Dah menjadi rutin dua sahabat itu, setiap petang mereka akan beriadah di taman rekreasi kalau tidak ada aktiviti lain. Kadang-kadang bersama rakan-rakan sekelas. Biasanya dengan Dahlia dan Lynn. Adakalanya hanya mereka berdua.
Pada suatu petang selepas berlari mengeluarkan peluh Hans dan Sophia duduk di bawah sebuah pokok, berbual seperti yang sering mereka lakukan. Matahari memancarkan cahaya redup dan angin sepoi-sepoi berhembus melalui celahan dahan-dahan. Sophia menjulurkan kakinya dan tersenyum kepada Hans.
“Kau suka main tenis?” Sophia bertanya sambil melemparkan batu kecil ke udara— sekadar bermain-main.
Wajah Hans berseri-seri tapi cepat-cepat dia mengaburkan sinar keterujaan itu. “Suka jugak,”jawabnya sambil mengangguk. “Pernah sekali dua main kat gelanggang sekolah waktu pendidikan jasmani tapi tak dapat selalu sebab aku tak ada raket.”
“Oh…” Sophia kelihatan terkejut. “Kau tak ada raket?”
Hans ketawa sambil menggeleng kepala. “Raket tenis? Mimpilah… Mahal, maksud aku… ada benda lebih penting untuk didulukan,” jawabnya sambil menggosok belakang leher— malu.
Sophia merenung wajah Hans. Dahinya berkerut, membuat mata bundar itu kelihatan sepet. Kemudian dia tersengih. “Hei! Nanti kita lawan tenis, nak?”
“Nak, tapi…” Hans ragu-ragu memikirkan di mana dia boleh pinjam raket. Seolah mengerti apa bermain di fikiran kawannya itu, segera Sophia memotong, tak mengizinkan Hans membuat alasan. “Aku ada satu raket lebih, jangan risau. Kau boleh pakai.”
Mata Hans membesar, terperangkap antara gembira dan teragak-agak. “Betul ni?”
“Kenapa pulak tak betul?” balas Sophia ceria. “Kawan mesti selalu tolong kawan, kan? Lagipun, apa gunanya raket tu duduk je, tak buat apa? Kita boleh berlatih nanti.”
Terharu Hans mendengar ucapan dan tawaran Sophia itu. Lebih daripada sekadar raket, ketulusan hatinya, membuat Hans rasa dihargai. Dia tersenyum malu sambil mengangguk. “Thank you, Sophia. Really… that means a lot.”
𝄞
Semenjak hari pertama bermain tenis dengan Sophia, Hans sudah menyimpan angan-angan untuk membeli raket tenis sendiri. Dia segan bila setiap kali bermain tenis, dia terpaksa menggunakan raket Sophia. Ada rasa bimbang juga, kalaulah dengan tidak sengaja raket itu rosak ditangan dia. Jadi, pada satu hujung minggu, Hans keluar ke bandar, menjenguk-jenguk kedai sukan. Tempat itu tak berapa sibuk. Dia terpegun melihat dinding yang dibarisi peralatan sukan berkilat— daripada bola keranjang, raket tenis, raket badminton, kasut dan bermacam-macam lagi. Matanya melayang ke paparan raket tenis di sebalik kaca, masing-masing berkilauan di bawah lampu.
Jarinya menjejak kaca itu, mengagumi reka bentuk yang anggun, cengkaman yang digilap— sesuatu yang dia tahu dia tidak akan pernah miliki— sekurang-kurangnya bukan sekarang. Dia berkira-kira tabungan yang dia simpan dalam tong biskut dan disorakkan dalam almari bajunya. Hans mengeluh. Tanda harga sudah cukup untuk mengingatkannya tentang realiti itu. Tetapi tidakkah lebih baik bermimpi daripada hidup tanpa impian?
Ketika tenggelam dalam pemikiran, satu suara menyentap, membawa dia kembali ke realiti. “Hei, Hans!” Panggil Lynn sambil tersenyum mesra. Dahlia, kawannya, berdiri di sebelah.
“Oh, hai,” balas Hans, cepat-cepat mengalihkan pandangannya dari raket. “Aku, tengah tengok-tengok…”
“Pilih raket tenis ke?” Tanya Dahlia sambil tersenyum. Gadis itu sedia maklum, setiap kali mereka bermain tenis, Sophia sering meminjamkan raket kepada Hans. Dahlia menghampiri dinding kaca, berdiri di sebelah Hans, di mana tempat raket-raket tenis dipamerkan. Dia perasan cara Hans memerhatikan sebatang raket berwarna biru jenama Wilson. Dahlia tersenyum tapi Hans menggeleng, cuba menafikan apa yang Dahlia fikir. Dia malu kalau rakan-rakannya itu tau, pasti Sophia juga akan tau. “Aku cari bulu tangkis, nak main badminton dengan Marsha petang ni,” dia memberi alasan sambil menjeling ke arah raket biru yang memang menjadi idamannya.
Lynn dan Dahlia bertukar pandangan, tetapi mereka tidak menekan lagi. “Main badminton pun seronok.” Kata Lynn.“Nanti boleh main sama-sama. Ajak Sophia, kita boleh lawan bergu.” Tambahnya lagi sambil tersengih.
Hans membeli bulu tangkis dan cepat-cepat keluar. Jantungnya berdegup kencang, cuba menghilangkan rasa tertangkap. Hatinya berharap, Dahlia dan Lynn tidak akan menyebut tentang raket tenis kepada Sophia, walaupun sebahagian daripadanya ingin sekali berkongsi minat dengan mereka.
