3.1 Mimpi Yang Tertangguh
Bab 3.1: Mimpi Yang Tertangguh
![]() |
| Jangan buru cahaya. Duduklah dalam gelap. Dengar degup sunyi. Biarkan jiwa mengingat dirinya sendiri. |
Peperiksaan akhir tamat tanpa gempak gempita, tanpa tanda seru. Dan kebebasan sementara yang ditunggu-tunggu pun datang. Petang selepas kertas terakhir, ada perjumpaan kelas, sebuah parti kecil sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.
Mereka bercerita tentang masa depan. Perancangan, harapan, percutian dan entah apa lagi. Ada yang nak teruskan pelajaran, ada yang nak terus mula bekerja. Di kelilingi lautan kata-kata, Andrey adalah sebuah pulau. Dia mendengar tanpa mencelah, sesekali senyum sambil hirup teh O dan jamah goreng pisang yang Arni belikan.
Andy, si kembar pula, pulang dari asrama, membawa cita-cita yang menyinarkan harapan ke wajah abah dan mak.
Seperti seorang pengembara pulang dari sebuah perjalanan jauh, sorotan mata Andy kini lebih dalam, membawa lelah yang tidak dapat dipindahkan ke dalam kata-kata. Andrey nampak semua tu, setiap kali Andy disoal abah dan menjawab dengan senyuman penuh yakin.
“Jom kita camping, healing sikit.” Ajak Andy selepas makan malam, yang lebih kepada sesi soal siasat dan soal jawab. Andrey setuju dan abang kembarnya itu juga bersetuju bila Andrey minta kebenaran untuk menjemput Arni dalam perkhemahan kali ini.
Rancangan berjalan lancar dan hujung minggu itu, mereka bertiga bertolak ke tapak perkhemahan di Terusan Tasik Biru. Pilihan mereka ialah sebuah lokasi agak tersorok, jauh dari laluan biasa.
Langit malam terbentang seperti lembar kitab purba, menawarkan jawapan kepada rahsia untuk jiwa yang berani membukanya. Mereka berbaring , beralaskan di bawah langit, atas tikar lusuh dan bantal dari beg galas. Unggun api menyala perlahan, membakar waktu, memanaskan hati.
Arni, seperti biasa, berbicara dengan semangat yang tak tahu letih.
“Jadi arkitek ni, korang tau…” katanya sambil membancuh kopi untuk mereka semua. “Bukan sekadar bina bangunan. Aku nak cipta ruang yang hidup. Ruang yang bila orang masuk, rasa diterus rasa selamat. Rasa... this is home.”
Andrey diam, menatap bintang, cuba membacanya satu-satu. Tompokan bintang-bintang itu saling berkait, seolah membentuk impian Arni di dada malam.
“Korang tau kenapa aku nak jadi neurologist?” Tanya Andy, teruja untuk bercerita tentang impiannya.
“Aku nak faham camne otak simpan cahaya, simpan luka, simpan cinta. Camne neuron yang tak kenal huruf, boleh hasilkan puisi sampai yang boleh buat orang menangis. Kalau aku boleh dengar saraf manusia macam dengar detak jantung aku sendiri, mungkin aku boleh cari kat mana letaknya kebenaran antara fikir dan rasa. Antara sains dan jiwa. Antara logik dan magik.”
Andrey tak menyampuk. Dia merenung impian Andy itu macam menonton satu kisah yang dah tertulis tapi belum pernah diceritakan dengan jelas. Cita-cita orang lain adalah peta yang sudah jelas jalannya. Sedangkan dia… Masih memegang kompas yang berputar mencari utara.
Kata-kata Andy dan Arni berputar dalam benaknya. Masing-masing bersinar dengan cara sendiri, membentuk galaksi indah tergantung di atas sana. Dan itu menyedarkan Andrey tentang sesuatu. Dia tak perlu cipta galaksi. Dia hanya perlu menyusun bintang-bintang dalam galaksi yang sudah sedia wujud di dalam diri sendiri.
