Faith is something we explore throughout our lives.
But in the end, it's about what feels true to you.Sometimes, home
isn’t where we look for —
but a place that’s quietly
been waiting for our return.It lives in the wind
that brushes the face like a familiar hello,
in sand that remembers our steps
as if we never left.Between the sea and the wings of gulls,
I begin to believe —
maybe peace
is not a place,
but a heart
finally ready to stay.
Sophia bersandar di kerusi malas balkoni bilik tidurnya di tingkat dua. Pemandangan dari sudut itu merentang ke pantai. Langit biru diselaput awan putih selembut kapas melayang malas. Di bawahnya, jalan batu berbelok-belok di antara rumah-rumah berbumbung atap genting. Dia melepaskan pandangan ke laut yang terletak di kejauhan— luas dan indah berkilauan di bawah cahaya matahari petang. Sebuah ketenangan luar biasa menyelinap ke dalam hatinya. Apa yang terbentang depan mata kelihatan begitu santai, damai, menenangkan. Sentuhan lembut angin yang menyapa wajah memberi dia satu perasaan aneh— dia seperti pernah melalui saat-saat itu sebelumnya— sebuah keindahan yang pernah singgah dalam hidup atau mungkin dalam mimpi.
Selama bertahun-tahun menjadi warga kota dan bandar-bandar yang sibuk dan serba moden, kesempurnaan di Tanjung Bayu tak layak dijadikan tandingan. Sophia berasa selesa di tempat baru. Dia dapat merasakan itulah rumahnya yang sebenar, sebahagian daripada dirinya.
“Phia, turunlah! Kita jalan-jalan ke pantai.” Kedengaran suara ibu melaung, memanggil dari tingkat bawah.
Segera dia meraih sunhat— kegemaran terbaru yang dia pilih di pasar malam semalam. Topi yang dianyam ringkas itu mengingatkan dia tentang seorang gadis pulau yang pernah dia baca dalam sebuah buku cerita. Dia selalu berangan, dialah gadis itu— memakai topi pantai, dengan gaun ungu cair seperti warna langit senja, berkaki ayam, bebas menikmati lembut pasir dan air laut.
Sophia menyertai orang tuanya. Ibunya, Puan Kamalia Mohktar sedang menyapu pelindung matahari pada lengan dan muka. Sejurus kemudian, dia membantu anak gadisnya pula menyapukan losyen yang sama di lengan, tangan, leher, muka dan kaki.
Keluarga Encik Suffiyan Hafizi menuruni bukit melalui anak-anak tangga yang berlumut, menyusuri jalan sempit yang menghala arah pantai. Mereka melintasi kedai-kedai kecil dengan cat yang merekah. Kedai-kedai tersenut menjual pelbagai hasil laut dan tanaman kampung juga kraftangan. Penduduk tempatan yang mengusahakan perniagaan kecil tersebut tersenyum mesra sambil memberi salam— satu kelainan sebenarmya— lebih mesra daripada pandangan acuh tak acuh yang selalu mereka terima di bandar.
Encik Suffiyan melambai pada hampir setiap orang yang lalu lalang. Dia menerangkan kepada anak-anaknya bahawa itu adalah sebahagian daripada tugas— bertemu ‘orang baru’, sama seperti dia menguatkuasakan peraturan. Mengambil beberapa detik berbual mesra dengan seorang peniaga, Encik Suffiyan turut menyatakan kekagumannya terhadap bandar yang cantik dan permai itu.
Pantai terletak tak berapa jauh dari rumah baru mereka, hanya beberapa minit berjalan kaki. Ia dibingkai oleh tebing dan sebuah pelabuhan kecil. Sophia menarik nafas panjang sebaik saja kakinya menyentuh pasir, membiarkan bayu dari laut memenuhi paru-paru. Burung camar berkicauan di atas kepala, menyatukan nyanyian mereka dengan desiran ombak.
Ibunya tersenyum. “It does, doesn’t it?”
Sophia memerhati abang-abangnya yang menendang pasir, saling mencabar satu sama lain untuk berlumba lari ke arah tepi air. Dia ketawa sambil menggeleng kepala. Kamal dan Kamarul, sentiasa bersaing. Kedua-duanya selalu nak jadi lebih hebat dan terbaik. Sophia terasa bahagia apabila keluarganya dapat meluang masa, berkongsi pengalaman bersama-sama.
