Suara ~ Bab 8 : Kawan Baru

Ray FL
0


K(caps)adang-kadang aku rasa buang masa sangat ambil A’Level. Lebih kurang dua tahun terpaksa terus belajar di sini, di tempat yang sama. Tapi bila difikir-fikirkan, sesuatu tak kan terwujud kalau tak ada faedah dan manfaat. Benih pun ambil masa nak bertunas. Nak jadi pokok, nak rasa buah, kenalah sabar. Tak mungkin cikgu Sophia salah bila bercakap tentang pendekatan profesional masa depan. Aku yakinkan diri bahawa keputusan abah bukanlah satu hukuman malah kebaikan untuk aku. Setiap yang tersurat pasti ada yang tersirat, walaupun hikmahnya buat masa ini masih kabur. Awan tak selamanya berarak kelabu. Kabus dan kabut hanya persinggahan hari. Fikiran-fikiran positif ini terterap selepas perbualan dengan kedua cikguku. Kata-kata mereka begitu memberangsangkan minda.


Tasik Biru College atau lebih dikenali dengan panggilan TBC menempatkan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan enam atas. Kolej ini juga turut menawarkan program A'Level. Disiplin tetap menjadi keutamaan. Cuma tak seketat sekolah kerajaan. Apa yang paling aku suka, TBC memberi kebebasan berpakaian. Ini memudahkan gerak geri aku yang memang rimas bila mengenakan seragam sekolah. 
Memakai seragam sekolah samalah seperti memakai topeng.


Di sini, aku bebas. Bebas menjadi aku. Tidak dikongkong seperti sewaktu aku bersekolah di sekolah-sekolah kerajaan dulu. Peraturan ketat yang mengarut sering membelenggu hingga buat aku rasa terdera, terutamanya dalam bab berpakaian. Lainlah kalau aku boleh memilih untuk mengenakan uniform lelaki. Bagaimanapun, dalam isu ini, aku ada perspektif sendiri. Pakaian seragam, walaupun aku tak suka dan amat membebankan emosi dan mental, sebenarnya satu idea yang bagus. Miskin, kaya, sederhana, semuanya sama bila mengenakan pakaian seragam sekolah. Tidak seperti di TBC. Pakaian melambangkan status sosial. Pemakaian membezakan kelas. Itulah hakikat.


Setiap peristiwa dan pengalaman sepanjang tiga tahun menghabiskan menengah rendah di sekolah bantuan penuh kerajaan, aku telah diajar membezakan yang mana kenalan, yang mana kawan. Itulah berkat melompat dari satu tempat ke satu tempat. Kesempatan mengenali ramai orang terutamanya rakan sebaya telah menganugerahkan aku peluang untuk mengkaji watak dan perwatakan manusia. Cara mereka berfikir, mentaliti, kepercayaan, budaya dan juga pengaruh. Dari kecil aku sedar, aku ni  ada satu habit. Aku suka memerhati persekitaran dari pelbagai sudut. Tak kiralah manusia, flora dan fauna, tempat, perbualan, atau apa saja yang melintasi hidupku. Dari kerikil yang tersekat di tapak kasut hinggalah butir nasi yang disuap ke mulut.


Bergaul dengan rakan-rakan dari pelbagai latar belakang, nilai-nilai kemanusiaan yang dipelajari menginsafkan. Telah aku saksikan macam-macam cerita tentang ikatan kekeluargaan, kasih sayang, hati budi, keikhlasan dan sebagainya. Ada yang baik, dan ada juga yang tidak kelihatan begitu baik. Ada yang dikurniakan kasih sayang, ada yang dimanjakan dengan kebendaan. Bertuahlah bagi mereka yang dianugerahkan kedua-duanya.


Tanpa diskriminasi, aku bergaul dengan sesiapa saja yang sudi. Tak kiralah siapapun mereka. ‘Budak-budak manja’ atau mereka yang suka menghakimi, tak kira bangsa, agama dan budaya, lelaki atau perempuan, miskin atau kaya. Begitu jugalah caranya aku menerima beberapa rakan yang cukup sederhana. Rakan yang datang ke sekolah berjalan kaki, menaiki basikal atau bas dengan rendah hati, membawa satu matlamat — belajar. Mereka percaya dengan yakin bahawa pelajaran dapat memperbaiki kehidupan.

