Memuatkan resonansi…

3 Mimpi


Bab 3.0: Mimpi

Ilustrasi gaya lukisan minyak menggambarkan sebuah gereja usang bernama "Maria" di tepi laut ketika senja. Di latar, dua bot nelayan dan pohon kelapa berdiri sunyi, dikelilingi cahaya keemasan yang lembut. Suasana penuh misteri dan tenang, tanpa kehadiran manusia, menggambarkan dunia mimpi yang sunyi dan spiritual.
Love is God

𝄞
Andrey terjaga. Nafasnya terhenyak, bagai baru dipetik dari hujung mimpi yang bergulung-gulung. Jantungnya memukul dada. Satu, keras. Dua, lebih ganas. Bilik itu gelap, pekat. Hanya detik jam di dinding berbunyi perlahan, seperti langkah kaki yang berjingkit di atas lantai. 

3.30 pagi. Waktu hantu. Waktu di mana dunia memilih untuk berbisik. Peluh dingin meleleh di pelipisnya. Namun ada sesuatu yang lebih sejuk dari peluh; rasa aneh dan sunyi yang menghantui dari dalam. Rasa yang tak bernama, tak berwajah, hanya berdegup perlahan di tepi nadi.

Mimpi itu lagi.

Andrey pejamkan mata, cuba mengingat semula bayang-bayang yang mula mengabur. Namun serpihan-serpihan itu, seperti serpihan kaca di dasar laut, tetap menari perlahan dalam ruang fikirannya, menolak untuk pergi, menuntut untuk dilihat.

Pantai berbatu. 
Laut berbalam.
Warna kelabu biru bergelut, cuba merebut langit. 
Bot-bot nelayan bergoyang perlahan, tidak gentar pada ombak. Tunduk dan patuh pada desahan angin.
Pohon kelapa melambai. seolah-olah memanggil pulang. 
Sebuah kedai makan kecil; separuh kayu, separuh batu, beratap nipah lusuh yang ranap dimamah masa. Tanda nama di atasnya sudah kabur; huruf-huruf separuh hilang, separuh bertahan, macam kitab lama yang enggan dilupakan.

Andrey berdiri di hadapan kedai itu. Kakinya berat. Terasa pasir dan angin bergabung, cuba menahan langkah. Dadanya berombak kecil, dihimpit rasa yang pelik: asing tapi berakar.

Ada sesuatu di situ. Suara yang seakan bercerita dengan getar rasa, tanpa suara, mengisi rongga udara. Helanya mengetuk tulang rusuk, menggesel perlahan bahagian terdalam hati yang dipanggil.

Kerusi dan meja bertaburan. Ada yang bersandar separuh patah, ada yang tegak, seakan menunggu pelanggan baru atau yang tak akan pernah tiba, atau baru menyaksikan pelanggan terakhir yang pergi selamanya Meja dan kerusi itu bukan sekadar perabot, tapi saksi bisu; mengintai dari celah-celah retak masa.

Langkah Andrey bergerak sendiri, berhati-hati menyeberangi sempadan antara lantai berdebu dan simen di bawah tapak kaki. Udara dari dalam kedai menerpa bila pintu dikuak. Bau masin laut bercampur dengan manis bau kayu basah. Ruang dapur itu kelam. Cahaya matahari petang menyusup masuk melalui celahan atap, membentuk tompok-tompok emas di atas lantai berdebu. 

Periuk-periuk berkarat, rak kayu bengkok, dan sisa bau santan basi yang entah dari zaman mana.

Tiada manusia. Tiada suara. 
Namun ruangan itu terasa penuh. Penuh dengan sesuatu yang tak dapat dilihat. 
Masa? Kenangan? Atau janji?

Dan di situ, dalam hening yang berlapis-lapis, suara itu bergema lagi. Bukan di telinga. Ia bergema dari dalam dada. 

“Ini pelabuhan.”

Andrey terpaku. Telinga batinnya mendengar kata-kata itu lebih kuat daripada apa-apa suara duniawi, seolah-olah mimpi itulah kenyataan dan tempat itu, kedai itu, lebih nyata daripada dunia luar.
Namun belum sempat dia menapak lebih dalam, dunia menariknya kembali ke pagi.

Dia terjaga dengan satu dentuman sunyi, seperti pintu antara dua dunia baru saja terhempas di belakang.
Lampu tidur dinyalakan. Tangannya meraba sisi katil, mencari buku kecil berkulit lusuh — jurnal mimpi yang setia mencatat serpihan rahsia malam. Halaman baru dibuka. Dengan tangan yang sejuk dan mata yang belum pulih dari gelora mimpi, Andrey mula menulis.

Setiap inci ingatan yang sempat dirangkul, dia jalin dalam huruf-huruf kecil, menari dari tangannya sendiri. Garis-garis kabur dilakar: pantai berbatu, bot, pokok kelapa, kedai makan usang, dan suara yang menyebut ini pelabuhan

Mungkin ini lebih dari sekadar bunga tidur. 
Petunjuk? Peringatan? 
Atau mungkin, undangan?

