Memuatkan resonansi…

16.2 Ruang atau Peluang?


A couple sits intimately at a wooden table by a riverside at night, illuminated by warm streetlights and candlelight under a large tree. The text overlay reads: "RUANG ATAU PELUANG? Suara: Hidup adalah soal masa dan pilihan." A quote in a dark box says: "The river will never know what it feels like to be the sea. However, it understands what it feels like to be water. You don't need to be the sea, it's enough for you to understand what water is.
Akhirnya, sungai akan bersatu juga dengan laut.
Malam semakin larut.

Di ruang tamu rumahnya, Rina masih duduk di hadapan timbunan buku latihan yang belum selesai diperiksa. Pen merah berada di antara jari, tetapi sejak beberapa minit lalu, dakwat lebih banyak berhenti daripada bergerak.

Dia mengangkat kepala, memandang jam di dinding. Hampir pukul sebelas malam.

Satu jawapan ditandakan betul. Jawapan berikutnya juga. Dahinya sedikit berkerut. Kemudian matanya terhenti pada satu ayat yang entah kenapa dibaca dua kali.

Pen diletakkan. Dia bangun sambil mencapai cawan teh jasmin di hujung meja. Dah sejuk. Rina menghirup sedikit juga sebelum membuat muka.

“Yuck.”

Cawan itu diletakkan kembali. Matanya secara spontan kembali ke arah jam.

10:45.

Dah habis makan agaknya.

Dia cuba menyambung kerja.

Atau masih jalan-jalan?

Pen bergerak semula.

Sophia bawa dia pergi mana?

Berhenti. Lagi.

Dia sendiri terasa pelik dengan soalan itu.

Ah… siapa peduli…

Sophia bukan budak sekolah. Andrey pun bukannya budak kecil yang perlu dia pantau setiap lima minit. Tambahan pula dia sendiri yang berpesan—

Balik sebelum pukul dua belas.

Itu sahaja. Macam arahan seorang guru kepada pelajar. Bukannya…

Ya… Tak lebih daripada itu. Rina menyandarkan badan ke kerusi.

“Kenapa aku asyik fikir hal ni?”

Jam tak menjawab. Kertas diam. Pen? Menunggu untuk digerakkan.

Rina ambil sebuah buku. Kali ini dia cuba benar-benar menumpukan perhatian. Namun, beberapa minit kemudian, tangannya berhenti lagi.

11:00.

Nafas terhela. Perlahan tapi berat.

Telefon bimbit atas sofa masih bisu. Skrinnya gelap. Dia memandang telefon bimbit itu, seakan meminta simpati.

“Apa budak ni dah buat kat aku?”

Tanpa dia sedari, dia tersenyum, kemudian senyuman itu hilang.

Budak tu keluar dengan Sophia.

Ayat itu datang tanpa dipanggil. Rina mengetap bibir.

Memanglah dia keluar dengan Sophia.

Dia sendiri tahu. Sophia sendiri yang beritahu. Andrey sendiri mengaku dan dia sendiri cakap, “Harap awak enjoy, tapi balik sebelum pukul dua belas.”

Tak ada apa yang disembunyikan.

So, what’s the problem?

Dia teringat wajah Andrey waktu mendengar ayat itu — “macam Cinderella?”

Budak itu sempat bergurau. Rina ketawa kecil. Kemudian senyuman itu perlahan-lahan mati.

Kalau dia betul-betul enjoy malam ni, macam mana? Oh God…

Dia tak suka soalan itu. Apa pun jawapannya, dia sendiri tak tahu kenapa dia perlu bertanya.

Sophia cantik. Pandai. Menarik. Andrey pun nampaknya suka pada Sophia. Mungkin lebih daripada itu…

Apa salahnya kalau diorang serasi? Apa salahnya kalau lepas ni Andrey nakkeluar lagi dengan Sophia? Apa salahnya kalau—

Rina berhenti. Tangannya menggenggam pen sedikit kuat.

Nothing. Nothing wrong.

Telefon di atas meja dicapai. Aplikasi mesej dibuka. Nama Andrey ada di situ.

Jarinya berhenti.

Dah balik?

Dia hampir menaip.

Kemudian dipadam.

Awak dekat mana?

Dipadam lagi.

Rina mengunci telefon.

“Kenapa aku nak tahu?”