Dan yang paling banyak aku pelajari di situ adalah tentang diri aku sendiri.


Saranan abah sewaktu berpindah ke sini empat tahun lepas aku terima dengan senang hati. Bangga aku rasa bila dapat menjadi warga TBC, sebuah institusi berprestij, yang terbaik dalam kelasnya. Siapa yang tak mahu belajar di sini? Sama ada untuk nama atau kualiti yang ditawarkan, semua pelajar pasti berbesar hati menjadi warga TBC atas apa sahaja misi yang mereka bawa. Termasuklah aku.


Popular melahirkan pelajar-pelajar cemerlang, tempat ini terkadang membawa satu perasaan aneh dalam diri aku. Bukanlah bermakna aku suka apalagi selesa di sekolah sebelum ini tapi jelas, bergaul dengan anak-anak orang senang, amat meletihkan. Penuh bergaya, jika tidak memandu kereta sendiri, dengan atau tanpa lesen, ibu bapa mampu sediakan pemandu. Ada juga yang gemar menunggang motosikal seperti aku. Daripada skuter hingga superbike, semua itu membuktikan betapa bertuahnya lahir dengan sudu perak.


Seperti marathon, gadis-gadis sentiasa berlumba untuk membuktikan merekalah yang terhebat, ‘terpanas’, tercantik. Memiliki aksesori terbaik, pakaian paling mahal dari butik-butik berjenama. Penat aku saksikan kecenderungan manusia dalam menunjuk-nunjuk dan berlawan-lawan dengan barangan mewah yang dibeli oleh ibu ayah. Leka mereka mempamerkan barang-barang yang diimport secara eksklusif dari London, Milan, Paris atau dari mana-mana bahagian di planet ini. Yang lelaki pula sibuk dengan minat masing-masing — Kereta terbaik, gadis terhangat dan tercantik, gajet, motosikal terpaling canggih dan entah apa lagi.

Aku penat dengan sandiwara dunia materi.


Apalah yang nak ditayangkan yang sangat? Mungkin aku berfikiran begini sebab aku tak punya apa-apa untuk ditunjuk jauh sekali untuk dibanggakan. Levi's dan T-shirt cukup buat aku selesa asalkan kemas. Dipermudahkan pergerakan dengan sebuah motosikal yang cantik, aku bebas ke mana-mana. Itupun hadiah dari mak abah. Harapkan aku, apalah yang aku ada? Aku dihantar ke sini atas satu misi. Menimba ilmu. Itupun sebab dipaksa abah. Walaupun bukan keinginan yang utama namun kewajipan tetap kewajipan.


Begitulah cara aku datang, menerokai dunia baruku, di mana aku perlahan-lahan belajar tentang dunia fizikal dalam menyelami keindahan dunia spiritual.

Sekolah dan tasik, dua jasad berbeza. Yang pertama aku jadikan tapak hidup, yang kedua aku jadikan sahabat. Sahabat yang setia menyaksikan setiap keluh kesah dan akan kekal sebagai saksi bisu selagi aku berada di sini.

Meski masa akan membawa aku jauh, aku tahu, aku akan kembali.


#

(ads)


Hari pertama semester baru, aku mulakan dengan satu keazaman untuk lebih bersedia menghadapi hari-hari seterusnya. Semangat makin berkobar setiap kali wajah cikgu Sophia bermain di mata. Rindu sangat aku nak dengar suara dia, tengok dia, tatap muka dia, berbual dengan dia. Disebabkan itu, aku rajin bertanya tentang biologi, itu dan ini. Satu-satunya cara yang ada untuk berada dekat dengan dia. Kesannya amat menakjubkan. Menjadi pelajar terbaik dalam apa juga bidang semestinya impian setiap pelajar yang berwawasan dan aku dah menguasi tangga pertama dalam subjek biologi setakat ini. Kedudukan itu harus aku kekalkan. Kalau boleh, biarlah sampai terus di hatinya. Dalam hidupnya. Tak kan aku biarkan sesiapa pun merampas takhta aku. Aku nak buat cikgu Sophia bangga menjadi seorang guru.


