaan benci aku pada dia semakin menebal. Macam manalah perempuan mental macam dia ni boleh jadi cikgu? Cikgu aku pulak tu. Sakit otak dibuatnya. Perlakuannya yang terlebih berani itu membuat aku terpana. Seluruh badan bagaikan lumpuh, bila dia tanpa segan silu dan tak teragak-agak menyeluk poket seluar jeans yang aku pakai. Ohhh… My… Goodness…


Semakin cuba mengelak semakin dalam tangannya menyeluk, sambil tangan kirinya menyentap tangan kananku, melipatkannya ke belakang, mengunci aku untuk bergerak, macam nak bagitau aku yang dia ada ilmu seni mempertahankan diri.


“Boleh tahan kuat minah ni. Ada tali pinggang hitam ke apa?” Tanya hati yang tersentak.


Spontan, aku jadi bodoh, tak berdaya. Atas sesuatu sebab yang tak dapat dijelaskan, aku rasa lemah dan lembik sampai memaksa aku tanpa malu untuk mengaku kalah. Tenyata cikgu Rina ada kuasa pukau, sepertimana dia memukau kawan-kawan sekelas sewaktu dia membebel pasal ekonomi dan entah apa lagi. Dia tak perlu rokok pun.


“Hmm dapat pun.” Kunci dipegang, sengaja dihayun-hayunkan di depan mukaku. Garis bibir semakin melebar. Bukan main seronok lagi dia. Tak pernah aku tengok cikgu Rina gembira macam ni. Lidahku kelu lagi. Mata jadi kabur, sendi-sendi rasa berterabur. Darah tersekat dalam urat. Tindakan berani cikgu Rina telah mematikan keupayaan aku untuk bertindak balas secepat mungkin. Aku gagal mempertahankan maruah diri.


“Nak lari sangat daripada tanggungjawab sampai lupa helmet?” Dia membuat isyarat mata, mengingatkan aku yang terlupa bahawa helmet masih lagi duduk di atas meja. Aku mengeluh dalam hati, kesal dengan kelalaianku.


Belum sempat akalku memikirkan apa yang patut dibuat, dia menambah satu lagi kejutan apabila meletakkan tangannya di belakang kepala aku. Semuanya berlaku terlalu cepat dan aku hanya terpaku macam kura-kura bodoh terpinga-pinga dengan kepantasan sang singa yang pandai memanipulasi keadaan. Sedar tak sedar, mukanya dia dekatkan ke mukaku. Peluh mula merecik dalam baju. Begitu mudah aku dilumpuhkan dengan renungan matanya. Bukan kerana renungan itu menawan, tapi kerana ia mengerikan. Dan entah berapa lama aku pegun macam patung cendana kat situ, aku hanya tersedar apabila dia akhirnya tanpa teragak-agak mendaratkan bibirnya ke bibirku. Tak lama, cuma sesaat dua sebelum dia melepaskan aku, melengkapkan kemenangannya dengan berkata, “and that’s for being very rude to me all the time.”


Kaki bagai tak jejak bumi, aku terawang antara tanah dan langit. Sepanjang aku bernafas selama sembilan belas tahun dalam planet ini, itulah satu saat aku mengalami fenomena terbang ke eksosfera. Malu yang aku tanggung tak kan mungkin dapat aku gambarkan dengan kata-kata. Lengkap dengan kepelbagaian emosi yang timbul dalam hati dan pertimbangan.


Aku bertambah bingung. Suara tersekat di kerongkong tanpa mampu untuk melompat keluar dari mulut. Mengapa tiba-tiba aku jadi bisu sampai satu perkataan pun tak dapat aku hambur? Atau kenapa tidak aku tepis saja tangan dia, tolak badan dia, biar dia jatuh, biar dia malu?


(ads)


Ciuman itu berjaya mendiamkan aku. Percaya atau tak, cikgu Rina aka si singa gunung dah cium aku. Ciuman kebenciankah itu? Atau kemarahan? Dendam? Setahu aku yang masih sangat jahil tentang ciuman, mana ada ciuman dendam, ciuman marah atau benci. Adakah dia memang sengaja ambil kesempatan cium aku sebab dia memang syok kat aku? Dan itulah pasal dia suka cari hal dengan aku, bukan dengan orang lain. Mampos aku kalau dia lekatkan sihir kat bibir aku dengan ciuman pendek tadi. Otak aku dah mula meracau, tak boleh terima hakikat yang cikgu Rina dah mencabul bibir aku dengan begitu mudah. Kenapa bibir aku dicium dalam satu situasi dan kesempatan yang sepatutnya dia ambil untuk menjatuhkan hukuman?


“Itulah, aku dah cakap, jangan carik masalah. Sekarang tengok…” Akal mula mengejek. Hati tertunduk diam, masih lagi kebas akibat dicium singa.


Bukankah aku layak dihukum dengan hukuman yang setimpal dengan jenayah yang telah aku lakukan? Laporlah pada polis, tak payah cakap aje. Atau minta aku dibuang sekolah, hantar aku ke pusat pemulihan, atau apa saja, tapi mengapa ciuman?


Mengapa Rina?


