Join The Journey
Kebanyakan tasik di Terusan Tasik Biru merupakan tinggalan lombong bijih yang dikomersialkan dan Tasik Biru adalah satu-satunya tasik semulajadi. Dulu, ia berfungsi sebagai sumber utama ikan air tawar kepada penduduk setempat. Begitu jugalah jasanya mengalirkan air melalui terusan-terusan kecil yang dibina untuk kegunaan harian. Arus permodenan dan teknologi sentiasa menaik taraf infrastruktur. Kini Tasik Biru dijadikan kawasan rekreasi dan perkhemahan sebagai daya tarikan pelancongan.
Ikhlaskanlah hati menerima waktu sebagai guru kerana hanya bersama waktulah keberanian terbentuk di teras kewujudan.
𝄞

Terusan Tasik Biru. Perpindahan ke sini adalah rahmat yang senyap tapi sarat makna.
Sebuah syurga kecil — setelah bertahun-tahun terperangkap dalam putaran luka dan peraturan. Keputusan abah untuk menjadikan tempat ini rumah kekal, bukan lagi persinggahan,
adalah laungan kemerdekaan yang Andrey tak tahu dia sedang nanti.

Hari itu layak diraikan, seperti ulang tahun kelahiran jiwa. Sebuah penghijrahan. Satu pelepasan yang halus, tapi cukup kuat untuk mengalihkan paksi perasaannya. Bahkan kepahitan, bila diselimuti damai, terasa seperti parut yang masih berdenyut — mengingatkan bahawa dia pernah terluka dan masih ada nadi yang berdetik.

Andrey cukup bersyukur. Dia sedar, tak semua orang diberi nikmat seperti ini — berpindah-randah, melihat dunia dengan mata sendiri, mendengar pelbagai bahasa hati, melalui pelbagai musim manusia. Dan kerana itulah, ketakutannya pada hidup perlahan-lahan gugur, seperti daun luruh yang reda dengan putarannya. Perjalanan itu tidak menjadikannya tua, tapi menjadikannya ‘dewasa’ — bukan kerana usia, api kerana terbiasa membaca diam di wajah orang.

Terusan Tasik Biru, terletak tidak jauh dari kampung halaman abah — sebuah bandar taman yang menjauh dari serabut batu dan suara besi, dan mendekat kepada bisikan alam.
Tasik, sungai, hutan dan bukit — warna hijau dan biru bersatu, membentuk lantai sunyi yang menjadi tempat jiwanya bersujud

Lebih dari semua itu, ada sesuatu di sini yang memanggilnya — dari sudut terdalam kewujudan. Suara sunyi yang entah bagaimana… telah lama menunggunya kembali.

𝄞

Andrey duduk menghirup teh panas di balkoni bilik tidurnya. Pemandangan luar biasa cantik terpampang seakan lukisan yang berbingkaikan jendela dan pintu kamar. Lukisan yang hidup itu sentiasa berubah-rubah sesuai dengan peredaran cuaca dan waktu.

Setiap petang tak pernah dia lepaskan peluang menyaksikan matahari mengucup kaki langit. Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada siang, ia perlahan-lahan tenggelam di balik bukit bukau yang memeluk bandar kecil di lembah ini, memberi peluang kepada gelap mempamerkan wajah indah alam.

Dan bila pagi menjelang, kabus bergabung dengan awan, menyembunyikan bukit bukau, tapi perlahan-lahan menghilang seperti tabir yang dibuka lalu menyerlahkan kembali cantuman warna hijau dan biru.

Bandar ini cukup sederhana, tapi lengkap dengan semua kemudahan. Ia tak sebising dan sehebat kota-kota besar ataupun sesunyi dan serba tiada seperti pekan-pekan kecil persinggahan hidupnya yang terdahulu. Terusan Tasik Biru boleh jadi membosankan bagi mereka yang dah terbiasa dengan hiburan bandar, yang mana bagi Andrey, bukan satu keperluan. Asalkan ada sungai dan tasik, hutan dan bukit, dah lebih dari cukup. Itulah definisi kesempurnaan menurut interpretasinya. Tak banyak yang dia perlu untuk gembira.

Kecintaannya pada alam mendorong dia menjelajah setiap ceruk — sungai, tasik, denai dan tanah lapang. Setiap petang, dia keluar berbasikal, mencari lubuk-lubuk tersembunyi —
tempat untuk menyendiri, tempat untuk mendengar suara yang tak kedengaran di tengah kesibukan manusia.

