![]() |
PART ONE ~ THE SOLOIST Bab 3: Cahaya Dari Hati |
Di antara gumam ombak dan senyap langit,
tidak semua yang sunyi itu hampa,
terkadang, ia membawa cahaya
dari hati yang tak pernah bersuara.
“Dia tu, sekelas dengan kita tapi sombong. Tak suka bergaul,” bisik Sara. Matanya tak lepas memandang tajam ke arah pelajar tersebut. “Sepatah ditanya, sepatahlah dijawabnya.”
Hans suka sendirian, terutamanya di sekolah. Jarang sekali rakan-rakan dapat berbual-bual lama dengannya. Dia lebih selesa begitu— menjaga jarak. Duduk di barisan belakang, dia seakan cuba melenyapkan diri dari pandangan semua orang. Sophia menyedari kewujudan Hans sejak hari pertamanya di sekolah itu. Walaupun Hans seperti tidak menghiraukan dia atau siapa pun, Sophia tetap merasa tertarik.
“Saya tak pernah nampak dia bercakap dengan sesiapa,” kata Sophia dengan lonjakan rasa ingin tahu.
Rakan mereka, Amir, menyambut soalan Sophia. “Dia memang jenis pendiam. Orang kata banyak masalah, sebab tu tak suka bergaul tambah lagi dengan orang Melayu macam kita.”
Sophia termenung sejenak sambil memandang ke arah Hans. “Kadang-kadang, orang pendiam macam dia tu bukan tak nak berkawan, tapi mungkin dia tak tahu cara nak mula,” Sophia sering mahu berfikiran positif lalu dia cuba membuka minda rakan-rakannya.
Sara dan Amir terdiam, kelihatan berfikir sejenak tentang kata-kata Sophia.
“Betul juga kata kau, Sophia. Mungkin kita patut cuba ajak dia berbual satu hari nanti," balas Sara, tersenyum kecil. Amir mengangguk, nampak setuju dengan cadangan itu.
Sophia tersenyum puas. Dalam hati, dia merasa seronok dapat memberi perspektif yang mungkin belum melintasi fikiran rakan-rakannya.
Hans yang seakan sedar dirinya diperhatikan, rasa tak selesa. Selepas menghabiskan bekalan, terus dia bangun lantas meninggalkan kantin. Dia singgah ke tandas sebelum ke bilik darjah. Sewaktu buang air di salah satu kubikal dalam tandas, dia terdengar suara gelak ketawa dan perbualan beberapa orang gadis.
“Aku period hari ni,” kata salah seorang daripada gadis-gadis tersebut. Hans kenal benar, itu suara Dahlia. Kawan-kawannya mentertawakan kata-katanya tadi. Hans dapat mengagak, itu suara Lynn dan…
“Last year.”
“Lambat jugak. Aku darjah lima dah kena,” kata Lynn. Mereka semua ketawa. “Aku dengar, kalau lambat kena, lambat tua.” Kata-kata tambahan itu membuat ketawa gadis-gadis tersebut semakin kuat.
Hans teragak-agak untuk keluar, jadi dia memutuskan untuk menunggu sehingga gadis-gadis itu beredar. Namun nampaknya perbualan semakin rancak. Dia memasang telinga lagi, mendengar perbualan gadis-gadis tersebut tentang puberti— tentang pertumbuhan ciri-ciri seks sekunder seorang perempuan. Tanpa sedar, Hans tersenyum sendirian bila mendengar mereka membahaskan tentang pembesaran buah dada dan pertumbuhan bulu-bulu di sekitar organ seks mereka.
Jam di pergelangan tangan kirinya menunjukkan lagi sepuluh minit sebelum waktu rehat berakhir. “Lambat lagi kalau nak terus tunggu,” desus Hans dalam hati. Lalu, tanpa berlengah, dia terus membuka pintu. Gadis-gadis tersebut terdiam bila melihat Hans berjalan ke sinki dan memasang paip. Dia menadah air dengan kedua belah tangannya untuk membasuh muka. Rambutnya dia basahkan sedikit. Sehelai sapu tangan warna biru dia keluarkan dari saku lalu muka dikesat. Ketiga-tiga orang gadis itu berbisik sesama sendiri— hampir tak didengari butir bicaranya. Sewaktu mereka mahu melangkah keluar dari tandas, Hans yang masih berdiri di hadapan cermin mengeluarkan sebiji gula-gula Hudson berbungkus hijau, perisa limau. Sophia yang terakhir di barisan kedua rakannya berhenti seketika. Dari cermin, matanya memandang Hans. Dia lemparkan senyuman, Hans membalas tanpa berkata apa.
“Hmm, gula-gula. Mintak satu.” Itulah patah kata pertama yang terlantun dari bibir Sophia untuk Hans. Dia mahu menduga, samada Hans benar-benar sombong atau sekadar seorang yang pemalu. Tanpa kata, Hans menyeluk poket lalu sebiji gula-gula yang sama dia letakkan di atas tapak tangan Sophia.
“Thanks.” Sophia berlalu.
Ingatan Hans laju melayang ke hari pertama Sophia menyertai kelas 2 Biru. Gadis itu melangkah dengan penuh keyakinan. Senyumannya nampak ceria dan hangat sewaktu memperkenalkan diri. Seorang gadis cantik, benar, namun Hans nampak sesuatu yang lain— lebih dari sekadar daya tarikan luaran— sesuatu yang lebih indah dari itu. Suaranya lembut tetapi jelas dan sewaktu dia tersenyum kepada cikgu Siti, ruangan itu seakan-akan menjadi lebih cerah.