Dan dalam sunyi yang masih berselimut pekat, satu soalan terbit dari relung yang dalam. Lebih dalam dari mana-mana malam yang pernah dia lalui:

Siapa aku dalam mimpi itu?
Dan yang lebih meresahkan —
Kenapa aku masih berdiri di ambang pintu...?
𝄞

Kafeteria sekolah petang itu sunyi dari hiruk-pikuk, seolah berpuasa dari kebisingan. Hanya bunyi sudu berlaga, helaian kertas diselak dan helaan nafas para pelajar yang kian sesak dengan debar peperiksaan. Matahari melorek cahaya emas di permukaan meja kayu, menambah dramatis pada hari yang sudah cukup berat dengan tanda soal masa depan.

Andrey duduk bertentangan dengan Arni, gadis yang sentiasa tahu apa yang dia mahu, dan tak pernah ragu apalagi malu untuk mengatakannya.

“Aku nak apply Unitech,” katanya sambil mencoret sesuatu di buku nota, entah lakaran bangunan atau hanya impian yang hampir jadi nyata.

“Unitech tu, Rey...” suara Arni sarat dengan impian yang dah separuh jadi nyata. 

“Bayangkan... studio seni bina dia. Meja-meja lukisan, kertas tracing melekat kat permukaan, sketsa pensel keras-lembut. Tapi sekarang semua orang dah mula guna AutoCAD.”

Andrey angkat kening, “AutoCAD? Yang tu yang macam… lukis dalam komputer tu?”

“Ha’ah. Versi 2002 dah keluar tau. Kau boleh lukis pelan atas skrin, zoom masuk keluar, copy paste. Tapi ayah aku kata, jangan lupakan asas. Kena tahu lukis dengan tangan dulu. Kalau tak, AutoCAD tu kosong je.”

Dia menyandar, terawang-awang.

“Bayangkan satu hari nanti, aku ada studio sendiri. Kombinasi bau kertas lukisan, printer plotter besar tengah mencetak pelan, bunyi klik mouse dari meja belakang… dan aku, tengah explain reka bentuk kat klien yang tak faham pun beza antara grid dan garisan kontur.” Bersungguh Arni menceritakan mimpi dan impiannya.

Andrey senyum. Kosong. Fikiran dah terapung jauh. Cuba letakkan diri dalam dunia Arni, jadi arkitek macam yang dia cakap kat abah masa makan malam tempoh hari — moden, tech-savvy, tangan kanan pegang mouse, tangan kiri genggam pensel mekanikal. Tapi… masih tak kena.

“Entah lah, Arni… aku bayang macam-macam. Arkitek, pensyarah, cikgu, polis, bomba... Tapi semua tu macam tak fit. Macam pakai baju orang lain.”

Tiba-tiba, dari penjuru kafeteria, jukebox lama yang selalunya memutar lagu-lagu indie remaja hidup dengan nafas yang lebih tua. Suara itu perlahan menyelinap masuk, tenang tapi penuh kuasa…

“Getaran jiwa… melanda hatiku…”

Andrey terdiam. Matanya perlahan-lahan terpejam. Dalam kepala, dia duduk di hadapan sebuah piano lama. Kayunya kekuningan namun nyawanya seperti baru dilahirkan. Jujur. Mentah. Bersih. Andrey membayangkan jarinya menari, suaranya mengalun lirik. Lagu lama itu tak akan pernah tua.

Dia tersenyum.

Arni yang perasan sinar di wajah Andrey, angkat tangan sambil tunjuk ke dada sahabatnya. “Kau tau siapa tu?”

“P.Ramlee. Kalau tak kenal, memang tak berjiwa.”

Arni ketawa kecil. . “Itu bukan P.Ramlee, itu… engkau.” Bahu Andrey ditepuk perlahan.

Andrey tersengih, membayangkan dirinya bermain piano atas pentas mempersembahkan Getaran Jiwa.

“Jiwa kau bukan untuk bina bangunan. Jiwa kau untuk getarkan hati orang.”

Dan saat itu, angin kecil melintas dalam hati Andrey. Sebuah ilham yang tak datang dari buku teks, tak juga dari layar komputer. Tapi dari suara.

Suara yang selama ini dia simpan dalam diam.

Akademi Seni. 
Nama itu mula berbunga dalam fikirannya, sebuah keputusan yang terasa seperti pulang. Tapi secepat itu juga, ia layu, dikoyak oleh satu suara yang lebih tahu, lebih tegas, dan lebih mencengkam. 
Abah nak kamu berdua cemerlang supaya sama-sama dapat masuk program IB. Kalau tak dapat, A’Level. 
Suara Abah bukan saja terngiang malah memetakan jalan; lurus dan sempit tanpa ruang untuk ‘mungkin’. 

