1. Hans
Di sinilah lagu itu hidup.
Lagu yang tak pernah ditulis,
hanya dihafal dengan hati.Didakap panas, asap menjadi suara
lagu bawang menghiris perlahan.Bukan nyanyian dari radio,
hanya denting kuali —
mengiring jiwaku menari.Aku tak memakai toque
di hotel berbintang-bintang,hanya anak laut dan kehilangan.Dapur ini pentasnya,
tempat aku mencipta cinta
dari tulang, dari garam, dari sisa.Setiap kali pinggan kuhidang
kusematkan sebahagian hatiku —
perlahan, tak bersuara,
seperti cinta
yang tak pernah minta dikenang.
Di sebelahnya, dua periuk lain — satu
dengan stok ikan, satu lagi dengan udang — menambah lapisan aroma dan
kehangatan. Putaran kipas hud mencipta latar perkusif, berpadu dengan desiran
kipas pengekstrak. Semuanya menyatu, membentuk simfoni.
Di dapur sempit itu, dia bergerak seperti
seorang maestro — senduk dan kuali menggantikan baton. Geraknya bersahaja
namun lincah, menyusun harmoni dari besi dan api.
Kuali berdenting, minyak mendesis.
Cincangan bawang putih disambut dengan desir halus. Wangi bawang merah
menyusul, disatukan bersama daging dan sayur yang dicampak masuk seperti notasi
spontan. Tangan kirinya mengacau sos, tangan kanan mengetuk tepi periuk.
Dentingan itu menjadi melodi yang hanya dia tahu nadanya.
Peluh mula membasahi dahi dan tengkuknya.
Tapi panas itu tidak terasa. Dia tenggelam dalam dunia sendiri.
Di sinilah dia meletakkan seluruh jiwanya — dalam setiap hirisan, setiap percikan minyak, setiap aroma yang terbit dari periuk.
Sesekali, dia melayangkan pandangan ke arah kaunter. Di balik kuali dan wap yang menari, kelihatan seorang gadis — Marsha, sepupunya. Dia sedang sibuk melayan pelanggan yang membuat bayaran. Wajahnya ceria, suaranya mesra, tangannya cekap mengira dengan tenang.
Di
sebelah gadis itu, berdiri Mama Maria — menyediakan minuman; wajahnya
tidak pernah lekang dengan senyuman.
Semuanya seperti satu tarian — dari dapur
ke kaunter, dari tangan ke meja. Dan dia, Hans, berada di tengah-tengahnya.
Buat seketika, dia menutup mata. Radio kecil di atas peti sejuk memutarkan lagu lama. Dia benarkan muzik itu menyatu dengan bau, bunyi dan gerak tubuhnya. Dalam ruang ini, dia tidak sekadar memasak. Dia menyerah. Bagi Hans, dapur ini bukan tempat kerja. Ia dunia. Dan dalam dunia itu, semuanya ada bernyawa. Bernafas. Ada kasih yang disimpan dalam setiap senduk nasi dan sudu kuah.
Dapur itu — separuh kayu, separuh batu.
Lantainya dari simen kasar. Perkakasnya lengkap, walaupun serba sederhana. Meja potong,
rak rempah, periuk pelbagai saiz, dan peti sejuk yang kadang-kadang bergetar
seperti perut lapar. Segala-galanya tersusun kemas dan bersih.
Hans meletakkan kuali di atas dapur. Api
menyambar garang. Cahaya jingga menyimbah bontot keluli tahan karat itu. Hans
berganjak sedikit, refleks. Tapi kemudian dia mara semula — tangannya menggenggam
tangkai kayu dengan tenang. Yakin.
Api menyala dan semangatnya turut
terbakar.
Setiap pesanan menuntut kepekaan. Irama dapur kini bukan lagi miliknya semata-mata. Ia menjadi sebuah partitur yang sentiasa berubah, digubah oleh selera setiap pelanggan. Kertas-kertas kecil disepit dengan penyepit baju pada dawai yang merentang dari kiri ke kanan meja persiapan, berbaris kemas seperti notasi muzik yang sedang menunggu saatnya diterjemahkan menjadi hidangan.
Dia berpusing dan meluncur, membayangkan
dirinya sedang menari dengan pasangan ghaib — gerakan tubuhnya ditentukan oleh
tempo pilihan yang terus mengalir dari ruang makan.
“Meja ujung. Nasi goreng udang satu. Curry Debal, satu. Nasi putih dua, telur dadar dua. Kailan ikan masin dua.”
Curry Debal¹, satu. Nasi putih dua, telur dadar dua. Kailan ikan masin dua.”
Marsha, sepupunya, muncul di belakang tabir
wap dan nyala api, dengan suara jernih dan langkah cermat. Kertas pesanan dia
kepitkan ke tali jemuran yang membelah dinding — sama seperti dia menjemur baju
pada petang hari di belakang rumah.
Hans mengambil udang harimau segar dari
bekas ais, melemparnya ke dalam kuali. Minyak yang cukup panas menyambutnya
dengan desis keras — kulit udang bertukar merah keemasan dalam beberapa detik.
Udara di dapur dipenuhi aroma — manis,
pedas, menyengat dan menggoda. Dan dalam kesibukan yang tidak pernah henti,
Hans tersenyum kecil.
Kerana bagi dia, di sinilah lagu itu hidup. Lagu yang tak pernah ditulis, tapi dihafal dengan hati.
- ¹ Curry Debal, juga dikenali sebagai Devil Curry, ialah hidangan tradisional masyarakat Kristang — dimasak dengan ayam, cuka, dan rempah ratus yang pedas serta aromatik.

Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!