Bab 5.1: Kawan Baru

Andrey and Jaques
Ilham boleh jadi keberanian
yang memakai topeng bernama cabaran
𝄞
Baru je sehari Jacques menyertai TBC, dia sudah menarik perhatian hampir semua orang. Dengan rambut spiky tapi sesuai dengan senyumannya yang nakal dan gaya berjalan penuh keyakinan, Jacques tak perlu berkata apa-apa untuk memikat atau menjerat hati sesiapa saja yang melihat.

Pelajar perempuan murah senyum setiap kali dia melintas. Pelajar lelaki pula memandangnya dengan rasa ingin tahu, cuba memahami apa yang membuatkan dia begitu menarik. Tak kurang juga yang memandang dengan mata jelek dan senyum mengejek. Namun, Jacques tak peduli. Hidup baginya adalah tentang menikmati setiap saat tanpa mengambil berat apa yang orang lain fikirkan.

“Kita ada pelajar baru. Jaqueline. Sila perkenalkan diri.” Kata Cikgu Robert sewaktu Jacques memulakan kelas pertamanya hari itu.

Selepas diri diperkenalkan serba ringkas, dia diarahkan untuk mengambil tempat. Dia yang memang dah dengar cerita Andrey dari mulut The Chicks terus ke belakang, tempat Andrey duduk. Sambil mengangkat kening, tak teragak-agak Jacques menghulur tangan. Salam disambut.

“Kalau tak silap, engkau yang kat kafe pagi tadi.” Katanya sambil menarik kerusi dan terus duduk di sebelah.

“Tak perasan...” Andrey sengaja pura-pura tak tau. “Anyway, aku Andrey.”
“Sekolah ini cool. Mesti seronok buang masa kat sini. Banyak anak kucing comel-comel.”
School is school. Anak kucing memang banyak, tapi banyak yang liar.”
“Haha, tapi ada jugak yang dah jinak. Aku dah jumpa 4, 5, ekor pagi tadi, bagi minum susu sikit.”
“Charming.”

Dia ketawa. “Kau ada?”
“Ada apa?”
“Kucing.”
“Kat rumah ada. Sini tak jumpa lagi kucing. Singa gunung adalah.”
“Hahahahh…” Dia ketawa kuat. “Singa gunung.” Katanya, mengulang ungkapan Andrey.

Sekejap lagi kau kenal lah pulak dengan singa gunung.

“Kucing jugak tu,” sambung Jaques.

Perbualan terhenti apabila cikgu Rina masuk ke dalam kelas. Jantung Andrey mula berdebar- debar. Resah bercantum dengan rasa terancam. Risau jika ditanya pasal assignment nanti. 

Mata cikgu Rina serta merta tertumpu ke belakang kelas bila melihat Andrey seronok berbual dengan seseorang yang belum dia kenali. 

“Nampaknya ada muka baru. Boleh kenalkan diri?"

Dengan penuh yakin, Jacqueline Adam bangun sekali lagi. Kali ini bukan sekadar menjawab soalan, tapi seolah-olah sedang naik pentas memperkenalkan diri macam wakil rakyat baru dilantik.

Morning, cikgu. Kalau Islam, Assalamualaikum. Happy to meet you.” Dia senyum lebar, menepuk dada sendiri sedikit. “Saya Jacqueline Adam. Orang panggil saya Jacques.”

Beberapa pelajar sudah mula bersandar ke belakang, bersedia.

“Saya dari utara. Anak tunggal, maksudnya tak ada kakak, adik, mahupun abang. Independent sejak lahir,” tambahnya sambil mengangkat kening bangga. “Ayah saya baru buka praktis kat sini. Kalau sakit perut, pening kepala, senggugut..” dia berhenti seketika, menjeling ke arah cikgu Rina, “... atau gangguan psikologi, tekanan emosi, depression, anxiety, sleeping disorder, sleepwalking ke whatsoever… boleh jumpa beliau.”

Kelas mula berbisik.

