8.2 Hutan Hujan dan Air Terjun

 Layakkah rasa kagum dipanggil cinta?
Atau sekadar gangguan emosi yang meminjam nama cinta?
𝄞
Kalau air mata boleh ditakung, mungkin dah lama jadi kolam dan kolam itu pecah, mengalir jadi sungai. Sungai yang tak pernah letih Rina renangi, mengikut arus ke mana pun dia dibawa. 

Dalam hidup Sophia, Rinalah yang paling dekat. Yang dah jadi sebahagian daripada kisah hidupnya. Satu-satunya jiwa yang bukan sekadar faham, tapi turut mengalami. Merasai.

Bagi Rina pula, Sophia bukan beban. Sophia adalah satu amanah, satu bentuk kasih yang Tuhan titip untuk dia lindungi.

“Hidup ni bukan semalam. Bukan esok. Hidup ni — hari ni.” Katanya, cuba memujuk tangisan Sophia, sambil memeluk bantal kecil di riba. 

Sophia masih memandang ke luar jendela. “Mama aku dah tak ada. Papa... makin lemah. Kamarul bahagia dengan hidup dia kat sana. Kamal?” Dia mengeluh bila teringat abangnya itu. Ada rindu. Ada dendam.

“He deserves that...” Balas Rina.

“I hope he reflects and feels sorry for everything he's done.”

Dan saat itu, air mata Sophia jatuh perlahan. Rina capai tisu, lalu dengan penuh kasih, dia kesat pipi yang basah itu.

“Jangan nangis lagi. Buruklah. Kecut muka nanti macam jeruk.”

Sophia tergelak kecil dalam tangis. Tangannya meraih tangan Rina, genggam erat.

“Banyak kasih sayang dalam diri kau, Rina. Kim memang tak layak untuk kau” Dia membuka kisah mereka sewaktu di universiti dulu.

Nama itu macam pintu lama yang tak mahu dibuka, tapi sentiasa menjerit dari dalam.

“Pengalaman tu dah ajar aku satu benda... jangan biar siapa pun jadi tuan kepada jiwa kita. Nasib baik hati aku pun tolak dia dari mula.”

“Tuhan lindungi kau…” bisik Sophia. Pandangannya tertancap ke wajah Rina, ragu-ragu tapi tetap ingin cuba menyampaikan, “Rina... aku rasa... aku tak nak sambung terapi.”

Wajah Rina berubah. “No way!”
There's no use... Semua yang aku ada... dah tak ada.”
“Tapi kau ada aku. Kau ada kerja. Kau ada masa depan.”
“Masa depan...” Sophia menarik nafas panjang. Tisu di tangannya dah lunyai, macam hidupnya sendiri.

“Kita bina balik. Sama-sama.”
“Aku dah tak nampak apa-apa, Rina.”
“Biar aku jadi mata kau.”
“Jangan korbankan hidup kau untuk aku.”
“Ini bukan pengorbanan. Tanggungjawab.” 

Rina ambil tangan Sophia, menggenggamnya erat. “Aku... I just do what people who care should do.

“Sampai bila?”
“Sampai kau jumpa seseorang yang buat jiwa kau hidup semula.”
“Habis, kau tak nak jumpa someone?”

Rina ketawa kecil. Dia gelengkan kepala, wajah Sophia dia tenung. Lama. “Nanti-nantilah... Aku percaya cinta akan datang bila dia nak datang.”
“Macam mana nak jumpa kalau masa kau habis untuk aku je?”
“Phia, cinta tu pelik. Yang datang bila kita tak cari... masa kita tak harap apa-apa... itu yang paling bergema, kan?”

Sophia mengangguk perlahan. Ada sedikit damai dalam wajahnya, walau jauh dalam hati, badai masih berkecamuk.

“Thanks, Rina. For everything.”
Everything happens for a reason. Kau masih percaya semua tu?”
“Dulu, ye. Semuanya aku percaya. Sekarang aku tak tau lagi.”
“Jangan berhenti terapi. Please. Kau sayang aku, kan?”
“Sayang. Sayang sangat.” Sophia angkat tangan Rina, cium jari jemari itu dan bangun menuju dapur.

Beberapa minit kemudian, dia kembali dengan dua cawan teh. 

“Teh O untuk cikgu yang degil. Aku punya, ada susu.”

