Join The Journey
𝄞
Sophia tak dapat menahan diri daripada mempamerkan keterujaan dan rasa gembira. Lawatan ke sebuah lagi perkampungan nelayan yang terletak di sebelah utara bandar terdengar seperti pengembaraan mini. Ketika mereka memandu di sepanjang jalan pantai, pemandangan berubah daripada rumah yang kemas dan laluan pejalan kaki berturap kepada laluan berliku-liku yang dibarisi rumput tinggi bergoyang ditiup angin laut.

Kampung itu terletak di pinggir pantai. Rumah-rumah kayu ringkas dicat dengan warna pudar. Dindingnya kelihatan lapuk dimamah matahari dan garam laut. Laluan tanah yang sempit mengalir di antara rumah-rumah, menuju ke pantai berpasir, di mana bot-bot nelayan kecil beralun disapa ombak lembut. Walaupun serba kekurangan, ada daya tarikan tersendiri yang ditawarkan. Sophia kagum dengan suasana harmoni yang terbentuk di antara penduduk, pokok kelapa dan air laut.

Sewaktu mereka berhenti dan melangkah keluar, angin dari laut memenuhi udara, bercampur dengan bau ikan dan rumpai. Kanak-kanak berlari, berkaki ayam di sepanjang pantai, mengejar satu sama lain. Gelak ketawa mereka seakan suara latar dalam sebuah simfoni, menyambut kedatangan pegawai kerajaan dengan riang. Pakaian mereka bertampal tetapi bersih. Seorang wanita tua melambai dari ambang pintu, senyuman hangat terpancar di wajahnya.

Hati Sophia terasa lapang. Dia suka melihat gambar kehidupan seperti ini— cara sederhana sebuah kampung yang hidup mengikut rentak irama tersendiri, jauh dari kesibukan dunia yang biasa dia alami.

“Jom, kita pergi jumpa dengan ketua kampung,” kata bapanya sambil memberi isyarat ke arah sekumpulan lelaki yang berkumpul dan berbual berhampiran bot di bawah sinar matahari pagi. Sophia berjalan di samping ibu bapanya, memandang sekeliling ke segenap penjuru kampung dengan mata yang luas dan perasaan ingin tahu.

Bapa Sophia memperkenalkan mereka kepada Encik Fernando, ketua kampung— seorang lelaki beruban dan berkulit sawo matang. Wajahnya dilapisi kedutan, tanda buat seseorang yang telah menghabiskan seumur hidup di bawah matahari. Encik Fernando menyambut ketibaan mereka dengan mesra. “Terima kasih kerana melawat kami, Encik Suffiyan,” katanya kepada bapa Sophia. “Tak selalu kami dapat pelawat, terutamanya pegawai.”

“Tugas saya. I truly enjoy soaking in the beauty of this place,” jawab bapanya, sepadan dengan langkah Encik Fernando. “Saya nak tahu lebih lanjut tentang kampung dan melihat apa yang boleh kami lakukan untuk membantu.”

Encik Suffiyan berbual-berbual dengan ketua kampung dan para nelayan, mendengar dan bertanya tentang isu-isu yang ingin mereka bangkitkan. Sementara isterinya beramah mesra dengan kaum wanita di perkampungan tersebut. Sophia pula melihat-lihat keadaan sekeliling. Dia menyedari walaupun kampung itu bersih dan penuh dengan wajah-wajah yang tersenyum, tanda-tanda keusangan jelas kelihatan.

Bot-bot walaupun dijaga dengan baik tapi jelas sudah lama, nampak tua. Catnya mengelupas. Jalan tak berturap— hanya laluan sempit menjadi penghubung antara rumah-rumah dan pasar kecil di pantai. Pasar itu dibina daripada kayu, menempatkan beberapa gerai yang menjual ikan dan barangan keperluan dapur. Sophia sedar, kampung ini kekurangan kemudahan asas yang selama ini dia anggap sebagai perkara biasa.

Timbul simpati di hatinya. Berdiri di bawah sebatang pokok, dia melihat seorang wanita mengisi baldi logam di pam air komunal— barisan orang menunggu dengan sabar di belakang. Kanak-kanak membantu membuat kerja harian, menganyam bakul atau menjaga adik-adik semasa orang dewasa bekerja.