“Mak saya peguam. Ofis pun baru buka kat sini. Kalau cikgu ada terlibat, kes jenayah, saya boleh tolong buatkan appointment.” Dia senyum, puas dengan ayat sendiri.

Tangannya kemudian menyeluk poket seluar, gaya santai. “Hobi saya lumba haram. Favourite subject?” Dia berhenti dramatik. “Economics, obviously. If not, takkan lah saya wujud dalam kelas ni sekarang, kan?

Beberapa orang hampir mengeluh serentak. Ada yang tergelak. Ada yang tersengih.

“Haha... kidding.” Dia geleng kepala. “No, no... Terus terang, ekonomi... boring. Mungkin sejarah… ah, no. Geografi? Hmm, maybe.” Dia angkat bahu. “Anyway, itu semua tak penting. Tak ada subjek yang betul-betul seronok pun. Apa-apa lagi yang cikgu nak tahu, sila jangan segan, jangan malu untuk bertanya.”

Jacques menghela nafas puas, seperti baru selesai temuduga. Dan sebelum duduk, dia tambah satu ayat terakhir — bonus track.

“Saya juga nak ucapkan tahniah kepada kita semua, sebab dapat cikgu ekonomi yang berkarisma dan… lawa.” Dia tunduk sedikit. “Sekian, dimaklumkan. Terima kasih.”

Kekeliruan, sedikit terkejut, dan senyum tersembunyi — gabungan itu memenuhi kelas. Jacques duduk semula, muka penuh kepuasan. Bagi sesetengah pelajar, dia terlalu over. Bagi yang lain… entertain habis.

Andrey, antara nak tergelak dan terpinga, sempat menjeling ke arah cikgu Rina.

Tiada senyuman.
Tiada reaksi.

Dia kelihatan tenang menuang teh ke dalam mug Garfield. Wap panas naik perlahan. Suaranya keluar rata, tanpa emosi. “Too much details.” Dia angkat mata. “Awak boleh duduk. Selamat datang ke kelas saya.” Dia berhenti seketika. “Kalau nak membuta, pergi cari bilik. Kalau banyak cakap, nak jadi DJ, cari radio station. Bukan kat sini.”

Andrey tersengih kecil. Amaran itu terasa… personal.

Jacques duduk, masih tersenyum. Dia menoleh ke arah Andrey, berbisik sambil muncungkan dagu ke depan kelas. “Ni ke singa gunung tu?”

Andrey angguk perlahan.

“Hot stuff, don’t you think?”

Tak sempat Andrey jawab... pap! Sebiji kapur singgah tepat di pipi Jacques.

“Aduh!” Jacques menjerit kecil, separuh terkejut, separuh kagum.

Kelas senyap seketika.

Cikgu Rina berdiri tegak. Tangan masih di udara, posisi sharp shooter.

“Baru saya cakap, saya tak suka orang bising dalam kelas saya.” Nada suaranya tenang. Terlalu tenang. “Tak faham?” Dia merenung Jacques. “Sekolah awak dulu, sampai bab mana dah?”

Jacques terkebil-kebil. “Hmm… silibus terakhir… jap cikgu…” Dia buka beg galas Eastpak warna kelabu dengan penuh drama. Buku ditarik keluar satu-satu. Pen. Fail. Headphone. Notebook kosong. Kelas memerhati seperti menonton magic show yang gagal.

“La… saya tak bawa buku tu rupanya, cikgu. Sorry...” Dia senyum tak bersalah. “Jadual waktu pun tak dapat lagi, jadi saya tak tau kita ada kelas ekonomi hari ni.”

Beberapa orang ketawa.

“Itu bukan soalan saya.” Cikgu Rina bersuara. “Saya tanya, sukatan pelajaran mana sebelum pindah sini. Ada masalah faham soalan?”

Jacques menggaru dagu. “Hmm… sukatan pelajaran… yang terakhir…” Dia pandang siling. “Gosh… maybe… err… domestic business ke hape, tak pasti, cikgu.”

