“Kau ingat aku pilih jadi macam ni?”
Lelaki muda itu diam. Hasnah yang nyata empat lima, mungkin enam tujuh tahun lebih tua dari dia mencapai kotak rokok di atas meja kecil berhiaskan bunga plastik yang bersiramkan habuk. Bilik kecil tak berhawa dingin itu hanya disejukkan dengan kipas dinding yang dah penat berpusing. Bergegar-getar kipas usang itu ke kiri dan ke kanan. Kipas itu juga berhabuk malah habuknya lebih menebal kelabu. Mujur ada tingkap kecil, dapatlah bilik sempit serba kekurangan itu bernafas walaupun tak cukup udara.
Hasnah menyalakan rokok. Kepulan asap yang ditiup membuat Shahril terbatuk.
“Kalau tak merokok?”
Shahril geleng. Hasnah tersenyum sinis. Tak dapat Shahril menenbak apa di fikiran Hasnah. Namun dia menyambut bila kotak rokok murahan dicampak Hasnah kepadanya. Dia membuka kotak tersebut, lalu sebatang rokok dikeluarkan. Hasnah menghampirinya lalu rokok dinyalakan. Nak tak nak Shahril setuju.
“Apa sebab kau datang langgan aku kalau kau tak nak main? Kau reporter, nak buat kajian? Atau kau disuruh cikgu kau dari universiti mana untuk tulis kisah pelacur busuk macam aku ni?”
Shahril gementar sebenarnya. Pertama kali dia ke situ. Dia bukan wartawan. Memang dia pelajar tapi tak ada tugasan apa pun yang menyuruh dia bertandang ke lorong itu, apalagi buat kajian tentang pelacuran. Dia ke situ atas kehendak sendiri. Rokok seludup Shahril hisap dan hembus pelan - pelan. Dia tau waktu berjalan. Dia dah bayar. Sejam.
“Saya.... saya... sebenarnya saya nak cuba, kak.”
Pengakuan Shahril Hasnah sambut dengan ketawa panjang. Kemudian dia berhenti, berdiri betul-betul di hadapan Shahril yang duduk di atas kerusi rotan yang semakin menua.
“Kau takde makwe?” Tanpa mengunggu jawapan, dia bertanya lagi. Kali ini dia melabuhkan pula punggungnya yang beralaskan skirt pendek berwarna merah ke atas katil yang tidak kelihatan begitu sihat. Cadar biru yang menutup tilam kusam sudah pudar benar. Entah bilalah agaknya kali terakhir cadar itu diganti. Hasnah menyilangkan kakinya sambil dia menyalakan sebatang rokok lagi. Sudah empat kali Shahril lihat dia merokok dalam tempoh tak sampai pun sejam.
Shahril mengggeleng.
“Jadi kau teruna lagi?”
Dia mengangguk. Malu tapi dia mengaku ikhlas.
“Jangan jadi bodoh. Balik lah. Sini kau tak dapat apa-apa. Bukan ni yang kau perlukan.”
“Kenapa?”
“Dah baliklah... Jangan rosakkan hidup kau macam aku. Aku tak bersih.”
“Saya tau...”
“Apa sebenarnya yang kau nak?”
“Tak tau… Saya takut...”
Hasnah pandang muka Shahril. Kurus. Cengkung. Matanya dibantu kanta untuk melihat jelas. Hasnah terkenang Aris, kekasihnya dulu. Lama dulu. Kekasih yang entah ke mana menghilang. Hilangnya Aris, lelaki pertama yang benar-benar dia cinta telah menemukan dia dengan Lazim. Dalam khayalan, dia meludah muka Lazim bertalu-talu.
Hasnah berdiri menuju ke tingkap. Berdiri membelakangi Shahril, dia menyingkap cerita tanpa diminta.
“Kau ingat aku jadi macam ni sebab aku rela? Suka-suka? Aku kena tipu kau tau???!!! Jantan tipu aku. Cinta konon. Ke sini diseretnya aku...”
“Tapi akak boleh keluar...” Kata Shahril. Dia menghampiri Hasnah. Bahu Hasnah disentuh lembut.
“Bukan senang. Dia pegang aku. Hidup aku dah hancur, kau tau? Hancur, tunggu jadi debu je, tunggu hilang dalam angin.”
“Saya nak bawak akak keluar...”
Hasnah ketawa besar. Badannya dipusingkan. Muka Shahril dipandang sepi.
“Kau carilah sorang dua makwe. Muka cam kau ni senang dapat betina.”
#
Selama dua bulan, tiap minggu, kadang-kadang selang dua hari, Shahril datang jumpa Hasnah. Bukan nak apa-apa, cuma berbual. Shahril rasa aman bila berbual dengan Hasnah. Dia sendiri hairan. Dia sendiri tak ada jawapan bagi kedamaian yang dia temu setiap kali menghabiskan masanya dengan Hasnah.
Sama seperti hari pertama, mereka hanya berbual-bual. Bagi Hasnah melayan Shahril adalah duit mudah dan dalam hati, sebenarnya dia berterima kasih kerana Shahril tak macam jantan lain yang rakus, yang nafsunya tak reti kenyang, tak pernah puas. Seminit pun tak nak lepas. Rasa rugi agaknya sebab berbayar.