Mereka semua terus menyusuri pantai. Sophia menangkap perbualan antara bapanya dan Encik Fernando— membincangkan cabaran dan masalah kampung. Dia mendengar dengan teliti. Kini dia tahu, kebanyakan keluarga di situ bergantung sepenuhnya pada hasil laut. Beberapa cara lain turut diusahakan untuk kelangsungan hidup. Jika cuaca buruk, adalah mustahil untuk ke laut. Kerana itu mereka bergelut demi memastikan keperluan mencukupi untuk menyara keluarga.

“It would be helpful to have more training programs,” kata Encik Fernando, termenung sambil mengerling ke arah tuan pegawai daerah. “Sebuah sekolah atau klinik kecil yang lebih dekat juga akan membawa perubahan yang besar.”

Encik Suffiyan Hafizi mengangguk. “Kita akan lihat apa yang boleh kita buat. Saya juga nak pastikan kampung ni mendapat akses kepada air bersih yang disalurkan terus ke rumah. Begitu juga dengan sistem sanitasi yang baik.” Dia mengisyaratkan pembantunya untuk membuat catatan kepada semua permasalahan dan isu-isu yang telah dibentangkan.

Ibu Sophia menambah, “mungkin kita boleh bekerjasama dengan beberapa organisasi untuk membawa perpustakaan kecil di sini untuk kanak-kanak atau mengadakan pemeriksaan kesihatan secara berkala. It would be a start.”

Mata Encik Fernando bersinar dengan rasa syukur. “That would mean a lot to our people, ma’am. We’re proud of our work, but it can be hard to give the children more than we have ourselves.”

Hati Sophia tersentuh mendengar ucapan Encik Fernando. Dia sentiasa mengagumi kerja bapanya, tetapi dia tidak pernah memahami sepenuhnya apa yang dimaksudkan dengan berkhidmat kepada masyarakat. Sekarang, setelah melihat dan mendengar dengan mata dan telinga sendiri, dia menemukan satu penghormatan baru untuk kedua-dua orang tuanya. Mereka bukan sahaja bercakap tentang bangunan, pembangunan ataupun program— mereka bercakap tentang membantu orang ramai mendapatkan dan seterusnya membentuk kehidupan yang lebih baik.

Lawatan itu memberi kesempatan kepada Sophia dan keluarganya membeli sedikit hasil laut dari pasar kecil, di mana penduduk kampung menjual ikan segar, sayuran kampung, bakul buatan tangan dan anyaman topi.

Udara dipenuhi dengan perbualan dan ada beberapa mata memancarkan rasa ingin tahu, terutamanya bila melihat ke arah anak gadis sunti pegawai daerah. Sophia tersenyum— dengan malu-malu melambai ke belakang apabila mereka berlalu.

Seorang wanita duduk di sebuah pangkin bersama bakul penuh gelang-gelang dari cengkerang berwarna-warni. Dia menghulurkan satu kepada Sophia. “Untuk kamu, sayang,” katanya mesra sambil memakaikan gelang itu di tangan Sophia. “Hadiah untuk menyambut kedatangan kamu ke kampung kami.”

Sophia terasa pipinya sedikit panas, terharu dengan kemesraan yang diberi wanita tersebut. “Terima kasih banyak,” ucapnya. Kerang-kerangan yang dijadikan gelang terasa sejuk di kulit. Setiap satu diikat dengan penuh teliti. Cantik.

Menjelang tengah hari, mereka mengucapkan selamat tinggal kepada penduduk kampung. Sewaktu melangkah ke arah kereta, Sophia memandang ke belakang. Hatinya dipenuhi dengan rasa kagum berbaur simpati. Orang-orang kampung hidup serba sederhana, namun mereka hidup dengan maruah dan suasana harmoni.

Dalam perjalanan pulang, Sophia menyandarkan kepalanya ke tingkap kereta, memerhatikan pemandangan yang berlalu. Ada sedikit keanehan mengusik hatinya selepas melihat kelainan daripada dunia yang selama ini tidak pernah dia kenal, menyedarkan dia tentang kerja bapanya bukan sekadar menguatkuasakan undang-undang atau mengurus daerah; tetapi juga membantu orang menjalani kehidupan yang lebih baik, membawa harapan kepada masyarakat di tempat-tempat kecil seperti kampung di tepi laut ini.

Apabila kereta berhenti di halaman rumah, Sophia memandang gelang di pergelangan tangannya, tanda peringatan akan kebaikan yang telah disaksikan serta impian untuk membuat perubahan suatu hari nanti.

“Saya nak pergi lagi kampung tu.” Dia menyuarakan hasrat suci. “Saya nak tolong, macam papa, macam mama.”

