Join The Journey
PART ONE ~ THE SOLOIST ~ Bab 2: Sophia
Faith is something we explore throughout our lives.
But in the end, it's about what feels true to you.
𝄞
Kediaman rasmi pegawai daerah yang terletak di atas bukit menghadap ke laut sibuk dengan urusan perpindahan. Beberapa orang pekerja keluar masuk, menguruskan barang-barang— mengemas, menyusun dan mengatur perabot. Dari depan ke dapur, dari bilik bacaan ke bilik tidur. Dari ruang makan ke ruang tamu. Atas dan bawah, di dalam dan di luar rumah. Hari ini, segalanya beres. Semuanya lengkap, tersusun sempurna. Gambar-gambar digantung ke dinding, perabot mewah cantik menghiasi ruang tamu dan aroma masakan memenuhi udara bercampur dengan angin sepoi-sepoi yang membawa masuk bayu laut melalui jendela yang terbuka.

Sophia bersandar di kerusi malas balkoni bilik tidurnya di tingkat dua. Pemandangan dari sudut itu merentang ke pantai. Langit biru diselaput awan putih selembut kapas melayang malas. Di bawahnya, jalan batu berbelok-belok di antara rumah-rumah berbumbung atap genting. Dia melepaskan pandangan ke laut yang terletak di kejauhan— luas dan indah berkilauan di bawah cahaya matahari petang. Sebuah ketenangan luar biasa menyelinap ke dalam hatinya. Apa yang terbentang depan mata kelihatan begitu santai, damai, menenangkan. Sentuhan lembut angin yang menyapa wajah memberi dia satu perasaan aneh— dia seperti pernah melalui saat-saat itu sebelumnya— sebuah keindahan yang pernah singgah dalam hidup atau mungkin dalam mimpi.

Selama bertahun-tahun menjadi warga kota dan bandar-bandar yang sibuk dan serba moden, kesempurnaan di Tanjung Bayu tak layak dijadikan tandingan. Sophia berasa selesa di tempat baru. Dia dapat merasakan itulah rumahnya yang sebenar, sebahagian daripada dirinya.

“Phia, turunlah! Kita jalan-jalan ke pantai.” Kedengaran suara ibu melaung, memanggil dari tingkat bawah.

Segera dia meraih sunhat— kegemaran terbaru yang dia pilih di pasar malam semalam. Topi yang dianyam ringkas itu mengingatkan dia tentang seorang gadis pulau yang pernah dia baca dalam sebuah buku cerita. Dia selalu berangan, dialah gadis itu— memakai topi pantai, dengan gaun ungu cair seperti warna langit senja, berkaki ayam, bebas menikmati lembut pasir dan air laut.

Sophia menyertai orang tuanya. Ibunya, Puan Kamalia Mohktar sedang menyapu pelindung matahari pada lengan dan muka. Sejurus kemudian, dia membantu anak gadisnya pula menyapukan losyen yang sama di lengan, tangan, leher, muka dan kaki.

Keluarga Encik Suffiyan Hafizi menuruni bukit melalui anak-anak tangga yang berlumut, menyusuri jalan sempit yang menghala arah pantai. Mereka melintasi kedai-kedai kecil dengan cat yang merekah. Kedai-kedai tersenut menjual pelbagai hasil laut dan tanaman kampung juga kraftangan. Penduduk tempatan yang mengusahakan perniagaan kecil tersebut tersenyum mesra sambil memberi salam— satu kelainan sebenarmya— lebih mesra daripada pandangan acuh tak acuh yang selalu mereka terima di bandar.

Encik Suffiyan melambai pada hampir setiap orang yang lalu lalang. Dia menerangkan kepada anak-anaknya bahawa itu adalah sebahagian daripada tugas— bertemu ‘orang baru’, sama seperti dia menguatkuasakan peraturan. Mengambil beberapa detik berbual mesra dengan seorang peniaga, Encik Suffiyan turut menyatakan kekagumannya terhadap bandar yang cantik dan permai itu.

Pantai terletak tak berapa jauh dari rumah baru mereka, hanya beberapa minit berjalan kaki. Ia dibingkai oleh tebing dan sebuah pelabuhan kecil. Sophia menarik nafas panjang sebaik saja kakinya menyentuh pasir, membiarkan bayu dari laut memenuhi paru-paru. Burung camar berkicauan di atas kepala, menyatukan nyanyian mereka dengan desiran ombak.

“This place feels like a hidden treasure,” katanya, hampir berbisik, tak mahu merosakkan keajaiban di sekeliling.
Ibunya tersenyum. “It does, doesn’t it?”

