“Lepas sekolah nanti we all nak jalan-jalan tepi pantai. Tag along?” Loceng berbunyi menandakan waktu rehat, Dahlia menghampiri dan menyandarkan badannya di kerusi sebelah Sophia dengan senyuman lebar.
“Sure! Mesti seronok,” jawab Sophia, membayangkan hembusan angin laut dan bunyi ombak.
Dahlia tersenyum nakal. “Kami nak makan kat kedai Hans.” Senyumannya seperti hendak usik rasa ingin tahu yang Sophia sembunyikan.
“Kedai Hans?” Dahi Sophia berkerut.
“Hans kerja kat situ lepas sekolah. Kedai tu pakcik dia punya.” Terang Dahlia seakan dapat menebak hati Sophia yang sememangnya dah lama menyimpan hasrat ingin mengenali Hans lebih daripada sekadar pelajar pendiam di hujung kelas.
“Kau takut dia jual babi ke?” Dahlia dengan cepat menangkap apa yang Sophia fikirkan.
Lynn ketawa sambil menepuk perlahan bahu Dahlia. “Kau ni, Lia…” Kemudian dia menoleh kepada Sophia, “kedai Uncle Jose, jual seafood je. Ada air kelapa, ada air tebu.” Terang Lynn.
“Hans yang masak, tau. Papa dan mama selalu bawa aku makan kat kedai Uncle Jose.” Terang Dahlia.
“Hans masak?” Sophia semakin teruja. Banyak sungguh kejutan dalam diri seseorang yang begitu pendiam.
“Kau nak tau, nanti petang kita pergi.” Kata Lynn.
Seperti yang telah direncanakan dan setelah mendapat keizinan kedua orang tua, Sophia menyertai Dahlia menyusuri lorong-lorong bukit sementara Lynn menanti mereka di pantai. Matahari petang memancarkan warna perak di atas permukaan air. Aroma makanan laut yang dipanggang memenuhi udara.
Mereka tiba di sebuah kedai kecil di hujung lorong pantai — terletak di antara dua kedai yang lebih besar, tetapi tampak paling senyap, paling bersahaja. Papan tanda kayu bergoyang perlahan ditiup angin, seperti menyambut tamu dengan suara yang perlahan.
Di bawah bumbung nipah, Hans membersihkan meja dengan tekun, membelakangi pantai. Dia memakai apron hitam di atas kemeja berkotak-kotak hijau dan hitam. Lengan bajunya dilipat hingga ke siku. Seluar hitam yang memang dikhaskan untuk bekerja sudah agak lusuh.
Telinganya menangkap deru tawa dan suara. Spontan dia memalingkan kepala, menoleh ke belakang. Wajahnya tersentak, agak terkejut bila melihat Dahlia dan Lynn yang dah selalu makan di situ melangkah masuk bersama Sophia. Hans mengangguk, sebagai ucapan salam kemudian kembali mengelap meja dan menyusun kerusi.
“Hans!” Dahlia menyapa sambil melambai. “Sinilah kejap…”
Hans menghampiri meja yang dipenuhi ketiga-tiga gadis tersebut. “Hari ni Sophia nak rasa air tangan kau.” Kata Dahlia, tersenyum sambil menjeling ke arah Sophia yang memandang Hans.
“Kau kenal, Sophia, kan?” Tanya Lynn pula.
Hans mengangguk kecil — tidak menyambut dengan kata-kata, tapi dengan tubuh yang bergerak kembali ke meja, seolah mengakui kehadiran mereka tanpa rasa tergesa.
Pandangan Hans berhenti sekejap di wajah Sophia. Gadis itu menguntumkan senyuman. Untuk sesaat, riak wajah Hans kelihatan gembira, namun dia segera memalingkan pandangan dengan hanya berkata, “Hai,” sebelum berlalu.
Sophia memerhatikan langkahnya memasuki pintu dapur. Ada rasa simpati dan empati di hati. Tingkah laku Hans itu— sesuatu yang sering dia lalui. Dia teringat bagaimana perasaannya pada hari pertama setiap kali bertukar sekolah. Sophia terfikir, adakah Hans merasa seperti itu setiap hari? Kekok, janggal, malu, segan? Pasti membingungkan.
