Suara ~ Bab 9 : Kantoi

Ray FL
0


K(caps)eyakinan perlahan-lahan menjalar dalam kewujudanku. Semangat semakin menguatkan hasrat untuk mencapai puncak dalam pengajian. Aku menjadi lebih tekun. Lebih serius. Tiada lagi rasa terpaksa. Perubahan ini amat ketara. Bangun tidur pun tak liat lagi. Tambahan pula sekarang ada yang rajin mengejut. Cikgu Rina setia betul jadi jam loceng aku. Pertama kali dalam hidup aku rasa diri ni dihargai. Boleh jadi itulah salah satu punca dari mana datangnya semangat. Berdamai dengan dia telah membebaskan aku dari fikiran-fikiran dan perasaan-perasaan negatif. Makin lama, aku makin selesa dengan dia.


Jacques pula selalu memecah sunyi di sekolah. Dia pandai menghibur dengan jenaka spontan. Adakalanya idea yang terkeluar dari mulut kawan baruku itu cukup logikal walaupun kedengaran seperti satu gurauan. Aku mula senang berkawan dengan dia. Kehadirannya telah menyedarkan aku tentang hal-hal yang dah aku terlepas pandang. Aku mula sukakan sekolah ini.


Dan perbualan ringkas dengan cikgu Sophia dari masa ke masa menambahkan lagi keazaman dan motivasi diri untuk cemerlang. Tumpuan yang diberi pada aku dalam kelas tak pernah kurang tapi tak pernah juga lebih dari itu. Kadang-kadang aku berharap akan ada kesempatan untuk aku mengenalinya di luar sekolah. Untuk merealisasikan itu, aku tau banyak yang kena aku buat. Strategi perlu diatur supaya tak lah dia terkejut nanti bila aku tiba-tiba ajak dia keluar makan ke tengok wayang ke. Aduh, besar sungguh cita-cita aku. Cita-cita, walau setinggi dan sebesar mana pun ia, tak akan jadi kenyataan jika tak ada usaha dan kesungguhan, jika takutkan kegagalan. Aku tarik nafas. Kalau tak mencuba, kita tak tau. Kalau tak cuba, jawapannya akan sentiasa negatif. Sekarang terpulang kat aku macam mana nak mengorat cikgu Sophia sampai dia betul-betul jatuh cinta kat aku dan jadi milikku selamanya.


Susah rupanya bila dah jatuh cinta. Makin susah bila terpaksa hadap kes syok sendiri macam ni. Aku je yang melebih-lebih sedangkan tak ada tanda-tanda pun yang cikgu Sophia tu suka aku lebih dari pelajar. Aku tengok dia pun macam ada apa-apa je dengan cikgu Fizi. Semalam aku nampak diorang minum kat kafeteria. Bukan main mesra, gelak ketawa, berbual. Berdua pulak tu. Pernah juga aku nampak diorang berjalan sama-sama pergi bilik guru. Hari tu lepas sekolah, dekat tempat letak kereta, cikgu Fizi berdiri dekat kereta dia. Entah apa yang dibuatnya kat situ. Mestilah tengah menunggu. Hmm… Lain macam aje aku tengok perangai dorang berdua. Cemburu tak payah ceritalah. 


Semua tu buat aku terfikir untuk melupakan dia. Lupakan apa yang aku rasa. Sebelum jadi lebih parah, ada baiknya perasaan ini aku padam. Tapi macam mana? Selagi tak habis A’Level, selagi tak keluar dari kolej ni, aku terpaksa hadap dia. Dapat ke aku lenyapkan perasaan tu? Mudahkah? Hari-hari jumpa dalam makmal, hari-hari berbual, tengok dia… Mustahil dia dapat aku buang macam tu saja dari hati dan fikiran ini.


“Apa kau nak kisah sangat? Anggap je dia tu sebagai satu bonus. Bonus untuk kau cemerlang dalam biologi. Kau muda lagi. Banyak lagi perempuan muda-muda kat luar sana tu tunggu engkau. C’mon la, she’s just a distraction in your existence. A crush. Esok bila dah habis A’Level, bila kau masuk universiti ke, mana ke, kau akan jumpa orang baru, percayalah. Masa dan pilihan. Jangan salah langkah.” Begitulah bunyinya bila hati bersekongkol dengan akal. Masing-masing cuba nak tenteramkan jiwa aku.