Di perpustakaan awam, Andrey menjumpai asal-usul bandar ini. Kebanyakan tasik di sini dulunya lombong bijih. Hanya Tasik Biru — satu-satunya yang lahir semulajadi. Dari tasik itu, aliran air dibentuk jadi terusan kecil. Membekalkan keperluan harian —memerih air, memberi ikan, menghubung kampung ke kampung. Dan kini, setelah puluhan tahun, ia menjadi kawasan rekreasi — tapi jasa airnya tetap tidak berubah.

Jauh ke timur laut, jalan berliku membawa ke sungai yang mengalir di celah hutan hujan.
Air terjun yang tidak bertuan, hanya disambut flora dan fauna yang mesra dalam diam.

Jika mahu dingin, teruslah ke utara. Jalan yang melilit bukit seperti ular kena palu,
membawa ke tanah tinggi — tempat tinggal kolonial yang kini jadi banglo sunyi dalam kabus.
Angin di sana membawa bisik yang tidak lagi fasih bahasa manusia.

Sewaktu menghirup udara pagi Terusan Tasik Biru buat pertama kali, Andrey sematkan satu keazaman kemas-kemas dalam hati. Apapun kata orang, apa juga tohmahan, hinaan atau permasalahan yang bakal dia terima, akan dia kunyah hanya untuk diludah, selepas zat-zatnya ditelan dan dicerna. Dia membuat janji kepada diri sendiri— tak akan sekali-kali membiarkan tanggapan tak berasas manusia memesongkan hatinya.

Sesat, Andrey tak takut. Mengapa perlu takut bila tersesat? Bukankah pencarian bermula di situ? Kalau ada jalan masuk, mesti ada jalan keluar. Asalkan berani, asalkan tak mudah ditakutkan sunyi dan tidak berputus asa dengan masa.

Lain halnya kalau terpesong kerana itu satu pilihan. Bila sukarela memilih untuk membelok, tersimpanglah semua jalan. Yang luas terbuka hanyalah jalan mati. Pengakhiran tak sepatutnya bermula di situ.

Terusan Tasik Biru —
Di sini ada kedamaian, di sini ada harapan.
Di sini mimpi menghias lena. Di sini terlakar cita-cita.
Di sini aku membina impian dan di sinilah aku belajar tentang kehidupan.
Bandar ini jiwa aku, di mana perjalananku bermula.
~ Andrey, 25 Disember 2000

𝄞

“Did abah mention that he has chosen the best school for all of you?” Mak bertanya sewaktu makan malam di rumah baru mereka. Abah tak dapat menyertai atas urusan kerja. Andy pula di asrama.

“Nope.” Ketiga-tiga anaknya menjawab serentak.
“TBC.”
“TBC?”

It's a private school — the best in town. Mak ke sana tengah hari tadi. Nanti tengoklah brochure atas almari depan tu.”

“Wow, private school. Means, no uniform?” Amanda ketawa kecil. Dia tahu benar apa maksud ‘tak payah pakai uniform’ itu bagi kakaknya. Dia pernah nampak — Andrey dicemuh. Dipulau.

Malah dimarahi guru disiplin depan semua orang di kantin. Amanda juga hadapi tekanan.

Tapi dia masih mampu pakai baju kurung. Dia cuma enggan bertudung. Dan itu pun sudah cukup membuatkan dia dilabel. Anis yang baru berusia sepuluh tahun tak menghiraukan sangat perbualan mereka.

Tak sempat soalan Amanda dijawab, Andrey pula bersuara, “but why not public school, as usual?”

Simply because it’s available. Pekan dulu mana ada private school, kan?” jawab mak sambil tersenyum, ringkas.

Selesai makan malam, mereka tiga beradik bersantai di ruang tamu. Andrey mula meneliti risalah-risalah yang mak maksudkan. Kertasnya licin, reka letaknya moden. Maklumat yang tercetak menjanjikan sesuatu yang lain — sesuatu yang eksklusif.

Menarik. Sophisticated, fikir Andrey. Minda mula melayang — membayangkan sekolah itu.
Teman-teman baru. Guru-guru. Dan sudah tentu... kebanyakan pelajarnya anak golongan berada.

Tiba-tiba, satu rasa melintasi dadanya. Bayangan wajah-wajah yang pernah menyambut senyum dan salam, waktu dia berbasikal menyusur kampung dan pekan — wajah orang yang membanting tulang di sawah dan hutan, yang membawa bekal lempeng dan nasi goreng ke sekolah.

Adakah dia akan kehilangan semua itu — atau dijauhkan darinya selamanya?