Pagi itu aku tiba di sekolah setengah jam awal. Selalunya aku sampai ngam-ngam je. Lewat sepuluh, dua puluh minit tu biasa. Ramai pelajar dah melepak di kafeteria, mengisi waktu sebelum sesi persekolahan dimulakan. Aku duduk memerhati dari atas motor, berkira-kira sama ada hendak bersarapan di situ atau di tempat biasa saja. Azam yang mula aku semat dalam dada memberi kata putus. Akhirnya aku memilih yang pertama. Bagaimanapun, meja paling terpencil tetap menjadi pilihanku. Meja di mana pertama kali aku kenal dia. Pertama kali minum kopi dan makan sandwich ayam sama-sama. Meja itu memang dah jadi meja kegemaran aku sebab tak ramai orang suka duduk tempat terpencil macam tu. Dari situ dapat aku perhatikan setiap sudut dengan jelas. Tiada apa yang menarik selain kopi yang kuhirup dan nasi lemak yang mengisi perut.


Pendengaranku terganggu bila kemunculan gelak tawa dari sekumpulan gadis yang datang memenuhi meja bersebelahan. Rosy and The Chicks. Cantik. Bergaya. Melebih-lebih. Apa saja yang mereka panggil, bagi aku, ia keterlaluan. Riuh rendah dan gelak ketawa dari gadis-gadis itu seakan sengaja dibuat-buat untuk menarik perhatian orang sekeliling. Siapa tak kenal mereka berempat... Eh kenapa hari ni berlima? Baru aku perasan, ada seorang daripada mereka yang lebih gemar mendengar dari bercakap dan memilih untuk tersenyum daripada ketawa terkekeh-kekeh seperti empat rakannya yang lain.


Mungkin sedar aku memandang, sekuntum senyuman dia lemparkan kepadaku. Tak sangka ada juga perempuan sudi sedekahkan aku senyuman. Rare. Memang rare lalu senyumannya aku balas. Seketika kemudian, seseorang datang menyertai kumpulan itu. Seseorang seperti aku. Wajah baru, aku pasti, kerana di sini, orang seperti aku boleh dikira dengan jari. ‘Jejaka jadian’ itu mencium pipi setiap gadis dan mengambil tempat di sebelah gadis yang tersenyum kepadaku sebentar tadi. Mereka kelihatan sangat gembira. Perbualan rancak memecah ketawa demi ketawa. Apalah yang lucu sangat agaknya?


Bosan dengan bunyi bising, kuangkat beg lalu kaki aku hayun menuju belakang dewan, tempat kegemaranku, seperti yang dilabel cikgu Rina. Sewaktu menaiki anak tangga, cikgu Sophia muncul depan mata, mematikan niatku untuk ke destinasi.


“Selamat pagi, Andrey.”


Pagi yang gelap serta-merta bertukar terang apabila gadis idaman menyapa membawa sinar matahari. Bunga-bunga di seluruh muka bumi ini turut berkembang segar dan mekar bila mendengar suaranya.


“Selamat pagi, cikgu. Cikgu apa khabar?”

“Saya baik-baik je. Awal awak hari ini? Sihat tak?”

Ketawa aku dibuatnya. “Demam cikgu.”

“Ada je jawapan awak ni.”


Tangan cikgu Sophia penuh menjinjing dua beg kertas dan beberapa fail. Segera aku ambil ke dua buah beg tersebut. Tak sampai hati aku tengok awek aku angkut barang banyak-banyak macam tu.


“Beratnya. Apa kat dalam ni? Tengkorak?” Sengaja aku berseloroh dan setiap kali aku buat lawak bodoh mesti dia ketawa. Itulah yang paling aku suka.

“Awak ni... Ada pulak tengkorak. Kalau tengkorak ringan kot.”

“Ye ke tengkorak ringan?”

“Dah tinggal tulang. Lemak semua tak ada. Otot tak ada, organ dalaman tak ada.”

“Ye tak ye jugak. Padanlah tulang ayam ringan.”

Jenakaku disambut ketawa besar cikgu Sophia. Ketawa itu berlarutan hingga kami sampai di makmal.

“Terima kasih.” Fail-fail di tangan diletakkan ke atas meja. Aku menurut dengan meletak sama ke dua beg yang kuangkut tadi.