Khayalan aku dikejutkan bila beberapa minit sebelum kelas ekonomi tamat, cikgu Rina datang ke mejaku dengan wajah kurang mesra.


“Jumpa saya lepas kelas.” Dia memberi arahan. Tanpa ada kata lain dia terus kembali ke hadapan, meneruskan saki baki kuliah.

“Sudah…” Kataku kepada hati dan otak yang mula terkenangkan Arni.


“Apa kes bro, dia nak jumpa kau?”

Aku angkat bahu. Jacques teruja nak tau.


#

(ads)


Menurut perintah, selepas semua pelajar meninggalkan kelas, aku terus ke depan. Cikgu Rina dah siap sedia duduk di meja guru tunggu aku.


“Ambil kerusi tu. Duduk sini.” Agaknya memberi arahan memang menyeronokkan dan itulah yang suka sangat cikgu Rina buat. Aku menurut tanpa berkuasa untuk berdolak dan berdalih. Hati berdebar sementara otak mencari akal untuk meloboskan diri dari persoalan yang bakal timbul. Aku tengok ada timbunan kertas tugasan di atas mejanya. Ni mesti pasal assignment aritu. Otak aku tak fikir lain, selain Arni. Camtulah kalau orang dah buat salah…


Tekaan aku tepat. Cikgu Rina mengeluarkan kertas tugasan yang aku serahkan kepada dia, dua tiga minggu lepas. Aku cuak. “Abihlah kita, Arni…” Rengek hatiku.


“Hantar lambat, empat hari lewat, satu hal. Tak pe, saya boleh tolerate. Pejam mata. Saya kasi chance. Ni assignment ni, cuba explain sikit kat saya.” Kertas tersebut dia hulurkan kepada aku.


“Tak lengkap ke kerja saya, cikgu? Kalau ada apa-apa yang tak kena, saya boleh perbaiki, saya akan lengkapkan. Cuma bagi saya masa.”


Pertanyaan dan kesanggupan itu aku lafazkan setenang mungkin dalam nada tak bersalah. Cikgu Rina menyambutnya dengan senyum sinis. Aku angkat muka, pandang muka dia. Dia menggeleng-geleng kepala sebelum mengeluh. Kertas tugasan aku dia ambil dan dibelek-beleknya lagi.


“Apa nak jadi dengan awak ni, Andrey?” Suaranya perlahan. Tenang.

“Entahlah, cikgu.” Pertanyaannya kujawab. Juga tenang. Lengkap dengan semua kejujuran.

“Tugasan ni sempurna. Sempurna sangat sampai hampir tak ada salah saya jumpa.”


Aku senyum, lega dan bangga dengan pujian yang diberi. Risau hilang serta merta.


“Agak-agak ada tokoh tak saya jadi pakar ekonomi atau menteri kewangan?” Aku cuba berseloroh.

“Awak?” Dia memusing-musingkan pointer di tangannya.

“Ye, sayalah. Takkan cikgu pulak.”

“Saya rasa awak lagi sesuai jadi menteri putar alam. Arni lagi layak jadi menteri ekonomi dan kewangan.” Suaranya ditinggikan. Berderau darah aku. Macam dah tertelan lidah sendiri, tak ada alasan yang mampu aku reka untuk menimbus salah laku aku.


“Kenapa tak buat sendiri? Cuti lama.”

“Saya tak ada mood, cikgu.”

“Itu bukan alasan. Tanggungjawab tetap tanggungjawab.”

“Saya…” 

Tak sempat membela diri, dia memotong, “berapa awak bayar Arni?”

“Itu personal.”

“Awak nak saya libatkan dia dalam masalah ni?”

“Tak… cikgu, tak… Tolong jangan libatkan dia. Dia tak salah. Ini semua salah saya, bukan dia.”

“Berapa?”

“100.”

“Biasa dah buat kerja ni?”

“Pertama kali.”

“Awak kenal siapa lagi yang selalu buat macam ni?”

