Bab 13.1: Keliru
![]() |
Perasaan yang jujur tak pernah tak betul. |
Tekaannya tepat — kereta biru yang dipandu Arni ada di tempat parkir. Dia yang memang tak berniat untuk turun hanya memerhati dari jauh. Kemesraan jelas terpancar dari senyum ketawa dan bahasa tubuh kedua mereka.
Fikiran Rina sangat terganggu. Kacau. Cemburu. Sedih. Kecewa. Kereta lantas di pecut laju.
Apa dah jadi kat aku? Jatuh cinta atau cinta dah buat aku jatuh?
Dia menghempaskan badan di sofa, merenung kipas siling yang berputar lemah, selemah hatinya yang sedang dikecewakan seseorang yang bukan miliknya.
Terimbas kenangan malam itu. Perbualan. Kata-kata. Pandangan mata. Tarian. Pelukan dan sudah pasti ciuman kedua.
Kenapalah aku biarkan?
Dia pejamkan mata, cuba menenangkan dada yang berombak. Tapi ingatan — licik dan kejam — membawa dia semula ke malam itu…
“Kalau boleh saya tak nak balik.” Suara Andrey seakan merayu dia untuk menghentikan waktu.
Berehat di sebuah bukit selepas makan malam, masa berlalu seperti butiran pasir di celahan jari. Sejam terasa seperti seminit, minit seperti saat. Detik-detik yang pendek mengalirkan kemesraan, dipanjangkan oleh tawa yang dikongsi, rahsia yang dibisikkan, dan kedamaian yang menyerap jauh dalam hati.
“Kita simpan untuk malam-malam akan datang.” Balas Rina sewaktu kereta diberhentikan di hadapan pagar rumah Andrey. Ikutkan hati, dia juga tak mahu malam itu berakhir. Dia mahu mereka terus duduk menatap langit dan bintang-bintang di atas bukit sementara menanti matahari terbit.
“How do you know there'll be nights to follow?”
“I don’t know…. I just …. I want.” Balas Rina. Dia ingin Andrey mengerti bahawa masa bukan sesuatu untuk diukur tapi untuk diciptakan.
“I feel wonderful.”
Mata bertantang mata. Entah bagaimana tangan mula saling bertaut. Perlahan tautan menjadi genggaman. Pipi mula menyentuh pipi dan akhirnya bibir saling mendakap.
Tak seperti yang terjadi pertama kali, malam itu hangat. Malam itu mendebarkan. Dan malam itu, dia akui, dia dah jatuh cinta.
“Andrey…” Tak sedar nama itu meniti bibirnya.
Antara kau dan dia, ada batas. Jangan lupa tu, Rina. — Logik minta perhatian.
Kalau memang telah dijanjikan, yang di atas akan turun. Yang tenggelam akan timbul. Tunggu dia habiskan A’Level. — Intuisi menghulur harapan.
Kenapa dengan aku? Kenapa hati mesti memilih dia? — Dia keliru.
Makin dipandang, makin sayang.
Makin lama mendengar, makin dia hanyut.
Susah dia nak lawan kenyataan.
Rina cukup sedar akan kemungkinan akibat dan kesan. Terselit di tengah-tengahnya adalah perasaan yang tak dapat lagi diabaikan malah semakin subur.
Aku ni tak sesuai. Tua. Bukan setahun dua. Lapan tahun. Ramai lagi perempuan, gadis-gadis sebaya… Muda. Tak mungkin dia pilih aku.
Tersepit antara logik dan rasa, akhirnya Rina memutuskan bahawa masa adalah penentu terbaik. Perasaan… macam air — kalau ditahan, ia akan mencari celah untuk mengalir juga dan sungai tak mungkin mahu menjadi kolam.
Perasaan yang jujur tak pernah tak betul.
Dia akur pada kejujuran hati — mahu bertemu minda dengan Andrey, setaraf, bukan sebagai guru yang berkuasa tetapi sebagai dua jiwa yang saling melengkap.
Benih perlukan masa untuk bercambah. Mana pun kau campak, kalau tanahnya subur, benih yang baik pasti akan jadi pokok.
Seketika, terimbas kenangan sewaktu di universiti dahulu. Wajah Kim dan Hans terbayang di mata. Bersilih ganti dengan wajah Sophia.
Sophia.
Baru dia sedar, lepas sama-sama makan di sekolah tadi, dia tak nampak langsung bayang Sophia. Di bilik guru pun tak ada. Biasanya kawannya itu akan menyudahkan laporan sebelum balik. Kalau tak berjumpa di bilik guru, pasti dia akan tinggalkan pesanan atas meja.
Tapi hari ini, tiada pesanan menunggu.
