Bab 7.0: Hukuman

Rainforest and waterfall ~ that's what you are.

𝄞

Masa, tak mungkin terkejarkan. Ia mengalir macam air sungai yang tak peduli siapa yang tercebur di dalamnya. Semalam engkau di sana, esok engkau dah di seberang. Dua minggu yang dirancang untuk Aprilia, untuk tasik, lenyap begitu saja.

‘Percutian’ yang sepatutnya memberi sedikit kebebasan datang dan pergi macam mimpi basah yang kering sebelum sempat dinikmati.

Tanpa motosikal, Andrey patah kaki.

Nak ke tasik, menapak, jaraknya bukan sekadar kilometer, tapi satu monumen kepada kemalasan. Tak nak menapak, terpaksa mengayuh basikal turun naik bukit, satu latihan yang dulu jadi rutin tapi kini bertukar jadi sengsara. Naik bas atau teksi? Pilihan itu ada, tapi hatinya sudah dirampas. Lebih baik dia bergulung atas katil, membiarkan dunia berputar tanpanya.

Tapi hari itu, sesuatu berubah. Satu tekad yang keras macam batu kapur terbentuk dalam dirinya. Apa pun jadi, hari ni aku kena berdepan dengan dia.

Menggunakan pengangkutan awam sejak Aprilia ‘dikebas’ bukanlah pilihan, tapi satu kenyataan yang terpaksa ditelan. Walaupun ada pemandu, Andrey lebih rela berjalan kaki. Bukan tak bersyukur. Tapi ada rasa malu yang tak dapat dijelaskan bila dihantar dan dijemput macam seorang menterir. Biarlah adik-adiknya menikmati keselesaan itu. Bagi Andrey, begini lebih pilihan ini lebih sesuai dengan jiwanya.

Keluhan kecil dihembus, bersatu dengan sejuk angin pagi. Ada kekesalan pahit dalam dada. Inilah akibatnya tunduk pada hasutan hati. Amarah itu, akhirnya, memakan diri sendiri. Puas melampiaskan dendam bukannya memberi ketenangan. Ia sama seperti memuaskan nafsu lain— nikmat sementara. Esok lusa, bila hati disakiti lagi, entah apa pula akan jadi mangsa torehannya. Jangan tangan sendiri, sudah.

Tiba-tiba, rasa itu sia-sia. Andrey keliru dengan perasaannya yang berkecai. Sekejap marah, sekejap menyesal. Lalu dendam datang lagi. Dah berbayar ke dendam ni? Berbaloi ke?

Bertubi-tubi dia dihentak ketidakpastian. Suara hati yang luka berbisik, singa gunung tu… dah toreh hati aku sampai mendarahkan dendam. Memang tak patut...

Tapi suara lain, yang lebih sejuk dan logik, memotong. Tak payah nak play victim sangatlah. Kau kira hati kau je kena toreh? Cam mana pulak dengan kereta dia yang dah kau korek? Perasaan dia?

Akal yang mula bersuara itu meminta Andrey berfikir secara matang. Namun hati yang licik terus menghasut. Tak patut kau dera mental dan emosi sendiri. Singa gunung tu tak boleh terus jatuhkan air muka engkau depan orang ramai.

Logik suara hati Andrey setuju, lalu menyisihkan suara akal. Kelas ekonomi bererti menempuh medan perang. Perang anxiety. Panik pun ambil kesempatan, menggasak dari segenap sudut.

Andrey benci perasaan-perasaan tu bila darah naik dan turun serentak. Dia tak boleh biarkan cikgu Rina sesedap rasa memperlekehkan dia lagi.

Kau nak lari, tapi ke mana? Kau ingat, bila kau lari, dia akan berhenti mengejar? Akal meninggalkan tanda tanya. Kalau dia tak mengejar pun, perangkap dah dia pasang, merata-rata. Belok kanan, kau tergolek. Belok kiri, kau juga yang tersadung.

Volume mp3 dikuatkan, seolah-olah cara itu dapat menghalau suara-suara yang saling sahut menyahut dalam dirinya.

Sepuluh minit berlalu. Tiada bas. Tiada teksi. Andrey berseorangan di tepi jalan, menunggu bas yang dah lama terlepas akibat kelewatan dirinya sendiri.

Pukul lapan. Maksudnya, dalam dua puluh minit lagi, dia perlu berada di bilik kaunseling. Surat dari cikgu Remy masih terlipat kemas dalam begnya, sebuah surat jemputan ke ruang penghakiman.

“Bosan betul la...” Hatinya merintih. Wajah Aprilia muncul dan hilang, berselang-seli dengan riak gembira di muka Cikgu Rina ketika motosikalnya dirampas. Dua tahun berkepit, dua minggu tanpa Aprilia adalah dua dekad penyiksaan.

Lantas, sebatang rokok dia nyalakan. Asap itu diharap dapat mengusir bayang-bayang cikgu Rina yang semakin menghantui.

