Railway Hostel
![]() |
Mereka cuma menunggu untuk dibawa |
Kabus menjadi kabut, menyelimuti apa saja yang ada di sekelilingnya, sedikit demi sedikit, hingga segenap ruang kosong di antara tanah dan langit kehilangan sempadan.
Angin tak berbisik. Cengkerik tak menyanyi. Pungguk tak merayu bulan. Dan bulan entah di mana bersembunyi. Hanya kabut terus bergerak dan gerakannya mengubah pemandangan malam.
Di satu titik di atas tanah, kabut itu berkumpul… menebal, berpusing perlahan, kemudian melebar seperti air yang sedang berpusar, menjadi lekuk untuk diisi. Garis-garis lurus muncul dari permukaannya satu per satu dan menjadi papan-papan kasar terbentang usang dan rapuh.
Papan menjadi lantai. Dan lantai mula memanjang ke dalam kabut, membentuk sebuah platform yang hujungnya tak terlihatkan.
Kabut terus bergerak ke atas. Bersamanya, tiang-tiang kayu naik, kemudian genting-genting tua tumbuh seperti sisik pada tubuh seekor raksasa. Warna asalnya mungkin pernah kelabu, tapi lumut hijau yang bergaul dengan tompokan tahi burung telah menukar warnanya.
Kabut turun perlahan, memunculkan sebuah bangku berkarat dan hampir reput, duduk di bawah papan tanda di atas platform. Papan tanda itu masih tergantung elok pada dua batang tiang besi. Huruf-huruf hitam muncul satu demi satu saat kabut melintas dan pergi hingga menampakkan tulisan yang memudar, bercampur antara huruf dan angka.
Tiada tangan membinanya. Entah bila ia dibuka. Yang pasti, ia ada.
Di platform seberang sana, ada deretan gerabak berdiri kaku. Hitam macam malam. Sekali-sekala, kabut menghilangkan gerabak-gerabak itu dari pandangan. Dan suara-suara muncul dari dalam, menghalau kabut, seolah-olah ada yang menghuni dan penghuninya tak berbadan.
Siulan wisel nyaring dan panjang berbunyi. Suara-suara tanpa mulut memecah ruang di platform sebelah sini.
Ratapan ibu. Pesanan bapak.
Dan derap tapak kasut tak berbunga...
Jam bulat yang bergantung di tiang berdetik tanpa penat. Jarumnya menunjukkan dua belas minit selepas tengah malam.
Tik.
Tik.
Keroncong Keretapi Malam beralun sayup-sayup dari corong gramofon di satu sudut warung kopi, menjadi latar bagi suara-suara yang telah menenggelamkan liriknya. Hanya melodi yang tertinggal mengisi dada stesen yang dingin.
Di atas meja kayu warung, cawan-cawan lama tersusun rapi. Entah diisi kopi, entahkan teh. Entah berapa lama sejuk namun, ada wap naik seolah ditarik oleh graviti langit
Sebuah kerusi goyang di belakang kaunter kayu, berbuai sendiri.
Kreeek…
Kedengaran satu suara memanggil satu nama. Sekali. Kemudian sekali lagi. Nama itu bergema di bawah bumbung stesen tanpa disahut.
Kerusi goyang berhenti.
Jarum tumpul gramafon masih mencakar piring hitam. Dan apabila melodi Keroncong Keretapi Malam sampai ke bahagian akhir, wisel kereta api berbunyi lagi.
Sayup. Jauh dan mendekat, kemudian menjauh semula. Seperti ada sesuatu yang menolak dan menarik dari perut bumi.
Kali ini lebih dekat. Lebih kuat.
Cahaya lampu lokomotif membelah kelam. Asap kelabu keluar dari cerobongnya, bersatu dengan kabut.
Platform menjadi terang. Bunyi roda besi bergesel dengan landasan semakin perlahan. Bayang panjang mula kelihatan. Kemudian satu lagi. Gerabak-gerabak hitam legam bersusun entah di mana hujungnya. Tingkapnya gelap. Tiada cahaya dari dalam.
Roda besi berputar dan berhenti.
Krek... krek... krek...
Jarum jam tetap di situ. Masih dua belas minit selepas tengah malam. Mungkin waktu tak bergerak atau malam yang tak digerakkan waktu.
Suara-suara muncul kembali. Dari arah bangku. Warung. Hujung. Tengah. Tepi. Riuh tanpa kata dan bising tanpa bahasa.
Ada pelukan dilepaskan.
Ada yang naik menjinjing bagasi.
Kotak. Anak.
Dan ada yang naik tanpa membawa apa-apa kerana…
tak ada apa-apa yang ingin dibawa.

Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!