Bab 1.0: Kepompong

Bukan takut jadi kupu-kupu. Tapi takut dunia tak bersedia melihat warnanya
𝄞
Sebuah Mountain Bike berwarna biru meluncur perlahan di atas batas sempit yang memisahkan petak-petak sawah. Tayarnya menggigit tanah kering yang belum lagi berlumpur, tapi tetap licin kalau tak hati-hati. Di kiri kanan, air sawah tenang memantulkan warna langit — seolah menunggu siapa yang bakal jatuh tercebur dulu. 

Laluan itu sempit, cukup-cukup untuk satu basikal. Kalau ada yang datang dari arah bertentangan, salah seorang mesti mengalah… atau dua-dua masuk sawah.

Andrey menghentikan kayuhan apabila tiba di sebuah wakaf kecil, terletak di tepi sungai yang mengalir tenang di bawah jambatan kayu — penghubung antara Kampung Nilam dan Kampung Zamrud.

Basikal ditongkat dengan cermat, kemudian dia melangkah ke pangkin kayu di bawah teduhan wakaf. Beg galas denim biru navy yang hampir luntur warnanya diletakkan di atas pangkin kayu. Bertahun sudah beg galas itu setia berkhidmat membawa peralatan lukisannya — berus, warna, palet, easel, kanvas.

Sambil mendepangkan tangan, Andrey menarik nafas panjang. Hembusan udara petang yang membawa aroma daun basah dan tanah dihirup penuh nikmat.

Di seberang sungai, kebun-kebun kecil milik penduduk tersusun rapi. Dari jauh, kelihatan beberapa petani — lelaki dan perempuan — sedang tekun membajak dan menyemai.
Suara mereka sayup kedengaran, bergurau dan ketawa, seolah-olah tanah itu sendiri menghidupkan kembali hati-hati yang letih. Keringat yang menitis disambut bumi seperti doa, meniupkan nyawa ke dalam benih-benih yang sedang tumbuh.

“Elok cuaca hari ni.” 
Satu suara menyapa mesra dari arah kiri. Seorang gadis berseluar track dan kemeja lusuh lengan panjang berkotak-kotak hitam-merah menghampiri. Tangan kanannya menjinjing sebuah bakul rotan.
“Hai...” Senyuman dilempar dan disambut dengan mesra.

“Hai Kak Zu...” Senyum Andrey melebar. “Apa khabar akak hari ni?”
“Kalau sakit, tak ke sawah, dik.”
“Tak lama lagi musim menuai dah.”
“Hmm…” Kak Zu mengangguk.
“Eh, lajunya internet. Bukan kampung ni line pun tak berapa nak ada ke?”

Kak Zu meletakkan bakul di atas lantai wakaf.  “Mulut makcik-makcik kampung lagi laju daripada broadband.” Topi mengkuang dibuka dan diletakkan di sisi. Bahagian tepinya sudah sedikit digigit waktu, tapi masih setia melindung kepala dari panas sawah.
“Tak ada topi ni, akak jadi satay,” katanya sambil senyum senget. “Dah reput sikit… tapi macam tuan dia, masih cantik.”

Andrey tertawa kecil melihat telatah Kak Zu dan topi mengkuangnya — topi yang dia sendiri belikan, sewaktu Kak Zu bawa dia ke pasar tani Pekan Mutiara, dua tahun lalu. Ketika itu, mereka baru kenal. Dia masih diam, Kak Zu masih asing dan topi itulah jambatan kepada kemesraan mereka hingga ke hari ini.

Gadis itu melabuhkan punggung di sebelah. “Musim menuai nanti, kau tak ada dah kat sini.”

Suasana tiba-tiba senyap. Tak lama, tapi cukup lama untuk terasa sesuatu yang berat mengalir perlahan.
Andrey dengar nada itu — nada sayu yang tak diundang, tapi menyentuh juga hatinya.

“Camnilah, kak. Nasib anak tentera. Tak pernah rasa tinggal lama kat satu tempat… bukan macam anak ketua kampung.”