Be cool… akal cuba memujuk hati. Ya... cool sangat dah, sampai kena jumpa pengetua lepas soal jawab dengan cikgu Remy dan singa tu jap lagi.

Sisa rokok yang terselit di bibir diberi sedutan terakhir. Puntungnya ditonyoh ke dalam tong sampah aluminium yang tersedia dekat bus stop tersebut. Dan serentak itu, di seberang jalan, sebuah kereta hitam berkilat perlahan-lahan berhenti. Tanpa calar. Tanpa coretan dendam. Cantik, macam baru keluar dari kilang.

Tingkap diturunkan. Hon ditekan. Dua kali.
Kali pertama, pendek. Kali kedua, lebih panjang. Lebih menuntut.
Dari seberang jalan sana, dia melontar senyum. Kali ini nyata. Bukan ilusi.

Mata kau tak rabun. Telinga kau pun tak pandai menipu. Kata otak. Pergilah. Tengok apa dia nak.

Andrey bangun, patut macam yang selalu berlaku dalam kelas. Jalan raya dilintas, mendapatkan si singa gunung yang pagi itu tak bercermin mata. Hati Andrey tak henti berdoa semoga hari ini upacara penyerahan motosikal akan dijalankan tanpa perlu merayu.

“Morning! Care for a ride?”

Seolah-olah tak ada apa-apa yang pernah berlaku, Cikgu Rina menyapa dengan mesra.

Badan Andrey membongkok sedikit, tangan diletakkan di bingkai tingkap. “Cikgu, duit dah cukup. Kita boleh settle.” Suaranya cuba kekal terkawal, sopan, agar tak digelar biadab.

Namun, berita itu disambut Cikgu Rina dengan memalingkan wajahnya ke depan, ke arah jalan yang kosong. Ada senyuman di hujung bibirnya. Senyuman yang seakan berkata, “you wish.”

“Cikgu, saya perlu motor tu. Susah saya nak gerak. Nak pergi sekolah pun susah.”
“Teruskan merayu. Suka saya dengar.”
“Cikgu memang sengaja nak menyusahkan saya, kan?”

“Awak yang sengaja cari susah, jangan nak salahkan orang lain pulak. Hei, sebelum awak lambat jumpa cikgu Remy dan sebelum awak buat saya lambat, lebih baik awak masuk. Awak tunggu apa? Mana ada bas.” Dia mengerling jam di tangan kanannya. “Sejam lagi baru ada.”

Tawaran itu berbunyi lebih kepada satu arahan.

“Tak pe. Terima kasih je la. Saya lagi rela jalan kaki.”
“As you wish.”

Jawapan ringkas dilempar sebelum tingkap kereta dinaikkan, pedal minyak ditekan, meninggalkan Andrey berdiri di sana sendirian, makan asap.

“Shit!!!”

 𝄞

Tiba di sekolah dengan menaiki teksi, Andrey lewat lima minit. Terkejar-kejar dia menaiki tangga ke bilik kaunseling. Di sana cikgu Remy dah menunggu.

“Jadi Adriana... Awak OK ke? Sihat, lepas kena gantung? Seronok?” Cikgu Remy memulakan perbualan.

“Mestilah seronok. Bukannya kena gantung sampai mati pun.” Tanpa menghiraukan bahasa, dia menjawab.

Cikgu Remy ketawa kecil sambil menggeleng kepala. “Kopi?”
“Terima kasih. Saya dah minum.”

Ruang itu sunyi. Andrey memerhati sekeliling bilik yang tak pernah dia jejak selama ini. Baru dia sedar, banyak rupanya aktiviti-aktiviti dan program yang ditawarkan kelab kaunseling. mencapai Sekeping brochure atas meja cikgu Remy, menarik minatnya.

Bengkel Seni & Kreativiti. Kempen Kesejahteraan Mental

“Boleh saya simpan?”
Cikgu Remy mengangguk. Lalu dicapai lagi beberapa brochure lain dan dimasukkan ke dalam beg.

“Saya tak nak perkara camni berulang. Rekod awak bersih. Tak pernah buat hal. Prestasi pun boleh tahan. Awak best student dalam seni dulu, kan?” Pertanyaan cikgu Remy dianggukkan saja.

“Kenapa tak teruskan?”
“Entahlah cikgu.”
“Kalau berminat nak sertai kelab kaunseling, pintu ni sentiasa terbuka.”
“Terima kasih.”

“Tak ada masalah yang tak boleh diselesaikan dengan baik. Awak bukan menengah rendah lagi.” Cikgu Remy yang bermisai nipis, senipis badannya, tenang memberi nasihat. “Saya harap awak amik iktibar atas apa yang dah jadi.”

Anggukan kepala mewakilkan jawapan. Dalam hati, Andrey tak sabar nak perkara itu selesai hari ini. Apa pun keputusan, dia dah mengikhlaskan hati untuk terima. Hanya ada dua hal dalam fikirannya sekarang;

Kelas biologi. 
Aprilia.