“Tak tau, cikgu. Saya seorang aje kot. Tapi tolonglah, jangan ambil tindakan atas dia. Saya akan pikul tanggungjawab ni.”

“Kes ni berat. Saya tak boleh biarkan pelajar macam awak gunakan Arni untuk kesenangan diri sendiri. Dan Arni jugak salah sebab gunakan orang macam awak untuk buat bisnes macam ni.”

“Cikgu, pasal bisnes Arni, itu saya tak tau. Cikgu kena siasat dan dapatkan evidence, tapi kes saya, saya akan tanggung akibatnya.”

“Ini dah langgar undang-undang dan peraturan sekolah. Tau tak?”

“Tau, cikgu. Saya tau…” Aku menjawab lemah. Wajah Arni terbayang di fikiran. Kesian dia. Kalaulah cikgu Rina ketengahkan hal ni, apalah nasib kawan aku tu nanti? Aku tak apa, kena buang sekolah pun aku sanggup. Lagipun aku memang nak buang subjek ekonomi.


“Berapa lama dah buat kerja macam ni? Entah-entah subjek lain pun awak upah orang sebab tu excel sangat dalam biologi.”

“Cikgu cakap elok-elok sikit. Biologi memang minat saya. Saya buat sendiri, OK. Hasil usaha saya. Ini pertama kali saya upah Arni. Pertama kali. First and the last sebab kita tak akan jumpa lagi dah lepas ni.”

“Dah pastilah awak akan keluarkan ekonomi dari list awak?”


Aku terdiam. Kata-kata dah memakan diri sendiri sebab sebenarnya aku masih belum buat keputusan tentang itu.


“Tapi cikgu, kalau cikgu berani cakap saya upah orang untuk kertas biologi dan subjek-subjek lain, apa bukti cikgu cakap kertas ekonomi saya ni Arni yang buat?” Aku mula rasa tertipu. Dalam hati aku memaki diri atas kecuaian aku hingga masuk dalam perangkap cikgu Rina.


“Siapa cakap saya ada bukti? Saya memang tak ada bukti. Saya serkap jarang je. Awak yang mengaku.” Selamba dia menjawab. Celaka betul. Terkena aku. Terkena lagi. Cikgu Rina memang pandai psiko.


Aku tepuk dahi menyumpah seranah kebodohan diri akibat terlalu senang diserang rasa takut dan bersalah. Betul orang cakap. Berani kerana benar. Takut kerana salah.


“Memandangkan Arni tu cemerlang dalam ekonomi, saja saya petik nama dia.”

“Tak patut cikgu buat cam ni.”

“Patut ke awak buat camni?” Cikgu Rina menolak kertas tugasan itu lebih dekat kepada aku.

“Lepaskan saja ekonomi, Andrey. Saya tengok awak tak larat nak pikul beban ni.” Katanya lagi. Dia mengemas meja.

“Minggu depan saya nak tengok tugasan ni atas meja saya. Not printed, saya nak tengok tulisan tangan awak sendiri.” Katanya. Kertas tugasan yang disiapkan Arni dia simpan dalam fail sebelum meninggalkan aku sendirian termangu di situ, menyesali kelalaian sendiri.


“Kau OK?” Rupanya Jacques setia menunggu aku di luar kelas. Sebaik cikgu Rina keluar terus dia mendapatkan aku.

“Kantoi.”

“Pasal kertas Arni tu, kan? Aku dengar semuanya.”

“Kena buat balik.”

“Aku tau kau boleh buat. Tapi Arni macam mana? Kau rasa singa gunung tu akan besarkan hal ni tak?”


Aku angkat bahu dan terus angkat kaki. Jacques berlari mengekori aku yang berlari untuk mencari Arni. Nasib aku baik, Arni masih berpeleseran di kafeteria mengisi temboloknya yang tak pandai penuh.


“Ada cikgu Rina jumpa kau?” Tanyaku sebaik saja aku merebahkan bontot di sebelah Arni. Jacques yang mengambil tempat di hadapan kami hanya memasang telinga.


“Tak de. Kau kenapa? Kena sampuk?”

“Aku dah kantoi. Serabutlah cikgu kau tu. Dia dah tau kau buat assignment aku.”

“Aik how come? Selama ni tak pernah kantoi.”