“Cikgu punya pasal, anytime. Cakap je bila, bagaimana, mana cikgu suka. Tanpa alasan semua saya sanggup buat.” Dengan bangganya aku memberi keizinan untuk dia memperhambakan aku. Sedia berkhimat dengan cekap, mesra dan betul untuk mengisi apa saja permintaan gadis yang kuidam-idamkan itu. Apa saja hajatnya dengan berbesar hati akan aku tunaikan.


Senyumannya melebar sampai ke mata menunjukkan dia gembira mendengar jawapanku tadi. Dan bersama senyuman itu dia menatap muka aku dengan satu renungan. Renungan yang seolah-olah berhasrat untuk memperdalamkan sejenis perasaan. Renungan yang buat aku perasan. Ah, lantaklah. Apa yang penting, aku diwajibkan hati untuk membalas tatapannya itu dengan penuh keberanian. Rindu… Ingin saja aku ceritakan tepat di telinganya tentang kerinduanku. Sayangnya dia mengalihkan mata dari wajahku. Mungkin apa yang dia nampak tak begitu merangsang otak.


“Awak dah buat keputusan ke pasal nak tukar subjek?”

“Belum cikgu.” Aku berterus terang. Sepanjang cuti semester malas aku nak bebankan otak memikir tentang sekolah. Pertanyaan yang cikgu Sophia bangkitkan dah membawa kembali wajah cikgu Rina ke mataku. Ada keluhan kecil terhembus dari dada.

“Saya faham kalau awak perlu masa untuk fikir hal ni dalam-dalam. Tapi Andrey, awak pun kena faham masa tak tunggu kita.”

“Faham, cikgu.” 

Kalau boleh aku tak nak mulakan hari dengan bercakap mengenai perkara tu. Aku baru je nak rasa seronok, baru je nak kuatkan semangat untuk bisikkan I miss you ke hati dia. Dan kalaulah ada keberanian, akan aku tutup pintu rapat-rapat, kunci dan kat situ, dalam makmal tu jugak aku nak peluk dia, cium dia dan beritahu dia betapa geramnya aku kat dia. Betapa rindu dan sayangnya aku pada dirinya. Tapi tak mungkin itu terjadi… Mustahil.


Cuti telah mengizinkan minda untuk berehat dari sekolah dan semua permasalahnya. Sekarang kebebasan itu dah berahkir. Rutin harian terpaksa diulang lagi. Tugasan yang perlu disiapkan, dah aku uruskan dengan mudah kecuali tugasan yang diberi cikgu Rina. Malas aku nak buat walaupun tau hari ni semua orang kena hantar.


Ekonomi... Lama aku tak tengok cikgu Rina. Apa khabar singa gunung tu agaknya? Mungkin lebih mesrakah dia dengan aku lepas ni atau makin menyinga bila aku gagal menyiapkan tugasan? Segera aku teringat Arni, budak kelas sebelah.


“OK lah, cikgu, saya minta diri dulu. Kalau saya dah ada keputusan, saya update. Jumpa nanti dalam kelas.”

“Jaga diri.”

Aku tinggalkan cikgu Sophia di makmal, cepat-cepat menghala ke kelas Arni.


Budak debab bernama Arni yang suka menocangkan rambut itu memang handal dalam ekonomi. Disebabkan dia cemerlang, aku suka ambil kesempatan. Dia pulak suka bisnes, sebab tu ekonomi sesuai dengan dia. Arni lah satu-satunya manusia di institusi ini yang boleh aku gelar kawan. Dia faham aku. Dia tau aku ini siapa, macam mana dan tak pernah sekali dia kutuk-kutuk atau pandang rendah terhadap aku. Kemesraan itu membentuk satu rasa percaya antara kami sehingga dia tak kekok untuk berkongsi masalah denganku. Arni pernah cakap aku ni pendengar yang baik.


“Awal-awal kau tak nak bagi. Ni dah due baru terhegeh-hegeh.” Bebel Arni. Satu bungkusan aku hulurkan. Sebungkus rasuah untuk Arni yang montel, sempat aku beli selepas meninggalkan makmal biologi tadi.


