Memuatkan resonansi…

1.1 Wajah Seorang Kawan


A solitary teenage boy with a weary, introspective expression, sitting in a cluttered, rustic art room. He is holding a paintbrush, gazing at a canvas on an easel which depicts a 'bird trapped in a golden cage.In the dark background, a faint, ghostly silhouette of a girl in a hijab is turning away, fading into the darkness, representing a lost friendship.
Makhluk paling berbahaya di muka bumi ialah
"Penyelamat" yang perlu diselamatkan.
𝄞

Pekan Mutiara adalah saksi kehidupan awal remaja seorang Andrey. Rutin hariannya berkisar antara rumah dan sekolah. Bangun pagi, ke sekolah, pulang tengah hari, makan, dan siesta

Di waktu petang pula, biasanya diisi dengan aktiviti pilihan sendiri seperti berkebun, bermain muzik, melukis, atau menulis, yang dirasakan lebih produktif. Andrey cepat letih bila beramai-ramai dan bersesak-sesak.

Di pekan kecil itu jugalah bermulanya pengembarannya dalam mengenal dan mencari diri. Tahun pertama dan kedua, dia masih belum mengerti dengan jelas apa yang sedang dia alami tapi bila meningkat usia 15 tahun, dia mula sedar sekolah itu sebenarnya bukan sekadar sekolah tapi juga mahkamah. 

“Kau dah nak pindah. Jangan lupa tulis surat untuk aku.” Pesan Ziana kepadanya semasa mereka menghabiskan waktu rehat bersama.

“Telefon ada, nanti boleh borak. Lagi senang.”
“Bil mahal.”
“Gunalah public phone.”
“Kampung ni ada dua je pondok telefon, Andrey. Kalau rosak kena pergi pekan. Aku manalah boleh keluar jauh-jauh.”
“Pekan pun jauh? Aku jalan kaki pun sampai.”
“Jauhlah kalau bapak kau letak limit.”
“Hmm... Tak pe. Kalau ada chance call je la. Bukan nak borak lama-lama pun. Kau bukan awek aku.” Jawab Andrey dalam nada gurauan. Dia pandang muka Ziana, tak ada reaksi. Mungkin dia tak faham apa yang cuba Andrey sampaikan.

“OK... Tapi aku suka tulis surat.” Ziana tersenyum sambil membetulkan tudung dan senyuman itu meleret ke arah seorang budak lelaki yang melintasi mereka. Andrey tahu, Ziana ada hati dengan pelajar tingkatan 5 itu.

“Ikut kaulah. Tapi jangan kau tunggu posmen hari-hari pulak.”

“Aku doakan akan terbuka pintu hati kau untuk terima hakikat hidup ni. Harap tempat baru dapat mengubah engkau.” Ziana mengulang doa yang sama lagi. Lali dah telinga Andrey dengar semua tu.

“Aku selesa dengan diri aku, kenapa kena berubah? Apa yang nak diubah pun?”
“Kau tengok diri kau... Cara kau berpakaian pun dah menyimpang dari ajaran agama.”

Andrey akui, pengetahuannya dalam bidang agama masih terlalu cetek. Oleh kerana itu dia memilih untuk diam, tak mahu menyangkal dan tidak pula sama sekali bersetuju. Perkara besar seperti ini perlukan masa untuk melihat, merenung dan memikir. 

Ziana mungkin lebih arif tentang agama. Gadis itu dibesarkan dalam keluarga yang taat dan ‘warak’, di mana hukum lebih awal diajar daripada makna.

Dia bercakap tentang Tuhan dengan yakin, mungkin kerana selama ini dia tidak dibenarkan untuk meragui. Keyakinan itu tidak datang dari pencarian, tapi dari pewarisan.

Andrey pula dibesarkan dalam rumah yang tidak mengangkat dogma sebagai pusat hidup. Prinsip yang dia kenal ialah memahami sebelum menghukum, melihat sebelum menilai.

Dan kerana itu, dia diam bila Ziana berbicara. Setuju tidak, menyangkal pun tidak. Bukan dia takut, tapi sedar, mereka tidak bermula dari tempat yang sama.

Ziana muncul dalam hidup Andrey seperti sebatang lilin yang menerangkan sebuah ruang gelap; satu-satunya kawan di Sekolah Menengah Seri Mutiara yang tidak menganggap Andrey sebagai bahan hinaan. Di saat rakan-rakan sekelas lain mengata dan meminggirkan dirinya, Ziana datang dengan senyuman manis melantunkan kata-kata mesra, menunjukkan sokongan. Dan umpama lilin jugalah, kehangatannya mencair, cahayanya memalap, dan akhirnya terpadam. 

Masih segar dalam ingatan Andrey saat Ziana menyeludupkan sepinggan mi goreng ke dalam kelas kerana tahu dia lupa bawa bekal.

“Aku goreng sendiri pagi tadi,” katanya dengan bangga.
“Kalau pedas, sorry ya. Aku tak reti sukat cili.”

Mereka gelak sama-sama, duduk diam di belakang kelas, makan dengan tangan, macam dua budak kecil yang belum tahu dunia akan membelah mereka suatu hari nanti.

