Join The Journey
Potret ilustratif Hans, seorang remaja berwajah lembut dengan rambut beralun dan rantai leher, dilatari rona monokrom. Imej promosi untuk bab pertama webnovel Konserto Untuk Sophia, dengan tagline: “This isn’t about strength or pride; it’s about love.”
PART ONE ~ THE SOLOIST 
Episod 1.0: Hans

Di sinilah lagu itu hidup.
Lagu yang tak pernah ditulis,
tapi dihafal dengan hati.

Dalam panas yang tak bersuara,
lagu bawang menghiris perlahan.

Bukan nyanyian dari radio,
tapi denting kuali —
tempat jiwaku menari.

Aku tak memakai toque 
di hotel berbintang-bintang,
hanya anak laut dan kehilangan.

Dapur ini pentasnya,
tempat aku mencipta cinta
dari tulang, dari garam, dari sisa.

Setiap kali pinggan kuhidang
kusematkan sebahagian hatiku —
perlahan, tak bersuara,
seperti cinta
yang tak pernah minta dikenang.

𝄞

Sudip dan senduk bertembung dengan periuk, mencipta bunyi berirama — seperti paluan gendang dalam keramaian rahsia. Pisau meluncur di atas papan pemotong, mempersembahkan tarian pantas, mengikut rentak pesanan. Sebuah periuk berisi stok tulang ayam dan mirepoix bergetar; wapnya mendesis, melengkung ke udara.

Di sebelahnya, dua periuk lain — satu dengan stok ikan, satu lagi dengan udang — menambah lapisan aroma dan kehangatan. Putaran kipas hud mencipta latar perkusif, berpadu dengan desiran kipas pengekstrak. Semuanya menyatu, membentuk simfoni dapur.

Di dapur sempit itu, dia bergerak seperti seorang maestro — tanpa baton, tapi dengan senduk dan kuali. Geraknya bersahaja namun lincah, menyusun harmoni dari besi dan api.

Kuali berdenting, minyak mendesis. Cincangan bawang putih disambut dengan desir halus. Wangi bawang merah menyusul, disatukan bersama daging dan sayur yang dicampak masuk seperti notasi spontan. Tangan kirinya mengacau sos, tangan kanan mengetuk tepi periuk. Dentingan itu menjadi melodi — hanya dia yang tahu nadanya.

Peluh mula membasahi dahi dan tengkuknya. Tapi panas itu tidak terasa. Dia tenggelam dalam irama ruang ini.

Bagi Hans, dapur bukan sekadar tempat memasak. Ia altar. Di sinilah dia meletakkan seluruh jiwanya — dalam setiap hirisan, setiap percikan minyak, setiap aroma yang terbit dari periuk.

Sesekali, dia melayangkan pandangan ke arah kaunter. Di balik kuali dan wap yang menari, kelihatan seorang gadis — Marsha, sepupunya. Dia sibuk mengambil pesanan pelanggan, cekap dan tenang. Di sebelahnya, ibu gadis itu — Mama Maria — sedang menyediakan minuman, wajahnya tidak pernah hilang senyum.

Semuanya seperti satu tarian — dari dapur ke kaunter, dari tangan ke meja. Dan dia, Hans, berada di tengah-tengahnya.

Buat seketika, dia menutup mata. Radio kecil di atas peti sejuk memutarkan lagu lama. Dia benarkan muzik itu menyatu dengan bau, bunyi, dan gerak tubuhnya. Dalam ruang ini, dia tidak sekadar memasak. Dia menyerah.

Kerana bagi Hans, dapur ini bukan tempat kerja. Ia dunia. Dan dalam dunia itu, semuanya ada irama — ada nafas, ada kasih yang disimpan dalam setiap senduk nasi dan sudu kuah.

Dapur itu — separuh kayu, separuh papan. Lantainya dari simen kasar. Alat-alatnya sederhana, tapi lengkap. Meja potong, rak rempah, periuk pelbagai saiz, dan peti sejuk yang kadang-kadang bergetar seperti perut lapar. Segala-galanya tersusun — seperti dia sendiri.

Apabila kuali diletakkan di atas dapur, api menyambar garang. Cahaya jingga menyimbah dinding keluli tahan karat. Hans berganjak sedikit, refleks. Tapi kemudian dia mara semula — tangan menggenggam tangkai kayu dengan tenang, yakin.

Api menyala, dan semangatnya turut terbakar.

Setiap pesanan menuntut kepekaan. Irama dapur kini bukan lagi miliknya semata — ia berubah menjadi partitur dari selera orang lain. Nota-nota baru datang dalam bentuk suara pelanggan dan kertas kecil yang dijepit di tali, bagai partitur yang dihulur dari langit.

Dia berpusing dan meluncur, membayangkan dirinya sedang menari dengan pasangan ghaib — gerakan tubuhnya ditentukan oleh tempo pilihan yang terus mengalir dari ruang makan.

“Meja ujung. Nasi goreng udang satu. Curry Debal, satu. Nasi putih dua, telur dadar dua. Kailan ikan masin dua.” Curry Debal¹, satu. Nasi putih dua, telur dadar dua. Kailan ikan masin dua.”

Marsha, sepupunya, muncul di belakang tabir wap dan nyala api, dengan suara jernih dan langkah cermat. Kertas pesanan dia kepitkan ke tali jemuran yang membelah dinding — sama seperti dia menjemur baju pada petang hari di belakang rumah.

Hans mengambil udang harimau segar dari bekas ais, melemparnya ke dalam kuali. Minyak yang cukup panas menyambutnya dengan desis keras — kulit udang bertukar merah keemasan dalam beberapa detik.

Udara di dapur dipenuhi aroma — manis, pedas, menyengat dan menggoda. Dan dalam kesibukan yang tidak pernah henti, Hans tersenyum kecil.

Kerana bagi dia, di sinilah lagu itu hidup. Lagu yang tak pernah ditulis, tapi dihafal dengan hati.


  • ¹ Curry Debal, juga dikenali sebagai Devil Curry, ialah hidangan tradisional masyarakat Kristang — dimasak dengan ayam, cuka, dan rempah ratus yang pedas serta aromatik.

Join The Journey
Comments

Comments [0]