“Macam manalah cikgu Rina tu tak hangin dengan kau. Tu pun aku tak paham camne boleh dia maafkan je kes engkau tu... Kalau akulah, memang aku report polis biar kau masuk lokap.” Arni menyambung bebelannya. Aku tak kisah, sikit tak ambil hati sebab jelas perasaan gembira terpancar dimukanya yang bulat itu bila melihat donut dalam bungkusan. Dengan penuh selera, dia menyumbat donut ke mulut.


“Berapa?” Tanyaku. Sebenarnya aku tak pernah buat kerja macam ni. Biasanya aku minta tunjuk ajar Arni tapi kali ni aku terdesak sangat. Masa suntuk. Sendiri punya salah.

“180. Esok pagi-pagi siap kemas atas meja kau. Nak murah, 100 tapi Jumaat ni baru dapat. You choose.”

“Cekik darah, padan debab.” Aku merungut perlahan.

“Setan kau Andrey. Nak esok ke Jumaat?” Arni menumbuk lengan aku. Sakit jugak, dia dahlah besar macam ahli sumo.


“Hmm... Kau rasa kalau Jumaat cikgu Rina marah tak?”

“Tak cukup bajet ke?”

“Tak la… Kalau siapkan hari Jumaat lagi padu kot assigment tu. Esok macam rush sangat takut nanti ntahape kau tulis. Buat cincai- cincai. Dah la mahal.”

“Kau ni kan, kalau tak yakin dengan aku, apa kata kau suruh cikgu Rina je buatkan. Banyak bunyi pulak dia.”

“OK, OK... Jangan tumbuk lagi. Jumaat, OK. Aku memang kena berjimat, nak kumpul duit. Nak belanja cikgu Rina makan nasik minyak.”

“Huh... Nasik minyak konon. Kau ni kan, memang sengaja carik hal dengan dia. Kesian dia tau. Cikgu Rina tu bagus. Aku suka cara dia ngajar. Relax je.”

“Garang tak bertempat macam tu kau kata relaks?”

“Yang menggelabah tu engkau.”

“Hmm.. lagi?”

“Tak de lagi... esok 100. Jumaat siap, collect sendiri kat sini. Tapi kau tau kan, cikgu Rina nak tugasan ni hari ni atas meja dia...”

“Takpe, itu biar aku jawab.”

“Takde masalah carik masalah.”


#

(ads)


Muka baru yang aku nampak bersama Rosy & The Chicks di kafeteria pagi tadi masuk ke kelas ditemani cikgu Robert.

“Kita ada pelajar baru. Jaqueline. Sila perkenalkan diri."


Selepas diri diperkenalkan serba ringkas, Jaqueline diarahkan untuk mengambil tempat. Dia memandang aku dengan kening diangkat. Tak teragak-agak dia terus memilih untuk duduk di depan aku. Apabila kelas cikgu Robert tamat, aku dia hampiri. Tangan dihulur. Salam disambut.


“Kalau tak silap, engkau yang kat kafe pagi tadi.” Katanya yang berambut spiky sambil menarik kerusi dan terus duduk menghadap aku.

“Tak perasan...” Aku pura-pura tak tau. “Anyway, aku Andrey.”

“Sekolah ini cool. Mesti seronok buang masa kat sini. Banyak anak kucing comel-comel.”

School is school. Anak kucing memang banyak, tapi banyak yang liar.”

“Haha, tapi ada yang dah jinak. Aku ada jumpa beberapa ekor pagi tadi kat tempat letak kereta, jadi aku ajak minum susu sebagai jamuan untuk hari baru.”

“Charming.”

Dia ketawa. “Kau ada?”

“Ada apa?”

“Kucing.”

“Kat rumah ada. Sini tak jumpa lagi kucing. Singa gunung adalah.”

“Hahahahh…” Dia ketawa kuat. “Singa gunung.” Katanya, mengulang apa yang ku kata tadi. Dia belum tau apa maksud aku. “Kucing jugak tu,” sambungnya lagi.


