Ketika mereka duduk bersama waktu rehat, Sophia perasan, Hans kelihatan tegang, tak selesa. Dia hanya menunduk, bahunya sedikit membongkok. Sophia cuba mencairkan suasana dengan berkongsi idea untuk memulakan projek, menjelaskan konsep yang difikirkan sesuai. Hans mendengar tetapi hanya memberikan respon yang pendek-pendek.
Namun, Sophia tidak patah semangat. “I noticed your drawings. They are wonderful! Maybe we can include them in this project?”
“Saya rasa, bila orang melukis dengan hati, dia tak perlukan banyak warna untuk buat sesuatu terasa hidup,” jawab Sophia sambil tersenyum. “I think they’re great. You’re gifted.”
Hans menundukkan pandangannya. “Terima kasih,” ucapnya perlahan, tetapi Sophia melihat secercah kebanggaan di wajah Hans, walaupun dia cuba menyembunyikannya.
Bagi Sophia, saat-saat kecil seperti ini adalah satu kemenangan. Setiap kali Hans memberi anggukan, malu-malu atau menerima pujian, Sophia menganggap itu satu langkah lebih dekat untuk menembus tembok yang Hans bina. Dalam masa yang sama, kadangkala dia agak kecewa bila merasakan Hans terlalu menahan diri, seperti dia belum benar-benar bersedia membuka hati.
Sukar untuk Sophia membaca apa sebenarnya yang Hans fikirkan. Mana mungkin dia tahu, sebenarnya dalam diri gadis pendiam itu, saat-saat bersama Sophia terasa seperti memasuki sebuah dunia asing. Dia tidak biasa didekati seperti itu, oleh seseorang yang benar-benar menunjukkan minat untuk mendekati, apatah lagi memuji atau tertarik pada ideanya.
Hans sedar diri— dia tau terlalu besar jurang perbezaan hidupnya jika nak dibandingkan Sophia. Dia tahu pakaian dan begnya lusuh, tangannya sering kotor dan bercalar, kesan terkena periuk dan kuali panas atau percikan minyak dan sudah semestinya bekas hirisan pisau. Waktu rehat lebih selalu dihabiskan di bawah pokok daripada di kantin kerana setiap hari dia membawa bekal untuk mengalas perut. Hans harus berjimat cermat. Upah yang diterima dia simpan dalam tabung dan sebahagian daripada wang upah dia berikan kepada bapanya untuk keperluan rumah— yang selalunya dihabiskan dengan membeli arak.
Dan sekarang, di hadapannya ada Sophia, gadis baru yang disenangi ramai, mengenakan pakaian kemas, mahal dan tinggal di kediaman rasmi yang besar, serba mewah. Kesungguhan yang Sophia tunjukkan untuk mengikat tali persahabatan mencetus campur baur tanda tanya— antara rasa ingin tahu, kekaguman dan di atas segalanya adalah rasa tidak yakin. Hans telah diajar untuk tidak mengharapkan lebih daripada apa yang dia ada. Persahabatan, baginya, adalah sebuah kemewahan yang sukar dikecapi.
Setiap kali Sophia berusaha mendekat, Hans merasa dirinya rapuh. Dia takut jika minat Sophia hanyalah sementara, atau lebih parah, andai suatu hari nanti mata Sophia terbuka untuk melihat betapa besarnya jurang perbezaan antara mereka. Hans tak pasti samada dia sanggup menghadapi kekecewaan setelah menaruh harapan dan kepercayaan.
Namun begitu, walaupun hati bergolak, sedikit demi sedikit, Hans mula menikmati kehadiran Sophia. Ada kehangatan dalam senyuman gadis itu, keikhlasan dalam kata-katanya yang membuat Hans merasa dihargai— sesuatu yang tidak pernah dia angankan. Sebahagian dalam dirinya mula percaya mungkin Sophia benar-benar mahu menjadi sahabat tapi sebahagian lagi— bahagian yang lebih besar— masih berhati-hati, takut kecewa.
𝄞
Hujung minggu tiba. Dahlia mengajak rakan-rakannya berjalan ke pantai. Dia terlebih dahulu telah menjemput Hans, tanpa pengetahuan sesiapa pun. Walaupun jarang berbicara dengan Dahlia, Hans mengejutkan anak Jurutera Daerah itu dengan menerima undangannya.
Sophia juga terkejut bila mendapati Hans menyertai mereka di pantai. Kelihatan gugup berdiri di pinggir kumpulan, Sophia berjalan mendekatinya sambil tersenyum. “Hey! Tak tau awak pun akan ada sama…” Sapanya, separuh bertanya.