“Sekarang dah kantoi.”


Marah betul aku pada diri sendiri akibat kecuaian hingga terjerat dengan permainan kata-kata cikgu Rina. Tak henti-henti aku memaki dalam hati. Rasa meluat yang mula terubat kembali berulat. Bijak betul cikgu Rina. Dia pandai belit sana, belit sini. Memang pakar. Sesuailah dia jadi cikgu ekonomi. Kalau jadi tokey biawak pun memang banyak dia boleh buat untung. Aku agak dah dia ni memang ada niat tak baik. Memang dia tak akan puas hati punya dengan aku. Pura-pura baik konon. Lakonan je semua tu.


“Arni, kalau dia soal siasat kau, kau nafikan je. Rina singa gunung tu kaki psiko. Kau jangan lemah dengan kata-kata manis dia.”

“Hahahah… Apa kau merepek ni, Andrey?”

 “Ketawa pulak dia… Ikut je la cakap aku. Kalau dia tanya kau deny je. Kecuali kes aku. Aku memang dah ngaku assignment aku kau yang buat. Kau ambik 100 pun aku bagitau.”

“Apa yang kau bongok sangat mengaku? Hek eleh mamat ni.”

“Entahlah Arni…”

Apa dah jadi sampai senang sangat menyerah? Dah berkenan?”

“Aku tadi cuak kena panggil pastu dia keluarkan kertas tu. Mana aku tak… Ahhh…Kau deny jelah, OK. Kes aku, biar aku handle.”

“Habislah aku kalau dia siasat semua orang…” Kata Arni. Sugul mukanya. Aku faham Arni terpaksa cari pendapatan sampingan.

“Sebab tu kau jangan mengaku. Jangan jadi bongok macam aku.”



#

(ads)

 

Tugasan yang diminta berjaya aku siapkan mengikut apa yang dihajati cikgu Rina. Tulisan tangan aku sendiri. Dia pada mulanya nampak berpuas hati sewaktu kertas tersebut kuserahkan ke tangannya. Isi kandungan tugasan taklah aku tau samada akan mencapai tahap piawaian dia atau sebaliknya. Dah tentu tak sehebat tulisan Arni, itu pasti. Tapi bila nampak aku siap letak cap jari —


“Ni, apa makna ni?” Dia mempersoalkan cap jari yang aku tempelkan di setiap helaian kertas tugasan. Depan dan belakang.

“Itu namanya validation.”

“Bilalah awak ni nak matang, Andrey…” Dia pandang muka aku tepat-tepat. Tak puas hatilah tu.

“Salah ke? Ke tak percaya tu cap jari saya? Tak caya assignment tu saya yang buat?”

“Saya malas nak layan budak kecik macam awak ni. Buatlah apa awak suka. Nak letak cap kaki tiga ke, nak letak cap gajah ke, cap kapak ke, cap badak ke, ikut suka awaklah.”


Tiba-tiba aku teringatkan Arni. Menyesal pulak aku berkasar dengan cikgu Rina. Dia ni unpredictable. Karang tak pasal-pasal disebabkan aku, Arni yang susah.


“Cikgu… Cikgu, relakslah… Saya nak bergurau je…” Tangannya aku pegang.


Dia menghela nafas. Aku lihat matanya memandang tanganku yang tak malu menyentuh tangannya. Beberapa detik kemudian, dia membebaskan tangannya dari sentuhanku. Cermin mata di letakkan ke atas rambut. Saja nak pukau akulah tu. Badan disandarkan ke kerusi.


“Sorry…” Aku kecikkan mata, pandang dia. Saja buat muka comel, dalam usaha nak menggoda, nak merayu.


“Andrey, tahun depan awak dah dua puluh tau. Bukan dua tahun. Grow up. Kalau benci, dendam awak kat saya tak boleh awak padam, sikap saya, salah saya tak dapat awak maafkan, saya tak kisah. Saya macam mana pun akan tetap maafkan awak. Dan sebagai guru, saya akan cuba bantu awak tak kiralah dari segi akademik atau sosial. Apa yang saya nak tengok hanyalah kejayaan awak. Jangan sia-siakan masa, Andrey.” Dia masih mampu berdiplomasi. Nasihat tetap diberi, toleransi kukuh dipegang, biarpun perangai dan kerenah aku sememangnya menjengkelkan dan mungkin dia pun dah fed-up melayan.