Dia bangun, meninggalkan telefon di atas sofa. Kemudian, seperti sengaja mahu membuktikan kepada dirinya sendiri bahawa dia tidak peduli, dia mengambil semula buku yang sama. Satu soalan dibaca. Kali ini dia langsung tak tahu apa yang dibacanya. Rina bersandar. Matanya terpejam sekejap. Di kepalanya muncul bayangan yang dia sendiri tak nak tengok.

Sophia ketawa. Andrey ketawa. Berjalan berdua di tepi tasik. Berbual. Andrey bercerita tentang dirinya. Sophia dengar. Sophia cerita, Andrey dengar. Mungkin mereka jumpa sesuatu yang mereka sama-sama suka.

Mungkin—

Rina buka mata.

Teruk dah aku ni. Cukup, Rina. Cukup.

Dia bangun lalu berjalan ke tingkap. Di luar, malam sunyi. Lampu jalan menerangi jalan yang hampir kosong. Dia memeluk tubuhnya sendiri. Pandangan dilepaskan ke jalan berkabus.

Kemudian dia ketawa kecil. “Cikgu konon…”

Dan di tempat lain, beberapa kilometer dari situ, malam sedang membawa Andrey dan Sophia ke bawah sebuah pohon tua di tepi Terusan Tasik Biru.

𝄞

Arus mengalir tenang di bawah cahaya lampu jalan. Di sepanjang bahagian atas tebing Terusan Tasik Biru, banyak kedai masih belum menutup pintu. Ada kedai kopi yang dipenuhi pelanggan, ada restoran yang hanya tinggal dua tiga meja dengan pelanggan yang duduk lama, seolah-olah tiada sebab untuk pulang.

Selepas makan malam yang panjang, berjalan kaki begini terasa lebih menyenangkan daripada terus masuk ke dalam kereta. Sophia pula seperti tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menamatkan malam itu dengan cepat.

“Coffee?”

Andrey menoleh. “Sekarang?”

Sophia mengangkat bahu. “Kenapa? Tak boleh?”

“Boleh.”

Jawapan itu keluar terlalu pantas hingga Sophia ketawa kecil. “Awak ni memang senang diajak.”

Andrey tersenyum. Dia memasukkan kedua-dua tangan ke dalam poket jaket jeans sambil berjalan mengikut langkah Sophia.

Mereka tak bercakap banyak. Bunyi kenderaan dari jalan utama semakin jauh, digantikan dengan suara orang lalu-lalang. Malam masih muda di Terusan Tasik Biru.

Disapa angin malam, Andrey terbelah antara kenangan dan harapan.

“Here.”

Sophia berhenti di hadapan sebuah warung kopi kecil. Salah satu daripada tiga warung kopi di bawah tebing, betul-betul tepi sungai.

Andrey melihat ke sekeliling. Dia tersenyum. Dia dah biasa benar dengan tempat itu. Malah warung itulah tempat dia selalu menghirup angin malam dan menelan kopi bila kepala berserabut.

Di hadapan mereka, berdiri sebatang pohon besar yang bentuknya agak ganjil berbanding pokok-pokok lain di sepanjang terusan. Batangnya tua dan berpilin. Akar-akarnya menjalar turun ke tanah seperti jari-jari yang enggan melepaskan bumi, membuatkan pohon itu kelihatan seolah-olah sudah terlalu lama berada di situ untuk mempedulikan manusia yang datang dan pergi.

Andrey memandang pohon itu. Dia cukup kenal pokok itu. Kenal wajah malamnya yang tenang. Kenal wajah siangnya yang setia.

“Ara Beringin,” katanya perlahan.

Sophia mengikut arah pandangannya. “Awak tahu?”

“Siapa tak tahu?”
“Ara Beringin simbol kekuatan Terusan Tasik Biru.”
“Kenapa?”

“Pokok ni…” kata Sophia perlahan. Dia melangkah setapak ke depan, berdiri betul-betul di bawah pokok. Ada rumah kecil dari batu berwarna merah di situ. Colok masih menyala. Asapnya berkepul lembut, bersatu dengan udara. Di atas sebuah pinggan kayu, ada beberapa biji limau dan pisang.

“Orang selalu datang ke sini.” Sophia memandang kuil kecil itu. “Penduduk tempatan anggap pokok ni sacred. Ada yang datang bagi offerings. Ada yang cabut rumput, bersihkan kelilingnya.”