Sophia memerhati abang-abangnya yang menendang pasir, saling mencabar satu sama lain untuk berlumba lari ke arah tepi air. Dia ketawa sambil menggeleng kepala. Kamal dan Kamarul, sentiasa bersaing. Kedua-duanya selalu nak jadi lebih hebat dan terbaik. Sophia terasa bahagia apabila keluarganya dapat meluang masa, berkongsi pengalaman bersama-sama.

Dia beranjak sedikit jauh dari ibu dan bapanya, memberi peluang untuk mereka berbual, menikmati angin petang. Dengan berkaki ayam, dia menyusuri pantai, membiarkan tapak kakinya tenggelam ke dalam pasir yang sejuk dan lembap. Kulit-kulit kerang dan cengkerang yang bertaburan— berkilauan dengan warna merah jambu, ivory dan biru pucat membuat dia terpegun. Sesekali, ombak kecil menerjang kaki, menggelitik kulit dan meninggalkan potongan-potongan rumpai laut yang kusut di antara jari-jari. Dia tak dapat menahan senyum.

Sewaktu dia berlutut untuk mengutip secebis cengkerang putih, satu suara menegurnya dari arah bertentangan. “Cantik, kan? Tajam mata awak.”

Terkejut, Sophia mendongak melihat seorang gadis sebaya berdiri berdekatan sambil tersengih memandang. Gadis itu berambut panjang mencecah bahu dan memakai gaun ringkas yang padan dengan warna air laut.

“Terima kasih,” balas Sophia sambil menegakkan tubuhnya. “Saya tak pernah tengok kulit kerang dan cengkerang macam ni, sebelum ni.”

“Kat sini awak akan jumpa banyak lagi. Saya Lynn, by the way.” Dia menghulurkan tangan dengan senyuman yang menggariskan sedikit hujung mata.

“Sophia,” jawabnya sambil menjabat tangan Lynn berserta sedikit rasa malu. Dah selalu dia berpindah randah mengikut tugas bapa, namun mencari kawan adalah sebuah tugas yang sukar, tetapi Lynn kelihatan santai dan mesra. Mungkin tempat ini berbeza.

“Baru pindah sini, kan?” Lynn bertanya, cuba memesrakan perkenalan. “Saya nampak awak dan keluarga awak pindah masuk rumah DO tu.”

Sophia mengangguk, mengiyakan pertanyaan dan pernyataan Lynn. “Ya, macam tu lah kerja papa, selalu kena tukar.”

Lynn mengangguk tanda faham. “Mesti penatkan? Tapi seronok, dapat jalan-jalan, tengok tempat baru.”

“Ye,” akui Sophia, sambil memandang ke arah ombak. “Saya suka tempat ni. Lain daripada tempat dulu.”

Senyuman Lynn melebar. “Bagus! Kalau awak nak, banyak lagi saya boleh tunjuk. Bukan pantai ni aje. Ada banyak kampung-kampung lain lagi sebelah sana.”

Sophia teruja, tidak menyangka akan mendapat kawan begitu cepat. Dia menoleh ke belakang memandang keluarganya— Kamarul dan Kamal masih seronok mengejar bola sementara ibu dan bapanya berganding tangan menyusuri pantai. Kemudian dia kembali menoleh ke arah Lynn sambil mengangguk. “I’d like that,” katanya. “Jom…” Dia mengajak Lynn bertemu orang tuanya.

“Yes, he is a fisherman. We live over there.” Jawab Lynn bila Encik Suffiyan bertanyakan tentang bapanya. Jari telunjuk di arahkan ke sebuah penempatan nelayan, tak jauh dari tempat mereka berdiri.

Sophia meminta izin kedua orang tuanya untuk menyusuri pantai lebih jauh bersama Lynn.

“Elok-elok tapi jangan lama-lama sangat,” pesan Puan Kamalia.

Semasa mereka berjalan di sepanjang pantai, Lynn menunjukkan kolam air pasang surut yang tersembunyi, kampung nelayan dan juga sebuah gua kecil yang terletak di tebing. Sophia mendengar dengan penuh minat. Dia merasa seperti sedang melangkah ke dalam sebuah cerita dan Lynn sebagai pemandu ke dunia yang tenang dan indah di tepi laut.

Kedamaian yang tertempa dalam hati membuatkan Sophia terfikir bahawa ini akan menjadi satu pengembaraan peribadi— sesuatu yang mungkin akan membuatnya meninggalkan pola biasa— perpindahan yang tak berhujung lantas menemukan dia satu tempat yang dipanggil rumah.