“Itu perdagangan,” potong cikgu Rina ringkas.
“Oooohhh erk? Perdagangan rupanya... Tak sangka...” Jacques duduk, terus berpaling ke arah Andrey, kening terangkat, suara direndahkan. “Garang doh…” Dia senyum nakal. “I like.”

Di hadapan kelas, cikgu Rina menarik nafas panjang. Sangat perlahan. Kemudian, senyum nipis muncul, hanya sekelip mata, sebelum wajahnya kembali neutral.

Kelas E05 faham satu perkara hari itu:
cikgu ini bukan mudah.
Dan Jacques… baru saja jumpa lawan yang setara.

“Jadi kelas, hari ini kita akan buat recap asas ekonomi.” Suara cikgu Rina tenang, profesional. “Tajuk paling kacang — bekalan dan permintaan. Untuk yang baru ambil ekonomi, sila buat sedikit research. So… ada sesiapa nak mula?”

Tanpa berlengah, Andrey mengangkat tangan.

Sedikit terkejut, beberapa kepala menoleh.

Amboi. Ada progress… Cakaplah. Aku nak dengar. Bisik cikgu Rina dalam hati.

“Ya, Andrey. Silakan.”

Walaupun tangan diangkat dengan rela, jantung Andrey tetap berdetup-detap, macam bunyi derap kasut berladam polis waktu berkawad. Ini kali pertama dia benar-benar menyertai kelas ekonomi cikgu Rina, bukan sekadar hadir jasad seperti hari-hari sebelumnya.

Mungkin sebab rasa bersalah sebab tugasan lambat dihantar.
Mungkin sebab nak ambil hati, supaya kurang dimarahi.
Atau mungkin juga kerana rasa tercabar, dan suara cikgu Rina telah mengilhamkan keberanian itu.

Cikgu Rina tak tahu, untuk berdiri di situ saja pun, Andrey terpaksa melawan getar yang mengawal nadi dan nafas. Bukan kerana jawapan yang bakal diberi, tetapi kerana dia. Kerana cikgu Rina itu sendiri.

“Permintaan ialah kuantiti barang yang orang nak.” Suaranya perlahan, tapi jelas.
“Bekalan pula jumlah produk atau perkhidmatan yang boleh disediakan oleh pasaran.” Dia berhenti seketika, menarik nafas.
“Hubungan antara harga dan jumlah barang atau perkhidmatan yang dibekalkan dikenali sebagai hubungan penawaran. Ini menentukan harga sesebuah produk. Semakin tinggi permintaan, semakin tinggi harga. Bila permintaan rendah, harga pun turun.”

Secebis huraian. Tidak lengkap, Andrey sedar. Tapi cukup untuk membuktikan, dia cuba.

Bukankah itu yang cikgu Rina mahu?
Bukan jawapan sempurna, tapi usaha untuk memahami.

Masih berdiri, Andrey menunggu reaksi. Matanya meliar ke sekeliling kelas. Beberapa pelajar benar-benar memberi perhatian. Ada yang terkejut. Ada yang senyap menilai. Hubungan Andrey dan cikgu Rina bukan rahsia dan babak ini jelas di luar jangkaan.

Andrey angkat muka, pandangannya kembali ke depan.

Cikgu Rina berdiri tegak. Di sebalik cermin mata, dia memerhati, menilai. Cuba memahami dan untuk sesaat yang singkat, senyuman kecil terbit, terpantul di bibirnya.

“Awak tak ambil ekonomi asas untuk O-Level, betul?”
“Tak, cikgu. Baru ni.”
“Kenapa?”
“Nak cuba...” Andrey angkat bahu sedikit. “Nak tengok kemampuan sendiri, agaknya.”

“Bagus, Andrey.” Suara cikgu Rina tenang dan jelas. “Saya percaya awak dah gunakan cuti semester dengan baik.”

Memang baik sangat… Haha. Andrey ketawa kecil dalam hati. 

Dia mengangguk. “Terima kasih, cikgu.”

“Sila duduk. Siapa lagi?”

