Bab 4.1: Mengait Bintang
![]() |
| Memilih untuk hadir, walau dengan mata separuh terbuka dan hati yang malas untuk berjaga adalah satu keberanian. |
“Kau tak sunyi?”
Soalan itu melayang seperti bulu tangkis yang baru dilepaskan, merentas jaring sempadan dengan putaran lembut, belum jatuh, belum memaksa arah. Ia tidak menghempas untuk mematikan permainan, hanya menunggu jika tangan di seberang bersedia menyambut, dan menghantarnya kembali.
“Sunyi?” Senyuman kecil menjawab dahulu sebelum suara menyusul. Rina menolak daun pintu dewan, memberi laluan untuk Sophia mendahului. Hembusan angin senja menyambut langkah mereka.
“Bukan ke hidup ni macam roda? Siang malam, riuh sepi, tawa tangis. Ada masa aku nak bersesak. Tapi banyak masa… aku pilih sunyi.”
Mereka melangkah seiringan ke arah tempat letak kereta. Peluh masih segar di dahi, sisa perlawanan badminton petang tadi. Rina tewas lagi, tapi menang memang bukan tujuan.
Ia sudah menjadi ritual; setiap petang selepas sekolah, mereka mengejar peluh. Dan di antara degup jantung yang memecah dan nafas yang tercungap-cungap, tubuh mereka belajar sesuatu yang penting — penyembuhan itu sendiri satu kemenangan.
Langit mula mendung. Awan berarak kelabu, lembap dan berat, seperti mata seorang pengembara yang tak mampu menahan airmata selepas terlalu lama menyimpan rahsia. Rina mendongak ke langit, dan setitis gerimis mendarat lembut di hujung hidungnya.
“Kalau kau tak ada… aku sunyi.” Ayat itu terlepas dari bibir Sophia dalam bisikan, tak menuntut balasan. Hanya mahu didengari.
Rina perasan sejak tadi, ada sesuatu yang tergantung dalam kata-kata Sophia tapi dia tak bertanya lebih lanjut. Dia dah kenal sangat sahabatnya itu — jiwa yang tidak boleh dipaksa. Bila dah sedia, penjelasan akan mengalir sendiri. Dan jika tidak, diam itu bermakna Sophia masih perlukan masa.
“Budak yang kau selalu cerita tu…”
Ayat Sophia tergantung. Rina mengerti, Sophia tak pasti bagaimana untuk mulakan bicara tentang ‘budak itu’.
“Kita pergi dinner dulu. Sambil tu nanti boleh kau cerita.” Usulan diberi. Mata tertancap pada jalan di hadapan. Di kepala Rina, wajah Andrey muncul sekejap.
“Elok jugak. Aku pun malas masak malam ni.”
“Good. Tempat biasa?”
“Aku sayang kau.” Sophia smenyandarkan kepalanya ke bahu Rina yang memandu.
Tasik Biru Seafood Corner.
Kedai makan kegemaran Sophia sejak bertahun-tahun. Bagi Rina, makanannya biasa saja, tidak istimewa. Tapi dia tahu, bagi Sophia, tempat ini bukan soal rasa di lidah. Ia soal rasa di hati.
“Hari ni aku belanja,” kata Sophia, menghulurkan senyum gembira.
Awan semakin gelap. Gerimis bertukar renyai, dan renyai perlahan-lahan menjadi lebat. Pemandangan tasik di luar, kabur. Berkabus, dibalut air hujan dan cahaya lampu yang bergetar samar dalam titisan.
“Lepas sekolah tadi, hujan lebat. Ni sambung balik. Harap esok tak hujan. Tak kering baju.”
“Banyak sangat ke baju kau basuh?”
“Yang tak basuh pun banyak.”
“Yelah, baru balik vacation. Kalau baju tak kering, rumah aku ada dryer.”
“Hmm, vacation sangat.”
“How do you feel?”
“Sama je. Macam biasa.”
“Tak nak ke tinggal dengan aku balik?”
Sophia menggeleng. “Bukan tak nak.” Pendek jawapan yang diberi dan Rina mengerti dia ada sebab tersendiri. “Nantilah…”
“Kau tanya pasal sunyi. Kalau kau tinggal dengan aku, tak lah aku sunyi tinggal sorang-sorang.”
“Roda hidup, kata kau tadi.” Ada senyum tawar di hujung bibir Sophia, terharu atas perhatian dan kasih sayang yang Rina curahkan.
