Bab 2.3: Yang Jauh Itu Jarak, Yang Dekat Itu Hati
![]() |
Yang paling menyentuh bukanlah siapa yang tinggal, tapi siapa yang menyala walau sekejap. Dan yang paling perdih dalam dunia yang makin laju menilai, ialah berani menjadi diri sendiri. |
Langkah dari belakang tak perlu diteka — hanya seorang yang tahu bahawa janji tak perlu dilafaz.
“Andrey!” Suara itu pecah ceria, lalu sepasang tangan melingkari bahunya dari sisi — hangat seperti pagi pertama selepas hujan yang panjang.
Andrey menoleh. Senyum perlahan tumbuh di bibirnya. “Kak Zu...”
“Ya Allah, rindunya akak!” Mata Kak Zu bersinar. Senyumannya sukar disorok meskipun mentari sudah menunduk perlahan di ufuk. Rambutnya masih terikat kemas, ponytail seperti biasa, tapi hari ini… ada cahaya lain di wajahnya — harapan.
“Saya pun…” suara Andrey tenggelam dalam pandangan matanya yang tak beralih dari wajah Kak Zu — rindu itu tak perlu disebut bila ia sudah terpancar.
Mereka duduk, menghadap tasik biru yang tenang.
“Akak tak sangka, Rey… luar negara. Akhirnya.” Suaranya lirih mengiring cahaya yang lama terpendam. “Bayangkan… budak kampung macam akak. Dulu usung plastik berisi ikan, berselut lumpur di sawah… sekarang nak naik kapal terbang. Belajar di bumi orang.”
Andrey ketawa kecil, “akak tetap Kak Zu yang sama.”
“Ya. Tapi mimpi tu akhirnya jejak tanah. Semua ni lahir dari titik-titik kecil yang kita kutip — masa kita cari ikan, panjat bukit, cuci parit. Semua tu… bagi jiwa. Bagi makna.”
Dia pandang Andrey, lembut. “Dan antara yang paling besar… kenal kau.”
Andrey tunduk. Hatinya bergoncang, bukan dengan sedih, tapi bangga.
“Kau banyak buat akak berfikir. Cara kau lawan dunia, cara kau tak putus harap, walau tak semua orang faham siapa kau.”
Andrey tunduk. Hatinya bergetar. Terharu. Tersentuh. Dalam masa yang sama, ada rasa bangga yang tak tahu bagaimana nak mekar.
“Akak nak kau tahu… sejauh mana pun akak pergi nanti, nama kau tetap hidup dalam setiap hela doa. Kau bukan sekadar adik. Kau cahaya dalam semak yang akak redah, waktu dunia gelap dan jalan berlumpur.”
“Saya selalu ingat, kak. Semua benda. Setiap kali dunia menafikan saya, suara akak yang bergema menafikan mereka. Cara akak gelak, cara akak marah... cara akak buat saya rasa saya cukup.”
Kak Zu senyum sambil menghela nafas panjang. “Janji dengan akak, satu hari nanti, kau takkan berhenti kejar impian kau. Buat dengan hati, bukan paksaan, sebab kau kena tahu, kau layak.”
Andrey angguk perlahan. Kabut di matanya tak dapat disembunyikan. “Saya janji, kak. Dan akak pun… janji akan terus jadi padi — makin tunduk, makin berisi.”
Tawa kecil bersahut. Kenangan sebelum meninggalkan Pekan Mutiara melengkapkan ruang rasa dan matahari semakin rendah di kaki langit. Bayang dua insan itu terlukis di atas tanah, seolah mereka sudah meninggalkan sedikit dari diri mereka di situ.
Kak Zu menyandarkan dagu ke lututnya. Dia kelihatan lebih diam dari tadi. Tapi matanya… tetap menyimpan cahaya.
“Hmm…”
“Kau tahu tak, dari kecil lagi akak nak keluar dari kampung. Nak tengok dunia, nak rasa angin negara orang. Dulu akak fikir… kalau tak ada duit, tak ada kabel, tak ada rupa… semua tu tak mungkin.”
Andrey senyum kecil. “Tapi akak tak sedar, kan? Langkah tu sebenarnya dah akak mulakan kat sawah.”
Mata Zulaikha tersenyum, melepaskan pandang ke tasik. “Sawah yang pernah akak kongsi dengan orang-orang macam kau.” Katanya, pendek tapi dalam sambil mengeluarkan sesuatu dari beg galas — sebuah buku kecil. Kulitnya lusuh, ada tulisan tangan penuh warna di setiap halaman.
“Buku ni… akak bawa ke mana-mana sejak tingkatan empat. Semua benda akak tulis. Termasuk kata-kata kau.”
Andrey terpempan. “Saya…?”
“Ya. Kau pernah tulis kat kertas pembalut lukisan tu… Ingat tak waktu kita memancing?”Kalau satu hari kau tak ada arah, ingat apa yang pernah buat kau hidup semula.
Dia menutup buku itu perlahan, seperti menutup bab yang tak pernah benar-benar berakhir.
“Sekarang, buku ni kau punya. Buat ubat rindu nanti.”
Andrey menyambut buku itu dengan tangan yang sedikit menggigil.
Kak Zu tersenyum.
“Sebab kau cahaya yang sanggup berdiri dalam gelap semata-mata nak terangkan orang lain.”Bas dah nak sampai. Waktu terasa seperti air dan Andrey sedar, dia belum benar-benar tahu cara berenang.