“Dan berfikir.” Tambah Andrey.

Sophia menoleh kepada Andrey, meminta penjelasan.

“Fikir. Duduk seorang diri. Jumpa orang.” Kata Andrey. “Dating…”

“Macam kita sekarang?” Jawapan Sophia membuat Andrey merah muka.

Seketika sunyi mengisi ruang. Mereka memandang pokok tua itu seperti memandang karya agung sepasang tangan ghaib.

“Berapa usia pokok ni agaknya, ye?” Dia menyambung.

Andrey mengangkat bahu. “More than… 30 years?”

“It’s older than the mountain… younger than the tree…”

Andrey ketawa perlahan.

Mereka mengambil tempat di meja yang menghadap ke arah pohon itu. Tidak lama kemudian, dua cawan kopi sampai bersama dua ketul roti kelapa yang diletakkan di tengah meja.

Andrey meniup permukaan kopi sebelum meneguk sedikit.

Panas. Tapi tak terlalu pahit.

Dia memandang semula Ara Beringin. Ada sesuatu tentang pohon itu yang memukau matanya. Bukan kerana bentuknya. Bukan juga kerana cerita-cerita yang pernah didengarnya. Mungkin kerana ia nampak seperti sesuatu yang tak perlu menjelaskan kewujudannya atau sebagai satu kewujudan yang tak disedari oleh sesiapa.

“Awak percaya pokok boleh faham manusia?” Tanya Sophia, ingin tahu apa di fikiran Andrey yang asyik memandang pohon itu.

“Mungkin…”
“Sebab?”
“Dia bagi bayang-bayang. Faham bila manusia panas. Dia bagi buah, untuk kita dan haiwan makan…”
“Pandai.”

“Kenalah jadi pandai. Tengah dating dengan cikgu, kan?”

Sophia ketawa kecil. “Pandai menjawab.”

Andrey menghirup kopi sekali lagi. “Kadang-kadang manusia pun macam pokok.”

Sophia mengangkat kening. “Macam mana?”

“Beri tanpa meminta.” Matanya memandang tepat ke mata Sophia. “Macam Ara Beringin.”

Sophia tak terus menjawab. Matanya dialihkan ke pohon tua itu.

Angin malam menggerakkan beberapa helai daunnya. Bunyi geseran halus itu hampir tenggelam dalam bunyi warung dan kenderaan yang lalu di jalan belakang mereka.

“Cukup ada…” ulang Sophia perlahan.

Andrey mengangguk. “Hanya hadir.”

“Sounds simple.”

“Benda yang simple biasanya susah.”

Sophia tersenyum. Kali ini dia tak membalas dengan gurauan. Andrey juga tak meneruskan. Dia hanya duduk di situ, memegang cawan kopi dengan kedua-dua tangan, membiarkan kehangatan yang tinggal meresap ke kulit.

“Apa cikgu biasa buat lepas sekolah?”

Nothing much. Balik, rehat. Kalau rajin, petang saya pergi jogging, senaman sikit. Balik masak. Tengok TV. Sambung kerja, periksa kertas, buku latihan. Sediakan bahan-bahan untuk mengajar. Itu je lah… Tak ada apa yang menarik pun.”

“Tak sunyi?”

“Tak. Tak ada masa nak sunyi. Jadi cikgu bukan senang, tau. Orang ingat kita senang sebab nampak macam senang. Habis waktu sekolah boleh balik. Weekend cuti. Budak cuti, kita cuti. Padahal banyak kerja. Banyak tanggungjawab. Yelah… Kalau budak tanya kita, kita tak reti jawab, macam mana? Saya pun masih belajar sebenarnya. Awak?”

“Saya macam tulah… Lepas kelas biasanya tak balik rumah terus. Lepak dulu kat mana-mana.”

“Oh… Ingatkan balik rumah terus. Membuta.” Usik cikgu Sophia. “Dengan Jacques?” Dia bertanya lagi.

“Kadang-kadang. Biasanya sorang.”

Lalu dia pun bercerita tentang tasik. Tasik di seberang tasik yang mereka susuri tadi. Cikgu Sophia tak pernah ke tempat yang dia maksudkan. Agak jauh dari jalan utama, sememangnya kawasan itu tersorok dari kawasan perkhemahan sedia ada.