Selepas pertemuan dan perbualan singkat di kedai sukan itu, Lynn dan Dahlia ke bandar untuk membeli barang-barang keperluan projek sains mereka. Di sebuah butik berhampiran sebuah kedai buku, mereka terserempak dengan Sophia yang sedang menemani ibunya.
“Mama, boleh Phia pergi minum ABC dengan Dahlia dan Lynn?”
“Of course. Phia tunggu mama kat sana. Mama ada urusan lagi ni.”
Sepanjang perbualan mereka, sambil menikmati ABC, Dahlia dengan santai menyebut, “Kami terserempak dengan Hans kat kedai sukan tadi.”
“Beli bulu tangkis.” Lynn mencelah.
“Tapi aku tengok matanya lebih fokus kepada raket tenis.” Sambung Dahlia.
Mata Sophia bersinar, terkejut. “Raket…” Dia berfikir sejenak, pasti Hans mahu melihat-lihat harga terlebih dahulu sebelum menabung untuk mendapatkan raket idamannya. Fikiran Sophia berputar memikirkan idea.
“Korang tau kan, biasa kalau main tenis dengan dia, aku pinjamkan raket. Sebab tu agaknya dia nak beli raket sendiri.”
“Dia seganlah tu.” Kata Lynn.
“Ah Hans tu pemalu sangat. Entah apa yang dia nak malukan pun tak taulah, aku.” Dahlia memberi pandangan. “Padahal, kalau nak banding dengan kita orang berdua ni, dia tu lagi hebat, Sophia. Selalu score best student. Aku ni kalau ikutkan lagi malu, lagi segan dengan dia.”
“Mungkin rasa rendah diri dan latar belakang keluarga dia yang buat dia rasa macam tu.” Lynn yang sememangnya mengerti cuba membuka fikiran Dahlia.
“Kita ni, semuanya sama je bagi aku. Yang bezanya, mak bapak kita. Kalau bapak aku bukan jurutera, korang ingat aku macam mana? Lain?” Dahlia berhenti. ABC dihirup. “Aku tetap sama. Kaya atau miskin.”
Sophia hanya diam, mendengar dan memikirkan pendapat kedua kawannya. Mereka lebih lama mengenali Hans. Tapi kata-kata Dahlia tadi dah mencetuskan satu idea dalam fikiran Sophia.
“Ujian baru ni, dia nombor satu, kan?”
“Ha ah, macam selalu. Tak heran dah aku…” Jawab Dahlia, ketawa.
Apa yang dikatakan Dahlia, benar. Sophia nampak ketekunan Hans. Walaupun sibuk siang dan malam, dengan sekolah, menguruskan rumah dan bekerja di kedai makan Uncle Jose, dia tetap tak abaikan pelajaran. Baru-baru ini, bukan sekadar mendapat nombor satu dalam kelas, Hans juga mendahului seluruh tingkatan dua— menjadi pelajar terbaik dalam pendidikan seni, subjek yang dia gemari. Sophia mahu meraikan pencapaian Hans dengan membuat satu kejutan.
Raket tenis.
Dengan bantuan informasi daripada Dahlia, diam-diam dia mendapatkan raket yang dikagumi dan diidamkan Hans untuk dijadikan hadiah atas pencapaiannya yang cemerlang. Bukan itu saja, raket itu juga ingin dia jadikan simbol sokongan dan persahabatan mereka.
Pada hujung minggu seterusnya, Sophia mengajak Hans bertemu di taman, tempat mereka selalu beriadah. Mereka dah berjanji untuk bermain tenis. Hans dah tiba terlebih dahulu, menunggu dengan sabar.
Sophia berjalan ke arahnya, dengan kedua tangan disembunyikan di belakang badan. “Hai!” Dia menyapa.
“Hei…” Bercahaya mata Hans melihat wajah Sophia yang ceria.
“Jom..” Sophia menarik tangan Hans ke gelanggang tenis. Tiba di situ, dia mengeluarkan raket seperti biasa. “Wah, nampaknya kau beli beg raket baru.”
Membiarkan itu menjadi satu kejutan, Sophia hanya tersenyum. Hans membuka zip beg tersebut dan mendapati isinya bukan raket yang biasa dia gunakan tapi sebatang raket tenis yang serba baru berwarna biru— warna kegemaran Hans, raket yang diidam-idamkan. “Untuk kau,” kata Sophia. Matanya berkilauan.
Hans memandang Sophia, hampir tak percaya, tapi kegembiraan berbaur di wajah. Dia mengeluarkan raket itu dari beg perlahan-lahan. Terketar tangannya apabila melihat dan membelai raket yang hanya mampu dia impikan kini menjadi miliknya.
“Sophia… this is too much. Aku… aku tak tahu nak cakap apa,” bisik Hans, suaranya dikepit rasa teruja dan terharu.
Meletakkan tangan di bahu kawannya itu, Sophia berkata, “you deserve this for being a wonderful friend and for everything you've achieved. I hope this brings you as much happiness as you’ve brought me.”
Bagi Hans, raket itu lebih daripada sekadar hadiah. Ia adalah satu tanda bahawa dia dilihat, dihargai dan persahabatan sejati tidak memandang dinding kehidupan yang dibina di sekeliling mereka sebagai satu penghalang.
Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!