Seperti biasa, Hans menjalankan tanggungjawabnya di kedai Uncle Jose. Melihat sekeliling—dapur, meja makan, pinggan, periuk dan kuali— dia terkenangkan kali pertama Sophia dibawa rakan-rakannya ke situ. Hati Hans disapa rindu tapi ada sebak bila memikirkan apakah yang sedang Sophia buat di rumahnya yang serba mewah itu? Bagaimanakah dia menjalani hari-harinya jika tidak keluar menemui dia?
Selepas kedai ditutup, Hans pulang dengan hati yang penuh. Bapanya tiada di rumah. Itu sering terjadi dan Hans tau ke mana orang tua itu biasanya menghabiskan malam-malamnya kalau tidak ke laut. Selepas membersihkan diri, Hans berbaring di katil, merenung siling bilik yang beratapkan zink. Dia tertanya-tanya, apalah yang sedang Sophia buat ketika ini? Adakah gadis itu turut merenung siling? Tentu biliknya cantik dengan katil mewah dan tilam empuk, selimut yang lembut. Tentu sekali bilik itu wangi, berbau harum seperti yang sering Hans hidu bila dia dekat dengan Sophia.
Mengingatkan keharuman Sophia, Hans tersenyum memandang meja cermin yang terletak di sebelah sebuah almari baju lama. Meja itu diperbuat daripada kayu dan kayu itu semakin memudar warnanya. Di atas meja itu berdiri sebotol minyak wangi yang dia beli di bandar beberapa minggu lepas. Minyak wangi jenama Dashing berbotol biru itu sering dia pakai bila bertemu Sophia. Dia juga mahu Sophia menghidu harum baunya, bukan bau ikan, sotong atau udang.
Walaupun masih tidak memahami perasaan yang melingkari hati remajanya, satu yang dia pasti— kehadiran Sophia telah mengubah dan menjadikan setiap detik dalam hidupnya seperti mimpi nyata. Terdetik di fikiran, barangkali inilah permulaan kepada sesuatu yang lebih indah, sesuatu yang lebih dari sekadar persahabatan.
#
Setiap kunjungan Sophia ke kedai Uncle Jose, dia disambut dengan mesra. Keakraban itu jelas kelihatan di mata sesiapa saja dan keluarga Hans sering mengalu-alukan kedatangan Sophia, melayannya dengan penuh rasa hormat.
Suatu hari, Sophia datang berkunjung selepas tamat latihan sukan di sekolah. Dia sering mengambil kesempatan di antara waktu-waktu seperti itu untuk mengelakkan daripada disoal jawab oleh mama, terutamanya Kamal. Waktu perlu diurus dan diatur dengan teliti demi, mencipta ruang dan meluangkan masa bersama Hans.
Mama Maria menghidangkan teh panas di serambi kedai, sementara Uncle Jose berkongsi kisah-kisah lautnya yang penuh warna, diiringi petikan gitar sementara menunggu pelanggan. Marsha pula selalu tersenyum, senang melihat kehadiran Sophia, seolah-olah mendapat seorang ahli baru dalam keluarga.
Teh dihirup, kisah diceritakan. Uncle Jose berhenti seketika, memberi gitar tua di tangannya kepada Hans.
“Apa kata kau mainkan Sophia satu lagu?” Cadang Uncle Jose. Dia nampak wajah Sophia— teruja dan terkejut. “Hans pandai main gitar, tak pernah ke dia cerita?” Terang dan tanya Uncle Jose sekaligus.
“Tak… Hans kau tak cakap pun kat aku…” Sophia menepuk peha Hans.
“Ah, hal tak penting. Aku bukan reti sangat, sikit-sikit bolehlah. Uncle dan papa yang ajar.”
“Phia main muzik?” Soalan Marsha disambut ketawa kecil Sophia.
“Ada. Papa dan mama hantar kelas piano masa sekolah rendah dulu.”
“Kau pun tak bagitau aku hal tu,” kini giliran Hans pula menepuk peha Sophia.