Mereka bertukar cawan, bertukar senyum. Macam dua jiwa yang dah letih, tapi masih sudi duduk dan memegang dunia yang makin hari makin rapuh.

So... selamat dah motor budak tu?”
“Dah. Selagi tak bagi, selagi tu dia merengek, banjir pulak Terusan Tasik Biru ni nanti.”

Sophia ketawa kecil. Rina tetap melayan walaupun dia masih mahu meneruskan bicara sebelumnya. Tapi seperti selalu, dia memilih untuk mengikut rentak yang dimainkan Sophia.

“Kesian budak tu...”
“Kesian tu memang kesian tapi apa boleh buat dah terlanjur… Nyesal jugak aku buat camtu kat motor dia.”
“Tula kau pun satu, macam budak-budak.”
“Kau ingat boleh ke dia maafkan apa aku dah buat kat motor kesayangan dia tu?”
“Dia tak boleh senang-senang je lupa apa dia dah buat kat kereta kau. Sama je korang berdua.”
“Aku buat lagi teruk, kot... Kau pun nampak.”
“Cinta memang selalu ajak kita buat benda yang pelik-pelik.”
“Eh, kau ni... ke situ pulak. Merepek.” 

Peha Sophia ditepuk, agak kuat.

“Sakitlah...” Sophia balas cubit peha Rina. Dia ketawa, kemudian bertanya, “kau rasa siapa awek si Andrey tu agaknya?”

“Ada awek ke budak sombong macam tu? Kawan pun seketul dua je aku tengok.”
“Itu yang rare… betul?” Sengaja Sophia menduga. Dia mengerti apa yang sedang melanda hati kawannya itu. 

Dan Rina, dia tahu Sophia perasan. Mungkin dah lama.

“Aku harap korang berdamai. Budak tu ada potensi besar. Talented.
Talented, ya. Cemerlang? Biolagi, ye, tapi ekonomi?” Dia ketawa kecil, buat isyarat thumbs down.

“Tugas kita bukan sekadar mengajar. Kita mendidik. Kalau bukan sekarang, bila lagi?”

“Betul sangat tu, cikgu Sophia.” Rina senyum. Peha Sophia ditepuk lagi, kali ini perlahan. 
Sedangkan di dalam, hatinya ditampar. 
Oleh rindu. 
Oleh harapan. 
Entah kenapa, rasa sayang untuk Andrey semakin sukar disorok. Rasa itu menakutkan, dalam masa yang sama, ia juga menenangkan.

Cinta ke, apa yang aku rasa ni...?

Dia tak tahu jawapannya. Tapi dia tahu satu perkara:
Dia tak sabar tunggu hari Isnin.
Isnin, di mana mungkin... sesuatu akan bermula. Dan yang lama, akhirnya boleh dilepaskan.

𝄞
Melangkah masuk ke kelas Biologi, suasana sekeping hati serta-merta berubah. Di sinilah, di ruang yang disimbahi cahaya matahari pagi, dunia menjadi lebih tenang. 
Syurga kecil buat jiwa Andrey.
Tiada tekanan, tiada pertikaian, dan yang paling penting, tiada suara keras seperti yang menusuk dari kelas ekonomi.

Meja paling hadapan seolah-olah telah dia tempah. Seberapa lewat dia datang pun, rakan-rakan sekelas tahu, tempat itu milik Andrey. Dari situ, dia boleh melihat wajah pujaan hatinya dengan  jelas, mendengar alunan suara lembutnya yang menerangkan simbiosi terasa seperti nyanyian yang ditujukan khas untuk satu jiwa: jiwanya.

Setiap gerak bibir cikgu Sophia adalah nota muzik yang meresap dalam saraf otak, menjadikan subjek biologi terasa mudah. Andrey tahu, kejayaannya dalam subjek ini bukan kerana semata-mata minat atau bakat. Cikgu Sophia sendiri adalah pemicu utama.

Tarikan guru itu terlalu kuat. Andrey nampak misteri yang dia sembunyikan balik kelembutannya. Dalam dunia yang suka menolak kebenaran dan membenci kelainan, Sophia menjadikan Andrey terasa wujud. Terasa dilihat. Terasa disayangi, walau mungkin itu hanya ilusi hatinya sendiri.

Cintakah ini? Atau cuma rasa kagum? Atau satu gangguan emosi yang meminjam nama cinta?

