9 Menadah Kasih
Bab 9.0: Menadah Kasih
![]() |
|
Leka menari dengan pensel di atas kertas, Andrey menangkap bunyi tapak kasut yang cukup dia kenal. Bukan kasutnya. Kakinya. Cara kasut itu digerakkan. Dan, sudah tentu bau minyak wangi — entah apa jenama, minyak attar agaknya. Yang pasti dia tau itu bau Rina.
Jacques singgung lengan Andrey. “Dia datang…” Usik Jacques. Ketawanya memecah sunyi bila dia nampak lukisan singa dalam buku lakar Andrey. Singa tu tak makan rusa. Dalam gambar tu, Jacques nampak seekor singa pakai cermin mata.
“Tau…” Sketchbook ditutup.
Rina masuk dengan satu saja fail di tangan. Tak ada thermos. Tak ada mug Garfield.
“Pecah kot...” Bisik Jacques selepas Andrey bertanya mana perginya thermos dan mug kesayangan cikgu mereka itu.
Kelas yang tadi riuh perlahan-lahan senyap bila Cikgu Rina memandang papan hitam, bukan pelajar. Seolah-olah apa yang ada di hadapannya bukan lagi graf atau formula, tapi satu lorong panjang yang dipenuhi bayang manusia.
“Hari ni,” katanya perlahan, “kita bincang tentang Economics in Time of War.”
Beberapa pelajar mengeluh perlahan. Perang selalu kedengaran jauh. Nombor, tarikh, graf. Sesuatu yang dah selesai. Sejarah.
Jacques pula, sudah bersedia dengan senyuman nakal. Andrey, tongkat dagu, hanya menunggu apa saja yang bakal disuapkan.
“Tapi jangan risau,” sambung Rina, suaranya berubah sedikit. “Ini bukan sekadar pasal angka. Ini pasal apa yang manusia sanggup buat… bila berdepan dengan... dead end.”
Rina berdiri di hadapan kelas. Rambutnya diikat ringkas. Wajahnya kelihatan agak letih pagi itu. Tapi matanya hidup. Bersemangat. Macam selalu.
“Bila kita sebut perang,” katanya sambil memandang satu persatu wajah pelajar, “kita bukan bercakap tentang heroisme dulu. Kita bercakap tentang scarcity.”
Kapur menyentuh papan hitam.
COMMAND ECONOMY
“Dalam keadaan normal, pasaran tentukan harga. Siapa ada duit, dia beli. Siapa kuat, dia menang,” Rina berhenti seketika. “Tapi masa perang… kalau kita biarkan pasaran bebas…”
Jacques menyampuk, senyum senget. “… yang kaya makan, yang miskin mati?”
Beberapa pelajar ketawa kecil.
Rina angguk. “Exactly.” Suara dia berubah. Lebih perlahan. Lebih berat.
“Sebab tu kerajaan ambil alih. Pengeluaran, pengagihan, harga. Semua dikawal. Roti. Susu. Arang. Setiap keluarga dapat kupon. Kerajaan tak ada pilihan lain.”
Sesuatu dalam nada itu mencangkuk dada Andrey. Badan yang sedikit membongkok dia tegakkan.
Rina berpusing kembali ke papan hitam dan menulis satu frasa:
OPPORTUNITY COST
“Kita dah study Opportunity Cost,” Rina berpaling, matanya bersinar tajam, “setiap pilihan ada kos. Bila sesebuah negara pilih untuk bina senjata, dia lepaskan apa?”
“Makanan?” jawab seseorang.
“Hospital,” sahut yang lain.
“Sekolah,” Andrey terlepas cakap tanpa sedar.
Rina mengangguk perlahan. “Ya. Semua itu.”
“Masa Perang Dunia Kedua dulu… Jerman, Britain, Jepun — semua beralih kepada command economy. Kerajaan tentukan apa yang dihasilkan, siapa kerja di mana. Makanan dicatu.” Dia mengetuk kapur di papan. Titik halus terukir. “Dan bila ekonomi jadi mesin perang… manusia jadi bahan mentah.”
Kelas senyap.
“Holocaust bukan berlaku dalam vakum,” suara Rina agak bergetar, seperti sesiapa saja yang mengigil bila dengar perkataan Holocaust.
“Ia juga hasil sistem ekonomi yang menghapuskan nilai manusia. Buruh paksa, perampasan harta, industri kematian yang diurus dengan logik ‘kecekapan’.”
