Join The Journey

Bab 15.0: It's Rina, sayang...

Ilustrasi digital sebuah tasik tenang waktu senja, dengan warna langit yang membara — merah, jingga dan ungu — memantul di permukaan air. Sebuah sampan kayu hitam berlabuh di tengah tasik, dikelilingi bayang pokok tinggi dan gunung di kejauhan. Di langit, matahari hampir tenggelam. Teks tertera: “Life is Beautiful – Suara, Ray FL. Hidup adalah soal masa dan pilihan. See life through different eyes. Be the best version of yourself.”
Perasaan yang jujur tak pernah tak betul.
Antara mimpi dan igauan hidup, cikgu Rina hadir seperti takdir yang tak disengajakan — namun begitu nyata dalam hidup Andrey. Seolah-olah ada satu kuasa halus telah merancang segalanya dengan begitu teratur, dan perlahan-lahan, kepercayaan pun terbina seiring waktu.

Walaupun sibuk dengan tugas mendidik dan menjaga sahabat baiknya, Sophia, Rina tidak pernah gagal mencipta ruang buat Andrey — walau sekadar di hujung panggilan. Setiap detik yang ada, dimanfaatkannya untuk mengait kembali masa lalu: bercerita tentang zaman kanak-kanaknya, kehidupan sebagai pelajar, kisah keluarga… semuanya dikongsi tanpa perlu diminta.

Namun di sebalik semua itu, Rina tetap sedar — dia perlu menjaga sempadan dalam menyemai benih kasih di batas hati Andrey.

“Jom kita cakap pasal sekolah sikit, boleh?” ajak cikgu Rina, selepas mereka sama-sama menamatkan sesi lumba lari petang Ahad itu.

Sejak hubungan mereka bertambah mesra, cikgu Rina sering melibatkan Andrey dalam rutin mingguannya. Setiap petang, jika masa mengizinkan, mereka akan bersenam di taman — berlari, berbual, dan bergurau seperti dua jiwa yang perlahan-lahan belajar memahami. Sabtu pagi pula, mereka ke AC Club, melukis atau sekadar duduk bersama di ruang seni. Kadang badminton, kadang hanya jalan kaki keliling tasik.

Bukan soal menang atau kalah. Bukan soal aktiviti. Tapi soal hadir. Soal meluang waktu. Dan setiap kali cikgu Rina ajak, Andrey tak pernah menolak.

Nyata, semua yang dipupuk Rina memberi kesan besar. Tidurnya kini lebih lena. Tiada lagi berjaga malam menatap siling. Selera makan pun bertambah, tubuh makin cergas — dan yang paling penting, mindanya lebih segar. Fikiran tidak lagi berserabut macam dulu.

“Awak ambil empat subjek, kan?” soal Rina, sambil mereka melabuhkan duduk di atas rumput tepi tasik.

“Lima,” jawab Andrey. Nafas masih turun naik, tapi senyum sempat terselit.

“Saya nak awak buat keputusan, kalau boleh, biar cepat.”
“Pasal tukar subjek?”

“Ye. Bukan pasal jadi subjek.” Usik Rina. Mata dikenyitkan. “Awak betul-betul benci ekonomi atau semuanya sebab saya?”

“Bukan sebab cikgu. Ekonomi pun tak salah. I am the problem.”
“Masa tak tunggu kita, awak tau tu kan?”

Andrey angguk. “Saya dah banyak buang masa. Setahun layan perasaan kat rumah dulu. Rugi betul rasanya tak layan perasaan kat sekolah. Kalau tak, lama dah kita kenal.”
Dia senyum nakal, menjeling. Rina balas senyuman itu. Hatinya terusik.

“Tak elok bebankan diri bila hati menolak. Kalau masalah tu datang dari dalam, cari jalan keluar. Kalau perlukan teman fikir — saya selalu ada.”
“Saya tahu cikgu ambil berat. Terima kasih.”
“Apa rancangan lepas habis semua ni?”
“Entahlah cikgu… “
“Rina.”

Satu patah itu cukup untuk menguji batas.

Bahu Andrey disentuh — cara dia memberitahu — tak ada apa yang salah. Dah lama dia ajar budak itu sebut namanya tanpa sebarang title. Tapi masih tersasul.

“Untung sabut, timbul. Untung batu tenggelam. Saya sebenarnya tak ada apa-apa rancangan.”
“Mesti awak ada impian, cita-cita dan matlamat dalam hidup, kan? Kalau tak ada, masanya dah tiba untuk awak adakan semua tu.”
“Saya nak berseni. Nak berkarya… especially, muzik.”

Satu keluhan terhela dari ruang dada yang sarat dengan kata-kata tak terucap. Apa saja yang dah dia cakap atau cuba diluahkan, rasanya masih ada lagi yang tertinggal menebal dalam fikiran.