Dalam diam, tak siapa tahu sebenarnya bayu selatan telah menyapa hati Hans. Tanpa dia sedari, matanya mencuri pandang. Jiwanya diganggu campur baur perasaan. Dia tahu Sophia adalah anak Pegawai Daerah yang baru dan kini, dia di sini, duduk di barisan hadapan dengan senyuman itu, berbual mesra dengan yang lain. Dia tak dapat membayangkan bagaimana rasanya menyesuaikan diri dengan begitu mudah dan sikap Sophia yang begitu mesra mengingatkannya betapa berbezanya kehidupan mereka.
Hari-hari berlalu begitu pantas dan mata semakin kerap mencuri pandang. Hans nampak cara Sophia berbual dengan rakan-rakan sekelas— menawarkan bantuan dengan penuh keterbukaan, sentiasa membawa senyuman mesranya ke mana-mana saja. Tutur bicaranya lembut dan sopan. Tanpa perlu mencuba, dia berjaya menarik semua orang untuk mendekati dan menyukainya. Hans selalu mengingatkan diri sendiri untuk menjaga jarak— sedar bahawa ada benteng yang harus dipertahankan. Di mata Hans, Sophia mewakili dunia yang jauh daripada jangkauannya— dunia yang penuh dengan kepastian dan peluang— hidup yang terlalu jauh berbeza dari realiti yang Hans kenali di perkampungan nelayan— hidupnya.
𝄞
Di tepi tingkap dalam kelas Bahasa Melayu, renungan Sophia melayang jauh dari pelajaran. Sesekali dia memandang ke belakang kelas. Di sana, dia melihat Hans, duduk sendirian seperti biasa dengan mata terpaku kepada buku nota. Hans memiliki sesuatu yang unik— satu aura. Gadis itu tinggi dan kurus dengan rambut pendek agak kusut, menambahkan pesona boyish yang memukau. Walaupun jarang memandang orang, tatapan matanya tajam, menyimpan kecerdasan tersirat di balik wajah yang kelihatan dingin dan penuh rahsia.
“Hana Marcello.” Suara cikgu Norma memecah kesunyian. Guru bahasa Melayu itu memandang ke arah Hans. Segera dia bangun. Sophia, seperti rakan-rakan sekelas yang lain memandang ke arahnya. Seketika dia mengangkat muka, pandang ke depan kemudian dia menundukkan wajahnya semula, memandang buku di meja.
“Hana Marcello,” bisik Sophia dalam hati. Baru ini dia tahu nama sebenar Hans— nama penuhnya. Sophia lemparkan sebaris senyum mesra kepadanya bila mata mereka bertentangan buat beberapa saat.
“Karangan macam ni yang saya nak.” Puji cikgu Norma sambil mengangkat kertas putih di tangannya dan melambai Hans ke depan.
Dengan teragak-agak Hans patuh. Dia berdebar— segan.
“Bacakan kepada kelas.” Pinta cikgu Norma. Kertas putih bertukar tangan.
Karangan pendek 200 patah perkataan yang bertajuk Faedah Menabung itu Hans baca dengan jelas dan lancar biarpun ada rasa gementar dan malu.
Sophia terpegun dengan kefasihan Hans berbahasa Melayu walaupun dia berbangsa campuran. Bukan itu saja, karangannya juga cukup jelas dan berkualiti. Kata Alfie, Hans, seperti kebanyakan keluarga nelayan lain, berketurunan Kristang— satu etnik kacukan Belanda dan Portugis yang berkahwin dengan penduduk tempatan di zaman penjajah dulu.
“Biasa orang panggil, orang Serani,” terang Alfie sewaktu dia dan Dahlia mengelilingi meja Sophia dan Lynn, mengambil kesempatan untuk berbual sementara menunggu cikgu Halim masuk.
“Nenek Hans berdarah Melayu-Belanda.” Tambah Lynn pula. “Kami kat kampung tu memang banyak sangat campur aduk. Mula dengan penjajah dulu lah… kawin campur orang tempatan lepas tu anak cucu kahwin pulak dengan orang luar.”
“Kau bersaudara dengan Hans?” Tanya Sophia, teruja dengan pendedahan baru itu. Inilah kali pertama dia kenal dan dekat dengan etnik tersebut. Selama ini dia hanya tahu begitu saja dari bahan bacaan yang tak seberapa.
“Bau-bau bacang. Dalam komuniti kami, kebanyakannya ada pertalian— jauh atau dekat. Kami dari susur galur yang sama tapi aku ada darah Cina— baba nyonya belah mak dan Portugis-Belanda, belah ayah.”
“Macam mana dengan ayah Hans?” Rasa ingin tahu berkobar-kobar dalam hati Sophia.
“Uncle Juan, sama macam ayah aku, berkuturunan Portugis-Belanda. Maksudnya nenek moyang kami salah satu dari kedua bangsa tu.”
“Cool, isn’t it? Sebab tu Hana tu tinggi, cantik.” Sampuk Alfie. “Hana- Hans. Hana Marcello. Mana-manalah… yang penting aku suka dia, walaupun dia tomboy dan sombong.” Alfie, satu-satunya budak lelaki dalam kelas yang rajin berbual dengan rakan perempuan, membuka rahsia hati.
“Bukan sombong, Fie. Dia introvert.” Lynn membetulkan persepsi Alfie.
Perbualan mereka terhenti bila Hans masuk ke dalam kelas. Semuanya senyap. Seperti biasa Hans terus ke tempat duduknya di meja belakang dan menenggelamkan diri dalam sebuah buku. Kerap Sophia lihat dia bersama buku tebal berkulit merah itu— Salina karya A.Samad Said.
Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!