Aunty Maria menghampiri gadis-gadis itu. Dia dah cukup kenal dengan Lynn dan Dahlia tapi inilah pertama kali dia melihat Sophia. Lalu Dahlia memperkenalkan mereka berdua.
“Hmm… saya air kelapa dengan udang goreng tepung.” Kata Lynn. “Kau pulak, Phia? Lama benar tenung menu tu, macam nak ambil periksa.” Usiknya.
Sophia ketawa sambil memandang Aunty Maria. Wajah wanita itu manis dan mesra. “Mungkin wajah ibu Hans juga cantik seperti Aunty Maria,” bisik hati Sophia. “Saya nak cuba sotong goreng tepung dan udang bakar… Hmm… Minuman… saya pun nak air tebu.”
“Nanti Aunty suruh Hans masak sedap-sedap.”
Selepas menyerahkan pesanan kepada Hans, Aunty Maria menyediakan minuman untuk ketiga-tiga gadis manis itu. Petang masih awal. Waktu seperti itu memang tak ramai pelanggan, kedai pun baru saja dibuka. Uncle Jose pun belum sampai lagi. Dia ke bandar untuk membeli beberapa barang keperluan. Marsha juga belum tiba. Anak gadis pasangan itu selalunya datang lewat petang, selepas menyiapkan kerja rumah.
Dahlia, seperti dapat membaca hati dan fikiran Sophia mula berbisik, “Hans ni misteri sikit kalau kau nak tau. Dari tingkatan satu kami semua sekelas, tapi tak ada siapa yang betul-betul kenal dia.”
Sophia mengangguk tapi pandangannya tertumpu pada pintu dapur di mana Hans sibuk memasak. “Dia mesti sibuk, penat— kerja lepas sekolah,” balas Sophia— menggalakkan Dahlia untuk terus bercerita.
“Ha ah. Dengar orang cakap, dia banyak tolong ayah dan pakcik dia sebab… keluarga dia hmm— rasanya cuma dia dengan ayahnya je.”
Sophia memandang wajah kedua kawannya itu, cuba mencari jawapan.
Lynn mendekatkan sikit kedudukannya dengan mereka lalu berbisik, “Hans tak ada mak. Aunty Emelda passed away during labour.”
Perbualan terhenti bila Aunty Maria menghampiri meja mereka dengan membawa minuman. Sementara Dahlia dan Lynn menikmati minuman mereka, Sophia hanya merenung gelas. Dia tersentuh mendengar apa yang baru saja Lynn sampaikan.
“It must be tough for her…” bisik Sophia dan hanya gelas air tebu yang mendengarnya. Tapi bisikan itu cukup — untuk dirinya, dan untuk cahaya kecil yang sedang mula tumbuh dalam hati. Segera dia terlayang ke perkampungan nelayan yang pernah dia lawati— terbayangkan kehidupan penduduknya yang sederhana dan berkerja keras. Sophia tidak tahu Hans juga sebahagian daripada mereka, tetapi sekarang, dia mula faham— dorongan rasa malu menyebabkan gadis itu menarik diri daripada orang lain dan tentunya sukar mengimbang sekolah dengan kerja— pasti Hans selalu berasa rendah diri dan serba tak kena.
Hans yang berdiri di dapur, sesekali memerhati dari celahan dinding kayu. Selepas memastikan gadis-gadis itu selesai, dia kembali ke depan untuk membersihkan meja. Dengan tenang dia menunduk sambil mengumpul pinggan-pinggan kosong, tapi Sophia merasa terdorong untuk mendekati.
“Terima kasih, Hans,” katanya lembut, lalu memberi pujian ikhlas— “Pandai awak masak, sedap hidangan tadi, rasa macam makan kat rumah. Mesti awak expert, kan? Boleh jadi chef.”
Pipi Hans bertukar merah. Dia hanya berkata, “Terima kasih,” sambil memandang ke arah lain.
Itu mendorong Sophia untuk melanjutkan perbualan. “Saya rasa saya nampak awak hari tu, waktu saya ikut papa dan mama melawat jeti.”