𝄞

Hari pertama di sekolah baru tiba selepas tamat cuti penggal. Pakaian seragam yang serba baru licin bergosok. Dia selesa walaupun merasa sedikit pelik. Seragam sekolah kali ini agak berbeza daripada sekolah sebelumnya— blaus putih dan skirt navy yang jatuh betul-betul di bawah lutut, dipadankan dengan tali leher biru. Sophia membetulkan tali leher di hadapan cermin. Rambutnya diikat rapi. Dia tersenyum, mengucapkan selamat kepada refleksinya di cermin bersama satu senyuman.

“You're going to be great,” kata Puan Kamalia sambil meletakkan tangan di bahu anak gadisnya, memberi keyakinan . “And if things feel awkward at first, just give it a little time.”

Sophia mengangguk sambil mengukir senyuman. “Ini bukan kali pertama. Semua ini pernah aku buat.” Dia mengingatkan dirinya sendiri. Sekolah baru, guru baru, rakan baru— semuanya adalah sebahagian daripada pengalaman menjadi anak seorang pegawai daerah. Tapi entah kenapa, kali ini, lain sangat rasanya. Dia mahu berada di situ, untuk menjadi lebih daripada sekadar seorang ‘gadis baru.’

Bangunan sekolah di Tanjung Bayu itu sederhana saja jika nak dibandingkan dengan sekolah moden, di bandar terdahulu. Di sini, dindingnya dicat kuning lembut, tingkap-tingkapnya tinggi dengan corak melengkung dan halamannya dihiasi pokok-pokok hijau yang subur, memberikan bayang-bayang, meredupkan persekitaran. Udara membawa angin masin ringan dari laut dan Sophia merasakan satu keselesaan aneh dalam kesederhanaan di sekelilingnya.

Semasa dia melangkah melalui pintu masuk, beberapa mata memandang dia dengan perasaan ingin tahu. Dia berjalan dengan yakin ke pejabat, di mana seorang kerani yang kelihatan mesra menyerahkan jadual dan membimbingnya ke kelas pertama— Bahasa Inggeris. Koridor riuh dengan suara, gelak tawa dan bunyi loker berdenting ditutup. Dia terasa hidup dan dialu-alukan, tetapi dalam masa yang sama, gugup dalam perut turut bertambah.

Jadual di tangan digenggam erat semasa pintu kelas semakin dekat. Tiba di situ, dia menarik nafas panjang sebelum menolak pintu. Seorang guru— wanita muda dengan mata mesra, mengenakan selendang berwarna-warni, tersenyum kepadanya.

“Everyone, this is Sophia.” Cikgu Siti memperkenalkan dia kepada kelas sambil memberi isyarat supaya dia datang lebih dekat dengan meja guru. “She’s just moved here, so let’s make her feel at home.”

Sophia melambai kecil, wajahnya memanas akibat perhatian yang diberi. Matanya mengimbas ruang, tersenyum dan mengangguk, tetapi cepat-cepat menundukkan pandangan. Kemudian dia menuju ke tempat duduk kosong berhampiran tingkap, mengamati rakan sekelasnya yang baru— sekumpulan budak perempuan dengan rambut berikat kemas dan yang lelaki bersandar malas di kerusi.

Sebelum tamat kelas, cikgu Sitimengedarkan sehelai cerpen untuk dibaca dengan kuat bersama-sama. Sophia membawa dirinya tenggelam dalam cerita. Kegugupannya mereda apabila dia mendengar suara rakan sekelas— menyedarkan dia mengapa dia suka membaca— membaca sentiasa membuatkan dia berasa seperti di rumah, tidak kira di mana dia berada.

“Take some time to revisit this at home and grasp the concepts. We'll go over it again tomorrow, and I'll have some questions for you,” pesan cikgu Siti sebelum mengakhiri sesi.

Selepas kelas, seorang gadis bermata sepet dengan rambut diikat sepeeti ekor kuda meluncur ke tempat duduk di sebelahnya. “Hai, Sophia, kan?” Katanya sambil tersengih. “Saya Dahlia.”

Sophia berasa lega, mendapat kawan baru yang mesra. “Ya, hai! Nice to meet you.”

“Awak minat sukan atau kelab atau apa-apa je?” Tanya Dahlia, menunjukkan rasa ingin tahu. “Kat sini ada banyak kelab dan persatuan— bola tampar, Kelab Seni, Pengakap, malah Kelab Pencinta Alam. Kita boleh pergi weekend hiking.” Terang Dahlia sambil menghulurkan sekeping kertas kepadanya.

“Ada pendaftaran hari ni, kalau berminat kita boleh pergi sama-sama.”