“Saya sunyi. Saya tertekan dengan kehidupan. Dengan pelajaran. Dengan desakan keluarga. Duit memang tak pernah putus tapi kasih sayang? Kalaulah mak bapak saya tka kaya, mesti saya jadi lagi teruk dari ni.”
“Kawab pun tak ada?”
“Kawan makan kawan... ramai, kak. Semua pasal duit, sebab apa yang saya ada, bukan sebab diri saya. Dorang gunakan saya. Depan disanjung, belakang saya dorang tikam. Khianat. Susah nak percaya lagi.”
Shahril mengeluh. Sekotak Marlboro dikeluarkan dari kocek kemeja. Dihulurkannya kepada Hasnah dan asap mula mengepung bilik sempit itu. Langsir yang menirai tingkap kecil dah sebati warnanya dengan warna asap. Shahril membandingkan keselesaan yang dia kecapi dengan mudah hanya kerana bertuah dilahirkan dalam sudu perak. Semua dia ada. Apa saja keinginan tanpa susah payah dia perolehi. Tapi kekosongan jiwa, hanya Tuhan yang tau.
“Aku miskin. Jiwa aku ni daif...” Kata hati Shahril. Dia mahu Hasnah tahu. Dia tak tahu mengapa, tapi dia mahu Hasnah tahu.
“Kak... saya takde masalah nak jumpa akak hari-hari macam ni. Tapi sejam tak cukup.”
“Kalau camtu kau mintalah dua jam atau tiga atau sepanjang malam ikut suka kau. Aku tak ada masalah. Borak camni lagi senang kerja aku daripada menderita kesakitan dirodok jantan sial, jantan hodoh, bodoh ntah dari mana asal.” Dengan jujur Hasnah mengutarakan cadangan. Shahril mengangguk.
“Malam minggu ni, saya nak seharian... kalau boleh semalaman, sepanjang minggu dengan akak. Tapi kat luar bilik ni. Berapa je akak mintak saya akan bayar.”
Hajatnya disampaikan. Dah lama Shahril fikirkan perkara ini. Niatnya nak bawak Hasnah makan dan lihat dunia. Dunia dia.
“Aku tak dapat janji. Tapi bagi lah nombor telefon. Aku call nanti, jadi tak jadi.”
#
Setelah memikirkan dengan hati-hati, Hasnah menghubungi Shahril pada malam Sabtu, menyampaikan berita gembira. Esoknya, seperti yang telah dijanjikan, Shahril menjemput Hasnah yang dah pun menunggu di kaki lima tempat dia menjaja diri.
Di mata Shahril, Hasnah kelihatan begitu bersih pada malam itu, tak seperti malam - malam sebelumnya di mana dia kelihatan kusam dan busuk. Gincu bibir merah berdarah dengan calitan solekan selekeh dimuka. Berbalut hanya kain pendek dan blouse pasar malam nipis tanpa lengan. Walau begitu, Shahril tetap mahu meneruskan pertemuan.
Tapi malam itu berbeza. Hasnah bukan lagi wanita lorong yang dia langgan. Dengan solekan nipis dan baju kebaya merah hati yang dikenakan, Shahril terpesona pada keindahan seorang wanita yang dimiliki Hasnah.
“Terima kasih sekali lagi, kak... Saya hargai sangat-sangat kesudian akak ni.”
“Panggil aku Has.”
Shahril tersenyum.
“Has boleh panggil saya Aril.”
Mereka bertatapan buat seketika. Senyum.
Malam itu bagi Hasnah paling permai. Tak pernah dalam hidup dia rasa begitu apalagi dilayan seistimewa itu. Tidak pernah walau sekali terlintas dalam mimpi apalagi diharapannya.
“Has tak nak hidup camni? Maksud saya .... bebas macam ni... hmmm... walaupun tak mewah, tapi ...”
Payah Shahril nak menyuarakan fikirannya, bimbang jika Hasnah tersinggung. Namun begitu dengan pantas Hasnah mengerti akan maksud Shahril, lalu melengkapkan kata-kata Shahril yang tergantung.
“Tapi bersih? Tak kotor. Tak melacur? Kan? Itu yang kau nak cakap, kan?”
Nak tak nak Shahril mengakui kebenarannya.
“Aku takde pelajaran, Aril. Sekolah takat tingkatan tiga, kena kerja bantu adik-adik. Ada tiga. Tapi aku bangga, dorang semua sekarang berjaya belajar tinggi. Ada kerjaya. Hidup senang, ada keluarga. Tapi kau tau apa? Tak sorang yang tau pengorbanan aku apalagi mengenang dan menghargai. Aku macam sampah dorang buat.” Hasnah menundukkan muka, cuba menyorokkan wajah pilunya.
“Aku tak harap apa-apa balasan. Cukuplah sekadar rasa terima kasih.”