“Kalau nak boleh saya bawa nanti. Atau cikgu boleh ajak boyfriend cikgu ke…”

“Boyfriend…” Sophia mengerling, ketawa sinis pada perkataan yang disebutnya sendiri.

“Boleh ajak cikgu Fizi…”

Tebakan itu memanjangkan ketawa Sophia yang pendek.

“Orang cantik macam cikgu ni mustahil tak ada boyfriend. Saya tengok cikgu rapat dengan dia. Dia pun boleh tahan.”

Umpan Andrey pasang. Sengaja menduga.

“Andrey, Andrey… Cikgu Fizi tu kan… Hmm… well, memanglah kami rapat kat sekolah. Bukan ke Kelab Sains dan Matematik tu bawah tanggungjawab kami? Awak tak tahu ke?”
“Tak.”
“Itulah dia, nampak sangat tak ambil tahu pasal sekolah. Kenal cikgu Emily?”
“Cikgu Emily? Tak kenal. Kenapa dengan dia?”
“Hmm… Nanti cari lah yang mana satu. Cikgu Emily pun team kami, lagi rapat dengan cikgu Fizi. Tak perasan pulak awak? Hai, awak ni… Takkan kenal cikgu Rina je?”

“Nampak cikgu Sophia je, mana nampak orang lain.” Andrey menghantar isyarat. Lengannya lantas dicubit spontan. “Tak ada orang cari cikgu ke keluar lama-lama macam ni?”

Joran dilontar. Menduga rasa.

“Tak.”
“Mustahil…”

“Kalau ada pun, orang tu dah pergi jauh tinggalkan saya.” Suara Sophia rendah. Garis-garis pilu timbul di wajah. “Panjang cerita...”

“Tak perlu pendekkan.”
“Saya pernah bertunang. Dah putus pun.”

Perkataan tunang betul-betul menampar perasaan. Mujur perkataan putus muncul, meredakan sakit hempasan realiti. Hati Andrey berdenyut antara tak sabar dan bimbang—tak sabar nak dengar kisah sebenar, bimbang jika kisah itu akan mengoyakkan harapan sendiri.

“Benda tu tak penting pun bagi saya.”

Andrey keliru, tapi dalam kekeliruan tu, dia sempat mengerling jam di tangan. Pukul 10:15 malam.

“Tak tahu cikgu dah bertunang rupanya. Ingat dah kahwin.” Dia selitkan gurauan di hujung nada kecewa yang ditahan. Suara muram Sophia memilukan hatinya, namun dalam masa yang sama, dia gembira bila mengetahui hati Sophia kini kosong. Mungkin inilah peluang untuk dia mengisi kekosongan itu.

“Eloklah pun putus dari kahwin. Buat sakit hati je. Saya bukan untuk dia.”

Kening Andrey hampir bercantum. Pelik mendengar kata-kata itu. Namun, dia memilih untuk mengikut arus.

“Bila putus? Berapa lama cikgu bertunang?”

“Bertunang sejak tamat sekolah menengah.” Cikgu Sophia ketawa kecil, seakan menyindir peristiwa itu. “Putus… Entahlah, tak kira pun. Kalau ikut apa yang dah dirancang keluarga, sepatutnya dah lama kahwin. Saya tak sedia dan tak pernah sedia pun. Syukurlah tak jadi. Sekarang saya bebas.”

Aik, lain benar bunyi. Bukankah biasanya orang putus tunang akan bersedih, patah hati, kecewa? Marah sangat agaknya dia…

“Kalau cikgu nak kongsi, saya sedia dengar.”

Ruang dibuka agar Sophia berasa selesa.

“The wave ebbs and flows, that’s life. But my life…” Sophia mengeluh panjang. Berhenti seketika, memandang wajah di sebelahnya. “Benda tu tak wujud langsung pun tak apa. Lagi bagus.”

Andrey keliru. Tak tahu apa nak kata selain menunggu Sophia melontarkan kesedihan.

“It surely takes time to heal the pain. Sakit yang saya tanggung sebenarnya lebih dahsyat daripada tu.

Andrey nampak pilu di mata Sophia.

Lelaki bodoh mana yang sanggup lukakan hati seorang wanita seindah ini?