Jacques angkat tangan, kali ini tanpa menyakat. “Cikgu… maksud cikgu, genocide tu ada… rasional ekonomi?”
Beberapa pelajar tersentak. Andrey turut kaku.
“That,” Rina berkata perlahan, “is the most frightening part — when cruelty begins to speak in rational language.”
Dia menyambung, lebih tegas. “Mereka kira kos. Kira output. Kira produktiviti. Tapi tak kira nilai nyawa.”
Andrey rasa dadanya sempit. Suara Rina seolah-olah datang dari satu tempat tak berpeta... Dia bayangkan semua tu. Asap. Jeritan. Kereta api.
Déjà vu.
“Dalam ekonomi,” Rina menulis lagi — DEADWEIGHT LOSS
“… ini merujuk kepada kerugian kebajikan masyarakat bila pasaran atau sistem gagal,” katanya.
“Tapi perang… dan Holocaust… itu bukan deadweight loss.”
Dia berhenti. Suaranya hampir pecah. “Itu total moral collapse.”
Sunyi.
Kemudian Jacques bersuara lagi, kali ini lebih perlahan. “Kalau macam tu cikgu… lepas perang, macam mana ekonomi bangkit balik?”
Nada Rina berubah. Seolah-olah dia menarik dirinya keluar dari lorong gelap itu. “Bagus soalan.” Dia senyum kecil. Nada jadi ringan, profesional.
“Di sinilah masuk Keynesian economics dan post-war reconstruction. Kerajaan mula berbelanja besar-besaran. Marshall Plan. Infrastruktur. Pendidikan. Permintaan agregat dinaikkan.”
Rina ke papan hitam semula. Tangan kirinya mula melukis graf ringkas.
“Pendek kata,” Rina berseloroh, “lepas dunia hampir hancur, manusia sedar… duit boleh dicipta semula, tapi masa dan nyawa? Tunggu kelahiran semula lah nampaknya.”
Kelas mula ketawa kecil.
Jacques bersandar malas. “So cikgu, kalau perang tu baik untuk ekonomi, patut ke kita buat lagi?”
Ketawa meletus.
Rina geleng kepala. “Kalau awak nak jawab A’Level, jawab ‘tidak’. Kalau awak nak jawab sebagai manusia… jawab dengan hati.”
Ketawa makin kuat. Suasana kembali hidup.
Andrey cuba ikut ketawa, tapi kelopak matanya berat. Suara Rina kembali jadi alunan jauh — naik turun, tentang inflasi pasca perang, pekerjaan, welfare state. Sedar tak sedar, Rina dah berdiri di sisi mejanya.
Dan topik berubah. Kelas ekonomi tiba-tiba jadi kelas sejarah.
“Bayangkan,” suara Cikgu Rina perlahan. Semua mata berpaling ke belakang.
“…sebuah bandar kecil di Jerman, musim sejuk 1942.”
Dia melangkah kembali ke depan lalu menyandarkan punggung ke meja guru. Kapur masih di tangan yang dipegang macam memegang memori lama.
“Ada seorang pembuat roti. Kedainya kecil, diwarisi dari ayahnya. Tepung makin mahal. Bekalan dikawal tentera. Setiap gram dicatu.”
Kelas senyap. Jacques berhenti bersandar.
“Dia ada isteri… dan seorang anak perempuan. Umurnya lebih kurang… awak-awak semua.”
Mata Rina memandang segenap ruang. Dari depan ke kanan, kemudian ke kiri dan berhenti di belakang kelas. Andrey terasa dadanya bergetar tanpa sebab.
“Every night…” Rina menyambung, matanya tidak memandang sesiapa lagi kecuali kapur di tangan, “…si pembuat roti ini akan bakar lebih sikit. Bukan untuk dijual. Tapi untuk disorok.” Dia senyum kecil, pahit.
“Anaknya yang akan seludup. Selit roti dalam kot, dalam bakul kayu… dia bagi kepada jiran Yahudi yang bersembunyi di bawah lantai, di loteng, di mana-mana yang tak dipandang tentera.”
Dia biarkan.
“Roti bukan senjata,” suara Rina bergetar halus, “tapi di zaman tu… brot... adalah hidup.”
Kelas senyap seketika. Ada yang tak faham maksdunya.