Shahril yang duduk di samping Hasnah merangkul bahu perempuan tersebut lalu mengusapnya, lembut. Dia membiarkan Hasnah meluah perasaan. Shahril tahu dalam diri Hasnah ada harga yang tak ternilai. Bagi Shahril, Hasnah adalah permata yang terbenam jauh di perut bumi dan dia sedang menggali untuk mendapatkan permata tersebut, untuk digilap dan disiram dengan air mawar. Untuk disimpan dalam balang kaca penghias kamar sunyi hidupnya.
“Berapa sen sangat kerja kat kedai bunga tu... Akhirnya aku jumpa Lazim. Dia bagi aku harapan. Aku ternoda dan dialah yang bawak aku dalam hidup jahanam ni. Aku takde jalan keluar. Aku tertekan tapi tak sape tau. “
“Saya tau Has, dan saya peduli.”
#
Beberapa waktu pun berlalu. Lama selepas malam tu Shahril tak jenguk Hasnah. Hasnah tertanya-tanya. Dia mula bimbang. Talian telefon Shahril tak lagi berfungsi. Dalam keluhan, Hasnah pasrah. Nasib pelacur seperti dia... Jantan datang dan pergi hanya untuk memuaskan nafsu bukan merawat jiwa lukanya. Dia fikir Sharil lain dari jantan - jantan lain, namun terbukti sama kecuali Shahril tak menggunakan dia untuk memenuhi kehendak nafsu. Hasnah malu pada diri sendiri bila mengenangkan sekelumit harapan yang berbunga dalam hati saat Shahril di sisi. Harapan yang menjadi keluhan kering, membawa kakinya kembali menjejak bumi.
Satu malam, sewaktu mencari rezeki seperti biasa, ketika dia berdiri di kaki lima, di bawah lampu malap yang dipenuhi tarian kelekatu dan agas, sebuah kereta berwarna merah perlahan-lahan berhenti di lorong sunyi yang bising dengan kicauan kupu-kupu malam. Ramai pelacur tak kira tua muda, berlari-lari mendapatkan kereta tersebut dengan harapan untuk mendapat habuan lumayan. Hasnah tak teruja. Fikirannya asyik terkenangkan Shahril. Lagipun, kereta itu bukan kereta Shahril. Seingat Hasnah, Shahril memandu kereta berwarna hitam. Tidak menyertai rakan-rakan 'sejawat', sebaliknya Hasnah mendekati seorang pemuda bermotor yang baru saja tiba ketika kereta itu berhenti.
Pintu dibuka. Shahril keluar menghampiri Hasnah, mengabaikan yang lain.
“Maaf lama saya tak contact. Ada exam besar. Masalah pun besar. Beg saya dicuri. Semuanya lesap temasuk handphone.” Bahu Hasnah dicuit.
Dia berpaling ke arah Shahril yang berdiri di belakangnya, mengukir senyum. Hati Hasnah teruja dengan kejutan itu. Tanpa sedar dia memeluk Shahril.
“Nombor Has saya tak tulis kat mana-mana. Dalam handphone tu je... Baru petang tadi saya sampai dari Aukland.” Hasnah melepaskan pelukan. Dia merasa malu atas tindakan spontannya memeluk Shahril sebentar tadi sedangkan Shahril tersenyum gembira, mau lebih lama dalam pelukan Hasnah.
“Saya datang malam ni bukan nak langgan akak tapi saya nak bawak akak keluar. Ikut saya... banyak saya nak cerita dan saya.... saya rindu... rindu sangat nak borak dengan akak.”
Muka Sharil Hasnah pandang tepat - tepat. Dia nampak cahaya keikhlasan di wajah lelaki itu.
“Saya nak jaga akak... kalau boleh sampai saya mati.”
Perbualan dengan Lazim bermain di telinga. Wajah kusut tak terurus itu hanya laparkan wang untuk memenuhi dunia khayalnya.
“Ini.. Dalam sampul ni semua yang kau mintak. Kau boleh anggap Hasnah tak wujud. Dia hak aku sekarang. Kalau kau cari masalah, kau tau mana kau akan aku heret.”
Itulah pesan Shahril sebaik saja dia menjejakkan kaki ke tanah air, sebelum dia bertemu untuk bertemu untuk menjemput Hasnah keluar dari dunia kelam pada malam itu.
Hasnah kehilangan kata-kata. Hanya mampu memeluk Shahril dengan esakan dan linangan airmata syukur yang jatuh ke bahu Sharil yang mengucup lembut rambutnya.
Jalur putih telah menyaksikan rintihan-rintihan malam harinya. Kadangkala, redup petang membawa sekelumit damai tapi menghilang setiapkali senja menjelang. Saat gelap menyelimuti alam, jiwanya diheret kejam ke lembah malam yang busuk dan kelam.
Siapakah yang mendengar semua doa-doa sepinya di segenap putaran waktu yang laju? Tak henti dia mengucap syukur kepada Tuhan. Syukur kerana diberikan kesempatan untuk hidup dalam neraka sempit ciptaan manusia. Syukur kerana dia mampu menerobos celahan-celahan sempit itu untuk berbicara dengan Tuhan.
Syukur atas jawapan kepada doa-doa sepi yang dipanjatkan di setiap celahan waktu sempit hidup yang rumit itu.