Ketawa itu masih tinggal, tapi hanya sebagai gema. 

“Kau ingat elok ke kau pakai macam ni? Buruk kau tau tak? Kau tak rasa berdosa ke?” tanya Ziana suatu petang ketika mereka sedang duduk di sebuah warung. Nadanya yang tajam tak akan dapat ditopengkan dengan kelembutan suara yang dibuat-buat.

Andrey mengangkat bahu, menjamah rojak di hadapannya. “Aku selesa macam ni.”
“Tuhan tak terima perempuan yang menyerupai lelaki atau lelaki yang menyerupai perempuan. Nabi tak mengaku umat. Kau tak takut nanti kat akhirat kau kena bakar?” Ziana menambah, sambil menguyah goreng pisang.

Soalan itu bukan pertama kali diajukan, sampai telinganya dah lali mendengar. “Tuhan lagi tau apa Dia buat,” jawab Andrey ringkas tapi padat, cuba mengelak daripada memanjangkan perbualan.

Perdebatan itu tidak pernah selesai. Hampir setiap hari, Ziana akan membuka topik yang sama. Kadang-kadang dengan pujian berbaur sindiran: “Kau tak malu ke orang pandang kau pelik? Kalau kau pakai baju kurung, mesti kau nampak lebih cantik.” 

Selalunya dia menggunakan agama untuk menekan: “Kau percayalah, Allah tu adil. Kalau kau pakai tudung, tutup aurat, jadi perempuan betul, Allah akan bagi kau apa saja kat syurga. Kat sana nanti kau boleh dapat apa je kau nak, apa yang kau tak dapat kat dunia ni.”

Mungkin Ziana menyifatkan kata-katanya itu satu kewajipan sebagai seorang Muslimah tapi bagi Andrey, ia terasa seperti luka yang digarami. Ziana bercakap dengan penuh keyakinan, seolah-olah dia memiliki kebenaran mutlak sedangkan Andrey hanya menyimpan butir bicara itu untuk rujukan hari esok. Kata nasihat orang tuanya selalu dijadikan panduan: kaji dan faham sesuatu sebelum buat kesimpulan. Itulah yang dia praktikkan. Dia tahu dia tak tahu, lebih baik diam berfikir daripada senyap bercakap.

Setiap kali Ziana berbicara tentang Tuhan dan syurga, semakin besar keraguan di hati Andrey. Bagaimana mungkin Tuhan yang dikatakan penuh kasih sayang, menciptakan hambaNya hanya untuk menghukum, jika bakulNya tak diangkatkan? Bagaimana mungkin Tuhan peduli tentang apa yang dia pakai, sedangkan dia merasa seperti satu kesilapan, malah sering tersesat dalam tubuh sendiri, mencari identiti yang diredhai? Soalan itu sering berlegar di minda, menagihkan sebuah kepastian.

Walaupun kata-katanya pedas, Andrey cuba bertahan dan menghormati Ziana. Dalam dunia yang penuh dengan pandangan sinis, senyum manis sering kali terasa pahit. Kebenaran akhirnya menunjukkan diri. Semakin lama, semakin ketara penerimaan yang dipamerkan Ziana hanyalah sandiwara dunia; cermin masyarakat yang menghina.

Bila mata dan telinga menjadi saksi, tiada penghakiman diperlukan lagi.

“Aku kawan dengan dia sebab aku kesian. Kau tau kan, dia tu pelik… siapa nak kawan dengan dia? Pegangan agama pun terumbang-ambing. Mak dia tu, entah Islam entah tidak. Aku dengar mak dan ayah dia tak nikah pun cara Islam. Bapak dia murtad.” Merdu suara Ziana mendendangkan lagu sumbang kepada telinga-telinga tuli nada yang menyanjung keperibadiannya sebagai seorang Muslimah contoh di sekolah.

Tanpa dia sedari, Andrey mendengar dengan cukup jelas dari balik pintu kelas. Bila semua yang lain bersurai membawa hal masing-masing, Andrey bersemuka dengan Ziana untuk mempertahankan maruah. “Kau tak kenal keluarga aku, kenapa kau cakap macam tu?”

Ziana tidak mengelak malah menegakkan niatnya. “Aku cakap apa yang betul. Semua orang tau, kan? Hakikat apa yang kau nak sorok lagi?”
“Itu hal peribadi.”
“Aku cuma tak nak kau terus tersesat. Cara hidup kau dan keluarga kau ni dah menyimpang, terpesong jauh dari landasan Islam. Aku cuma nak kau kembali ke jalan yang lurus.”
“Jalan lurus untuk siapa?” Getar suara dikawal, hati yang panas cuba disejukkan. Kata nasihat abah dan mak Andrey mainkan di ingatan “Untuk kau? Untuk Tuhan kau? Atau untuk semua orang yang tak peduli pun tentang agama?”

Ziana hanya menggeleng, cuba menyorokkan sebuah kepalsuan dengan mencipta kesalahan orang lain. “Kau ni salah faham. Sebab tu elok kau dalami agama betul-betul. Aku doakan kau sekeluarga tak lebih tersesat. Murtad, menyekutukan Allah… beristighfarlah, Andrey.”