Sambil tunduk, jari-jarinya menyentuh hujung daun kering yang gugur di tanah. Perlahan, dia hancurkan daun itu antara ibu jari dan telunjuk, cuba faham bagaimana sesuatu yang pernah hidup bertukar menjadi begitu rapuh.
Arni menolak abu dengan ranting.
Andy masih menatap langit, menghantar rahsia yang hanya bintang mampu simpan.
𝄢
Sedar Andrey masih belum masuk tidur, Arni keluar dari khemah dengan rambut dibiarkan tak berikat. Dia menghampiri Andrey yang masih duduk mengadap unggun sendirian. Dari khemah sebelah, dengkuran Andy sayup-sayup kedengaran, menyanyi dengan suara cengkerik.
“Aku tunggu kau masuk tidur. Tapi kalau kau nak borak, aku teman. Bukan selalu kita dapat camping camni. Esok bila habis sekolah, entah ke mana kita... bawak diri masing-masing.”
Dan dalam tidur berselimut angin dan langit, Andrey mencari. Bukan jalan. Bukan arah.
Sedangkan di sisinya, Arni bersinar. Dan Andy, seperti bintang yang tak pernah terpadam, cemerlang.
Langit masih biru.
Burung masih menyanyi.
Bunga masih menari dengan angin.
Tapi di dalam, Andrey pecah.
“Rey, IB mungkin bukan pintu untuk kau. Aku percaya, pintu kau ada kat Akademi Seni.”
Di sisi, Arni menyentuh lembut bahunya.
Andrey cuba mengukir senyum. Kelat. “Kalaulah abah aku faham macam mana kau faham aku...”
Itulah yang paling dia takutkan, jauh lebih kuat dari segala ketakutan —
𝄞
Langit tergantung rendah, seolah-olah dunia juga sedang menahan tangis. Di ruang tamu yang sering jadi tempat bersembang kini jadi medan penghakiman. Abah duduk bersandar di sofa yang pernah jadi saksi tawa mereka adik-beradik. Tapi hari ini, suasana itu seakan diikat kabus tebal. Bukan saja tebal, malah beku.
Andrey berdiri di depan abah bersama dada yang jauh lebih berat dari kertas itu nipis itu. Slip keputusan bertukar tangan. Abah tak menunggu penjelasan.
“Your result is very disappointing.”
Kertas itu dibaling. Bukan sekadar ke arah Andrey, tapi ke mukanya, ke jiwanya.
“This is not what I expected. Memalukan!”
Andrey tergamam. Dunia seperti tergelincir dari paksi. Pedih kata-kata itu tidak menjerit namun, peritnya menikam. Sakitnya seperti luka disimbah cuka.
Hati menggigil. Dia cuba berdiri tegak walau lutut rasa goyah.
“Saya nak sambung belajar kat Akademi Seni…” katanya dengan suara seikhlas doa. Kata-kata Arni turut sama menggema di ruang itu.
“There's always another option if I don't deserve university. A better option, indeed.”
Dia cuba membela diri. Bukan nak tunjuk degil. Bukan nak protes. Tapi kerana hak. Kerana tahu, jiwa tak patut disuruh, dipaksa, apalagi untuk tunduk. Dia mahu diberi ruang memilih. Ruang menjadi versi terbaik.
Namun yang menyambut bukan pengertian. Hanya senyum sinis dan renungan tajam. Tatapan abah menembusi dada, menghancurkan pertahanan terakhir. Kekecewaan yang membara itu menewaskan mata Andrey, dan jatuhlah ia ke lantai. Mulutnya terkunci. Hasrat tergagal di hujung lidah. Harapan dibiarkan gugur tanpa tanah untuk bercambah.
“My wings may be broken, but, abah… flying is not the only option.”
Antara dengar dan tidak, Andrey menyuarakan suara jiwa yang paling dalam.