Fikiran Sophia ligat. Di sekolah lamanya, dia pernah mengambil bahagian dalam Kelab Tenis, tapi tidak pernah mencuba seni. Idea Kelab Pencinta Alam mencetuskan sesuatu dalam dirinya; sesuatu yang tak pernah dia cuba dan dia mahu meneroka bandar ini.

“Sounds good,” jawab Sophia. “Seronok kalau dapat tengok lagi banyak tempat.”
Great! Kalau macam tu, lepas sekolah nanti kita pergi sama-sama,” kata Dahlia, wajahnya berseri-seri.
“Sabtu ni ada gotong royong kat pantai. Kita join?”
“Why not? It’s a good idea.”
“Indeed a great way to start; lots of people join, and you get to know everyone pretty quickly.”

Seperti kabut pagi dihangatkan mentari,kegugupan Sophia perlahan-lahan hilang. Dia tidak menyangka betapa cepatnya mereka mesra. Perbualan mengalir lancar, tanpa kejanggalan. Ada sesuatu pada senyuman dan kelembutan tutur kata Dahlia— Sophia merasa seperti bertemu semula dengan seorang sahabat yang dah lama dia kenali.

Menjelang waktu makan tengah hari, Sophia berasa lebih santai. Dahlia menjemputnya untuk menyertai rakan-rakan lain dan tidak lama kemudian Sophia mendapati dirinya dikelilingi oleh sekumpulan gadis yang mesra dan ramah. Mereka berbual tentang apa saja— dari filem terkini hingga makanan ringan kegemaran. Dari kedai roti di bandar hingga ikan di kampung nelayan.

Seorang budak lelaki bernama Alfie turut menyertai mereka. Alfie selalu membuat semua orang ketawa dengan gurauan yang tidak berkesudahan dan Murni, gadis yang suka tersenyum— teruja menceritakan novel misteri baru yang sedang dia baca. Dan apabila dia berkongsi minatnya dalam bidang sains, mereka semua memberi tumpuan, menunjukkan minat. Sophia juga diminta bercerita tentang sekolah lamanya di bandar. Banyak soal dan jawab dan kemesraan teman-teman baru membuat dia merasa diterima.

“Awak patut masuk Kelab Sains dan Matematik!” Kata Alfie. “Ada aktiviti lepas sekolah seminggu sekali.”

Sophia ketawa, merasakan kemesraan yang tidak diduga. “Tengoklah. Nanti saya fikir mana yang sesuai dengan masa.”

Loceng berbunyi, menandakan waktu makan tengah hari sudah tamat. Mereka menuju ke kelas seterusnya bersama-sama, memenuhi koridor sambil berbual-bual. Hari berlalu dengan cepat, dipenuhi dengan lebih banyak perkenalan, soalan ingin tahu dan gelak ketawa mesra dengan rakan-rakan baru di antara kelas. Menjelang penghujung hari, Sophia merasakan sesuatu yang amat jarang dirasakan— rasa kekitaan.

Selepas sekolah, dia dan Dahlia menuju ke meja pendaftaran di dewan utama, di mana pelbagai kelab sedang mendaftar ahli baru. Mereka berdua tak sabar-sabar menambah nama ke Kelab Pencinta Alam. Ketika selesai menulis nama, kedengaran satu suara memanggil.

“Sophia!”

Dia menoleh dan melihat Lynn, kenalan dari pantai, berdiri di tepi meja sambil tersenyum. “Hey, tak sangka awak pun datang mendaftar.”

“Dahlia ajak. Saya pun memang berminat nak sertai Kelab Pencinta Alam,” balas Sophia sambil tersengih. “Kelab Sains dan Matematik pun saya join.”

Cool. Sama macam saya! Baru pagi tadi saya teringat nak ajak siapa masuk sama. Lagi seronok kalau berteman,” kata Lynn sambil menepuk perlahan bahu Sophia.

Mereka bertiga berjalan keluar bersama-sama, berbual tentang acara kelab yang akan datang dan merencana aktiviti hujung minggu. Hati Sophia membengkak dengan keterujaan buat kali pertama sejak berpindah. Ia bukan sekadar sekolah baru, tempat baru dan rakan baru— malah ia adalah peluang untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu— membina sebuah tapak hidup bukan sekadar melalui.

Semasa berjalan meninggalkan sekolah, Sophia melihat sekilas ke laut di antara bangunan. Air berkilauan di bawah matahari petang. Dia menghirup udara yang segar sedalam-dalamnya, mengizinkan udara memenuhi ruang hati dengan harapan.

Join The Journey
Comments

Comments [0]