Memuatkan resonansi…

10.2 Pembebasan


Bab 10.2 Pembebasan

Yang penting, kita jadi kita.
𝄞
Belakang bangunan jadi destinasi lepas rehat pagi. Tempat tu orang tak berani datang. Katanya keras. Ada hantu. Pernah berlaku kejadian histeria, kelibat, suara, pelajar kerasukan — macam-macam versi, macam-macam cerita. Tapi lama dah Andrey jadi penunggu kawasan tu, tak pernah sekali dia nampak hantu.

Satu-satunya hantu kat situ… dia sendiri.
Dialah penunggu. 
Dialah penampakan. Dialah hantu.
Dialah suara itu.

Hari ni, Jacques tak meneman. Lepas makan, terus ke mesyuarat Kelab Memanah. Ada diajak tadi, tapi Andrey tak berminat sangat bersukan. “Nantilah,” katanya.

Selepas sebatang rokok, Andrey teruskan niatnya — ke bilik Seni & Kebudayaan. Niat yang dah lama terpendam. Hatinya dipanggil-panggil untuk kembali semula ke ruang itu. Kenapa? Dia sendiri susah nak jelaskan.

Cikgu Fauzi menyambutnya dengan wajah ceria. Dua tahun pertama di TBC, Cikgu Fauzi lah yang banyak mendidik Andrey dalam seni lukis. Hari ini, beliau mengukuhkan lagi keyakinan bahawa anak murid lamanya itu telah buat keputusan tepat.

“Bakat, kena gilap. Kalau simpan, dia karat,” kata cikgu Fauzi. Andrey hanya angguk, setuju.

“Lepas awak tinggalkan TBC, banyak dah berubah. Kita pun dah ada presiden kelab baru. Saya pun dah nak bersara, tinggal jadi penasihat je. Tapi hari ni dia ada meeting dekat PPD, jadi awak jumpa saya dulu. Nanti saya sampaikan.”

Memang selama ni dia sengaja jauhkan diri dari kelab. Tawar hati bukan hilang minat. Kecewa.
Kecewa sebab impian tak kesampaian.
Kecewa sebab Akademi Seni hanya jadi kenangan.

Andrey pernah berjuang sendiri untuk masuk Akademi Seni. Lepas O-Level, dia telefon sendiri, ambil borang, siapkan demo tape — satu lagu ciptaan sendiri, satu cover. Dihantar sendiri. By hand. Dipanggil uji bakat. Hadir penuh harapan, bawa gitar. Pensyarah perempuan beri pujian. Katanya: “You have soul in your voice.”

Tak lama lepas tu, surat diterima: Tahniah. Anda diterima masuk Diploma Seni Muzik.
Dia gembira. Mak pun bangga. Andy? Sokong.

Tapi abah? Surat itu umpama surat khabar yang lebih banyak cerita dari berita.

“Buang masa melepek kat rumah. Apa kamu nak jadi?” Bentak abah di meja makan.

“Macam mana nak ada progres bila saya depres? Besar sangat ke permintaan saya? Cuma nak masuk Akademi Seni...” Luahnya; bukan kepada abah, tapi kepada mak. Dengan abah, dia tak pernah berani.

Just go with the flow, sayang. Dua tahun je,” pujuk mak.

Akhirnya, dia akur. Letih. Segala usaha — rakam demo, uji bakat, surat, harapan, hangus begitu saja.

Kemasukkan ke TBC mulanya membosankan. Namun tiba-tiba, Andrey dapati, dia tak lagi berputar dalam gelap. Satu wajah menjelma, menjadikan ruang itu tempat yang ingin dia tuju tiap hari. 

Cikgu Sophia.
Wanita itu telah menjadikan Tasik Biru College tempat ibadat. Semangatnya kembali pulih. Dan permintaan abah terasa seperti satu restu, bukan hukuman.

“Kelab kita dah pindah ke Blok C. Awak tahu?” tegur Cikgu Fauzi.
“Tak tahu. Kenapa tak buat kat sini je?”
“Blok C lebih strategik. View dia cantik. Bilik besar. Sekarang kelab ni buka untuk semua. Dan saya harap, awak, dengna bakat yang awak ada, akan jadi inspirasi untuk adik-adik junior.”
“Saya cuba…” jawab Andrey.

Dia ikut cikgu Fauzi ke bilik baru — AC Club, nama pun dah ditukar. Dinding-dinding bilik penuh lukisan. Ada yang dia cukup kenal; karyanya yang pernah jadi juara dalam pertandingan lukisan dua tahun lepas.

