Join The Journey

Sisa-sisa makanan dikumpulkan ke dalam sebuah bekas— nasi dan daging yang tersisa daripada pinggan-pinggan pelanggan. Hans sering melakukan itu untuk diberikan kepada anjing-anjing jalanan yang dah cukup mengenali dirinya. Anjing-anjing itu malah seakan tahu bila Hans akan melintasi kawasan mereka. Dan bila mereka menghidu bau Hans, atau mendengar derap tapak kaki, semua anjing-anjing berkejar gembira ke arahnya.

Hal yang sama Hans lakukan kepada kucing-kucing jalanan. Dengan berhati-hati dia akan memilih sisa makanan kerana bimbang jika tulang-tulang ikan yang halus akan mencederakan haiwan-haiwan tersebut. Bila ada duit lebih, Hans akan membeli makanan kering dan makanan kering itu selalu dia simpan dalam beg dan dibawa ke mana-mana. Setiap kali bertemu kucing atau anjing yang lapar, dia akan menghulurkan makanan kering itu kepada mereka. Melakukan semua itu membuat hati Hans lapang dan penuh, memberi kepuasan yang tak terkatakan. Kalaulah dia ada lebih, dah pasti dia akan melakukan lebih lagi.

Di belakang rumahnya— sebuah rumah separuh kayu, separuh papan, ada sekangkang kera tanah. Di situ Hans bina reban ayam dan itik yang dijaga oleh seekor anjing peliharaannya, Cookie. Anjing itu ditemui sejak kecil lagi. Ibunya mati dilanggar kereta dan dua ekor adiknya diambil oleh jiran berdekatan. Cookie kini menjaga kebun kecil itu dan bukan itu saja, dia turut menjaga ayam itik peliharaan Hans juga berkawan baik dengan beberapa ekor kucing kesayangan Hans. Dikelilingi kemewahan itu— kucing, anjing, itik, ayam dan kebun sayur kecil, Hans berasa syukur dan bahagia— hidupnya lengkap.

Jika keadaan mendesak, dia boleh mengutip telur ayam di reban dan memetik sayur di kebun— cili, bendi, terung dan macam-macam lagi sayur dan ulam kampung yang mudah tumbuh seperti kacang botol, kangkung dan bayam. Walaupun berpasir, tapi Hans bijak dalam mengendalikan kebun kecilnya. Dia membuat batas-batas daripada kayu terbuang kemudian diisikan dengan tanah gambut. Dengan mengayuh basikal, dia akan ke Kampung Melayu untuk mengangkut tanah gambut yang diperlukan kebunnya kerana tanah di situ lebih subur untuk bercucuk tanam. Penduduk di Kampung Melayu dah kenal benar dengan Hans, seorang anak remaja yang rajin. Bila ke sana, Hans selalu diberi buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai tanda persahabatan. Adakalanya, Hans turut membawa ikan, kerang, udang, atau apa saja rezeki dari laut buat mereka berkongsi rezeki dan bertukar-tukar selera.

Sophia teruja mendengar semua itu dan sering memujuk Hans— dia teringin sangat melihat kebun kecil yang selalu Hans ceritakan. Seumur hidupnya, tak pernah dia mengalami suasana seperti itu. Malah, jarang sekali dia melihat ayam dan itik secara dekat apalagi memegangnya.

“Rumah aku ada anjing. Bukan aku tak nak bawak kau, tapi itulah…” Kata Hans bila Sophia memujuk lagi.

“Itu je masalahnya?”

Hans mengangguk. “Kan Muslim sensitif dengan anjing?” Dia mengharapkan penjelasan. Wajahnya ditatap Sophia dengan sinar mata yang meyakinkan. “Aku tak. Aku lain. Aku suka haiwan. Dogs are adorable, aren't they?”

“Kawasan rumah aku tu, jiran-jiran kebanyakannya bela anjing tau,” terang Hans lagi sambil menepis sehelai daun kecil yang jatuh di rambut Sophia. Daun itu jatuh ke pasir dan terbang dibawa angin laut ke pantai. “Yes, they are and Cookie, like I told you, he’s truly one of a kind.”

Hans mula merasakan ikatan yang bukan sekadar persahabatan biasa. Kehadiran Sophia memberi cahaya baru dalam kehidupannya yang sebelum ini sunyi. Keakraban mereka juga membawa Sophia lebih dekat kepada keluarga Hans, sesuatu yang membuat Hans rasa bangga dan gembira dalam diam.

“Bawa aku, Hans… please…” Sophia merayu sambil merangkul manja lengan Hans.

“Betul kau tak kisah, tak takut?” Hans memandang wajah gadis manis di sebelahnya yang menggeleng sambil tersenyum. “Kau ada, kan?” Pertanyaan itu mengusik hati Hans.

“Janji satu dengan aku,” kata Hans sambil memeluk bahu Sophia.

“Anything… tell me.”

“Kalau anjing kejar, jangan lari.”

Sophia mengangkat tangan, membuat ikrar seperti pengakap, “janji.” Katanya. “Kalau ada yang kejar, aku lari kat kau aje…”

𝄞

Masa dah menyaksikan mereka membesar bersama, merentasi alam kehidupan remaja. Di bandar kecil itu, Sophia tak menyangka dia akan belajar dan menemui perkara besar. Terlalu banyak dapat diteroka. Semakin dekat dengan alam semakin tenang hatinya. Dia juga gembira, Hans tak lagi kekok seperti mula-mula dulu. Malah dia rajin mengajak Sophia melakukan aktiviti bersama-sama. Kadang-kadang disertai Lynn dan Dahlia.