“Bukan penting pun, aku tak pandai mana…” Dia meminjam jawapan Hans tadi.
Mereka semua ketawa. Sama-sama mereka menyanyikan lagu kegemaran Hans sejak dia mengenali Sophia; Cuando Calienta El Sol dan ketika Hans memainkan gitar— sesuatu dari lantunan suara Hans yang merdu telah menggetarkan hati Sophia— sebuah perasaan yang begitu halus.
Hari-hari Sophia bersama keluarga Marcello di kampung nelayan mengabadikan kenangan indah. Hampir semua hasratnya Hans tunaikan. Ke gua, ke sungai, ke kampung nelayan di seberang, malah ke Kampung Melayu Tanjung Bayu juga telah Hans bawa. Paling menarik bagi Sophia, Hans membawanya menaiki basikal— dia membonceng di belakang basikal tua itu. Walaupun takut-takut, tapi rasa gembira mengatasi perasaan itu dan merangkul pinggang Hans telah mengusir semua ketakutannya.
Hans akhirnya bersedia menunaikan hajat Sophia untuk melawat keliling kawasan rumahnya, memperkenalkan ayam dan itik peliharaan. Sophia yang sebelum ini tidak pernah berpeluang menjalani kehidupan kampung, terasa sungguh teruja. Dia memandang ayam dan itik milik Hans dengan kekaguman, sesekali tertawa kecil mendengar cerita tentang bagaimana Hans perlu mengejar itik yang degil dan suka melarikan diri.
Juga sudah tentu Cookie yang peramah dan manja. Anjing itu mengalu-alukan kedatangan Sophia dengan menghulurkan tangan dan meletakkannya di atas tapak tangan Sophia. Dalam takut-takut, Sophia merasa selesa. Sebelum ke sana, dah dia belikan siap-siap sedikit buah tangan untuk Cookie. Sekeping biskut dia suakan. Kemudian dia mengusap kepala Cookie dengan penuh hati-hati.
“Phia, kan orang melayu tak boleh pegang anjing?” Hans mula bimbang.
“Kau percaya?”
“Itu semua orang pun tau, kan?”
Sophia ketawa. “Tapi apa sebabnya?”
Hans angkat bahu. Sophia menghampirinya, berdiri muka ke muka. Dia mendongak sedikit untuk menatap wajah Hans yang lebih tinggi berbanding dia. “Agama kau melarang, kan? Anjing kotor, itu apa yang aku dengar… Maaf, aku tak tau banyak pasal tu.”
“Itu apa yang orang ajar tapi apa yang aku percaya lain.” Sophia merasakan kesediaannya untuk berkongsi sesuatu yang sukar untuk dikongsikan dengan sesiapa pun.
“I’d like to hear your opinion on that.”
Sophia melangkah ke sebatang pokok kelo di tepi kebun. Di bawahnya ada pangkin. Mereka duduk bersila di atas pangkin itu. Hans dah siap-siap menghidangkan mereka secawan teh O. “Aku pun tak tau banyak, Hans… Tapi aku tak setuju bila agama mengatakan bahawa malaikat tak akan masuk ke rumah yang ada anjing.”
“Aku pernah dengar tu dalam kelas agama di sekolah.”
“Kelas agama?”
Hans mengangguk. “Aku pernah masuk kelas agama, saja nak dengar. Tapi tak selalu.”
“I see. Interesting.” Sophia memandang Hans yang menatap wajahnya dengan mata penuh pengertian, menanti untuk terus berkongsi pendapat. Banyak perkara yang ingin dia tanyakan, tapi belum bersedia. “Kalau malaikat tak masuk rumah sebab ada anjing, maknanya bumi ni, dunia ni pun malaikat tak boleh masuk, kan?” Sophia meminta pandangan.
