3.2 Suara Mimpi
Bab 3.2: Suara Mimpi
![]() |
| Ada masa kita melangkah dalam ketidakpastian. Dan dalam langkah pertama yang serba salah itu... hidup akhirnya tak ragu membuka pintu. |
Dari corong radio, sebuah melodi perlahan mengisi ruang kereta. Suara lelaki, lembut, hangat, dalam masa yang sama sedikit retak, mengalunkan sebuah lagu. DJ menyebut sesuatu... Harvey Malaiholo... Jerat.
Andrey tidak kenal lagu itu. Dia tidak pernah mendengarnya, tapi dia mula jatuh cinta. Terbuai. Lagu itu membawa sebuah, gambaran — seraut wajah. Wajah itu kabur, namun Andrey dapat merasakan, dia tersenyum. Hangat senyumannya seperti sentuhan pertama seorang kekasih.
Tiba-tiba... cahaya terang dari belakang. Silau. Membutakan. Sebelum sempat dia menarik bernafas, sebuah pickup meluncur liar, menghentam belakang keretanya.
Hujan makin lebat.
Bunyi logam menjerit, berlanggar dengan pembahagi jalan.
Kaca pecah.
Tubuh terhayun.
Stereng tercabut dari genggaman.
Kereta berpusing tiga kali sebelum terjunam ke dalam gaung.
Langit hilang. Tanah menelan.
Andrey cuba membuka pintu. Gagal. Lalu dia cuba menendang cermin sisi. Tiada ruang. Sempit, dan kakinya tersepit. Darah hangat mengalir dari dahinya, menitis ke pipi, jatuh ke dagu. Dari celah kabus dan kaca retak, saat tubuhnya hampir rebah, suara itu datang. Bukan dari radio. Bukan dari luar. Suara itu keluar dari dalam dirinya sendiri.
Dengan nafas tercungap-cungap, Andrey berpaling, melihat dirinya sendiri; bayangan dirinya keluar perlahan dari tubuh di tempat duduk. Bayang itu menoleh. Wajahnya cukup jelas, seperti roh memberi salam perpisahan. Bibirnya bergerak dan suara itu muncul, bukan sekadar bisikan, tapi satu pesanan. Jelas. Nyata.
Cari dia... Jaga dia...Kemudian... segala-galanya menghilang. Gelap.
Andrey terjaga. Masih tercungap. Tubuhnya berpeluh dingin. Tangannya meraba wajah, dada, paha, seolah-olah mencari bukti bahawa dirinya masih bernyawa. Dia beristighfar. Kembali sedar. Syukur, masih di bilik, atas katil. Tapi sebahagian dirinya masih tertinggal di dalam mimpi itu.
Tanpa niat, tangannya meraba ke meja sisi katil. Jurnal, teman setia tempat dia bercerita tentang mimpi, kini di genggaman. Masih menggigil, dia terus menulis. Perlu.
Jerat. Mitsubishi 'Storm' warna hitam. Gaung. Cari dia. Jaga dia.Dia tahu, ini bukan sekadar mimpi. Dan kali ini, bukan lagi laut. Bukan gereja Maria. Bukan warung uzur.
Ini... adalah jalan.
Jalan sempit.
Hujan yang menusuk.
Dan kematian yang mencium dahi.
Yang lebih meremangkan, mimpi ini datang pada jam lima petang. Waktu di mana cahaya dan bayang bersatu. Waktu di mana kebanyakan orang dalam perjalanan pulang.
Dan suara itu... tak pernah berubah.
Tak juga menyebut nama.
𝄢
Sebelum matahari sempat menyejat embun di dedaun, Andrey sudah pun bangun. Hari baru pun tiba. Tiada debar, tiada ragu, hanya gerak naluri yang mengheretnya bangkit, seolah-olah mimpi semalam telah mencabut batu nisan dari jiwanya.
Dia bersiap. Jeans lusuh, kemeja lengan panjang warna hijau gelap. Jaket denim disarung, kemudian dia mengemaskan rambut seadanya. Kunci Aprilia dicapai. Sejuk kunci itu bersatu di tapak tangan yang masih terasa dingin oleh sisa mimpi malam.
Perjalanan ke Tasik Biru College terasa sedikit asing walaupun jalan itu, ribuan kali sudah dia genggam dengan tayar dan waktu. Angin pagi menampar wajahnya. Segar, tapi sejuk tetap menggigit. Kepala dan hati mula meragui keputusan yang dibuat. Serentak mereka bertanya, “Kau pasti?”
Dia memulas minyak lebih laju. Aprilia membelah kabus pagi, menjawab ragu logik dengan yakin hati.
Setahun sudah berlalu. Setahun sudah dia tinggalkan TBC. Kini dia kembali ke situ. Berdiri di tempat letak motor yang masih sama. Pohon-pohon yang serupa. Kakinya melangkah melintasi koridor kolej. Pejabat pendaftaran kelihatan lengang. Dia menekan buzzer di dinding, dan pintu secara automatik terbuka.
Seorang wanita separuh umur, berkaca mata bulat, mengangkat kepala dari sebalik komputer. Wajahnya cerah, senyuman kecil terukir tanpa dipaksa.
“Ya. Pendaftaran masih terbuka,” jawab wanita itu, ramah.
Borang dihulur. Andrey mengambil masa meneliti dan mengisi borang tersebut. Bila borang diserahkan, kerani itu tersenyum lebih lebar. “Awak... Andrey, kan? Bekas pelajar sini dulu?”