Dia beranjak sedikit jauh dari ibu dan bapanya, memberi peluang untuk mereka berbual, menikmati angin petang. Dengan berkaki ayam, dia menyusuri pantai, membiarkan tapak kakinya tenggelam ke dalam pasir yang sejuk dan lembap. Kulit-kulit kerang dan cengkerang yang bertaburan— berkilauan dengan warna merah jambu, ivory dan biru pucat membuat dia terpegun. Sesekali, ombak kecil menerjang kaki, menggelitik kulit dan meninggalkan potongan-potongan rumpai laut yang kusut di antara jari-jari. Dia tak dapat menahan senyum.
Sewaktu dia berlutut untuk mengutip secebis cengkerang putih, satu suara menegurnya dari arah bertentangan. “Cantik, kan? Tajam mata awak.” Suara itu datang dengan senyuman. Sophia mendongak — seorang gadis sebaya berdiri tidak jauh, berambut panjang menyentuh bahu, gaunnya ringkas, warnanya seperti laut di bawah matahari lembut.
“Terima kasih,” jawab Sophia, agak malu. Dia berdiri perlahan, menggenggam cengkerang putih di tangannya.“Kat sini awak akan jumpa banyak lagi. Saya Lynn, by the way.”
“Sophia,” jawabnya sambil menjabat tangan. Hangat dan ringan. Seperti petang itu dan Lynn kelihatan santai. Mesra. Mungkin tempat ini berbeza.
“Baru pindah sini, kan?” Lynn bertanya, cuba memesrakan perkenalan. “Saya nampak awak dan keluarga awak pindah masuk rumah DO tu.”
Sophia mengangguk, mengiyakan pertanyaan dan pernyataan Lynn. “Ya, macam tu lah kerja papa, selalu kena tukar.”
Lynn mengangguk tanda faham. “Mesti penatkan? Tapi seronok, dapat jalan-jalan, tengok tempat baru.”
“Ye,” akui Sophia, sambil memandang ke arah ombak. “Saya suka tempat ni. Lain daripada tempat dulu.”
Senyuman Lynn melebar. “Bagus! Kalau awak nak, banyak lagi saya boleh tunjuk. Bukan pantai ni aje. Ada banyak kampung-kampung lain lagi sebelah sana.”
Sophia teruja, tidak menyangka akan mendapat kawan begitu cepat. Dia menoleh ke belakang memandang keluarganya— Kamarul dan Kamal masih seronok mengejar bola sementara ibu dan bapanya berganding tangan menyusuri pantai. Kemudian dia kembali menoleh ke arah Lynn sambil mengangguk. “I’d like that,” katanya. “Jom…” Dia mengajak Lynn bertemu orang tuanya.
“Yes, he is a fisherman. We live over there.” Jawab Lynn bila Encik Suffiyan bertanyakan tentang bapanya. Jari telunjuk di arahkan ke sebuah penempatan nelayan, tak jauh dari tempat mereka berdiri.
Sophia meminta izin kedua orang tuanya untuk menyusuri pantai lebih jauh bersama Lynn.
“Elok-elok tapi jangan lama-lama sangat,” pesan Puan Kamalia.
Semasa mereka berjalan di sepanjang pantai, Lynn menunjukkan kolam air pasang surut yang tersembunyi, kampung nelayan dan juga sebuah gua kecil yang terletak di tebing. Sophia mendengar dengan penuh minat. Dia merasa seperti sedang melangkah ke dalam sebuah cerita dan Lynn sebagai pemandu ke dunia yang tenang dan indah di tepi laut.
Kedamaian yang meresap dalam hati membuat Sophia terfikir: mungkin ini bukan sekadar satu lagi perpindahan. Mungkin, Tanjung Bayu ialah pengembaraan sebenar — bukan dengan kapal atau kereta, tapi dengan hati yang akhirnya mahu tinggal.
Dia tidak pasti apa yang menanti, tapi langkahnya terasa ringan. Ada tempat yang tak pernah dia cari… tapi seolah-olah telah lama menunggu untuk dia pulang.
Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!