Hans mengangguk, memandang ke pasir sambil berkata perlahan, “Dahlia bagitau, korang nak main bola tampar. Kebetulan, saya free hari ni.”
Sepanjang petang itu, Sophia berada di sisi Hans, bersama mengejar dan menampar bola. Ketika semua berhenti untuk membasahkan tekak, Sophia menawarkan diri untuk membelikan Hans sepotong ais krim. Mulanya Hans teragak-agak, jelas tidak biasa dengan layanan sebegitu, tetapi akhirnya menerima dengan ucapan terima kasih, perlahan seperti selalu.
Duduk di tepi pantai, Sophia memandang Hans yang sedang menikmati ais krim. Dia benar-benar ingin tahu tentang kawan barunya itu. Setelah beberapa ketika, Sophia memberanikan diri. “I understand this might not be a topic you enjoy discussing.” Sebuah perbualan yang lebih peribadi dimulakan “But it must be challenging, right? Balancing school and work can’t be easy.” Dia berhenti seketika. Matanya cuba membawa mata Hans memandang penuh ke wajahnya. “Don’t get me wrong. I'm truly impressed.”
Hans diam, matanya tertumpu di kaki langit. Tetapi setelah beberapa saat, dia bersuara tenang, hampir berbisik. “Kadang-kadang saya rasa ketinggalan— always feel like I'm on the outside, just watching from a distance.”
Hati Sophia tersentuh. “I get that. Berpindah-randah, saya pun selalu rasa camtu— like I never fully belong.”
Hans memandang Sophia, kali ini tepat ke anak matanya dan dia menahan tatapan itu agak lama. “Tapi awak Sophia…. awak bertuah. Awak ada segalanya.”
Sophia menggeleng perlahan. “Mungkin nampak camtu, tapi semua orang pun ada cabaran sendiri. Kadang-kadang saya rasa sunyi, dikawal, diatur… susah nak terangkan.”
Untuk pertama kali, Hans benar-benar melihat Sophia. Tercetus di fikiran, mungkin mereka lebih serupa daripada apa yang dia sangka. “Maaf… saya tak tau,” katanya perlahan.
Berseri-seri wajah Sophia, menghargai ikatan yang sedang mereka simpulkan. “Maybe we can help each other feel less like outsiders.” Dia melagukan sebuah harapan.
Hans tidak segera menjawab, namun Sophia seakan dapat melihat pengertian dalam tatapan mata Hans, mungkin juga penerimaan. Sebuah langkah kecil terasa seperti lompatan besar— Sophia tetap positif.
Ketika mereka semua berjalan pulang, Hans berjalan rapat dengan Sophia. Masih tidak banyak bercakap, tapi pandangan mata Sophia tidak lagi dia elakkan. Dan ketika mereka berpisah, Hans menghadiahkan Sophia senyuman kecil dan bagi Sophia, senyuman kecil yang diberikan Hans sebagai ucapan selamat malam adalah dorongan yang dia perlukan. Sophia semakin bersemangat untuk terus mendekati, langkah demi langkah. Dia ingin menunjukkan kepada Hans bahawa dirinya layak dihargai dan tidak perlu merasa sendirian.
𝄞
Laluan-laluan kecil yang mengarah ke perkampungan nelayan disusuri penuh hati-hati. Sophia semakin biasa dengan kawasan kampung nelayan tersebut, didorong rasa ingin tahu juga kerana tahu Hans tinggal di situ. Ketika melangkah memasuki kawasan pantai, Hans yang sedang memikul sebuah beg di bahu menyedari kehadiran Sophia yang sedang berjalan menuju ke arah yang sama. Mereka berbalas senyuman. Hans berhenti, menunggu gadis itu mendekatinya.
“Hai!” Sapa Sophia, senyumannya indah seperti sinar matahari yang hampir tenggelam di kaki langit.
“Hai, Sophia,” balas Hans, kelihatan gembira namun gugup. Dia membetulkan beg yang tergantung di bahunya. “Awak datang jalan-jalan, nak tengok kampung, cari cengkerang?”
“Betul, sambil-sambil ambil angin.” Dia memerhatikan Hans dari atas ke bawah. Hans memakai seluar pendek bermuda dan t-shirt kelabu. “Dari mana?”
“Saya ke kedai belakang tu tadi, ambil sayur dari kedai runcit, untuk kedai.” Jawab Hans sambil menunjukkan apa yang ada dalam beg yang digalasnya.