Dan Jacques cepat-cepat berkata, “Brot tu roti dalam bahasa Jerman.”
Kedengaran suara-suara perlahan menyebut Brot sesama sendiri.
“Genau, Jacques. Brot. Brötchen. Mana belajar?”
“München.” Jacques ketawa. Dia pernah bercuti di sana dan dia masih ingat bagaimana orang Jerman menyebut Brot dan sebutan Rina itu kedengaran fasih.
“Na ja... Dalam kisah ni,” sambung Rina, masih dalam alur cerita, “bau brot panas selalu bercampur dengan bunyi siren. Luftschutzkeller jadi tempat menunggu. Menunggu roti. Menunggu pagi. Menunggu siapa yang masih hidup.”
Beberapa pelajar saling berpandangan. Jacques berkerut dahi. Andrey tak dengar apa-apa lagi selain brot. Perkataan itu tak jatuh ke telinga. Ia tergelincir masuk ke dada, seperti kata laluan dalam kisah yang sedang diceritakan Rina.
“Lorong batu sempit. Pintu kayu berat. Tangan bertepung membungkus roti dengan kain lusuh, berbisik, leise…”
Sunyi.
Rina menyambung tanpa sedar, “anak perempuan dia selalu simpan sekeping brot dalam poket kot. Kalau malam jadi terlalu panjang… itu yang buat dia ingat, esok masih wujud.”
Sekeping.
“Bukan sebuku. Bukan hidangan. Sekeping.”
Ia jaminan.
Bukan kenyang — hidup.
Bukan selesa — teruskan.
Kalau ada roti esok, maknanya aku masih ada.
“Man muss die Dinge nehmen, wie sie kommen.” Sambung Rina. “Anfangen ist leicht, Beharren eine Kunst.”
“Ha ah… Apa maksudnya tu, cikgu? Bunyi macam nak perang perang dunia ketiga je?” Fuad menyambung.
Jacques angkat tangan, cuba memecahkan suasana. “Cikgu… sebutan cikgu macam orang sana. Sehr deutsch.”
Beberapa orang ketawa kecil.
Rina terhenti. Wajahnya kosong sejenak, seperti sedang menilai gema suaranya sendiri. Dia biarkan pelajarnya dengan tanda tanya. Sengaja. Dan dia teruskan bercerita…
“Suatu pagi,” Rina menarik nafas panjang, “kedai itu kosong. Tingkap pecah. Bau hangus dari oven. Pembuat roti hilang. Isterinya ditahan. Anak mereka…”
Rina terdiam. “Dia lari. Dengan satu bungkusan roti terakhir di tangan.”
Kelas senyap sepenuhnya.
Batu-batu basah.
Bau arang.
Salji nipis di hujung but.
Dan satu suara berbisik dalam bahasa yang dia tak pernah belajar tapi faham.
Lauf.
Jacques angkat tangan, kali ini perlahan.
“Cikgu… mana cikgu tau kisah ni?”
Nora pula bertanya, “kisah benar ke ni cikgu, atau cikgu ambil dari kisah Anne Frank?”
Soalan itu seperti menyentak Rina dari mimpi. Dia berkelip. Sekali. Dua kali.
“Mana… saya tau?” Rina ulang, hampir berbisik. Keningnya berkerut. Seolah-olah dia sendiri sedang mencari sesuatu dalam dirinya.
Kelas menunggu. Teruja. Beberapa saat yang terasa terlalu lama. Kemudian dia senyum — senyum yang disengajakan.
“Hmm,” katanya ringan, “bukan, Anne Frank, Nora. Saya baru nak tulis novelnya.”
Beberapa pelajar ketawa kecil. Ketegangan pecah.
“Ah cikgu trick kami.”
Jacques bersandar semula. “Patutlah detail gila.”
Rina ketawa bersama mereka. Dia membongkok, mengutip kapur yang terjatuh. Saat itu, tangannya terhenti seketika. Kapur itu terasa lebih berat daripada biasa, seperti sesuatu yang tak sepatutnya dipegang lagi.
“Take life as it is. Starting is easy, persistence is an art,” katanya sambil menatap kapur di tangan, menterjemahkan dua baris bahasa Jerman tadi.
Baris itu mungkin sering menjadi petikan motivasi yang menghias dinding-dinding sekolah, bumper sticker, atau juga grafiti di tembok-tembok sunyi. Tapi bagi Andrey, satu perkataan yang terus bergema dalam dadanya lebih menggetarkan.