“I see…” Balas Hans sepatah. Rasa terkejut dia sembunyikan dengan senyuman kecil. “Saya pun nampak awak…” Kata Hans, hampir berbisik. Dia teragak-agak, memandang Sophia, cuba menilai sama ada dia boleh mempercayai anak gadis Pegawai Daerah itu.
Sophia tersenyum, nada suaranya tetap lembut dan mesra. “It’s a beautiful place. I’d love to see more of it someday.”
Ekspresi Hans menjadi lebih selesa walaupun masih cuba mengelak kontak mata. Sophia nampak ada senyuman nipis di bibir Hans. “Yes, it is,” balas Hans, hampir kepada dirinya sendiri. “It’s home.”
Dahlia dan Lynn agak terkejut menyaksikan interaksi antara Hans dan Sophia. Itulah kali pertama mereka lihat Hans bercakap agak panjang dengan seseorang. Manakala Sophia pula merasa puas. Dia percaya, usahanya untuk melewati dinding yang dijaga Hans dengan penuh hati-hati, akan membuahkan hasil satu hari nanti.
Tiba masanya gadis-gadis itu untuk pulang, Sophia sempat berpaling kepada Hans. “Mungkin nanti kita jumpa lagi, berbual lagi panjang? At school, of course. Awak patut join kami sekali-sekala kalau ada masa.”
Hans mengangguk. Dia tidak membalas panjang, tetapi matanya memegang kata-kata itu lebih lama daripada bibirnya. Dan itu… sudah cukup bagi Sophia.
Walaupun raut wajahnya masih tertutup, Sophia sempat melihat kerlipan kecil di matanya — seperti sinar yang menyatakan: dia sebenarnya sedang menanti seseorang yang sudi mendekat.
Berbaring di atas katil malam itu, Sophia berfikir tentang Hans— gadis pendiam yang membesar di kampung nelayan. Dia tau, di balik sikap pemalu dan pendiam yang disifatkan dingin oleh rakan-rakan sekolah, terdapat kekuatan yang tidak pernah mereka sedari. Entah kenapa, semua itu membuat Sophia merasa lebih dekat dengan bandar kecil ini— mengetahui bahawa bukan saja di kampung nelayan, malah di dalam kelasnya sendiri, ada insan seperti Hans— penuh dengan kisah, cabaran, dan impian.
Sophia tahu, untuk benar-benar mengenali seseorang seperti Hans, dia tidak perlu berlari. Dia hanya perlu duduk — dan memerhati dalam diam.
𝄞
Semakin hari, Sophia semakin suka memerhatikan Hans, bukan hanya dalam kelas tetapi juga dalam setiap detik-detik kecil yang tak dipedulikan orang lain. Hans selalu tiba tepat saat loceng berbunyi, duduk di sudut belakang dengan buku-bukunya tersusun rapi. Selepas menjamah bekalan, dia akan menghabiskan sisa-sisa waktu rehat, sama ada membaca atau melukis.
Sophia benar-benar merasakan satu tarikan yang kuat untuk mendekati Hans. Dia terpanggil untuk menjalinkan persahabatan, tetapi setiap kali mencuba, usaha itu terasa lebih sukar daripada yang disangkakan. Bukannya Hans bersikap kasar atau menolak— dia cuma pandai menjaga jarak secara sopan, memberi interaksi singkat dan neutral. Sophia tak mahu terlalu mendesak. Dia tahu Hans memiliki dunia sendiri— sebuah dunia yang sukar ditembusi oleh orang lain.
Cikgu Siti mengumumkan projek berkumpulan sebelum cuti penggal bermula. Kelas menjadi riuh rendah. Semua orang berebut mencari pasangan. Namun Sophia tidak tergesa-gesa; dia hanya memerhatikan Hans, yang masih duduk tenang, menunduk fokus membaca buku, sengaja menunggu sehingga semua orang berpasangan.
Mengambil nafas dalam-dalam, Sophia berjalan ke arah Hans. “Hans? Nak team-up tak, for the project?”
Hans mendongak. Jari-jarinya bermain di tepi buku nota, melindungkan rasa terkejut. “Oh… erm, boleh, kalau awak nak.”
Sophia tersenyum lega. “Great! We can work on it during lunch if that’s okay with you?”
Hans mengangguk, namun suaranya hampir berbisik. “Ya, boleh.”
Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!