“Ni. Baca.” Risalah-risalah itu diserahkannya kepada Amanda. Dia bangkit perlahan, lalu melangkah keluar — mencari malam yang dingin.

Matanya memerhati sekeliling. Dalam dan luar— membandingkan apa yang ada depan mata dan apa yang pernah dia lihat dan alami di pekan-pekan persinggahan sementara hidupnya yang terdahulu — kuarters kerajaan tak akan dapat menandingi teratak orang tuanya itu. Persekitaran taman perumahan senyap sunyi. Hanya kedengaran suara cengkerik menyanyi berlatarkan suara katak. Jarak antara rumah ke rumah agak jauh. Pohon-pohon rendang, yang memagari kawasan, menambahkan lagi privasi. Terasa seperti mahligai yang berdiri megah di atas bukit itu hanya ada dia. Tak ada sesiapa yang lain.

 “Aku dah masuk 16 tahun. Tahun depan O'Level.” Dia mengeluh. Minggu depan, sekolah baru bermula. Dan rasa gelisah itu datang lagi — seperti tetamu lama yang tak pernah tahu bila patut berhenti bertandang.

Dia tahu kelemahannya — sukar menyesuaikan diri. Sukar membina rangkaian.
Bukan kerana sombong, tapi kerana dia terlalu banyak membaca bahasa yang tak ditulis.

Dan sekolah baru selalunya bermaksud perang batin lama, dalam bentuk yang baru.

“Orang ingat, bila dah biasa tukar sekolah, pindah tempat, mesti tak kekok. Ramai kawan, ramai kenalan. Cakap hal tu, saya angkat tangan, kak.”
“Susah nak sesuaikan diri dengan sekolah baru?”
“Itu tak jadi hal sangat. Nak buat kawan tu yang payah.”

Andrey mengimbas semula perbualannya dengan Kak Zu, malam sebelum dia sekeluarga meninggalkan Pekan Mutiara. Permintaan Kak Zu untuk bertemu sebelum berpindah dapat disempurnakan. Kak Zu belanja Andrey makan malam di pekan. Sebungkus hadiah diberi dan sebagai balasan, Andrey hadiahkan lukisan terakhirnya di Kampung Nilam.

“Gambar ni tajuk dia Ratu Cantik Pekan Mutiara.” Usik Andrey. Pehanya dicubit.

“Kau memang berbakat.” Kak Zu memberi pujian ikhlas. Matanya tersenyum melihat lukisan di atas kanvas berukuran 40×50cm itu — lukisan seorang gadis berbasikal menyusuri jalan berlatar sawah dan langit terbuka — wajahnya tidak jelas, tapi senyumnya terasa.

“Nanti kalau ada kesempatan turun bandar, boleh kita jumpa, kan?” Tanya Kak Zu, memantulkan senyuman di mata ke bibir.

“Boleh je. Nanti saya bagi alamat dan nombor telefon.”
“Bosanlah akak, tak ada kawan lagi nak tangkap ikan, memancing, mandi sungai... Ermm…Mesti rindu engkau.”
Tersentuh hati Andrey bila mengenangkan saat-saat manis yang mereka cipta bersama. “Jangan cakap cam tu... sedihla…”

Kak Zu pandang tepat-tepat ke dalam mata Andrey seakan mahu memberitahu, apa yang baru sebentar dia sebut datangnya Ikhlas dari hati. “Macam musim, semuanya perlukan masa.” Katanya, perlahan.

“Macam berkebun, bersawah, kan? Macam padi.” Sambut Andrey.

Kak Zu mengangguk. “Nak sesuaikan diri dengan kenangan, masa, tempat. Semuanya. Dengan hi, dengan bye.” Muram di wajah Kak Zu tak dapat Andrey hindarkan. Hatinya turut merasa sayu, lalu dia cuba menceriakan perbualan. “Ingat tak masa kita mula-mula kenal dulu? Masa akak jatuh basikal dengan ikan bersepah atas tanah?”

Malam terakhir di Kampung Nilam, Pekan Mutiara dihabiskan dengan mengenang kembali detik-detik pertemuan yang telah membungakan kemesraan. Kak Zu tempat Andrey meluah rasa tanpa perlu membina batasan.

“Mana pun kau pergi, apa pun kau buat, jangan pernah lupa pada padi. Makin berisi, makin menunduk.” Pesan Kak Zu. Tangan Andrey masih dalam genggaman tangannya. “Jangan sesekali jadi pagar makan padi.”