Andrey hanya membalas dengan senyum tipis, anggukan kecil.
“Daftar sebulan lewat ni...” Tiada niat nak menegur, cuma sekadar berbasa basi. “Tapi tak apa. No problem...” Dia menaip sesuatu di komputer, kemudian berhenti sebentar, merenung Andrey dengan mata yang seperti tahu lebih banyak daripada yang diucapkan.
Kalau ikutkan, awak dah boleh mula tahun lepas,” katanya perlahan, seolah-olah bercakap lebih kepada dirinya sendiri. “Tapi, tak kisah bila, yang penting mula.” Dia senyum. Matanya memandang wajah Andrey, agak lama. Kemudian dia menaip pantas.
Andrey tidak membalas, sebab dia tahu, itu benar. Baru hari ini jiwanya sampai.
“Minimum empat subjek, ya, dik. Awak kena pilih satu lagi. Kalau nak tambah lagi dua pun boleh...”
Pernyataan itu memenuhkan fikiran Andrey yang kosong, tak terfikir langsung tentang syarat minima tersebut. Mungkin dia terlepas pandang semasa mengisi borang.
Dia memerhati sekeliling, mencari tanda-tanda, lalu matanya tertangkap pada sebuah skrin kecil di sudut ruang; televisyen yang menayangkan berita ekonomi dan laporan saham. Graf turun naik, angka bertaburan, wajah serius pembaca berita melintas sekilas.
“Ekonomi,” dia menjawab hampir tanpa sedar.
Wanita itu mengangkat kepala, keningnya terangkat sedikit, mengukur Andrey dengan pandangan penuh tanda tanya. “Pelik kombinasi ni...” katanya, ketawa kecil sambil menaip. “Awak nak jadi apa, sebenarnya?”
Satu senyuman nipis terukir di bibir Andrey. Senyuman letih, bercampur dengan sedikit lega. “Saya nak jadi saya.”
Dia diam sejenak, sebelum melanjutkan mengalirkan jawapan, keluar lebih jujur daripada fikirannya. Lancar.
“Dalam ekonomi, kita perlukan strategi. Dalam psikologi, kita baca manusia. Dalam falsafah, kita cari makna. Dan semua itu... kehendak biologi.”
Wanita itu ketawa perlahan, sambil menggeleng kepala. “Wah, ni betul-betul falsafah. Good luck, dik,” katanya, sambil menutup fail pendaftaran dengan satu ketukan perlahan.
Dan pada saat itu, saat sepi melengkung di antara dua manusia, Andrey terhidu sesuatu. Haruman.
Haruman halus, manis, seperti bau yang pernah hinggap di dalam dunia mimpinya. Bau yang membawa kenangan tentang tempat-tempat yang belum pernah dia jejak. Kenangan yang terasa seperti rumah.
Dia menoleh perlahan, mencari sumbernya. Tapi ruang itu kosong. Hanya ada dia dan kakak kerani. Dan bau itu berlegar di udara, seperti salam bisu dari sebuah pintu rahsia.
“Awak OK?” Kerani itu bertanya, bingung.
Andrey menarik nafas dalam. Kemudian dia melepaskannya dan menjawab, “air freshner kolej ni... macam bau bunga yang tak tumbuh kat bumi.”
𝄞
Ruang makan kekal seperti selalu.
Suasananya juga tak ada yang berbeza. Mak menyenduk nasi, abah hirup sup perlahan, Andy pandang telefon sambil tersenyum kecil. Amanda dan Anis petah berceloteh tentang pertandingan bowling siang tadi.
Andrey kunyah nasi pelan-pelan, seiring irama hatinya berubah rentak. Dia tahu kata-kata yang akan keluar dari mulutnya malam ini, sekecil mana pun, akan mengubah ruang yang dah bisu sejak setahun lalu.
Tanpa banyak gimik, tanpa perlu menunggu momen dramatik, dia membuat pengumuman. Suaranya jelas, tegas walaupun kedengaran seperti bisikan malas angin petang, berputar di celah-celah dedaunan senja.
“Saya dah daftar. Lusa saya mula."
Mak pandang tepat ke matanya. Abah mendongak dari pinggan. Andy, letak telefon atas meja. Kedua adik perempuannya, diam. Dunia kecil di meja makan mengambil masa untuk mencerna berita itu untuk beberapa saat.
Senyuman mak bagai menghidupkan suis yang terpadam. “A’Level?” Lembut mak bertanya. “Atau Akademi Seni?” Mak melirik ke wajah abah. Dan mata abah merenung tepat ke mukanya, lama; menyembunyikan harapan dalam tatapan yang dalam.
Andrey senyum, yakin. Renungan abah dia balas dengan satu kekuatan baru yang entah dari mana datangnya.
“I believe there must be a reason beyond a reason.”
Dia nampak ada senyuman di mata abah walau garis wajah orang tua itu tetap keras.“This is a stepping stone,” ujar abah, ringkas tapi padat. Kata-kata itu menusuk ke segenap rongga kewujudan Andrey.
Selepas musim sejuk yang tak tercatat dalam mana-mana kalendar atau iklim dunia, dia tau, itu bukan jawapan. Bukan kemenangan. Bukan juga penentuan.
Namun di sebalik semua itu, dia nampak sejalur sinar mula menyimbah sebuah lorong gelap.

Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!