“Ada logiknya. Bukan ke bumi ni penuh dengan makhluk Tuhan? Anjing, kucing, babi, harimau, ayam, kita… banyak lagi.” Hans mencurahkan idea. Dia sebenarnya ada menyimpan pendapat tentang itu. Minat membacanya banyak membantu tapi dia tau, isu seperti itu sensitif bagi orang Melayu. Hans tak mahu Sophia tersinggung, malah mungkin membenci bila ada percanggahan. Tapi ternyata, Sophia lain dan itu membuatkan Hans lebih terbuka, baik untuk bertanya, ditanya atau memberi idea.
“Atau malaikat itu tak wujud pun.” Kata Sophia perlahan.
Perbualan mereka terhenti bila Juan menjengukkan muka dari pintu dapur. “Hello young lady,” dia menegur, sedikit terhayun. Tangannya memegang sebuah kelalang tembaga. “Kiddo, I need some money.” Juan terhuyung-hayang, cuba menghampiri mereka tetapi hanya mampu berpaut di bingkai pintu.
“Pa…” Cepat-cepat Hans bangun, memaut bapanya yang hampir jatuh.
“I’m OK, kiddo. I’m Ok. You guys Ok? You do like my kiddo, aren’t you, young lady?”
Hans terasa sungguh malu. Sekilas dia memalingkan wajah ke arah Sophia yang masih duduk di atas pangkin, memerhatikan bapa Hans yang dikawal alkohol. “Tunggu sekejap.” Dia memapah bapanya masuk ke dalam rumah.
Sewaktu Hans memapah bapanya ke dalam rumah, dapat Sophia mendengar percakapan mereka. “Are you dating that girl?” Dia bertanya, acuh tak acuh. “She’s beautiful, like my Emelda.”
“Pa, please, dont humiliate me this way.” Hans membaringkan bapanya di atas sofa di ruang tamu.
“You feel ashamed of me, huh?” Juan memandang anaknya dengan mata merah.
“No, pa… but…”
“Ah… got some money? I need it tonight.” Jose menghayunkan tangannya ke udara. “Leave me alone. Take your sweet darling to the sea. Go sailing…. Go sailing, kiddo, while you can…” Dia mengulang-ulang ayat itu hingga tertidur.
Hans meletakkan bantal di bawah kepala bapanya yang berbaring di atas sofa yang koyak sana sini. Kelalang tembaga dia alih daripada tangan ke atas meja. “Sweet dream, Pa. Say hi to mum. Tell her, I miss her too.”
Sophia yang mencuri dengar hampir menitiskan airmata. Hatinya terasa sebak. Namun dia berpura-pura leka bermain dengan Cookie bila mendengar tapak kaki Hans menghampiri pintu dapur.
“Maafkan papa aku… Aku minta maaf…” Kata Hans. Dia tertunduk, tak tahu apa yang patut dia katakan. Malu, hanya itu yang dia tau.
“It’s OK… Jangan risau.” Sophia memegang tangannya.
Hans menutup rapat-rapat pintu dapur lalu mereka berjalan ke pantai. Keduanya membisu.
“Phia,” Hans mula bersuara, memecahkan kesunyian antara mereka. “Keluarga kau tak tanya ke mana kau selalu pergi, apa kau buat tiap petang?” Dia cuba mengalihkan peristiwa tadi daripada menjadi tajuk perbualan.
Sophia menggeleng. “Kadang-kadang aku cakap aku ke rumah Dahlia. Biasanya lepas kelas tambahan, aku terus ke sini, jumpa engkau.”
“Aku tak nak kau kena marah, selalu sangat keluar rumah sampai petang.”
“Tak adalah… Mama dan papa tau aku ramai kawan kat kampung ni. Dahlia selalu backup aku, Lynn tinggal dekat sini. Jangan risau.”
“Baiklah, kalau kau dah cakap macam tu.”
Pantai terus mereka susuri hingga akhirnya sampai di kaki bukit.
“Aku hantar sampai atas.” Kata Hans yang telah pun memanjat anak tangga pertama di celah-celahan rumah dan tebing. Dia menghulurkan tangannya kepada Sophia dan diremang senja itu, tangan mereka bertaut hinggalah pagar rumah Sophia meminta mereka untuk meleraikan tautan.
Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!