“Abah kata satu-satunya cara kita hargai perjalanan adalah dengan menebas hutan atau berjalan atas duri, bukan berjalan di padang luas tanpa sebatang pokok. Kat situla saya tengah jalan sekarang… agaknya… Hutan tebal, jalan berduri.”

Dia toleh ke wajah Rina. Kata-kata abah seakan memantul dalam mata gurunya itu. Di bawah pancaran matahari petang, manik-manik peluh di garis rambut jelas kelihatan menuruni dahi. Tanpa berfikir panjang, Andrey angkat tangan lalu mengesat peluh itu dengan hujung jarinya.

“Abah awak betul. Sekarang ni awak tak kisah pasal hidup sebab mak abah awak bagi awak semua. Bertuah awak. Bukan semua orang dapat nikmat macam tu.”
“Pinjaman.”
“Pinjaman diberi bagi mereka yang layak.”
“Harap saya dapat bayar.”
“Semua pinjam, ada tempoh. Fikirkan empat, lima tahun akan datang dan tahun-tahun lepas tu.”
“Pinjaman ni pun satu ujian, kan?”

Rina angguk. Matanya tersenyum. “Tell me…” Tangan kiri Andrey cikgu Rina ambil, menyulamkan dengan genggaman jari-jemarinya.

“Saya tak tau... Saya cuba buat keputusan secepat mungkin.”

Bukan tak risau semua tu, tapi setiap kali memikirkan tentang masa depan, setiap kali itu jugalah dia terperangkap dalam kebimbangan. Andrey tak suka bila perasaan seperti itu datang mengganggu. Dia takut.
“Take your time. I'm here. Always.”

Pipi Andrey dicium. Rina ingin Andrey percaya, bahawa dia benar-benar sayang.

Perasaan yang jujur tak pernah tak betul.

Prinsip itu dia genggam erat-erat. Etika sebagai guru? Telah lama dia ketepikan.
Andrey bukan budak bawah umur. Dan dia… bukannya tua sangat.

“Bayangkan lepas ni awak masuk universiti, atau Akademi Seni.”

Pandangan dilontarkan ke dada tasik, mula melakar gambaran dengan warna pilihan cikgu Rina.

“Lepas tu awak mulakan kerjaya — tak kiralah, komposer atau pelukis, di jalanan atau di pentas, arkitek atau biologist, atau businessman. Mungkin jugak philosopher, psychologist, penulis… Apa saja. Dunia ni luas… nampak tak, awak ada semua potensi tu?”

Soalan cikgu Rina membuka mata Andrey untuk melihat apa yang dia terlepas pandang selama ini — semua yang sebenarnya terpapar jelas di depan mata.

“Saya pilih tu semua atas dasar minat saya cikgu…”
It’s Rina.”
“Rina…” 

Nama itu jatuh perlahan dari bibir Andrey dan Rina rasa jantungnya mengembang seperti bunga dikucup matahari pagi.

Muka saling menatap. Renungan dari redup mata cikgu Rina begitu tulus dan dia nampak kejujuran di mata Andrey. 

Setiap kali renungan bersambut, hati dan perasaan, akal dan kewarasan cuba mencari makna.

Adakalanya, makna yang dicari terasa begitu hampir, tapi tak tergapai.
Terkadang, terlalu jauh… tapi semakin jauh, terasa semakin dekat.

Dan di waktu-waktu yang lain, bagai ada sesuatu yang menghalang perjalanan untuk meneruskan pencarian.

“Awak ada hidup sendiri, apa saja awak nak, hasil titik peluh awak. Tak ada siapa boleh kacau. Bebas macam burung.” Jari telunjuknya menghala ke langit — ke arah burung-burung yang baru melintas awan petang.

“You’ll see life through different eyes. Who knows… Awak sambung belajar, jumpa someone special, who helps you become the best version of yourself?”

Rina berhenti seketika. Badannya dipusingkan sedikit supaya dapat mereka duduk tepat muka ke muka.

“Andrey…” Tangannya naik ke pipi Andrey — sentuhan yang hampir seperti doa. “Life is beautiful.
But it becomes truly beautiful when shared with someone...”
Cikgu Rina menarik nafas.

“Saya harap masa tu… awak dan saya, masih duduk macam ni.”

Dia berhenti sebelum menghembus kata-kata yang akan melekat dalam ingatan Andrey sampai bila-bila.

“Saya nak jadi dia.”

Andrey kehilangan kata-kata.

Pengakuan cikgu Rina bermain dalam kepalanya hingga ke malam. Bait-bait kata yang dilafazkan dengan begitu tenang dan yakin kini menjadi lagu yang mendodoi hingga mata terlelap.

Namun tidurnya terganggung.
Tiga pagi. Notifikasi berbunyi.

I missed you.
Mesej dari Entah Siapa itu tak dihiraukan. 

Hatinya terpanggil untuk menitip sebaris pesanan yang lebih penting, 
untuk seseorang yang nyata dan lebih bersedia.

Lunch hari ni. Pukul satu. Tempat biasa.

Join The Journey
Comments

Comments [0]