Kak Zu memalingkan wajah. Matanya mencari mata Andrey. “Tapi best lah, dapat tengok tempat orang. Jauh perjalanan, luas pemandangan. Budak kampung macam akak ni…” Dia senyum kecil. “…kat sini ajelah kita.”
“Tunggu orang masuk minang.” Usik Andrey.
“Pandai je kau ni.”
“Dapat calon laki kerja askar nanti boleh la merata pergi.”
“Kalau askar nak macam Tuan Arman.”
“Ha, dapat anak nanti, bolehlah letak nama Andrey.”

Kak Zu pandang wajah Andrey. Ada senyuman nipis di bibir gadis itu. “Dulu masa kenal, pendiam je. Sekarang pandai dah bergurau.” Suaranya terhenti seketika. Matanya melayang jauh ke kaki langit. Perlahan, seiring hembusan angin, dia berbisik, “tapi nak pindah pula. Baru ingat nak mengorat.”

Andrey menoleh ke arah Kak Zu yang masih memandang jauh. Entah ke horizon, entah ke horizon fikiran.

“Dia punya gurau lagi dahsyat,” balas Andrey, separuh senyum.
“Untunglah... nanti dapat kenal orang baru.”
“Kadang-kadang letih jugak kak, asik kena pindah sekolah je.”
“Jumpa ramai orang, dapat ramai kawan.”
“Kenalan je.”
“Akak ni… kenalan ke kawan?” soal Kak Zu, cuba menduga rasa. Namun senyum terukir di bibir membawa sama debar di dada. Dalam berseloroh, hatinya mengintai ruang.

“Kakak.”

Jawapan itu hadir tenang. Jujur. Tulus. Andrey yang tak pernah punya kakak kandung, benar-benar menghargai kehadiran Kak Zu — sebagai pengganti sesuatu yang dia tahu dia takkan pernah ada.

“Lama tak dengar orang panggil akak macam tu.”
“Bukan ke semua orang panggil akak ‘Kak Zu’?”
“Lain bunyi dia.”

Andrey tak faham sepenuhnya, tapi dia simpan kata-kata itu dalam diam. Mungkin satu hari nanti, dia akan faham. Atau… mungkin tak perlu pun.

“Nak lukis apa hari ni?”
“Lukis akak, boleh? Jadi model petani moden. Ratu Cantik Pekan Mutiara.”
“Cantik…” Andrey senyum nipis. “Macam topi mengkuang tu.”

Kak Zu ketawa besar, lalu menepuk bahu Andrey. “Pandai betul kau ambil hati.” Dia bangun perlahan, tangan menepuk-nepuk belakang badannya sendiri.

“OK lah, akak balik dulu. Nak singgah kedai beli koyok. Badan sakit ni…”
“Kena urut tu, kak.”
“Sebelum pindah nanti jumpa akak tau.”
“Kenapa? Nak mintak urut?”
“Amboi... pandai ke?” Kak Zu mengerling lalu Andrey ditinggalkan sendirian dengan kanvasnya.

𝄞

Kampung Nilam terletak dalam mukim Pekan Mutiara, dikelilingi tiga empat kampung lain yang dipisahkan oleh sungai kecil dan tali air. Bersiar-siar dengan basikal dah jadi rutin Andrey setiap petang. Tak senang hatinya kalau sehari tak keluar ambil angin. Dia suka mendengar cerita-cerita alam sambil menghirup dan menghela udara segar yang berganding dengan panorama indah buat santapan mata untuk dibingkai kemas dalam ingatan.

Nyaman. Pekan itu bukan saja miskin dengan pembangunan tapi juga miskin dengan pencemaran. Tiada cacat celanya pekan itu. Hanya manusialah yang selalunya mencacatkan kesempurnaan.

Mengagumi megahnya bentangan padang yang menghijau dan menguning selari musim, Andrey suka menyusur tali air ke tali air yang lain. Seronok dia bila dapat menghabiskan petang menangkap ikan di sawah sambil berbual dengan para petani — tak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda. 

Andrey kagum dengan semangat mereka — bertungkus lumus mengerjakan bendang dan ladang demi kelangsungan hidup. Melihat usaha keras yang didedikasi, keinsafan dan motivasi timbul di jiwa Andrey yang masih merangkak dalam menuntut ilmu kehidupan.