Suaranya yang tenang melafazkan kata-kata berjaya menampar aku lagi. Kali ini tamparan itu semakin lembut. Aku tertunduk, dihimpit rasa sesal dan kesal. Kenapalah dengan aku? Kenapa aku tak sedar, sikap aku rupa-rupanya masih kebudak-budakan? Masih tak matang. Tiba-tiba aku diserang rasa malu. Malu yang teramat sangat.


“Cikgu, jangan ambil tindakan kat Arni. Saya sanggup buat lima lagi tugasan kalau cikgu nak sebagai hukuman bagi kemalasan dan sikap acuh tak acuh saya. Saya minta maaf lagi sekali, cikgu. Memang saya tak matang. Saya tak hormat cikgu…”

“Saya tak jumpa bukti lagi kalau nak buat tuduhan atas Arni kecuali pengakuan awak hari tu.”

“Cikgu, sebenarnya Arni perlukan duit tu untuk tampung yuran dia teruskan pengajian.” Terpaksa aku ceritakan kepada cikgu Rina tentang masalah yang pernah Arni ceritakan kepada aku dulu dengan harapan ini dapat membetulkan keadaan.


“Apa masalah dia?”

“Mak dia sakit. Terpaksa berhenti kerja.”

“Sakit apa?”

“Cancer. Breast cancer. Sekarang terlantar di hospital. Ayah dia menghilangkan diri tak tau mana pergi sejak mak dia jatuh sakit. Dia yang kena jaga dan uruskan mak dia dan adik-adik. Dia ada dua orang adik. Cikgu bayangkanlah…Pada siapa mereka nak bergantung?”


Masa tu aku rasa dah macam Tony Castello dalam cerita anakku Sazali sewaktu budak tu cuba yakinkan bapak dia yang dia cuma membantu orang susah.


“Adik-adik dia berapa umur?”

“10 dan 14. Perempuan dan lelaki.”

“Lama awak tau pasal ni?”


Aku angguk. “Dalam 4, 5 bulan. Arni terpaksa buat kerja part-time lepas sekolah. Dekat cyber cafe. Lepas tu dia kena jaga mak dia di hospital. Balik rumah, urus adik-adik lepas tu berulang lagi ke hospital. Kadang-kadang tak sempat balik rumah pun. Tak ada siapa yang boleh dia harapkan. Sebab itulah dia buat bisnes ni. Saya nak tolong dia apa yang mampu, cikgu.”


“Yuran bulanan mahal dekat sini. Kenapa dia tak ambil Sijil Tinggi je kat sekolah kerajaan, kan lebih murah?”

“Mulanya tak ada masalah tapi sejak mak dia sakit, ayah pulak hilang, itu yang dia sesak. Lagipun dah lebih separuh jalan, tak kan nak berenti macam tu je.”

“Saya faham… Andrey, niat awak nak tolong kawan yang susah tu memang mulia. Tapi caranya tak kena. Awak nak bantu dia financially, tapi dia bantu awak ke dari segi akademik? OK, betul, dia tolong awak buat assignment tapi itu membantu awak ke untuk berjaya dan cemerlang macam dia?”

“Tak, cikgu. Saya bodoh, tak macam dia.”

“Jangan cakap macam tu. Awak tak bodoh tapi awak malas.” Kini dia pula menyentuh tangan aku seolah mahu memberitahu bahawa dia sanggup memaafkan.


#

(ads)


Aku rasa tercabar. Satu hari aku akan buktikan bahawa aku juga boleh berjaya dalam subjek ekonomi walaupun tak sehebat Arni.


“Awak boleh je membantu tanpa minta balasan, kan?”

“Dah tentu, cikgu.”

“Ada banyak cara kita boleh buat untuk tolong kawan-kawan, untuk bantu siapa dan apa saja yang memerlukan. Saya happy awak ada hati, ada kesedaran, ada empati tapi saya tak nak awak langgar undang-undang. Jangan buat benda yang hanya akan susahkan diri awak. Buat sesuatu, jadikan ikhlas tu sebagai asas dan biarlah dengan cara yang sepatutnya. Biarlah jalannya betul.”