Bingkas beg tangan dicapai dan digalinya. Telefon bimbit dibawa keluar. Tiada pesanan, tiada panggilan yang terlepas. Lantas nombor telefon Sophia didail. Berdering, tapi tak ada jawapan. Dia mencuba lagi — hampa.
Rina merasa bimbang. Tanpa berlengah, dia memandu terus ke kediaman Sophia.
“Tolonglah, jangan buat yang bukan-bukan, Phia…” Tak henti Rina berdoa di sepanjang perjalanan, menyesali diri yang dilalaikan perasaan.
Tak sampai lima belas minit, dia sudah pun meletakkan kereta di sebelah kereta Sophia — menandakan sahabatnya itu ada di rumah. Tapi hatinya tetap berdebar. Turun dari kereta, terus dia berlari ke pintu lif. Beberapa orang turun di tingkat 3 dan 4. Perjalanan ke tingkat 7 terasa begitu lama dan akhirnya lif terbuka.
Kini dia berdiri di depan apartmen 711. Grill tak berkunci. Dia yang memang menyimpan kunci pendua terus membuka pintu apartmen.
“Phia…”
Tiada sahutan. Pintu ditutup. Sunyi menelan ruang tamu. Segera Rina melangkah ke bilik.
Terkaku di ambang pintu, nafasnya sesak apabila melihat Sophia terbaring di lantai dengan tangan menggeletar, menggenggam sebiji botol. Tubuhnya tak bergerak, hanya nafas perlahan dan suaranya yang berbisik — seperti jiwa merayu untuk dilepaskan.
“Aku tak nak hidup lagi...”
Bilik itu terasa berat, seperti udara turut menebal dengan kesedihan. Mata Sophia kelihatan kosong, merah. Wajahnya pucat seakan-akan kesedihan telah menghirup darahnya.
Rina tahu, beban yang dipikul Sophia terlalu berat. Penderitaan itu ibarat sebilah pisau yang tertancap di tangkai jantung — tajam, menghiris perlahan dan melapah kejam jiwanya.
Dengan jantung berdebar ketakutan, Rina menghampiri. Tangisan membakar matanya sendiri. Dia tak tahu apa yang harus dikatakan. Tak tahu bagaimana untuk menarik Sophia dari jurang keputusasaan. Apa yang dia tahu, dia tidak boleh kehilangan Sophia — bukan sekarang, tidak sekali-kali.
Rina duduk bersila di sisi Sophia, menawarkan kehadiran, kasih sayang, dan rayuan bisu agar Sophia bertahan sedikit lagi.
“Oh my God…” Rina mengangkat tubuh yang longlai itu. Kepala Sophia dipangku. Dahi diusap. Airmata diseka. Masih panas.
“I won't…”
Bilik itu terasa sempit, ditelan kesakitan yang keras menindas. Dinding pun turut menahan nafas. Sophia tidak bergerak, pandangannya terkunci pada botol pil, seolah-olah botol itu dapat menawarkan tempat perlindungan dan menamatkan penantian.
Rina dapat merasakan kepedihan itu — betapa Sophia telah cuba menahannya selama berjam-jam, berhari-hari. Berbulan-bulan. Bertahun-tahun.
“Kau tak kena hadap semua ni sorang diri. Kau ada aku. Dengar tak, Phia? Kau ada aku.”
Mata mereka bersatu. Dalam pandangan berkaca, renungan itu mengembara begitu jauh.
“I dont know…” Sophia terketar, suaranya pecah, menahan perit ditekak.
Rina meramas tangannya lebih erat, menahan air mata sendiri, terdesak untuk mencari kata-kata yang tepat.“You are not alone,” bisiknya. Dalam lembut suara, dia menegaskan, “kau ada aku. Aku kat sini, tak akan pergi. Kita hadap semua ni sama-sama.”
Sophia mendongak, menatap mata seorang teman setia. Botol di tangan terlepas. Gemetar seluruh tubuhnya, menyaksikan botol itu berguling jatuh ke lantai sebagaimana dia jatuh ke dalam pelukan tulus, bersama esak tangis yang tak dapat dikawal lagi.
Tubuh Sophia didakap seerat-eratnya. Dia tak boleh biarkan Sophia hancur sendirian.
“Aku sakit, Rina… Aku sakit sangat.”
“Shhh… Shhh…” Rina mati akal — tak tahu apa yang harus dia lakukan untuk memulihkan semangat sahabatnya itu.
Rina mencapai botol yang kaku di lantai. Kosong.
“Kau ambil semua?”
Sophia menggeleng lemah.
“Kau habiskan semua?”
Mata Sophia terpejam. Airmatanya menitis di jari Rina.
Dalam esak itu, Rina rasa sesuatu terputus dalam dirinya sendiri. Dia tak ada semua jawapan. Tapi dia ada satu perkara paling penting: kehadiran.
Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!