Sebab aku kurang ajar dengan kau sepanjang masa? Mana ada sepanjang masa… Kau menipu, cikgu. Padahal bukan sepanjang masa kau masuk kelas aku. Aku pun bukan peduli pasal kau. Kau yang rasa terabai sebab aku tak bagi perhatian kat kau, kan? Sebab aku tak pernah pandang muka kau pun. Betul tak Rina, itu masalah kau sebenarnya, kan? Ego kau tinggi dan kau gagal curi perhatian aku. Aku bukan antara budak-budak sekolah yang suka kerumuni engkau untuk khidmat nasihat ataupun menuntut ilmu. Maaf, tak akan aku bazirkan tenaga dan masa aku layan cikgu macam kau.


Bibir aku kesat dengan belakang tangan, kemudian belakang tangan aku kesat di seluar. Cikgu Rina kembali ke meja. Cawan teh diangkat, lalu saki baki Earl Grey yang aku sisakan dia hirup. Sekeping potongan pizza terakhir yang masih di pinggan dia ambil, disuapkannya ke mulut lalu dia mengunyah pelan-pelan. Setelah sepotong pizza itu habis dia telan, dia mencapai tisu. Mulutnya dikesat. Kertas tisu diselitkan elok-elok bawah pinggan kemudian teh dihirupnya lagi. Kepala aku bertambah pening melihat perlakuan cikgu tersebut. Pelik. Pelik benar. Memang dari awal tadi aku dah cakap, cikgu Rina ni memang lain macam sangat perangainya. Tak sangka rupanya dia juga seorang yang pelik. Tadi aku pelawa teh tak nak, sekarang teh aku dia telan habis. Pizza aku yang tinggal sekeping tu pun licin dibedalnya. Mental.


“You wanna play a game, hmm? Let’s play, Andrey. This is merely a beginning.” Cikgu Rina menamatkan sinetron petang itu dengan satu peringatan. Selamba helmet yang aku letak di atas meja dia capai. Beg tangan disilangkan ke badan lalu dia berjalan menuruni anak tangga menuju ke tempat letak motosikal.


Selepas membelek Aprilia hitam milikku, dia menghidupkan enjin. Aku berlari menuruni anak tangga untuk cuba menghalang motosikalku dari dirampas. Sayangnya, nasib tak menyebelahi aku. Cikgu Rina bukan saja licik tapi tangkas. Sambil tersenyum dia menaikkan ibu jari dan sebelum memandu pergi, sempat dia melambaikan tangannya kepadaku.


Gila. Dia ni gila rupanya. Cikgu Rina gila. Gila. Mental. Dia bukan saja dah berjaya pijak maruah aku, cabul bibir aku, malah motosikal aku dia ambil sesuka hati, dia curi depan mata aku sendiri. Terasa perut mengecut. Kepala jadi pusing dan pening seakan dihantuk kuat ke dinding. Sakit hati dan benci bercampur baur dalam benak dan perasaan aku yang semakin celaru dengan semua tindakan berani cikgu Rina.


Hairan — Kenapa dia cium aku? Sebab aku biadab, kurang ajar? Apakah dia fikir dengan ciuman itu aku akan tunduk pada dia? Akan melutut mintak maaf?

Keliru — Apa sebenarnya dia nak? Duit atau malukan aku? Nak aku sujud sembah kaki dia?

Marah — Dia curi motor aku. Harta aku. Buah hati aku. Kesayangan aku.


Inikah hukuman berat yang nak dia bagi?


Deruman enjin Aprilia semakin menghilang, sedangkan kesan ciuman yang diberikan masih menghantui kewarasan. Ciuman pertama yang tak pernah aku mimpikan. Hahaha… Kau memang pandai buat lawak, Rina!!! Kau memang hebat!


Berjalan lemah ke tempat letak motosikal, aku mengharapkan apa yang terjadi hanyalah satu mimpi. Tapi sayang, tak seperti mimpi indah, mimpi ngeri boleh bertukar jadi kenyataan. Aku tak nak percaya motor aku dah hilang dikebas cikgu Rina yang tangkas. Lesap tanpa aku berkuasa melakukan apa-apa untuk menghalang si pencuri, seolah-olah aku dah larut dalam sihirnya. Aprilia kesayangan dah diculik, dah tak ada lagi menunggu aku di situ sepertimana yang setia ia lakukan. Mesti Lia turut merasa sedih dan terkejut, menjerit-jerit memanggil namaku.


“Kau kini bukan lagi di bawah kawalan aku, Lia. Aku harap dia tak apa-apakan kau. Aku risau sangat… Janganlah dia jatuh masa bawak kau. Kalau dia sorang je yang jatuh aku tak kisah. Apa nak jadi kat dia, jadilah. Nak tergolek dog ke apa lantak dia. Tapi engkau, Lia… Aku tak nak kau cedera dan dicederakan.”


Hanya bekas tayarnya saja yang tinggal sepertimana aku ditinggalkan di situ dengan puluhan mata tersenyum kepada aku, menyaksikan drama ciptaan seorang cikgu hasil kesinambungan dari jenayah pelajarnya.


Senyuman dan riak wajah mereka yang menonton drama tadi menghadiahkan aku rasa malu. Perasaan itu semakin menebal, setebal tembok besar China bila aku terpaksa menahan teksi untuk pulang ke rumah. Musnahlah impianku untuk merehatkan minda di tasik pada petang penuh sejarah itu.


 (getButton) #text=(Bab 4 : Hukuman) #icon=(link) #color=(#ff000)


Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!