Perbualan kami terhenti apabila cikgu Rina masuk ke dalam kelas. Kalaulah dia tau betapa kehadiran dia dah membawa resah yang mencantumkan diri dengan rasa teruja bila dia menjajah ruang itu lagi…


Cikgu Rina memandang ke arah aku dan Jacqueline. Sempat aku lemparkan senyuman kepadanya. Senyumanku berbalas, malangnya, hanya dengan satu garis kecil di bibir. Segaris senyuman singkat yang tak mempamerkan kemesraan. Hati ini pun kesal bercampur sesal. Kesal kerana senyuman ikhlas yang aku beri telah memalukan diri sendiri.


“Nampaknya ada muka baru. Boleh kenalkan diri?"


Dengan bangganya Jacqueline berdiri sekali lagi tapi kali ini untuk memperkenalkan diri khas kepada guru kelas kami.


“Salam sejahtera, cikgu. Happy to meet you. Saya Jaqueline Adam. Orang panggil saya Jacques. Kalau nak panggil Jacqui pun OK. Mana-mana pun boleh. Saya dari utara, anak tunggal. Maksudnya tak ada kakak, adik mahupun abang. Ayah saya baru buka klinik kat sini. Kalau sakit perut ke pening kepala, senggugut atau cikgu ada gangguan psikologi, tekanan emosi, depressi, anxiety, sleeping disorder, whatsoever… boleh jumpa beliau. Ibu saya, beliau peguam. Beliau pun sama, baru buka ofis kat sini beberapa bulan lalu. Kalau cikgu ada kes jenayah bolehlah jumpa beliau, akan diselesaikan dengan bijak dan saksama. Kerana merekalah, maka berdirinya saya di sini sekarang. Hobi saya lumba kereta. Subjek kegemaran saya, ekonomi. Haha kidding… Hmm, terus terang, ekonomi boring. Mungkin sejarah... Ahh... I don't think so... Saya rasa geografi. Anyways, itu tidak penting. Takde subjek yang seronok pun. Apa-apa lagi yang cikgu nak tau, sila jangan segan, jangan malu untuk bertanya.”


Seisi kelas memandang dia yang masih dengan muka selamba penuh keyakinan. Ada yang ketawa, ada yang berbisik sesama sendiri. Ada yang tersengih. Jacques menamatkan sesi memperkenalkan diri dengan menambah, “saya gembira, dan kita semua patut bersyukur, kawan-kawan sekelian, sebab ada cikgu ekonomi yang berkarisma dan lawa. Sekian.”


Antara nak tergelak dan tak percaya bercampur terkejut dengan keselambaan Jacques, aku meninjau ekspresi cikgu Rina. Tiada senyuman, apalagi menunjukkan rasa terhibur atau terusik. Dia tetap memakai wajah tegasnya.


Too much details. Awak boleh duduk. Selamat datang ke kelas saya. Ingat, kalau mengantuk, carik bilik. Kalau banyak cakap, nak jadi juruhebah bukan di sini.”


Tak terkejut dengan amaran tersebut sebab aku tau, mengantuk itu aku.

Sebaik sahaja duduk, Jacques menoleh ke arahku, berbisik, “ni ke singa gunungnya?”

Aku ketawa sedikit kuat, sambil menjawab dengan menganggukkan kepala. Tetapi sekali lagi, dia berkata, “hot stuff, don't you think?”

Tak sempat menjawab, mata aku tertancap pada cikgu Rina yang membaling kapur ke arah Jacques.


“Aduh…” Anak nakal itu menjerit apabila kapur melekat di pipinya buat kali pertama. Kapur yang biasanya diterbangkan khas untuk aku kini dah ada mangsa baru. Cikgu Rina ternyata seorang sharp shooter.


“Baru jugak saya cakap, saya tak suka orang bising dalam kelas saya. Tak faham? Sila ambil perhatian. Awak, sekolah awak dulu, sampai bab mana dah?”

“Hmm… Silibus terakhir… Hmm… Jap cikgu…” Jacques mengambil begnya lalu diletakkan di atas meja. Dia mengeluarkan semua buku yang mengisi beg galas Eastpak berwarna kelabu itu. Seisi kelas memerhati tindak tanduknya.


“La... Saya tak bawa buku tu rupanya, cikgu. Maaflah... Jadual waktu tak dapat lagi, jadi saya tak tau kita ada kelas ekomoni hari ni.” Satu kelas ketawa lagi. Aku pun tergelak sama.