Sebaik saja punggungnya menyentuh kerusi, Jacques menoleh dengan wajah kagum. “You are sick, bro,” bisiknya. “You have the lion showing her dimples.”

Andrey hanya mengangkat bahu, senyum nipis. Tumpuannya kembali ke depan. Kelas ekonomi mula jadi menarik.

“Ada sesiapa lagi nak tambah?” tanya cikgu Rina. Dia menuding ke arah Jacques. “Awak. Suka sangat bercakap, kan? Sekarang cakaplah.”

Dengan sedikit teragak-agak, Jacques bangun. “Nak cakap apa, cikgu?”

“Tadi Andrey cakap pasal apa?”
“Kita tengah bincang pasal apa?”

Jacques garu kepala. “Saya tak pasti, cikgu. Tak berapa faham. Cakapnya… berbelit-belit.” Dia sengaja berhenti, buat muka polos. “Lagipun saya belum belajar topik ni kat sekolah lama.”

“Ya?” Ckgu Rina memerli. “Memang tak hairan kalau awak dah belajar pun.” Kata-kata itu dilantun mendatar dan tepat. “Andrey baru bagi jawapan. Apa yang awak tangkap?”

Entah kenapa, jantung Andrey bergetar bila namanya disebut. Pandangannya tak lepas daripada wajah singa gunung yang hari itu kelihatan… lain. Lebih hidup. Lebih dekat. Macam kucing liar yang malu-malu nak jinak.

Kenapa dengan aku? Apa yang dah jadi ni?

“Err… tangkap apa, cikgu?” Jacques pandai bermain kata.

Beberapa pelajar ketawa kecil. Ruang kelas beralun dengan hiburan ringan.

Cikgu Rina menggeleng perlahan, lalu melangkah ke papan hitam.
Tangan kiri menulis besar-besar:

SUPPLY & DEMAND

Dengan tangan kanan mencekak pinggang, dia berpaling ke arah Jacques.

“Reti baca tak tu? Atau rabun? Nak saya eja satu-satu?”

“Boleh jugak,” balas Jacques selamba. “Spek saya tertinggal sekali dengan buku ekonomi.”

“Loyar buruk awak ni.”
“Mak saya baru buka ofis.”

Cikgu Rina menjeling tajam. “Saya tak ada masa nak buang masa. Define supply and demand.

“Oooo… ekonomi,” Jacques berlagak berfikir. “Ingatkan tangkap singa bukit tadi.” Sempat dia mengenyit kepada Andrey sebelum menyambung, “Sebenarnya saya faham, cikgu. Penjelasan rakan saya ni… sangat jelas dan terperinci.”

Andrey sempat menangkap wajah cikgu Rina, garang, tak berganjak. Beberapa saat mata mereka bertaut.

“Okay,” Jacques berdehem. “Untuk memendekkan esei kawan saya tadi... apa nama dia ni tadi...?”

“Andrey,” jawab Andrey perlahan.

“Ha. Andrey... Menurut saya, jawapan beliau agak mengelirukan. Jadi biarlah saya ringkaskan, guna ayat sendiri, tanpa meniru buku teks, supaya cikgu lebih faham. Sebab kalau cikgu dah faham, takkanlah cikgu nak tanya lagi, kan?”

Ketawa besar mengisi ruang kelas E05. Rina tahan ketawa dalam hati sambil maintain muka garang. Dia nak tengok jauh mana budak yang satu ni boleh pergi. 

Jacques membetulkan kolar baju. Berdiri tegak, tangan dilipat ke belakang.

“Okay kelas, dengar sini elok-elok... Supply and demand ni sebenarnya macam…” Dia berhenti. Senyum. “…chicks. You know, chicks?”

Kelas meletus ketawa, tak sabar nak dengar lagi.

“Bila benda panas — macam goreng pisang atau ayam goreng Kentucky, permintaan pun tinggi.”
“Bila permintaan tinggi, penawaran meningkat.”
“Apa jadi lepas tu?”