Mereka mengelilingi ruang itu sambil bercerita tentang lukisan dan AC Club. Langkah Andrey terhenti di hadapan sebuah lukisan lanskap — bumi dan langit bersatu dalam harmoni warna. Ada nyanyian senyap dalam lukisan itu. Ada jiwa yang jujur di sebalik sapuan kuas.

“Presiden kelab kita yang lukis tu. Apa pendapat awak?” tanya cikgu Fauzi. Guru itu sedar, pelajarnya sedang mengagumi keindahan di atas kanvas tersebut.

“Hebat…” Itu saja mampu Andrey ucap. 

Cikgu Fauzi ketawa. Dan satu ayat selepas itu buat dunia Andrey terbalik. “Saya harap awak tak toreh kereta dia lagi.”

Andrey ternganga. “Seriously?”

Cikgu Fauzi mengangguk. “Nak tengok lagi? Jom...” Dia menolak sebuah pintu kayu yang memisahkan ruang pameran dengan bilik seni.  

“Setiap Sabtu, dia datang sini melukis. Jadi, bersedialah. Dia mungkin cikgu ekonomi, tapi sekarang... dia juga... ketua awak dalam dunia seni.” Terang cikgu Fauzi. 

Andrey berjaland ari satu dinding ke dinding. Dari easel ke easel. 
Semuanya... Rina?
Dia kelu.

Borang penyertaan dihulur, tangan Cikgu Fauzi singgah di bahunya.
Let bygones be bygones, Andrey. Saya pasti Cikgu Ireena akan bangga bila terima borang ni.”

Macam mana aku boleh tak sedar?
Presiden AC Club?
Rina? Pelukis?

Andrey pegang borang. Ditenungnya kertas tersebut, seolah minta mata tolong isikan.

Adoii...
Tangannya mula menggaru kepala.
𝄞
“Jacques, kau nak join AC Club tak?”
“Apa kebendanya tu? Kelab lumba haram ke?” Jacques buat muka blur, sengaja mainkan nada.

“Kalau haram, tak ada pakai ‘kelab’ lah, monyet.”
“Ye tak ye… habis kelab malam tu halal lah ye?”

Mereka berdua berdekah. Gelak kuat sampai beberapa rakan sekelas menoleh. Ada yang senyum, ada yang geleng kepala.

“Kelab Seni & Kebudayaan lah, bongok. Halal. Seratus peratus guaranteed.”

Jacques angkat kening. “Seni tu aku faham. Kebudayaan tu… macam mana? Berpantun sambil makan lemang ke?”

Andrey geleng, malas layan drama Jacques. “Ada banyak cabang. Muzik, seni lukis, tarian, performance… macam-macam. Kau pilih je mana suka. Tak wajib join semua.”

“Ooo… aku ni jenis keras. Tak reti benda-benda beremosi.”
“Kau minat muzik?”
“Tak.”
“Melukis?”
“Tak.”

Andrey tarik nafas panjang. “OK... Forget it.”

“Baik.” Jawab Jacques, pendek. Tangannay menyeluk poket beg galas, keluarkan Game Boy. 

Andrey perhati sekilas. Game Boy? Dia menyiku lengan Jacques. “Monyet, cubalah. Mana tahu ada bakat terpendam? Jangan asyik main game. Jadi empat segi kepala kau nanti.”

Dengan mata melekat penuh pada skrin, Jacques tersengih sambil berkata, “sebenarnya kau nak aku teman kau, kan, kambing?”

Ketawa kecil pecah dari kotak suara Andrey. Tertangkap. Nak tak nak, dia terpaksa mengaku. 

“OK. Nanti bawak aku daftar.” Tanpa menoleh, Jacques bagi persetujuan.

“Thanks, buddy.” Spontan Andrey peluk Jacques. 

“Hoi! Apa peluk-peluk ni?! Geli lah!” 

Jacques tolak Andrey sambil ketawa. Tapi matanya ada sinar. Sinar seorang kawan yang tahu dia baru saja menyelamatkan seseorang daripada rasa sunyi yang tak terucap.

𝄞
Selesai sekolah, Andrey terus ke tempat letak motor. Jacques menemani sebelum dia ke tempat letak kereta.

“Aku still tak dapat bayangkan macam mana singa gunung tunggang motor ni,” Jacques sengih, kaki berayun malas. “Aku pun teringin nak jadi biker, tapi kaki pendek.”

“Aku tak mampu pakai kereta macam kau.”

“Hahahaha, bro… Kau ni naif ke apa? Kalau bukan mak bapak aku sponsor, memang merangkak la aku. Jangan puji lebih, aku pun barai.” Jacques ketawa dari dada. 