“Saya benar-benar percaya yang saya dah jumpa orang paling sesuai untuk dijadikan teman hidup. Kepercayaan tu saya jaga. Yakin bahawa takdir telah menemukan saya satu tempat terbaik untuk merumahkan hati. Saya pernah rasa bahagia sangat. Who would have thought fate could be so merciless? It was truly devastating to come to that realisation.

Luahan hati Sophia menyedarkan Andrey betapa mentahnya dia dalam soal cinta. Patah hati, kecewa, ditipu, dikhianati, dicurangi. Itu semua selalu dia dengar dan baca. Kisah-kisah seperti itu juga selalu dipertontonkan dalam filem dan drama. Ada yang bahagia, ada bergaduh, ada yang cukup sempurna tanpa cacat cela. Ada yang tak cukup serba-serbi.

Orang kata cinta itu indah. Cinta itu kejam. Cinta itu tak kenal siapa, apa, di mana, bagaimana, bila, mengapa. Cinta tak peduli semua tu. Cinta hanya tahu jatuh di mana dia ingin jatuh.

Jadi dia membiarkan cikgu Sophia terus berbicara tentang cinta.

“Cinta sejati datang sekali je dalam hidup. Awak percaya?”
“Hmm… saya tak tahu, cikgu. Mungkin…”

Sophia senyum tapi tawar. Matanya sayu merenung wajah Andrey. Ada rasa kasih. Ada rindu yang merintih. Dia juga sebenarnya terbelah—antara kenangan dan harapan.

“Saya tak pernah alami semua tu.” Andrey menambah, sebagai isyarat bahawa hatinya sedang menanti untuk diisi. “Tapi kalau ada, saya akan jadikan yang pertama—selamanya.”

Hati jujur Andrey memberi jawapan—satu jawapan yang mengingatkan Sophia kepada Rina. Ayat itu pernah Rina lontarkan suatu ketika dulu.

Andrey nampak genang di mata Sophia. Perlahan-lahan genang itu berlinang jatuh ke pipi. Dan sepantas linangan air mata itu juga, Sophia membenamkan mukanya ke bahu Andrey. Dalam gementar, Andrey berani menyentuh tangannya. Biarlah dia menangis. Air mata itu bukti kesedihan hati dan juga ubat yang meringankan beban derita yang dia tanggung.

Sehelai sapu tangan Andrey keluarkan dari kocek belakang jeans. Dengan hati-hati, dia menyentuh wajah Sophia sebelum mengesat pipi yang dibasahi air mata.

“It hurts me to see you sad.”
“I’m sorry for needing you like this.”
“Saya mungkin tak faham hal macam ni tapi saya faham perasaan cikgu.”
“It’s killing me.”

Love doesn’t come easily every day.” Andrey cuba membina kata-kata yang dapat menenangkan hati Sophia. “Only true appreciation can make it last forever.

Jari-jari Andrey mengusap pipi Sophia. “There’s a special someone out there, waiting for the right moment to enter your life.

Sesuaikah ucapan itu? Dia tak tahu. Tapi dia tahu dialah yang menunggu.

Sophia menutup mata, menahan pedih, sedih dan rindu. Tangan Andrey yang menekup pipinya melayangkan dia di atas pelangi kenangan. Dia memegang tangan Andrey dengan lembut dan membawanya dalam genggaman. Dia ingin mencium tangan itu, tetapi semuanya terhenti bila telefon bimbit Andrey berbunyi.

Andrey terdiam.

Sophia terus memandangnya. “Someone calling?”

Andrey menggeleng.

Dia mengeluarkan PDA dari poket lalu membuka paparan kecil itu, kemudian tersenyum apabila melihat peringatan yang sudah dimasukkannya lebih awal.

11:30 PM — GO HOME

Sophia cuba menjenguk. “What’s that?”

“My reminder.”

“Reminder?” Sophia ketawa.

Andrey memasukkan semula stylus ke tempatnya. “I need to go home.”

“You have a curfew?”

Andrey menggeleng. “Saya janji dengan abah. Dia suruh balik sebelum pukul dua belas.”

Dia terpaksa menipu. Nama, bukan waktu.

Sophia memandang jam tangannya sendiri.

It’s already 11:30.”
“Okay. Cinderella.”

Andrey ketawa. “Cikgu Rina dah cakap macam tu.”

Of course she did.” Sophia tersenyum.

Mereka bangun dari meja.