Setelah puas memerhati sekeliling dan memilih subjek, Andrey mula menyediakan peralatan melukisnya. Petang itu, dia berhasrat untuk mengabadikan sinar jingga di horizon yang bercantum dengan hijau pepohonan dan air sungai yang membiaskan cahaya langit. Minggu ini minggu terakhir dia di situ.

“Tak lama lagi, tempat ni jadi sejarah.”

Terngiang di telinga ungkapan abah dua bulan lepas. Sewaktu berita itu disampaikan, dia sedikit pun tak merasa terkejut — dah biasa. Malah dia bersyukur kerana akhirnya dapat keluar dari pekan kecil tersebut. Tapi lebar senyuman abah membawa satu lagi kejutan. Katanya, “kali ini ke rumah sendiri, bukan kuarters kerajaan lagi.”

Mereka empat beradik saling berpandangan sesama sendiri. “Ke mana kita lepas ni?” Andrian, saudara kembarnya meminta penjelasan. Teruja betul mereka, tak sabar-sabar lagi nak tahu destinasi seterusnya dalam pengembaraan hidup.

𝄢

Merenung refleksi di permukaan air yang tenang, satu per satu kenangan dan pengalaman terbias. Ada suara bergema dalam hati. Katanya, “hidup ni macam sungai. Nampak tenang kat permukaan. Apa jadi kat bawah, orang tak tau. Tapi tetap jugak mengalir tak kira tengkujuh atau kemarau— nak pergi laut.”

Begitulah Andrey mengibaratkan dirinya — mata air yang baru belajar meleleh dari legeh. Membawa sama apa saja yang terjatuh ke dalamnya. Mengalir menjadi anak sungai cetek sebelum hanyut lebih jauh, mengangkut lebih banyak tumpangan. Ranting, daun, kayu, perahu, haiwan — bernyawa atau tidak. Apa saja. Semakin dalam, semakin banyak yang karam. Yang terapung hanyalah hampas-hampas ringan, hanyut di bawa arus.

Lahir di sana, merangkak di sini. Berjalan di utara, berlari di selatan. Tidur di timur, jaga di barat. Lapan penjuru bumi telah Andrey singgahi. Seawal usia lima tahun, dia sudah didedahkan pada ragam hidup bermasyarakat — melihat sendiri majmuknya bangsa, indahnya percantuman budaya, harmoninya perbezaan agama dan keanggunan sesebuah tradisi. 

Dalam waktu yang sama, dia turut diajar realiti, bagaimana perbezaan taraf, status dan gaya hidup boleh meretakkan keindahan itu. Namun setiap tempat yang dijejaki, setiap manusia yang ditemui dan setiap suara yang didengari telah mengajar dia satu perkara — setiap detik adalah ruang untuk belajar. Setiap wajah adalah cermin untuk mengenal diri sendiri. Masa telah mendewasakan dia dengan pelbagai sudut pandang dan dia mula belajar untuk menghargai setiap perbezaan sebagai peluang  bukan penghalang.

Lebih banyak mendengar daripada berbicara, dia telah terbiasa mengamati cara, gerak, dan tutur manusia sekeliling. Setiap pandangan disimpan dalam diam, setiap tafsiran direkod dalam lakaran dan baris kata. Lalu satu kesimpulan mudah dia rangkumkan dalam sebuah puisi — hidup ini penuh dengan variasi. 

Dunia sekeliling tidak hanya dia lihat — dia tafsirkan. Dan setiap lukisan yang tercipta, setiap bait yang tertulis, adalah gema kepada suara yang tak pernah dia ucapkan dengan lantang.

Pemandangan petang hampir siap diwarna atas kanvas. Andrey meneguk air sambil menganjak beberapa tapak ke belakang untuk melihat karyanya dengan lebih jelas sebelum memberi sentuhan terakhir. Dia tersenyum, puas hati dan bangga dengan hasil seninya.

“Mesti aku rindu tempat ni.” Katanya perlahan. Namun fikirannya beralih pula ke sekolah— satu tempat yang selalu cuba dielak tanpa pernah berjaya. “Akhirnya dapat jugak aku lari dari sekolah tu.” Bisiknya lagi. Ada senyum nipis di hujung nafas.

Di bawah langit jingga, dia tahu — kepompong tak kekal. Tapi menetas pun belum tentu mudah.

Comments

Comments [0]