“Kucing-kucing aku tengah tunggu tu. Lisa je tak nak ikut, tak tau apa hal. Entah apa perangai si kucing seko tu. Tapi yang lain OK. Dah janji nak bawak lunch. Lepas tu…” Jacques ketawa sambil betulkan kolar bajunya. “Aku cerita esok. Tapi kau betul tak nak join?”

“Tak nak. Aku mengantuk, nak balik membuta.”

Bahu Andrey Jacques tumbuk. Ketawanya lebih panjang. “Ada banyak lagi nikmat dunia selain membuta.”

“Aku dah serik pasal malam tu. Apa yang seronok sangat? Serabut adalah.”

Jacques berdiri tegak. Wajahnya serius seketika. “Kau belum rasa... esok kalau kau dah berani rasa, baru kau tau dalam neraka pun ada syurga.”

Kalimah itu Jacques tinggalkan kepada Andrey. 

Duduk atas Aprilia, Andrey melayan dunia sunyinya. Rokok disuakan ke bibir, api dinyalakan. Fikiran melayang bersama asap yang menyatu dengan angin. Nafas dilepas perlahan. Dari jauh, dia dengar gelak tawa Jacques and The Pussy Cats.

Begitu mudah Jacques bergaul. Cepat dapat perhatian. Senang dapat kawan. Senang bertemu People Like Us.

Sedangkan dia? 

Tiga tahun di TBC, Rinalah satu-satunya PLU yang dia kenal, yang pernah mengajak berbual tanpa berselindung. Itupun baru-baru ni je, sebab perang pulak tu...

Jacques? Hari pertama sekolah je dah rapat dengan empat, lima orang… 

Memanglah... Jacques pandai hidupkan suasana. Bukan macam kau. Kau tu pendiam. Singa pun tak thrill nak terkam.

“OK…” Andrey diamkan otak, dah penat dengan kepala sendiri yang lebih ringan dari mulut.

“Andrey, tunggu sapa?” Satu suara menyapa dari belakang. 

“Lisa…” Andrey sedikit tergamam, tak menyangka gadis pendiam itu akan menegur dia.

“Awak tau nama saya? What a surprise…” Tangan Lisa bersilang memeluk buku, berdiri di hadapan Andrey yang masih duduk di atas motor. 

Penampilan Lisa sederhana saja, t-shirt dan jeans. Pernah sekali dua Andrey nampak Lisa di perpustakaan awam bandar itu. Seorang diri.

“Kalau kenal The Chicks, mesti tau semua ahlinya, kan?” Balas Andrey lalu soalan yang tak dapat dijawab Jacques diajukan kepada Lisa. “Jacques selalu cerita pasal The Chicks. Diorang baru je gerak pergi lunch. Kenapa tak ikut?

“Saya tak selesa.”
“Awak ni lain sangat dengan diorang tu. Macam mana boleh klik?”

Lisa tolak cermin matanya yang melurut sikit ke hidung. “Rosy mintak saya ajar Fizik. Lepas tu dia kenalkan dengan kawan-kawan dia. Saya OK je. Yang penting kita jadi kita, kan?”

“Betul... Biar tersesat, jangan terpesong.” 

Kata-kata Andrey itu membuat Lisa kerut dahi tapi dia hanya ketawa kecil. “OK… So, apa awak buat kat sini, tunggu siapa?” Dia mengerling jam di tangan.

“Tunggu masa... ” Jawab Andrey. Dia sendiri sebenarnya tak tau apa yang dia buat dan tunggu di situ.

“Awak?”
“Baru habis meeting kelab tenis. Pukul lima ada latihan.”
“Oh. Awak aktif sukan ya?”
I love sports. Lepas ni awak nak balik terus?”
“Ha ah… Ngantuk, nak siesta. Penat.”

Lisa mengangguk, senyuman tak lekang dari bibirnya. “Kalau mengantuk, kenapa tak balik terus je?”

“Saja duduk kejap, ringankan otak.”

“Kalau rajin, nanti boleh join saya main tenis.”
 Sebuah kereta berhenti di luar pagar. “Oh... Kereta saya dah sampai. Jumpa lagi, Andrey. Nice talking to you.”

Sebelum masuk ke dalam kereta, sempat Lisa menoleh dan berpesan, “don’t smoke too much. Not good for your health.”

Andrey hanya senyum. Tangan diangkat. Satu kesimpulan dibuat:
Lisa seorang gadis yang menarik. Walaupun tak menonjol macam Rosy and The Chicks, dia tetap menyerlah dengan cara sendiri. Dan yang penting, dia  sopan. 

Sekurang-kurangnya, Lisa tahu macam mana nak ketawa tanpa mengganggu bumi.
Not every reader is chosen to share:

The Endless Resonance

Struggling with something? Let Us Know
Comments

Comments [0]