Suatu hari, Hans mengajak Sophia ke sungai yang terletak berhampiran gua. Lynn pernah menunjukkan dia gua itu sewaktu mula-mula mereka berkenalan dulu tapi masih belum berkesempatan untuk ke sungai. Hans kata dia selalu memancing di situ. Sophia semakin teruja. Dah lama dia memendam hasrat untuk melihat kawasan sungai. Pelawaan Hans yang membuka peluang, tak mungkin akan dia sia-siakan.

Sebelum keluar rumah, Sophia dah menyiapkan bekal untuk perkelahan mereka— sandwich tuna dan teh. Hans juga begitu, dia membawa sebekas nasi goreng dan air tebu kegemaran Sophia.

Tikar dibentang. Bekalan disusun rapi di atas tikar. Hans mula mengeluarkan peralatan memancing. Dengan penuh sabar, Hans mengajar Sophia cara-cara untuk memasang umpan dan melontar joran ke dalam air. Sophia terpesona dengan kesabaran Hans dan apabila dia berjaya menangkap ikan kecil, gelak tawa mereka bergema di udara petang yang tenang. Mereka duduk di tepi sungai, menikmati detik-detik sederhana yang penuh makna, seperti dua jiwa yang bersatu di akhir pengembaraan.

Sementara di kedai, Marsha menghampiri pakciknya yang sedang duduk bersendirian sambil menyedut rokok daun. Kopi O dihidangkan dan dia mengambil tempat duduk di hadapan pakciknya itu. “Hans selalu cakap, dia teringin sangat bawak Sophia naik bot, memancing kat laut. Sophia tak pernah rasa semua tu.” Marsha menyampaikan hasrat yang tak berani Hans luahkan kepada bapanya. Juan mendengar dengan senyuman. Dia faham, anaknya itu sekarang sedang menjalani satu fasa mengenal hati. Jadi, dia terpanggil untuk membuat kejutan.

“Esok kau ada nak ke mana-mana?” Keesokan hari, Juan yang baru pulang dari laut terus mencari Hans di kebun kecil belakang rumah. Nafas bangga dihela melihat si anak sedang tekun menggembur tanah untuk menyemai benih limau kasturi yang baru diberi Mama Maria. Agak terkejut disapa dari arah belakang, Hans dengan gembira menyambut bapanya.

“Tak ada apa, pa. Malam, biasalah, kerja. Kenapa?”

“Dah dating hari ni?” Juan mengusik sambil mengambil tempat duduk di pangkin.

“Ah, dating apa pulak papa ni.” Tersipu malu, Hans faham benar apa yang bapanya maksudkan. Dia sememangnya sedang petang untuk bertemu Sophia di pantai seperti yang telah mereka janjikan di sekolah tadi.

“I brought your mom on the boat for our first date.”

“That’s sweet.”

Juan tersenyum mengenang kembali indahnya saat-saat bersama Emelda. “Papa ajar mama memancing.”

“Seronoknya…”

“Karang kau dating karang, ajak anak DO tu esok— kita pergi memancing tengah laut.”

“Betul ni pa?” Wajah Hans bercahaya. Dia melepaskan penyodok kecil di tangan lalu duduk di sebelah bapanya. Mindanya dengan segera memainkan senyuman Sophia yang pastinya teruja menerima pelawaan itu.

“Papa nak kau rasa apa yang pernah papa rasa dulu.”

Mata Sophia bersinar kegembiraan sewaktu Hans menyampaikan jemputan bapanya dan bagi Hans sendiri, walaupun pernah dibawa ke laut tapi ini yang paling istimewa. Perasaan hangat meresap dalam dada— pengalaman kali ini pasti saja lebih berharga kerana dikongsi dengan Sophia.

Diiringi deruan ombak yang mendesir di bawah redup sinar matahari petang, mereka berlayar ke tengah lautan. Juan mengajar Sophia cara menggunakan joran dengan betul sambil ketawa melihat usaha Sophia yang bersemangat tetapi masih canggung. Hans memandang mereka berdua dengan senyuman kecil, merasakan suasana kehangatan yang jarang dia rasai. Melihat Sophia mesra dengan bapanya membuat Hans sedar, keluarga Marcello bukan lagi sekadar milik peribadi tetapi sesuatu yang dapat dia kongsikan dengan seseorang— seorang yang membawa erti dalam hidupnya.

Langit biru berona kuning menjadikan air laut seakan-akan menimbulkan butir-butir permata dari dasarnya. Sophia seakan tidak percaya bahawa dia sedang berada di tengah-tengah laut. Kekaguman dia zahirkan bersama redup mata dan senyuman manis yang tak lekang daripada wajah. Berulang kali ucapan terima kasih dia lafazkan kepada Hans dan Juan atas peluang yang diberi.

“Kau suka?” Tanya Hans. Matanya memandang laut lepas.

Sophia mengangguk, tersenyum. “Mestilah... Tak pernah aku naik bot tengah laut macam ni, kau tau? First time. Terima kasih, ajar aku semua ni. It’s wonderful. So beautiful…

Hans tersenyum, merasakan satu getaran luar biasa dalam hatinya. “My pleasure,” jawabnya dengan suara mengalunkan nada yang tulus dan jujur. Juan tersenyum melihat mereka berdua. Kenangan Emelda menerjah ingatan. “I wish you were here,” Bisik hati kecil Juan.

Join The Journey
Comments

Comments [0]