“Saya suka makan sayur.” Balas Sophia. Kaki mereka mula menapak ke gigi air.
“Belakang rumah saya ada kebun kecil.”
“Awak berkebun?”
Hans mengangguk. “Minat saya.” Seliparnya dibuka dan dia merendamkan kakinya ke pasir. “Saya suka lihat benih yang disemai bercambah dan putik tu tumbuh segar.”
Sophia turut membuka sandalnya dan ikut sama merendam kaki ke dalam pasir. “Tentu lain rasanya bila dapat rasa hasil tangan sendiri, kan?”
“Betul tu. Dapat berjimat lagi.” Hans memandang wajah Sophia yang dipanah matahari petang. Sophia turut memandang ke wajah Hans yang tersenyum.
“Awak rajin.”
“Saya tak ada banyak, Sophia. Itu je hiburan saya.”
“Produktif hiburan awak.” Sophia teruja dan jawapan Hans mencambahkan idea di mindanya. “Well, lalau boleh, saya nak teroka banyak lagi, apa saja yang ada kat sini. Kat bandar dulu, semuanya lain.” Sophia mengaku. “Ni kampung awak, mungkin awak boleh jadi tour guide saya?”
Dia melihat Hans memandang ke belakang dan kembali memandang wajahnya.
“Kalau begitu, first thing first… come,” ajak Hans, menuju ke arah sebuah pondok usang di tepi laut. “Ayah saya ada di sana. Mungkin dia agak… hmm, kasar, tapi dia orangnya baik. Jom…”
Mata Sophia bersinar. Mereka berjalan seiringan, tanpa sepatah bicara, hanya deru ombak dan suara-suara dari perkampungan nelayan yang menyemarakkan suasana. Ketika tiba di pondok itu, seorang lelaki tinggi berkulit sawo matang, jelas, akibat terik matahari sedang membaiki jala. Hans berdehem untuk menarik perhatiannya.
“Pa, ni Sophia.” Hans menegur bapanya. “Dia… kawan sekelas saya.”
Juan Marcello memandang Sophia sepintas lalu, kemudian mengangguk perlahan. “Jadi, inilah dia anak Pegawai Daerah baru kita?”
Sophia tersenyum dan mengangguk hormat. “Yes, sir. It’s a pleasure to meet you.” Tangan dihulurkan.
“Hmm,” Encik Juan Marcello menyambut salam Sophia sambil menggumam pendek, lebih sebagai tanda hormat dan kemudian memandang Hans dengan lembut— pandangan seorang bapa. “Well, Hans doesn’t bring friends around often. Nice to meet you, young lady.”
Pada saat itu, seorang gadis sebaya mereka muncul dari dalam pondok, rambutnya terurai ke dahi. Dia terhenti seketika, memandang antara Sophia dan Hans— teruja, agak terkejut. “Ini Marsha, sepupu saya,” dia memperkenalkan. “Dia pun sekolah sama dengan kita, cuma dia di kelas peralihan, jadi dia setahun lewat.”
Marsha memandang Sophia, ekspresinya penuh minat. “Ah, so you must be the new girl Hans has been mentioning!?”
Sophia ketawa, memberikan pandangan mesra kepada Hans. “I didn’t know I was such a topic!”
Marsha tersenyum, kilauan kegembiraan jelas di wajahnya. “Kat sini tak selalu orang baru datang. Tak ramai orang pun tahu kawasan kampung ni.” Jelas Marsha, cuba merahsiakan apa yang pernah Hans curahkan kepadanya tentang Sophia.
Sophia mengangguk, mencerna kata-kata Marsha. “Tempat ni cantik, tenang. Ada cara tersendiri. Unik.”
Tempat ini asing… tapi hatiku tak merasa asing. Aneh, bukan?
Bapa Hans meneruskan kerjanya, memasang telinga pada perbualan ketiga-tiga remaja tersebut. Sesekali dia melemparkan pandangan kepada Sophia kemudian kepada Hans— tanda persetujuan. Marsha yang masih teruja kelihatan tidak sabar ingin mengetahui lebih lanjut tentang diri Sophia. Banyak dia bertanya dan Sophia menjawab setiap soalan dengan mesra. Dia menceritakan tentang kehidupan di bandar, di kota dan juga tentang sekolahnya yang terdahulu.
Perbualan mengalir dengan lancar. Mereka berempat berlama-lama di bawah cahaya petang, menyaksikan sesuatu yang istimewa di hadapan masing-masing. Bagi Hans, ini adalah kali pertama dia merasakan dunianya— dunia yang selalu dia jaga, patut dikongsikan.
Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!