“Kalau kau nak sangat kejar benda macam Akademi Seni tu...” Abah bersandar, suara dia rendah, berat. Bunyi hampir seperti satu ancaman.“... Buat A’Level dulu. Biar kau clear dengan apa kau nak. Kalau kau boleh tunjuk kau layak, aku akan pertimbangkan. Tapi kalau kau gagal lagi...” Dia berhenti sejenak, matanya menikam tepat ke mata Andrey. “Pandai-pandailah kau nak hidup.”
Rumah berubah sunyi. Bukan sunyi biasa. Ia sunyi yang menelan. Dingin. Macam musim sejuk yang menghancurkan daun dari pokok sebelum sebelum sempat ia gugur dengan hormat.
Andrey memalingkan wajahnya ke arah potret keluarga yang tergantung megah di dinding.
Mak memeluk abah dengan penuh kasih.
Abah berdiri tegap, memegang bahu Andry dengan senyum bangga.
Amanda dan Anis berdiri di tengah, ceria.
Dia berdiri di sebelah mak, merangkul bahu...
Tiada siapa.
Kata-kata abah tadi mengajak dia berfikir, kalau perlu, dia akan lukis di kaki lima, nyanyi di hujung lorong, hidup dari jiwa dan suara, asal jiwanya tidak dibunuh oleh hidup yang bukan miliknya.
Dia yakin dia mampu berdikari. Tapi jauh dalam diri, dia tahu, mampukah hidup seperti itu memberi kehangatan seperti rumah ini? Seperti pelukan mak? Seperti senyuman Andy dan tawa Anis? Gurauan Amanda?
Nak tak nak, dia akur. Terpaksa.
Dan hati yang hampir mati... masih mampu bernafas.
𝄞
Dia makan, bukan untuk kenyang. Sekadar melengkapkan perhimpunan harian keluarga.
Tidur menjadi tempat pelarian paling selamat, paling indah. Dia mula merindukan laut dan pantai berbatu itu. Kedai makan usang dan gereja Maria. Dan yang paling dia rindu ialah suara yang setia menunggunya dalam setiap mimpi.
Dalam rumah besar abah, dia hidup tapi rohnya merayap bebas, meninggalkan jasad bergerak tanpa rasa.
Meja di mana dia pernah mentelaah, mencurah inspirasi, menulis jurnal dan surat-surat untuk Kak Zu, kini bersepah seperti tapak perang. Buku-buku terbuka seperti rahang menganga cari udara. Cermin biliknya kabur, hanya memantulkan bayang makhluk yang bernama aku.
Gitar bersandar di dinding. Berdebu. Tali berkarat. Senyap.
Piano megah yang menghias ruang tamu kedua tak lagi menyanyi seperti dulu. Tak ada lagi melodi jazz yang memeluk malam. Kini, ia diganti dengan melodi klasik pilihan kegemaran mak, Amanda, atau Anis; muzik yang indah, tapi bukan miliknya.
Pembantu rumah menghantar makanan.
Andy menghantar pesanan.
Arni meninggalkan kad dan lagu.
Tapi semua itu seperti jatuh ke dalam lautan yang tiada dasar, hilang tanpa sebarang gema.
Setiap kali laungan azan sayup-sayup kedengaran dari masjid jauh, hati Andrey bergetar. Dia tidak pernah tahu ke mana hendak sujud.
Bila loceng gereja berbunyi, dia teringat pada mimpi-mimpinya. Jurnal dibuka. Setiap kali dia ulang baca, setiap kali itulah dia mendapat gambaran yang berbeza, dilengkapkan dengan sambungan dari mimpi-mimpi baru yang semakin jinak.
Bila bau setanggi yang dipasang mak mengharumkan rumah, dia tahu, Tuhan ada di mana-mana.
Dan setiap kali langit menjadi jingga saat senja, ada suara kecil di dalam dirinya memanggil; “Bangunlah.”
Dalam detik yang paling sunyi, di antara seruan azan dan loceng gereja, di antara harum setanggi dan keindahan langit senja, dia hanya mendengar satu bisikan paling lembut:
Love is God.

Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!