Brot.
Dan dia tertanya-tanya, adakah dia pernah membaca kisah itu… atau kisah itu yang membaca dirinya?
“Okay. Back to syllabus.”
Kapur bergerak lagi. Garisan lurus. Paksi X dan Y.
GUNS vs BUTTER
“Ini kita panggil Production Possibility Frontier,” katanya, nada kembali profesional.
“Dalam perang, negara kena pilih. Senjata atau makanan. Lebih tank, kurang roti. Lebih roti, kurang peluru.”
“Kalau pilih salah?” tanya Nani.
“Orang mati,” jawab Rina tanpa berfikir.
Kemudian dia ketawa kecil, menutup. “I mean… ekonomi runtuh.”
Kelas jadi riuh. Ada yang bergurau. Ada yang bertanya soalan rawak.
Kapur berbunyi seperti tapak kaki yang berlari dikejar but.
Graf bertukar jadi jalan berdebu.
Garis paksi jadi sempadan.
Brot.
Kelopak mata Andrey jatuh perlahan.
“—sebab tu,” suara Rina bergema samar, “ekonomi perang bukan tentang keuntungan… tapi tentang kelangsungan.”
Kepala Andrey terkulai.
Kelas terus hidup — soalan, gelak, Jacques menyakat.
Dan Andrey melayang ke satu tempat di tengah angka, antara graft dan sejarah, dalam buaian suara seorang guru yang masih menggenggam kapur lalu menukarnya menjadi peluru.
Bullseye. Tepat kat kepala Andrey.
“Pergi cuci muka.” Cikgu Rina beri arahan, seperti selalu, tapi kali ini nadanya sedikit tenang. Seperti polis diraja, Andrey menurut perintah, terus bangun.
Sebelum keluar dari kelas, sempat dia curi pandang, menangkap sedikit kemesraan yang terselit di balik keangkuhan sepasang mata guru ekonomi itu.
Dia tak kembali ke kelas, sebaliknya terus ke belakang bangunan bersama rokok dan kopi; dua elemen yang dia halalkan untuk mencuri semula masanya dari kelas ekonomi.
Fikiran Andrey berlegar, mengulang kisah Brot. Entah kenapa, dia tersentuh mendengar kisah itu walaupun ia bukanlah sebuah kisah yang luar biasa. Dah jadi tema kisah perang. Tak roti, ubi kayu. Tapi Brot yang diceritakan cikgu Rina tadi… sentuhannya lain.
Mungkin kerana orang yang menceritakannya?
Atau adakah kerana momen tu telah menyelamatkan dia dari bosan subjek ekonomi?
Andrey teguk kopi, rokok disedut, asap dihembus, fikiran melayang sehinggalah cikgu Rina muncul — sekali lagi membangunkan dia dari tidur siang.
“Ada saya suruh awak duduk sini sepanjang sesi?” Rina melabuhkan punggung ke lantai simen yang sejuk.
Segera Andrey sandarkan badan ke dinding, cuba menutup rasa terkejut. “Tak de. Saya sakit kepala.” Nafas panjang ditarik. Mata memandang ke depan, ke arah padang. “Ada anak sungai sana tu.”
Entah kenapa tergerak bibirnya melontarkan pernyataan itu. Tak relevan, dia tau, tapi dia teruskan juga. “Selalu jugak saya ke sana, tengok ikan-ikan kecil berenang.”
“I see… nak tengok ikan, ye? Bukan sebab kat sana lagi bebas hisap rokok?”
“Bukan.”
Angin bertiup perlahan menggugurkan daun-daun dari pepohon yang meredupkan suasana belakang bangunan terbiar itu. Nyaman.
Sehelai daun berwarna kuning yang mula mengering di hujung mendarat di atas rambut Rina. Spontan tangan Andrey menepis daun tersebut lalu ia jatuh ke tanah dan Rina mengutipnya lalu diletakkan ke atas tapak tangan.
“Pening sebab banyak sangat merokok, kan? Dah banyak kali saya pesan, berhenti…” Katanya sambil menyelitkan daun tersebut di celah helaian sebuah buku yang dibawa bersama — Wherever You Go, There You Are by Jon Kabatt-Zin.