Encik Suffiyan berpaling kepadanya sambil tersenyum— senyuman yang tulus hingga ke mata. Perasaan bangga meresap dalam hati seorang bapa. “Of course, my dear. There’ll always be a way.”

𝄞

Sophia membentuk bersahabatan dengan Dahlia dan Lynn, dua gadis dari dua latar belakang berbeza. Hari-harinya menjadi lebih kaya dengan perspektif yang dikongsi mereka. Lynn— sentiasa bersikap tenang dan merendah diri, mungkin cerminan kehidupan keluarganya yang sederhana. Selalunya, Lynn akan berkongsi cerita tentang gerejanya dan kedamaian yang dia temui dalam mencari Tuhan. Sophia suka dengan cara Lynn menyampaikan sesuatu— diekspresi dengan nilai kerohanian, ibarat sungai yang tenang mengalir melalui kata-kata.

Dahlia pula lebih lincah dan suka bersosial. Kehidupan baginya adalah tentang di sini dan sekarang— acara sekolah, sukan, muzik, makan, berhibur dan berehat. Dia tidak begitu mengambil berat tentang hal agama atau kerohanian dan sering ketawa tentang bagaimana sesetengah orang menganggapnya ‘terlalu besar’. Bagi Dahlia, agama adalah hal tambahan, sesuatu yang tidak dia pedulikan atau dianggap perlu. Sudut pandangannya agak luas dan moden, membebaskan Sophia daripada rasa kewajiban untuk hidup hanya berdasarkan tradisi.

Selepas bermain bola tampar pada satu petang di hujung minggu, ketiga-tiga gadis itu duduk di pantai, melihat ombak memecah lembut di pasir. Dahlia memberitahu tentang funfair yang akan di adakan di bandar sebelah. Matanya berkilauan dengan keterujaan ketika dia berkongsi setiap butiran. Lynn mendengar tetapi kelihatan tidak berminat. Lynn tahu, funfair bererti duit. Mungkin ia menyeronokkan tetapi bagi orang macam dia, ada perkara lain yang lebih penting boleh dibuat dengan harga sebesar itu.

“Aku tak dapat join. Biasalah, Sabtu. Aku tolong masak kat dapur gereja,” Lynn memberitahu selepas Dahlia selesai. “Bantuan tu tak seberapa, tapi ramai yang memerlukan.”

Dahlia mengangkat kening sambil ketawa perlahan. “Kau tak bosan ke? Maksud aku, sekali sekali, kau kena bersosial, berhibur macam orang lain.”

Lynn tersenyum, tidak terganggu dengan soalan Dahlia. “Aku suka apa yang aku buat, rasa penuh dan aman. That means a lot to me,” jawabnya, ringkas.

Sophia memerhatikan mereka berdua. Sesuatu bergolak dalam dirinya. Walaupun tak begitu memahami, namun dia mengagumi keunikan fikiran Lynn. Dalam masa yang sama, dia juga menyukai pendekatan santai Dahlia terhadap kehidupan— cara gadis itu mencipta bahagia dalam setiap hari baru. Berdiri di antara kedua-dua pandangan mereka, Sophia terdengar satu panggilan lembut di hatinya. Dia terbuka untuk meneroka laluan sendiri.

Perkara yang dibincangkan dengan kedua rakannya di pantai terbawa hingga ke malam. Berbaring di atas katil, Sophia berfikir tentang perbezaan antara Lynn dan Dahlia dalam melihat hidup. Sebelum ini, dia tidak terlalu memikirkan soal agama, kerohanian atau makna sesuatu. Keluarganya selalu berpindah-pindah dan rutinnya terasa seperti sauh. Tetapi sekarang, dia tertanya-tanya jika ada lagi yang perlu dibongkar dari dalam diri, sesuatu yang lebih mendalam. Perasaan rindu tiba-tiba muncul— kerinduan atau sesuatu yang tidak dapat didefinisikan dengan jelas.

Bagaimanapun, Sophia mengerti, perkara sedalam dan sebesar itu perlukan masa. Dia tak perlu terburu-buru dalam mencari jawapan. Kewujudan rakan-rakan seperti Lynn dan Dahlia telah membuka satu denai untuk dia teroka dalam sebuah pencarian— sesuatu yang dia benar-benar percaya. Permulaan ini masih mentah namun Sophia yakin, ia adalah pintu di sebalik sebuah pemahaman baru.

Join The Journey
Comments

Comments [0]