“Itu bukan soalan saya. Saya tanya, sukatan pelajaran mana sebelum pindah sini. Ada masalah faham soalan?”

“Hmm... Sukatan pelajaran… yang terakhir…. Gosh... Maybe… itu…err…hmm... Domestic Business ke hape, tak pasti, cikgu.”

“Itu perdagangan.” Jacques pandang aku, mengangkat keningnya sambil merungut, “tak de toleransi dia ni.”

“Jadi kelas, hari ini kita akan buat recap asas ekonomi Bekalan dan Permintaan. Untuk yang baru ambil ekonomi, sila buat research. So, ada sesiapa nak mula?”

Tanpa berlengah, segera aku angkat tangan.

"Ya, Andrey, silakan."


#

(ads)



Walaupun dengan rela nak menjawab, namun jantung aku berdetup detap macam bunyi derap tapak kasut berladam polis sewaktu berkawad. Inilah kali pertama aku angkat tangan untuk menjawab soalan ekonomi, menyertai secara rasmi kelas cikgu Rina, tidak seperti hari-hari sebelumnya. Gementar yang cukup mengganggu itu bagai mengawal detak jantung. Bukan kerana jawapan yang sedia aku beri, tetapi kerana dia. Kerana cikgu Rina itu sendiri.


“Permintaan ialah kuantiti barang yang diingini pengguna. Bekalan ditentukan sebagai jumlah produk atau perkhidmatan yang boleh disediakan oleh pasaran. Hubungan antara harga dan jumlah barang atau perkhidmatan yang dibekalkan dikenali sebagai hubungan penawaran. Ini menentukan harga sesebuah produk. Semakin tinggi permintaan, semakin tinggi harga. Apabila permintaan rendah, harga pun turun.”


Secebis huraian aku berikan. Aku tau, tak lengkap tapi jadilah. Mencuba tu yang lebih penting. Bukankah itu yang dia nak? Dia perlukan penerangan yang boleh buat dia faham. Jadi aku cuba buat apa dia minta. Soalan mudah, sesiapa pun boleh jawab. Kalau soalan lain dah tentu aku fikir dua tiga kali jugak sebelum angkat tangan. Dia tak tau, untuk cuba buktikan bahawa aku bukanlah teruk sangat macam markah yang dia bagi, aku terpaksa bergelut dengan getar dan gementar. Mungkin rasa tercabar, maka ada sedikit keberanian yang diilhamkan oleh cikgu Rina.


Masih berdiri, menunggu komen dan reaksi si cikgu, mataku meliar ke setiap penjuru kelas, melihat pelajar lain memberi perhatian kepadaku dan berminat mau mendengar ulasan cikgu Rina. Barangkali, itu satu kejutan buat mereka. Siapa yang tak tau aku ni macam mana dengan cikgu Rina dan ekonomi. Kemudian aku pandang semula ke depan, ke arah cikgu Rina yang berdiri megah. Di sebalik cermin, aku melihat sepasang matanya tersenyum kepadaku dan senyuman itu terpantul di bibirnya.


“Menurut rekod, awak tak ambil ekonomi asas untuk O’Level, betul?”

“Tak cikgu. Baru ni.”

“Kenapa?”

“Nak cuba sesuatu yang baru. Nak tengok kemampuan sendiri agaknya.”

“Bagus, Andrey. Saya percaya awak dah gunakan cuti semester dengan baik. Sila duduk. Siapa lagi?”

Memang baik sangat. Aku ketawa dalam hati.

“Terima kasih, cikgu.”


Sebaik saja aku melekatkan punggung ke kerusi, Jacques menoleh mendapatkan aku, menunjukkan kekaguman.


“You are sick, bro. You have the lion showing her dimples.”

Aku hanya mengangkat bahu. Tumpuan kualihkan lagi kepada kelas. Ia mula jadi menarik.


“Ada sesiapa lagi nak tambah?” Tanya cikgu Rina.

“Awak.” Dia menudingkan jarinya kepada Jacques. “Suka sangat bercakap, kan? Sekarang cakaplah.”

Dengan teragak-agak Jacques berdiri.

“Nak cakap apa cikgu?”