Sempat Andrey mengerling dan baca tajuk buku tersebut sambil tangannya mencapai kotak rokok dan lighter yang berbaring di atas simen lalu menyimpannya ke dalam beg.
“Ye, selalu cikgu cakap.”
“Abis kenapa hisap lagi?”
“Entahlah… nak ringankan kepala kot.”
“Banyak lagi cara lain nak ringankan kepala.”
“Ini je yang ada. Yang saya tau.”
“Banyak lagi yang boleh bantu, yang awak kena tau.”
Muka Cikgu Rina dipandang sekilas dengan senyum kecil di hujung bibir.
Ada je jawapan kau, kan?
“What’s amiss? Boleh cerita?”
“Tak ada apa yang menarik pun.”
“Kalau malas tunggu bas, jomlah saya hantar awak balik. Takkan nak duduk sini sampai matahari terbenam.”
“Saya nak tunggu bulan jatuh ke riba.”
Jawapan itu berjaya memecahkan tawa dari kotak suara Cikgu Rina. Rambut yang jatuh sedikit menutupi mata, diselak ke belakang.
Sambil membuka ikatan rambut, dia bertanya, “nak jadi macam pungguk?” Kepala ditoleh. Mata dikecilkan. Senyuman dimaniskan.
Selepas mengemaskan rambut, ikatan dikenakan semula. Muka Andrey ditatap. Hatinya terasa aman.
“Awak ingat saya nak biarkan?”
Wajah Rina tenang, tak lagi tegang. Kemesraan yang dihantar dari sekilas pandang dan segaris senyuman secara perlahan-lahan menjejak denai ke hati Andrey.
“Jom, minum, makan ke? Atau sekurang-kurangnya temankan saya, boleh? Laparlah…” Cikgu Rina menepuk-nepuk perutnya. Kebudakan tapi nampak manja.
“Macam mana tau saya ada sini?”
“Mestilah saya tau kat mana lubuk kegemaran orang yang saya suka.”
“Ahh... Tak payahlah serius sangat, cikgu.”
“Serius tak serius, sekarang jom ikut saya. We need some refreshments.” Cikgu Rina dah berdiri. Tangan dihulurkan. “C’mon…” Tak teragak-agak, dia tarik tangan Andrey.
“Elok jugak, boleh hantar saya balik. Saya pun memang malas nak tunggu bas. Susah tak de motor….”
Persetujuan itu cukup menggembirakan Rina, namun dalam masa yang sama, turut buat dia rasa bersalah.
“Lepak kat tasik atau mana je sejam dua.... Tasik, sungai, perpustakaan. Kedai kopi.”
“Kenapa tak balik rumah terus, membuta?” Sengaja Rina mengusik. Senyumnya menampakkan lesung pipit yang melekuk di kedua-dua pipi.
“Orang selalu tak faham,” balas Andrey, “membuta pun satu bentuk meditasi.”
“I see…” Rina senyum kecil. “Macam makan pun boleh jadi meditasi jugak, kan?”
Dia bukan saja fasih berbahasa angka, tapi juga kata-kata. Dia menyambung, “hari ni awak meditate kat restoran. Bukan kat tasik. Dengan saya, bukan dengan pokok.”
“Yelah, cikgu…”
Andrey kalah. Dia ikut. Ikhlas. Rela. Sedia. Ketawa. Selesa.
“Awak kena makan. Saya belanja,” pujuk Rina, walaupun nada mengarah itu masih setia.
Andrey tersenyum nipis. Entah kenapa, satu perkataan terlepas begitu saja; tanpa niat, tanpa sedar pun. “Nak belanja brot ke?”
Mata mereka bertaut. Sejenak saja tapi cukup untuk membuat dunia terasa senyap. Macam ada malaikat melintas, bawa pesanan.
Bukan bayangan.
Lebih kepada rasa.
Rina mengerling Andrey, keningnya sedikit berkerut. Dia sendiri hairan kenapa jantungnya berdetak lain dari biasa bila perkataan brot disebut Andrey.
“Awak nampak pucat...” katanya, tak jawab punsoalan Andrey tadi. Pandangan dialihkan. “Letih. Kurus.”
“Kurus tu betul,” Andrey tersenyum, cuba meremehkan,
“tapi betul ke saya pucat… atau cikgu yang kena tukar cermin mata?”