Jacques melangkah ke sisi, pen diselit di telinga.

“Betul. Harga naik. Tokey kira untung.”
“Pekerja ditambah. Peluang kerja meningkat. Pengangguran turun.”
“Taraf hidup naik. Ekonomi pun cantik.”

Dia berhenti lagi. Kali ini berjalan ke depan dan berhen dekat meja guru, berdiri hampir sebaris dengan cikgu Rina.

“Tapi bila sejuk.”
“Basi.”
“Melepek.”

Cikgu Rina dia pandang. Berani.

“Permintaan jatuh. Harga jatuh. Free pun boleh dapat.”
“Lambakan. Pembaziran.”
“Kilang tutup.”
“Orang hilang kerja.”
“Pengangguran naik. Mata wang jatuh.”
“Inflasi pun datang.”

Dia angkat bahu.
“Apalah yang susah sangat.”
“Ayam  je kot.”

Kelas ketawa besar.

Tanpa menunggu arahan, Jacques kembali ke tempat duduk dan terus melabuhkan punggung. Dia memandang Andrey, kening terangkat.

“Okay tak, bro?”

Andrey masih ketawa. Sama ada Jacques ni pelawak atau genius separuh masak, dia tak pasti. Tapi satu yang jelas: contoh dia... kena.

Lagi senang faham daripada jawapan aku. Mungkin inilah yang cikgu Rina nak, bahasa sendiri, pemahaman sendiri, tanpa hilang fakta.

Dalam diam, Andrey salut Jacques.

Cikgu Rina melangkah ke belakang kelas, berhenti di sebelah Jacques. Tangannya diletakkan di atas meja. 

“Saya harap jawapan awak ni,” dia merendahkan suara, “dapat bantu awak jawab periksa dan tak lambat hantar assigment.” Dia pandang Andrey, sekilas. Kemudian kembali pandang Jacques, mengangguk kecil. “Cubaan yang baik. Bagus.”

Sebelum kembali ke depan kelas, cikgu Rina mengerling lagi ke arah Andrey. Ada senyuman di wajahnya.

Loceng berbunyi. Pelajar mula bangun, kerusi beralih, beg disangkut, suara bercampur dengan bunyi kerusi ditolak tarik. Andrey masih duduk, tunggu semua keluar dulu. Jacques laju nak keluar. Sebelum meninggalkan kelas dia  berpesan, “jom, minum kopi. Aku tunggu kat kafeteria.”

Di meja guru, cikgu Rina berdiri, mengemas kapur, menyusun buku. Andrey capai beg dan sebelum melangkah keluar, senyuman itu muncul sekali lagi. 

Andrey tundukkan kepala sikit, tanda hormat yang menerbitkan satu kesedaran halus: aku sedang dilihat.

Di luar kelas, cahaya petang menyapu koridor. Andrey berjalan tanpa tergesa, langkahnya ringan membawa fikiran yang berat.

Ekonomi.
Angka.
Pilihan.

Tiba-tiba semua itu tak lagi terasa asing.

Di kafeteria, Jacques dah menunggu. Seorang diri menghirup kopi. Andrey terus duduk, buka sketchbook. Di satu halaman kosong, tanpa melukis apa-apa, dia menulis satu baris:

Ada manusia pilih untuk ajar dengan silibus.
Ada yang pilih, ajar dengan kehadiran.

Pen terhenti.
Dia senyum sendiri. Senyuman orang yang belum faham apa yang sedang berlaku, tapi tahu… sesuatu sudah bermula.

Di waktu yang sama, dalam kelas yang bertukar sunyi, Rina masih berdiri, memandang kerusi di barisan belakang, tempat Andrey selalu duduk, tempat sunyi selalu bernafas. 

Dalam hati, tanpa drama, tanpa puisi berlebihan, dia mengaku: 
Budak yang selalu lewat… mungkin yang paling awal sampai ke dirinya sendiri.

Dia capai mug Garfield.
Teh dah suam.
Dan senyumnya, kali ini, jujur.

Comments

Comments [0]