Andrey tunduk. Keluhannya tak kedengaran. 
Bunga yang baru mekar, digenggam erat, meramas mimpi yang baru sahaja cuba dilahirkan.

𝄞

Dewan peperiksaan terasa bagaikan dewan penyiksaan, sebuah medan perang. Soalan-soalan bagaikan peluru berpandu yang dilepaskan, dan kini semua tentera berselindung di balik asap dan debu. Siapa pun tak tahu sama ada mereka akan menang atau cuma terselamat.

Kertas pertama tamat pada jam 11.30 pagi.

Andrey keluar dari dewan dengan kepala ringan membawa hati yang berat. Dia menatap langit, mencari sesuatu. Ada sinar tipis menembus dari celah awan, membentuk sebuah janji yang masih ragu-ragu.

Di depannya, Arni melambai bersama sepotong roti krim di tangan dan senyum nakal di wajah. 

“Aku rasa kertas tadi aku makan!” Katanya. Roti dihulur kepada Andrey yang ketawa kecil; tawa lega yang keletihan. 

“Kenyang?” 
“Kenyang... cukup kalau nak puasa.”

Mereka ketawa bersama, macam selalu. Tawa yang ringan, membebaskan. Tawa yang hidup, bernafas tanpa beban. Kasut sekolah yang ketat dibuka dan dilemparkan ke tepi. Mereka berjalan di atas rumput hijau padang sekolah yang basah lembut selepas hujan renyai.

“Kau rasa tu?” tanya Arni, matanya berkelip memandang wajah Andrey.
“Getar?” 
“Yup... ni, bawah tapak kaki...”

Arni menghentak-hentak kaki ke rumput, merasakan getaran sambil mencipta getaran baru sebelum berlari ke hujung padang, meninggalkan Andrey sendirian, tersenyum, merasakan getaran yang sama di bawah tapak kakinya.

𝄞

Mimpi itu datang lagi. Kali ini, bukan lagi bayang. Ia lebih nyata. Lebih tenang. Lebih terang.

Dia berjalan di sepanjang laluan berbatu yang tidak berhujung. Pasir dan kerikil berderak lembut di bawah tapak kaki. Di sisi, seseorang berjalan bersamanya. Wujudnya dirasai, seperti kehangatan di sejuk malam, tapi wajahnya kekal di balik tirai, tak terlihat. Suaranya tidak datang dari mulut; ia datang dari mana-mana dan tidak dari di mana-mana. 
Bukan ombak, bukan angin, bukan langit, bukan awan. 
Namun, gemanya membuat pasir ingin memeluk lautan.
Love is God.
Tiga kata. Itu saja. 
Kata-kata itu tidak disebut; ia ditanam. Ia bergaung, berlapis makna, seolah-olah sebuah wahyu kecil yang terukir indah di seberang langit.

Andrey menghentikan langkah, memerhatikan sekeliling sambil mengawal nafas yang tiba-tiba terasa terlalu besar untuk dadanya yang kecil. Jiwanya seperti terangkat ke satu ruang yang tak memerlukan bentuk, sebuah ruang yang menundukkan dia, memaksanya melihat bumi dari ketinggian itu.

Dan bila wajahnya diangkat, dia mendapati dirinya bukan lagi di jalan itu. 

Dia berdiri di puncak sebuah bukit. Laut lepas membentang luas di hadapan. Birunya bukan sekadar warna, tapi rasa... sebuah perasaan damai hakiki. 
Di belakangnya, berdiri sebuah gereja usang. 
Dindingnya luluh dimakan masa, tapi masih tegap, setia menunggu sesuatu atau seseorang. Di gerbangnya, tertulis satu nama. Tulisan itu lusuh, ditelan oleh lumut, tapi masih jelas dibaca.

Maria.

Dan sebelum sempat dia melangkah lebih dekat, mimpi itu terlerai. Ia jatuh seperti tirai sutera, menutup babak di atas pentas, dalam podium tak berpenonton.

Dia terjaga. Waktu yang sama seperti sebelumnya — 3.30 pagi. 
Sunyi. Bukan sepi... 
Sunyi itu terasa seperti seluruh dunia sedang menahan nafas, berhenti untuk mendengar satu rahsia kecil dari alam yang tak terlihat. 

Dari langit, mungkin?

Tangannya, tanpa perlu berfikir, meraih jurnal mimpi di meja sebelah katil. Jarinya seperti sudah tahu apa yangperlu ditulis.
Love is God. Gereja Maria. Laut menelan suara... They have something to share. They know something. Maybe... everything... 
Cacatan dinoktahkan. Jurnal ditutup.
Matanya kembali menatap langit bilik. 
Sesuatu dalam dirinya berkata, 
mungkin mimpi-mimpi ni bukan nak tunjuk jalan keluar...
Mungkin ia memandu dalam. Ke jalan yang paling dalam.
Ke dalam diri.

Not every reader is chosen to share:

The Endless Resonance

Struggling with something? Let Us Know
Comments

Comments [0]