“Pucat, Andrey. Awak ni memang selalu tak cukup tidur ke?” Komen Rina selepas pelayan mengambil pesanan.
“Susah tidur malam. Maksud saya, tidur lewat.”
“Biasa tidur pukul berapa?”
“Tak tentu. Dua, tiga pagi. Kadang-kadang kucing dah mengantuk pun saya tak tidur lagi.” Dia menjawab jujur supaya cikgu Rina faham mengapa dia selalu tidur dalam kelas.
“Belajar atau kepala berat memikir?”
“Belajar, jarang. Banyak fikir tu, selalu.”
“Apa yang awak fikir sampai tak boleh tidur?”
Macam polis pulak perempuan ni. Banyak sangat soal.
“Pasal cikgu Rina. Dia tu selalu kacau masa saya membuta dalam kelas.” Andrey memerli lagi tapi dia tau cikgu Rina tak kan berhenti bertanya.
Suka agaknya mendengar jawapan yang diberikan, Rina ketawa. Panjang.
“Cikgu Rina tu bukan kacau awak membuta, dia cuma tak nak awak membuta kat tempat yang awak sepatutnya celik.” Senyuman Rina melebar.
Dalam maksud jawapan itu dan Andrey dapat menangkap apa yang ingin Rina sampaikan. Dia tertunduk, memandang intuisi sendiri.
“Tidur kena cukup, makan mesti teratur. Baru fit. Awak kena rajin exercise, baru senang tidur. Rajin bersenam tak?”
“Ikut mood.”
“Bersenam ni macam main muzik, macam berseni. Kena ada disiplin.”
“Saya rasa balik karang elok cikgu sediakan kertas soalan. Esok cikgu bagi saya. Boleh saya jawab semua yang cikgu nak tau. Ni sekarang saya lapar, haus, nak makan, nak minum. Nak kasi gemuk.”
Cikgu Rina ketawa lagi, lebih besar dari tadi. Bukan saja kerana kata-kata Andrey mencuit hati, malah lebih daripada itu, hatinya terasa begitu lapang dan penuh dalam satu masa.
Kau mesti ingat aku nak flirt tapi kau tak tau sebenarnya aku nak jaga kau... walau aku sendiri tak tau dari mana nak mula.
“Tak pernah tak. Kenapa?” Jawab Andrey tanpa memberi apa-apa respon pasal exercise.
Kau nampak aku ni lembik sangat ke? Tak bermaya, kurus kering, tak cergas, tak fit. Pucat la ngantuk la hape... Adoiii... Ada je yang tak kena Rina oiii...
“Jom kita sarapan esok?” Ajak Rina tanpa ragu-ragu. “Macam awak minum dengan cikgu biologi awak pagi tadi… tapi lagi awal dari tu.” Mata kanannya dikenyit.
Ahhh... Now what??? Boleh pulak kau ingat aku minum dengan Sophia kat sekolah tadi. Rina… Rina…
“Tengokla...”
“Camne nak tau?”
“Tak tau... Saya biasanya lambat…”
“Kalau camtu bagi saya nombor telefon awak. Biar saya buat wakeup call.”
“Sekarang cikgu nak rutin saya?”
Cikgu Rina angguk dan berkata, “ha ah, sekaranglah. Bila lagi?” Tegas dan muktamad. Yakin tanpa ragu apalagi rasa bersalah.
Telefon bimbit dia keluarkan dari beg tangan.
Selepas menekan beberapa butang, telefon itu dia hulurkan kepada Andrey. Nama terpampang, dah siap-siap dia taipkan. Andrey hanya perlu masukkan nombor.
Oh Tuhan, aku benci bila kau merayu macam ni. Eh silap, bukan merayu tapi lebih kepada mengarah.
Andrey cuba buat tak tau. Tapi Rina penuh dengan idea.
“Kan motor awak belum siap? Awak sanggup ke naik bas hari-hari pergi sekolah?”
“Kalau malas, saya membuta je la kat rumah.”
“Rugi ponteng sekolah, tau?”
“Teksi banyak.”
“Tapi lambat. Saya cepat. Esok, pukul 7. Tepat.”
Andrey tepuk dahi. Cikgu Rina ketawa, senang hati.
Dan entah kenapa, dalam tawa dan tepukan di dahi, ada satu tanda yang tak mampu ditepis — gurauan itu adalah hati yang perlahan-lahan menadah kasih.

Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!