“Ingat selalu, Andrey”
Andrey mengangkat wajah. Mata dah basah tapi senyumnya masih bertahan.
“Jangan benarkan sesiapun padam cahaya tu.”
Andrey mengangguk. “Saya janji.”
Mereka berpelukan. Tak lama, tapi cukup lama untuk memindahkan separuh jiwa. Kak Zu kemudian melangkah pergi. Tubuhnya semakin mengecil oleh jarak tapi semakin luas di ruang hati Andrey.
Kini dia mengerti, bukan semua orang akan tinggal selamanya.
Ada yang hadir hanya untuk menyala, dan pergi… sebagai cahaya.
𝄞
Tasik masih biru. Masa terus berlalu.
Catatan terakhir Kak Zu yang terpampang di halaman terakhir buku nota, diulang baca. Kertasnya mulai pudar, tepinya renyuk sedikit, seperti kenangan yang sudah lama disentuh jari waktu.
Di rak sebelah meja, sebuah jam loceng kecil hadiah dari Arni — jarumnya sudah mula perlahan. Tapi bunyinya tetap setia mengejutkan setiap pagi.
Sejak pertemuan terakhir dengan Kak Zu, waktu tidak berlalu begitu sahaja. Ia mengukir — diam-diam, dalam-dalam.
Dan sekarang, Andrey dah tujuh belas tahun.
Tahun di mana dunia tak lagi
bertanya apa yang kau rasa, tetapi apa yang kau akan jadi.
Di dapur, semalam, saat Andrey sedang mencuci gelas, mak bersuara, perlahan.
“Lama dah mak tak dengar kau main piano.”Andrey berhenti seketika, kemudian menjawab, “Busy ulangkaji, mak. exam dah dekat.” Mak diam, sebelum bertanya dengan suara yang lebih dalam.
“Kau OK?”
“Biasa je… tenang macam langit, kadang berkocak tasik.”
Mak ketawa kecil.
Musim berubah. Soalan bertambah. Dunia tak lagi tentang siapa yang hadir tapi siapa yang tinggal dalam dada waktu kita sendiri harus berdiri.
Meja makan malam itu terhidang seperti biasa dengan air tangan mak yang tak akan ada gantinya. Namun udara terasa sedikit tebal.
Andy menjawab pertanyaan abah.
“Kalau keputusan saya baik, saya nak teruskan IB, macam yang abah rancang. Dari situ, saya rancang ke UK. Neuroscience. Cita-cita saya tak berubah. Nak jadi pakar neurologi, abah.”
Tuan Arman mengangguk pendek. “Abah suka cara kau berfikir. Selalu ada plan. Strategi. Matang.”
Andrey diam, menyuap perlahan. Bukan tak berselera cuma fikirannya jauh mengembara, tak tahu di mana nak berhenti.
“Saya…” Suara Andrey perlahan. “Belum pasti, bah. Masih fikirkan.”
“Kalau masih kabur sekarang… macam mana nak buat keputusan besar nanti? IB tak tunggu orang teragak-agak.”
Andrey menunduk.
“Saya cuba.”
“Abang tengok abang kau ni... Dia dah tau apa dia nak sejak sekolah rendah lagi.”
Mak mengangkat muka dari pinggannya, meletakkan sudu perlahan.
“Strategi dan plan tu memang penting. Sebab tu kena fikir lama sikit, kan?”
Abah menghela nafas, tidak membalas.
“Tak boleh kita samakan sesiapa.” Tambah mak.
Andy yang setuju dengan pendapat mak pula menyampuk, “minat kami pun berbeza. Andrey lebih kepada art.”
Andrey mengangguk sedikit. “Mungkin arkitek...”
Mak memandangnya. “Life isn't a competition, keep that in mind. We're not living in anyone else's shadow. Stay true to yourself. The path will unfold in time — slowly, maybe, but surely.”
Abah tak mengulas. Kata-kata mak menjadi pemanis mulut yang tak dihidang malam itu.
Dan malam beransur gelap — turun perlahan bersama irama cengkerik di luar jendela.
Andrey
masih di meja belajarnya, mata tertumpu pada buku tapi fikirannya hanyut
jauh, melampaui huruf dan angka.
Kedengaran pintu bilik diketuk perlahan.
Andy muncul, dua cawan teh di tangan. “Tadi kau
mintak aku tolong buat kerja rumah?”
Andrey tersenyum sedikit. “Siap dah. Tapi kau tolong check sikit, boleh?”
Buku latihan bertukar tangan.
“Kau jangan ambil hati sangat apa Abah cakap tadi. Dia tu biasalah, kau pun tau. Suara keras, tapi hati lembut. Sebab tu dia diam bila mak buka mulut. Sayang bini...”
Mereka ketawa.
“Aku tau. Tapi aku memang belum ada plan lagi. Hati aku ni syok tulis puisi, main muzik, melukis je.”
“Ha, tu... kan tu dah boleh bagi bayangan apa kau boleh jadi?”
Andrey tunduk, diam. Tapi kata-kata itu masuk jauh ke dada.
“Abah harap tinggi dari tu... Aku takut...”
Andy pandang dia, tenang.
“Tapi Abah tau, cabaran akan buat anak dia jadi berani.”
Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!