“Aku faham kau perlu privacy, tapi kau tau kan, berdua lebih baik?”
“Macam lagu tu?”
“Berdua denganmu, pasti lebih baik...” Rina menyanyi kecil, melontarkan bait-bait lagu yang dimaksudkan.
“Kau boleh masuk bila-bila je kau nak.” Sambung Rina lagi. Nadanya bersungguh walaupun tahu, Sophia tak perlu diyakinkan tentang keikhlasan hati.
“So, apahal dengan budak tu?” tanya Rina, tidak sabar. Tangannya yang lincah mengupas udang, meletakkan isi yang putih dan bersih ke dalam pinggan Sophia, rakannya yang setahun lebih tua.
“Budak?”
“La… tadi kau macam nak cakap something je pasal Si sleepy head tu.”
“Si sleepy head? Budak mana? ”
“Hmm, Phia… Andrey. Kau nak cakap pasal dia tadi, kan? Ke aku salah orang?”
“Andrey…” Sophia mengulang perlahan. “Yes. Of course. Budak tu.” Dia senyum nipis. “Sorry. Aku blank sekejap.”
“Kenapa dengan dia?”
“Petang tadi aku jumpa dia kat kafeteria lepas sekolah.”
“Kau kena replace cikgu Lee, kan?”
“Ha ah…” Sophia berhenti seketika. Jus tembikai dihirup, seolah-olah cuba menenangkan sesuatu di dada sebelum menyambung. “Apa yang kau pernah cakap dulu tu…” Dia mendongak. “Kau betul.”
“So?”
“Aku tak tahu.” Sophia mengeluh perlahan. Jari kirinya memicit dahi, cuba meringankan rasa berat yang tak ada nama. “Aku rasa sunyi… sebak… lepas borak dengan dia tadi.”
“Hujan buat orang jadi reflektif.” Rina melirik ke luar. “Macam sekarang ni. Kau rasa sunyi lagi?”
“Kau ada. Aku lega sikit.” Sophia senyum kecil. “Tapi bila tahu aku kena ajar dia… aku nervous.”
“Don’t confuse nervousness with excitement.”
Sophia ketawa kecil, tapi tak menafikan. “Kau kata dulu… dia lain macam.”
“Budak tu…” Rina berfikir sejenak. “Suka berkhayal. Menung sana, menung sini. Macam tak unmotivated.”
“Introvert?”
“Tak campur orang sangat. Tapi dia rapat dengan Linda.”
“Linda?”
“Ha’ah. Budak ekonomi. Nanti kau kenal lah.”
Penjelasan Rina membawa ingatan Sophia melayang jauh, entah ke mana. Pandangannya terlepas ke arah tasik yang semakin kabur oleh hujan.
“Kadang-kadang…” Sophia bersuara perlahan, “orang pendiam macam dia... bukan tak nak berkawan. Mungkin dia cuma tak tahu macam mana nak mula.”
Kata-kata itu tak benar-benar ditujukan pada Rina. Ia jatuh kepada hujan dan akhirnya… kepada dirinya sendiri.
Rina faham. Ucapan itu bukan penjelasan, tapi pengulangan.
Di mata Sophia, dia nampak seraut wajah sedang tersenyum.
𝄞
Lama sudah Rina perhatikan pelajarnya yang satu itu — si sleepyhead dengan rambut berantakan dan beg sandang lusuh, langsung tak menunjukkan minat terhadap mata pelajaran Ekonomi.
Dari awal lagi, Rina boleh agak: Andrey tak faham apa-apa tentang ekonomi. Tugasan yang dihantar lebih menyerupai prosa dan puisi resah daripada analisis pasaran. Dan yang paling mencabar, budak itu sudah pandai tidur dalam kelas tanpa rasa bersalah.
“Membuta!!!” Seketul kapur, lebih kecil daripada ibu jari, Rina lontar tepat ke dahi Andrey.
Kelas terdiam seketika sebelum pecah dengan suara nakal Fuad di barisan tengah.
“Aduh, mode rage cikgu Rina dah ON. Aku nak keluar jap, tapi macam drama tengah best,” bisik Fuad sambil melipat tangan ala wartawan perang.
“Weyh, ni dah kali ketiga minggu ni,” Mary berbisik kepada Tina di sebelahnya, mulut terlopong kecil.
“Dia tu melampau, tak reti hormat cikgu.” Balas Tina.