“Tadi Andrey cakap pasal apa? Kita tengah bincang pasal apa?”

“Saya tak pasti cikgu. Tak berapa paham… Cakapnya berbelit-belit… Lagipun saya belum lagi belajar hal ni kat sekolah lama.”

“Ya, memang tak heran kalau awak dah belajar sekali pun. Andrey baru bagi jawapan. Apa yang awak tangkap?”


Hati aku bergetar bila namaku disebut, manakala mata ini tak lepas dari merenung wajah si singa gunung itu. Kenapa dengan aku? Apa dah jadi?


“Err… Tangkap apa cikgu?” Seisi kelas ketawa besar. Jacques pandai buat lawak. Aku ketawa sama. Cikgu Rina menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menuju ke papan hitam. Dengan tangan kanan mencekak pinggang, tangan kirinya menulis perkataan Demand And Supply besar-besar. Kemudian dia menghampiri Jacques dan bertanya, “reti baca tak tu? Ke rabun? Nak saya ejakan?”


“Oooo... Ekonomi... Ingatkan tangkap singa bukit ke apa tadi... Err... Saya sebenarnya faham, cikgu. Penjelasan yang sangat jelas dan terperinci daripada rakan saya ni.” Sempat Jacques mengenyit matanya kepadaku sebelum meneruskan huraiannya kepada kelas. Aku pandang muka serius cikgu Rina dan buat beberapa saat, mata kami bertaut.


“OK, macam ni cikgu. Untuk memendekkan esei kawan saya tadi, sebab menurut saya, jawapan beliau agak mengelirukan, jadi biarlah saya ringkaskan dengan mudah, mengikut erti kata saya sendiri, tanpa mereka-reka apalagi meniru buku teks, supaya cikgu lebih faham. OK kelas, dengar sini baik-baik. Permintaan dan penawaran adalah seperti…errmm… Hot chicks... You know hot chicks? Yes... Apabila sesuatu tu panas, macam goreng pisang panas, permintaan tinggi. Bila permintaan tinggi, maka meningkatlah penawaran. Apa jadi lepas tu? Betul, harga pun melambung. Tokey kilang duk kira untung. Bila permintaan naik, pekerja pun perlu ditambah. Peluang pekerjaan ditawarkan sekaligus pengangguran berkurang. Bila berkurangnya pengangguran, taraf hidup pun meningkat selari dengan ekonomi. Tapi bila sejuk, nak basi, melepek lembik, siapa yang nak kan? Jadi permintaan pun menurun, harga pun jatuh, free pun boleh dapat. Lambakan menyebabkan pembaziran. Maka produksi terpaksa dihentikan. Kilang-kilang pun bungkus, manusia hilang pekerjaan. Pengangguran tinggi, mata wang jatuh. Inflasi pun terjadi. Apalah yang susah sangat. Goreng pisang je kot.”


Seisi kelas ketawa besar. Jacques duduk tanpa menunggu kebenaran dari cikgu Rina. Mukanya masih bersahaja, membuang pandang ke arahku, dengan bahu dan kening diangkat, cukup yakin dengan jawapan yang diberi.


“Salah ke, bro?” Aku masih belum dapat redakan tawa. Sama ada dia seorang pelawak atau lurus bendul, dia ternyata menghiburkan dan jawapannya masuk akal. Lebih baik dari apa yang aku berikan sebenarnya. Lebih mudah difahami. Baru aku sedar sekarang, inilah agaknya yang cikgu Rina nak. Terangkan sesuatu menggunakan ayat sendiri, pemahaman sendiri tapi tetap pada fakta dan data. Aku salute Jacques dalam diam. Sekali lagi mamat ni berjaya buat cikgu Rina geleng kepala. Perlahan dia berjalan ke belakang kelas menghampiri Jacques. Dengan tangan diletakkan ke meja, dapat aku menangkap kata-katanya, “saya harap jawapan awak ni dapat membantu awak dalam peperiksaan dan tugasan. Cubaan yang baik. Bagus.”


Sebelum kembali ke depan kelas, cikgu Rina sempat mengerling ke arahku. Ada senyuman di wajahnya selepas mendengar definisi yang diberikan oleh kawan baruku, Jacques.

Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!