Matahari Tengah Malam

Ray FL

http://www.introversi.com/2014/05/matahari-tengah-malam.html

Ceritakan
.
Ceritakan sampai bergema lembah ini. Biar jadi megah, gagah, bangga. Lepaskan semua kebanggaan di dada, dalam satu nafas. Siapa yang akan menghalang? Teruskan.

Dulu lembah ini tempat kau bermain, yang pernah satu ketika engkau benci bila kau pertama kali datang dari satu daerah lain. Tak selesa saat kali pertama cuba mengawal kebebasan minda yang tak pernah tertakluk. Yang dah terbiasa dengan sunyi yang tersembunyi dalam bising.

Hari-hari berlari berkejaran antara esok dan semalam, lembah ini sebati, dengan setiap hembus angin yang meneroka dalam setiap liang roma, kuatlah hati di sini. Takut? Tak pernah. Keliru? Jarang sekali. Keraguan? Itu akan hanya mematahkan kaki. Jadi untuk apa?

Berjalan dalam salji, berkaki ayam, tak pernah pun beku, malah berjalan dengan sepasang kasut mahal di atas rumput yang cantik, masih ada lagi duri yang terpijak, mungkin paku. Sakit. Sakitnya sejuk, samakah dengan kesakitan yang berdarah? Atau apakah kesakitan yang tak terlihat itu lebih menyakitkan?

Dia merenung aku, macam selalu. Katanya esok dia akan belikan aku sepasang sut baru, jadi aku bertanya,
"kau mahu yang putih?" Dia mengangguk, kemas senyumannya yang selalu yakin. Sememangnya aku dah bersedia dengan satu hadiah kekal untuk dia. Dia menolak rambut ke belakang, yang ditiup angin, cahaya pun semakin menyerlah dan setiap kali ia terserlah, alam menjadi begitu indah, memantul rasa yang sama dalam tubuhku. Lalu dengan tulus kuucapkan terima kasih kepadanya berserta satu ciuman di bibir. 
“Aku sayang kau,” bibir yang kucium itu melafaz rasa. Kekal tersimpan di sini, dalam dada ini. 

Lalu diceritakanlah. Cerita dengan penuh rasa bangga. Kita dengarkan kembali setiap gema. Di sini, di lembah ini, di bawah sinar matahari tengah malam.


Tags

#buttons=(Accept!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!