“Saya fikir ada permintaan dan penawaran kat situ.”


Cikgu Rina ketawa besar. Mataku yang memandang meja kini beralih memandang mukanya. Merah. Bila ketawa macam tu, telinganya pun sama naik merah. Aku gembira tengok dia ketawa. Nampak dia ikhlas sukakan aku.


“Andrey… Andrey… Awak ni…” Katanya dengan kepala digeleng.

Well, kita akan sama-sama bantu Arni, OK? Dengan cara yang betul.” Sambungnya sambil menepuk-nepuk kecil tanganku yang masih berehat di atas meja. Seronok pula aku rasa. Dalam seronok, aku turut rasa terharu sebenarnya.


“Cikgu...”

“Saya pernah bagitau awak, kan… Awak selalu boleh cari saya untuk bercakap. Tentang apa je.”


Aku mengangguk. Wajahnya kutatap, cuba untuk menyuarakan kemaafan.

“Cikgu… Maafkan saya. I feel bad. Tak patut saya buat camni. Biar saya bersihkan balik kertas assigment tu.” Entah macam mana, serentak ucapan itu, tanpa sedar aku bawa tangannya ke dalam genggaman. Mata kami bertemu.


“Tak perlu. Ni kan dah ada, cukup bersih dah. Isi tu yang penting. Hasil yang nak saya nilaikan. Kalau ada apa-apa nak dibersihkan, saya bagi tahu nanti.” Dia membalas, ringkas. Matanya melihat sekeliling, mungkin bimbang jika ada mata yang memandang kami berpegangan tangan begitu. Lalu aku leraikan genggaman.


“Maaf.”

“It’s alright.”


Hal itu sesungguhnya telah membuka jalan bagi meringankan beban yang ditanggung Arni. Derma dikutip, sumbangan diberi dan bermacam-macam lagi yang telah cikgu Rina usahakan bagi membantu Arni dengan kerjasama persatuan-persatuan dan kelab-kelab yang ada.


Dan sekali lagi cikgu Rina tutup mata atas salah laku aku. Sekali lagi dia membuktikan integritinya. Selagi lagi dia mengajar aku tentang keikhlasan. Dan sekali lagi aku tertunduk mengakui kekhilafan.


“Terima kasih, cikgu. Saya tak tau macam mana nak balas jasa baik korang semua.” Kata Arni. Airmata diseka.

“Apa yang termampu, kita akan sama-sama buat. Yang penting pelajaran awak tak terganggu. Saya nak tengok pelajar saya berjaya. Itu je. Kejayaan seorang pelajar adalah hadiah terhebat untuk seorang guru.”

Arni memeluk cikgu Rina.


“Tentang mak awak, kita akan usahakan sedaya yang boleh. Tawakal dan percayalah pada takdir.” Cikgu Rina menyambung kata-kata, melajukan tangisan Arni. Aku tau Arni terlalu sedih. Risau.


You will be alright, sis.” Aku meyakinkan Arni. Pelukannya beralih kepadaku pula dan airmatanya mula membasahi kemeja lusuhku. 

“Andrey, aku tak tau selama mana mak aku boleh bertahan. Aku tengah siap sediakan mental dan emosi aku dan adik-adik aku untuk tempuh ketentuan tu…”


“Shh, Arni… Jangan fikir macam tu. Kita fikir yang sekarang ni aje dulu, OK. Mak engkau masih ada. Ketentuan, itu bukan urusan kita. Tapi aku nak kau tau, apa jadi pun, aku ada dengan kau. Jacques, cikgu Rina, kawan-kawan yang lain pun ada. Kami akan selalu bantu engkau. Kalau diaorang semua tak ada sekalipun, aku janji aku akan selalu ada untuk kau. Aku janji.”


Cikgu Rina mengangguk seperti ingin memberitahu bahawa aku dah melakukan perkara yang betul. Tapak tangannya mendarat di bahuku yang dibasahi airmata Arni.


(getButton) #text=(Bab 10 : Penerimaan) #icon=(link) #color=(#ff000)


Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!