Andrey menggosok muka. “Sorry,” katanya malas — separuh sedar, separuh pasrah.
“Awak jolok bulan ke malam tadi?” Rina memerli sambil mengangkat sebelah kening, membetulkan cermin mata yang meleret ke hujung hidung.
“Saya kait bintang.”
Kelas ketawa, terkawal. Mereka faham — cikgu Rina tak boleh dijangka. Sekejap dia minum teh sambil senyum, seminit kemudian dia membebel pasal harga roti keras di kafeteria. Sekarang, dia geleng kepala. Mug Garfield kesayangannya dicapai. Teh panas dihirup, seolah-olah mahu menyejukkan hati sebelum menyambung.
“Kalau awak nak kait bintang, jangan kait impian awak sekali. Nanti bangun-bangun, semua planet pun dah pindah rumah.”
Kelas ketawa lagi. Rina meletakkan mug, kemudian bersandar pada meja guru. Cermin matanya ditanggalkan dan disisipkan ke atas rambut. Dengan mata separuh pejam, suaranya berubah — lebih lembut, hampir dreamy, seolah-olah bercakap dengan langit, bukan manusia.
“Tahu tak… ekonomi sebenarnya bukan tentang duit.” Dia berhenti sejenak. “Ekonomi tentang pilihan. Setiap hari, kita tukar masa dengan sesuatu. Kita pilih nak tidur atau berjaga. Nak ingat atau nak lupa. Nak percaya… atau nak lepaskan.”
Pandangan Rina jatuh tepat ke arah Andrey. “Dan awak, Andrey. Bila awak membuta dalam kelas saya, itu pun satu pilihan.” Dia senyum nipis. “Pilihan untuk percaya dunia lebih indah bila mata ditutup.”
Kelas senyap. Suara Rina kini berlapis macam dengung penghawa dingin berlawan dengan kipas siling pada petang yang panas.
Andrey mengangkat muka. Dalam detik pendek itu, dia sendiri keliru — ini kelas ekonomi, falsafah, atau sastera? Dia senyum senget, cuba memberanikan diri.
“Kalau macam tu, cikgu… pilihan saya untuk membuta tu… ada kos ke?”
Jari Rina mengetuk-ngetuk kecil perlahan permukaan meja. “Ada.” Teh dituang teh. “Bila membuta, awak akan ketinggalan seluruh keajaiban dunia, termasuk yang sedang berlaku dalam kelas ekonomi yang awak rasa tak penting ni.”
Kelas tak berani ketawa kuat. Tapi masih kedengaran. Kali ini lebih perlahan, lebih jujur.
Fuad angkat tangan separuh jalan. “Cikgu, bagi dia minum teh sikit. Lepas tu mesti dia tak mengantuk.”
Mary pula cepat menyampuk, “Bagi mug Garfield tu terus, cikgu. Mesti ada magic!”
Tina pula menambah, sambil menahan ketawa, “Jangan sampai mug Garfield yang melayang ganti kapur sudah!”
Gelak tawa meletus lagi — panjang, terbuka. Andrey menggeleng perlahan, separuh malu, separuh meluat. Rina turut menggeleng, tapi masih mengekalkan wajah serius. Mug digenggam erat.
“Garfield ni saksi bisu perjuangan saya mengajar kamu semua.” Dia mengangkat mug sedikit.
“Kalau dia melayang… alamatnya semua orang kena hafal satu kamus ekonomi.”
Kelas mengaduh serentak.
“Dalam mug ni bukan teh biasa,” sambungnya. “Ini teh untuk orang yang nak bercinta dengan angka.”
Andrey memandang ke luar tingkap. Tangannya kembali menconteng di sketchbook.
“Kalau teh tu boleh predict harga saham… saya sanggup,” Haikal mengusik.
Rina menjeling tajam, tapi lesung pipitnya terbit juga. Senyuman kecil, tak sengaja.
Kelas E05 kembali riuh. Gurau, perli, usikan, ketawa — bukan mengejek, tetapi ketawa manusia yang penat hidup, namun masih tahu cara menghangatkan satu sama lain.
Di tepi meja guru, mug Garfield berkilau dalam sinar matahari petang yang semakin redup.
Dan dalam kepala Andrey — tanpa dia sedar sepenuhnya — ekonomi mula berubah:
daripada sekadar angka,
menjadi bahasa tentang masa, pilihan…
dan cara manusia hidup.

Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!