Sebelum meninggalkan warung, Andrey memandang Ara Beringin. Colok dah padam. Namun, harum Ara Beringin melekat di ingatannya, sepertimana pokok tua itu dah melihat terlalu banyak manusia datang dan pergi membawa cerita masing-masing. Dan Andrey tahu dia akan kembali. Kembali ke pokok itu lagi, sejauh mana pun dunia membawa dia pergi.

Malam bersama Sophia berakhir ketika dia menurunkan Andrey di depan rumah, tepat jam 11:40 malam.

Sukar untuk melepaskan Sophia pergi, namun lebih sukar membiarkan cikgu Rina menanti.

“Terima kasih untuk malam yang indah.”
“Terima kasih untuk cikgu jugak.”

Mereka bertatapan.

“Awak nak tak keluar dengan saya lagi lain kali?”

“Boleh je… why not?” Andrey nampak senyuman di mata Sophia.

Salam dihulur dan kesempatan itu Andrey gunakan untuk mencium tangan cikgunya. Sebelum mengucapkan selamat malam, Sophia menghadiahkan dia satu ciuman di pipi.

Sekali lagi jantung Andrey terasa macam nak pecah. Kalau tak tahu malu, memang dia nak terbangkan cikgu Sophia ke bilik, terus ke syurga.

Ye ke? Bukan pasal ada singa tengah menunggu yang buat kau menggelabah nak cepat balik? Abah konon…

Otak dan hati menyindir.

Cakaplah apa korang suka. Aku tahu apa aku buat.

Andrey turun dari kereta. Sebelum melangkah masuk ke rumah, dia mengeluarkan telefon bimbitnya sekali lagi.

11:40.

Dia membuka aplikasi mesej. Nama Rina muncul di skrin. Jarinya menaip ringkas. Pantas.

Saya dah balik, cikgu.

Mesej dihantar.

Dan telefon bimbit Rina yang bisu akhirnya bersuara.

Rina tersenyum. Dia baca mesej itu dua kali. Dan sekali lagi. Mesej itu pendek. Sangat biasa, tapi cukup untuk mengembalikan ketenangan ke seluruh malamnya.

“Thank God…”

Rina menggosok muka dan saat itu, dia akhirnya berani mengakui satu kebenaran—bukan kepada Sophia, jauh sekali kepada Andrey.

Kebenaran kepada dirinya sendiri.

Dia sebenarnya tidak pernah takut kalau Andrey lambat pulang. Dia takut jikalau malam itu menjadi malam yang terlalu indah buat Andrey. Dan dia paling takut jika suatu hari nanti, mesej pendek yang selalu dia tunggu-tunggu itu… bukan lagi untuknya.

Rina segera menggelengkan kepala, mengusir jauh-jauh fikiran itu.

Dia membaca lagi pesanan ringkas itu. Tak ada cerita. Tak ada penjelasan. Tak ada apa-apa yang perlu dijawab. Namun, jarinya masih menyentuh keypad.

Dia mula menaip —Okay.
Berhenti. Padam. Taip lagi — Good. Sleep early.

Padam lagi. Akhirnya telefon diletakkan tanpa sebarang balasan.

Dia hanya duduk tersenyum kecil seorang diri. Tidak lama kemudian, bunyi enjin kereta kedengaran dari luar. Rina mengangkat muka.

Lampu kereta menyapu halaman sebelum sebuah kereta berhenti di hadapan rumah.

Sophia.

11:50.

“Aik, tak tidur lagi ni?” tegur Sophia sebaik saja dia masuk.

“Siapkan kerja.”

Sophia meletakkan beg tangan di atas meja. Kemudian dia duduk di atas sofa bertentangan dengan Rina. Senyum. “Esok kan cuti…”

“Aku tunggu kau.”

“Kau tunggu aku…” sengaja kata-kata itu dihentikan di situ. Keningnya terjongket sebelah. “…ke kau tunggu dia?”

Inner Voice:
Mungkin ruang yang sering kita abaikan adalah ruang untuk seseorang hadir tanpa perlu menjadi apa-apa. Dan mungkin, dalam ruang yang kita sangka kosong itulah, sesuatu mula tumbuh perlahan-lahan.

Sebuah rasa.
Sebuah harapan.
Atau mungkin… sebuah peluang.
Kita cuma belum tahu apa namanya.

Not every reader is chosen to share:

The Endless Resonance

Struggling with something? Let Us Know
Comments

Comments [0]