Soalan itu berulang setiap siang dan malam sampai menerbitkan kerinduan yang akhirnya menjemput ketagihan. Tak nampak sehari, hidup tak lengkap. 

Apa dah jadi dengan aku…

Serta merta hati Andrey disapa rindu. Rindu kepada Pekan Mutiara dan jiwa yang tak pernah letih menemannya dulu. Dia pandang buku teks yang terbuka depan mata seperti membaca novel yang pernha dia tulis dulu.

“Dah lama saya sedar saya ni bukan... perempuan.” 

Kejujuran itu pernah dilontar kepada Kak Zu, sewaktu mereka menangkap ikan sepat di sawah. Hari itu, lumpur dan selut jadi teman bermain tapi dialog mereka lebih dalam daripada keladak sawah. Andrey senyum bila teringat, Kak Zu selalu buatkan dia ikan sepat masin kalau dapat tangkap banyak. Perutnya berkeroncong spontan, turut rindu, mengidam ikan sepat masin buatan Kak Zu. 

“Kenapa orang panggil saya... lesbian?”
“Sebab yang orang suka tengok, suka baca, kulit. Isi diaorang abaikan.”
“Saya tak pernah ada awek pun, kak.”
“Ah, kau pun baru umur 13, tak payah gatal-gatal nak awek.”
“Maksud saya… Yelah… Kenapa panggil saya macam tu? Memang saya mengaku saya suka perempuan. Tapi saya bukan lesbian. Saya lelaki. Dalam ni…” Tapak tangannya menepuk dada kiri.
“Kau ingat orang nak faham tu, nak tengok engkau bawah mikroskop?”

Gelak kecil menyambut jawapan Kak Zu. “Yelah, bukan semua orang mampu beli mikroskop. Bukan keperluan pun bagi ramai orang.”

“Tahu pun kau.”

“Akak ada mikroskop.” Balas Andrey. Matanya dikenyitkan dan Kak Zu menyengih sambil melontarkan segenggam lumpur ke arah Andrey.

“Hmm… Akak ada pakwe?”
“Nak pakwe apanya, Andrey oii. SPM pun belum tentu. Kau ajelah jadi pakwe akak.” 

Andrey tersedak. Buat seketika mereka main lontar-lontar lumpur. Bebas. Bahagia.

“Kak Zu…” 
“Ha, kenapa, kau setuju ke nak jadi pakwe akak? Akak OK je. Kau pun handsome.”

“Kau Zu ingat saya suka-suka je jadi macam ni?”
“Bagi akak, hal camni... normal. Kalau orang lain anggap sebaliknya, itu masalah diaorang, bukan masalah kau.”
“Akak betul tapi yang tak betulnya bila masalah diaorang tu diorang jadikan masalah saya.”
“Asalkan kau tak pandang itu satu masalah, biarkan je kalau diaorang nak terbeban dengan masalah tu. Kalau kita sibuk nak jadi orang lain, siapa nak jadi diri kita?”

Dialog itu dia simpan macam azimat. Enam tahun berlalu. Tapi kata-kata Kak Zu tetap hidup dalam kotak dadanya.

Bersama biologi dan kenangan lama, kini datang pula kekeliruan yang lebih menggugah — ciuman Cikgu Rina di kedai kopi dulu — walau hanya sesaat dua — ciuman itu berbekas bagai fosil di dinding gua. 

Andrey menganggap itu ciuman pertama. Lembut, basah, berani. Peristiwa itu memalukan, tapi rasa malu itu... perlahan-lahan hilang.
Namun bara yang dinyalakan bersama malu itu? Ia susah nak dipadam. 
Dan ya. Dia suka. 

Kenapa aku suka? Kenapa aku rasa nak rasa lagi? Patut ke aku rancang jenayah lain biar sesaat itu jadi sejam, sehari, seminggu, selamanya… Ah, merepek!
Andrey tahu tahu, rasa itu tak patut wujud tapi ia hidup seiring dengan rasa yang dia simpan terhadap cikgu Sophia. 

Bezanya, yang ini lebih suci, lebih panjang rindunya. Tapi itu jugalah yang lebih menyakitkan.

Siapa pemilik hati dia? Atau tempat tu Tuhan sediakan untuk… aku?

Comments

Comments [0]