Kata-kata itu adalah titik perpisahan mereka. Andrey mula menjauhkan diri, dan Ziana, seperti biasa, memilih untuk bersama kawan-kawan yang ‘normal’.

Loceng berbunyi menandakan berakhirnya waktu rehat. Seperti selalu, membiarkan kata-kata Ziana lenyap bersama angin adalah pilihan paling bijak. Ziana menuju ke kelasnya — sebuah kelas yang memberi status cukup membanggakan, dari kaca matanya sendiri, sementara Andrey segera melangkahkan kaki ke bilik seni — sebuah bilik comot, tempat di mana kedamaian meresap dalam hati dan jiwanya.

Di situ, Andrey mengukir dinding pertahanan sendiri. Perasaan dan fikiran adalah warna yang dicurahkan ke atas kanvas. Lukisannya penuh dengan metafora — burung yang terkurung dalam sangkar emas, rama-rama yang terbang dengan sayap patah, dan wajah-wajah manusia yang tidak pernah lengkap. Dia juga sering meluahkan dirinya dalam puisi dan lagu yang tak pernah didengar sesiapa.

Tertutupnya persahabatan dengan Ziana, maka terbukalah pintu mengenali diri sendiri. Dia tidak lagi cuba mencari penerimaan orang lain, kerana dia semakin mengerti, itu adalah usaha yang sia-sia. Kawan? Hanya Kak Zu yang layak setakat ini. Ziana? Kawan sejati akan menerima siapa pun kita tanpa usaha untuk mengubah apalagi mencerca. Tak. Ziana hanyalah satu pengalaman. Hakikatnya bersendirian itu lebih baik daripada bertemankan seseorang yang hanya suka merosakkan kepercayaan.

“Saya tak bermusuh dengan sunyi, kak.” Kata Andrey kepada Kak Zu pada petang mereka minum kopi sambil makan goreng pisang di warung hujung kampung, beberapa hari sebelum dia meninggalkan Pekan Mutiara.

“Tak ada guru yang lagi hebat dari sunyi, kan?” Dia meneruskan ayat dengan satu soalan. Soalan yang jawapannya ada dalam dirinya sendiri.

Andrey memandang sunyi sebagai guru yang memberi ruang. Guru yang ajak mencari. Apa saja. Bahkan sesuatu yang tak pernah hilang pun. Sesuatu yang tak pernah diajar oleh Ziana, cikgu-cikgu di sekolah atau sesiapa saja.

“Akak faham… bila sorang-sorang, fikiran berjalan jauh, kan?” Balas Kak Zu dan Andrey menjawab dengan satu perkataan mudah — “Bebas.” 

Sunyi... Kadang-kadang dia tak tahu apa maksudnya. Macam malam, agaknya?

Macam gurun tak berangin, mungkin?

Apa yang pasti, sunyi boleh menakutkan. Amat menakutkan. Kerana itu, ramai orang lari, cari tempat untuk berlindung dari kesunyian kerana tanpa itu, sunyi akan datang meneman macam hantu.

“Sunyi datang dari dalam. Saya tak sunyi tapi tak sepi.” Kata Andrey, sambil ketawa kecil. “Berdikari pun sunyi bunyinya. Akak nampak? Sama, kan?”

Kak Zu senyum lebar. “Kena berani hadap,” katanya. Dia mengerti, Andrey sedang mengasktifkan mode falsafahnya. “Dan kekuatan tu tak datang dari luar.”

“Kadang-kadang saya lupa nak sunyi. Tapi tak sedar, saya sedang menghidupkan kesunyian tu.”

Deep tu…” Kak Zu membuka ruang untuk mendengar.

Lately saya kerap tertanya sendiri: Apa yang tentukan makna hidup ni? Jasad? Atau jiwa yang tinggal dalam jasad?”

Soalan-soalan itu Andrey tuangkan dalam lukisan dan puisi. Semakin suram, semakin dalam. Setiap garis, setiap warna adalah lambang kebingungan, amarah, dan harapan — doa yang tak sedar dia ucapkan…

Jika Kau mendengar, beritahu, siapa aku ini? Adakah aku bayangan yang Kau cipta, atau pantulan dari cahaya yang hilang?

Suara Dari Dalam:
Kasih sayang sering dimuat dalam kotak sempit yang dibina daripada penerimaan dan kawalan, ditukul sebagai kebenaran. Doa kedengaran suci, tapi itu hanyalah pantulan kehendak yang menadah tangan.

Hubungan yang tulus memerlukan keberanian untuk membiarkan jiwa menjadi celaru, bebas, tanpa perlu menunjuk arah. Cukup dengan hanya menghayati keindahan di sepanjang perjalanan, jalan itu sendiri akan membuka pintu-pintu cahaya.

Dan cahaya itu yang akan membimbingnya. 
Not every reader is chosen to share:

The Endless Resonance

Struggling with something? Let Us Know
Comments

Comments [0]