Tiga tahun meneroka Pekan Mutiara; bukan sekadar pekan saja, malah kampung-kampung yang mengelilingi pekan kecil itu juga. Banyak yang dah dia pelajari, baik daripada alam mahupun manusia sendiri. Mana mungkin dapat melupakan semua pengalaman, terutama bersama Kak Zu— kehadiran yang banyak memberi inspirasi.

“Walaupun sekolah macam penjara, tapi ada akak kat sini, dengan alam semulajadi, saya tenang, saya bebas.”

“Hidup ni tak selalu hitam putih. Ada banyak kelabu kat tengah-tengah. Yang penting, kau jujur dengan diri sendiri, kau tak sakiti orang lain. Akak nampak lelaki dalam diri kau, tapi itu tak bermakna kau kurang sebagai seorang perempuan. Kau unik, Andrey, dan itu anugerah.” Kau Zu berhenti seketika. Muka Andrey dia pandang. Sejak saling mengenal, dia dah rasa serasi dan dia nampak siapa Andrey di dalam Adriana. “Sini memang susah, dik. Orang dah biasa dengan normaliti. Lain sikit, semuanya pelik.”

“Ziana kata, saya kena berubah. Teruk sangat ke saya ni, kak?”

“Apa yang teruknya? Akak tak nampak pun kat mana yang teruknya... mungkin sebab mata akak tak ‘kero’ macam mata Ziana tu...” Mereka sama-sama ketawa mendengar jawapan Kak Zu. “Tak ada salahnya jujur pada perasaan, Andrey. Benda datang dari hati, tak betul kalau nak pertikaikan salah ke betul.”

“Kalaulah semua orang berfikiran terbuka macam akak...” Bisik Andrey. Dia senyum memandang Kak Zu yang selalu positif. Selalu bagi dorongan dan selalu ada masa untuk dia.

“Benda ni boleh fikir sendiri kot. Bukan kita tak ada otak.”
“Saya tak pernah ada makwe pun, kak. Tapi orang tetap panggil saya lesbian. Saya benci betul perkataan tu.”
“Tulah akak nak jadi makwe, tak nak, barulah valid dorang nak panggil kau lesbian.” Kak Zu mengusik lagi. “Tapi sapelah nak kat kita ni kan, orang kampung keje sawah je. Tua pulak tu.”

“Alah, Kak Zu hot. Sekali petik, sepuluh datang,” puji Andrey dan pujian itu bukan sekadar nak ambil hati tapi ikhlas dari hati.  Kak Zu seorang gadis kampung yang sederhana, manis dengan kulit sawo matangnya, mesra dalam kematangannya. Sikap Kak Zu yang terbuka telah memberi keselesaan kepada Andrey untuk menyandarkan rasa percaya. “Nanti dapat result STP silap-silap terbang pergi England jugak ikut jejak Kak Long, dapat pakwe hidung mancung.”

“Ameen, dik...”

Andrey tersengih sendirian mengenang perbualan mereka berdua. 

Kak Zu betul. 

Macam musim, semuanya perlukan masa. Setiap fasa perlu ditempuh, jangan dielak— Andy juga tak salah. 

Semua ini bukan beban tapi satu di antara tanggungjawab yang harus dipikul dalam meniti peralihan zaman. Dalam meniti dan memahami hidup, pada dasarnya. 

Jadi dia tunduk, mengikhlaskan hati menerima waktu sebagai guru yang tak pernah mungkir janji. 

Dan kerana hanya bersama waktulah keberanian terbentuk di teras kewujudan.

𝄞 

Catatan Renungan

Ada perpindahan yang tidak membawa lari, tapi membawa pulang —
kepada diri sendiri, kepada suara yang selama ini tenggelam dalam kebisingan manusia.

Di Terusan Tasik Biru, Andrey menemukan apa yang selama ini dirampas perlahan: ruang untuk bernafas sebagai diri, hak untuk melihat dunia tanpa cermin-cermin palsu yang memantulkan rasa malu dan bersalah.

Ini bukan hanya tentang tempat baru, rumah baru, sekolah baru —
ini tentang benih yang selama ini digenggam dalam luka, kini diberi tanah untuk tumbuh.

Di sini, dia belajar bahawa pendamaian tidak datang dari penerimaan orang,
tapi dari keberanian untuk menerima siapa dirinya, walaupun dunia masih ragu-ragu.

Sesungguhnya, damai itu bukan tempat —
ia adalah keputusan untuk berhenti menyembunyikan diri.

Dan cinta — bukan yang memaksa berubah,
tapi yang hadir untuk melihat dengan mata hati,
dan berkata:

Aku nampak kau. Dalam terang dan gelapmu. Dan kau masih indah.

Join The Journey
Comments

Comments [0]