“Awak boleh tukar subjek kalau ekonomi bukan minat awak. Jangan bazirkan masa buat benda yang awak tak suka.”
“Akan saya fikirkan, cikgu.”
“Kenapa ambil ekonomi dulu?”
“Entahlah cikgu. Sebab nak belajarlah kot.”
“Awak minat atau ada desakan?”
“Sejujurnya, saya pilih sebab nak lengkapkan empat subjek.”
“Awak rasa cikgu Rina tu ke punca pemberontakan awak?”
“Kalau dia tak mengada sangat, takkanlah saya jadi macam ni.”

Cikgu Remy ketawa. Kopi dihirupnya. “Mengada? Itu je masalahnya, sebab dia mengada?” Panjang ketawa cikgu Remy.

Andrey mengerling jam ditangan. “Dia tak punctual.”

“Dia ada sepuluh minit lagi. 30 minit pertama ni, sesi awak dengan saya.”

Pernyataan yang diberikan buat Andrey mengeluh. Kau menang, Rina. Menang.

“Macam saya cakap tadi, tak wujud masalah kalau tak dipasangkan dengan penyelesaian. Jalan tak pernah mati.”
“Betul, cikgu.” Jawabnya, sekadar buat syarat.

“Saya rasa awak faham, masalah ni serius. Merosakkan, mencalarkan, apa lagi menulis perkataan yang tak sopan di kereta guru, boleh dikenakan tindakan. Kalau cikgu Rina nak, dia ada hak libatkan polis. Awak tau tu?”

“Ye, cikgu…”

Sebuah fail cikgu Remy keluarkan dari laci meja. Dia menyelaknya sambil mengetuk-ngetuk perlahan pen ke muka meja, seaktu meniliti apa yang tertera dalam fail tersebut.

“Saya ada berita baik. Awak tak payah jumpa pengetua.” Fail ditutup. “Cikgu Rina minta perkara ni diselesaikan kat sini je. Maksudnya, antara awak dengan dia, secara peribadi.”

“Seriously?”

Pengumuman itu cukup menyentak sampai Andrey terasa jantung bergetar. Singa gunung nak settle camtu je? Tak payah jumpa pengetua? Boleh percaya ke?

Cikgu Remy mengangguk. “Awak patut berterima kasih kepada cikgu Rina atas toleransi yang dia tawarkan.”

Berita baik itu kedengaran baik tapi sebenarnya telah memusnahkan harapan Andrey. Dia sangka dia akan dikenakan tindakan tatatertib — alasan untuk berpindah sekolah atau berhenti sekolah terus.

Kalau boleh, dia nak kerja. Melukis atau main muzik tepi jalan, kerja kilang, bawak teksi, bawak lori, jual nasik lemak, jaga lembu atau apa saja.

“Dia ada hak kalau nak bawak hal ni ke atas, ke bawah, ke tepi, ke tengah atau mana saja dia suka.”

Dalam hati Andrey terkenangkan Akademi Seni. Ada keluhan terhembus dari paru-paru. Dalam dan panjang. Sabarlah. Mindanya cuba memujuk perasaan yang bercampur aduk pada waktu itu.

Malu, pelik, geram, sakit hati, semuanya beradun dengan seribu tanda tanya. Seketika, fikirannya terlayang lagi ke kedai kopi — ke peristiwa yang menebalkan lagi rasa malunya. Macam manalah aku nak hadap dia? Tapi aku terpaksa… motor aku… kelas ekonomi… arhhh…

Cikgu Remy bagaimanapun tak berminat untuk menghuraikan sebab mengapa cikgu Rina mengambil keputusan yang baik itu dengan cukup mudah. Barangkali dia tak ada jawapan. Mungkin dia juga hairan.

Tepat 0830 pagi.

Pintu bilik kaunseling diketuk. Selepas mengucapkan selamat pagi, cikgu Rina terus mengambil tempat duduk di kerusi sebelah, memantulkan aura antagonis. Aroma minyak wanginya menusuk deria bau, sampai Andrey jadi pening, rasa nak muntah. Gementar dan marah kembali bergusti, memadamkan rasa syukur atas toleransi yang diberi.

“Cikgu Rina, saya dah terangkan kepada Andrey tentang keputusan awak, seperti yang tertera dalam surat dalam fail ni. Ada apa-apa yang awak nak ubah?”

“Tak, cikgu. Muktamad.” Jawab Rina, ringkas. Yakin.

“OK… Kalau begitu, elok kita selesaikan perkara ni dengan baik. Semua yang dah kita bincangkan dan seperti yang tercatat dalam fail kes ni, Andrey, hari ni saya umumkan, cikgu Rina mahu perkara ini selesai di sini.”
“Maksudnya?” Antara percaya dan tidak, Andrey sebenarnya nak dengar dari mulut cikgu Rina sendiri. Hujung matanya mengerling gadis di sebelah tapi gadis itu tak buka mulut. Dia membiarkan cikgu Remy menjadi perantara.

“Jadi, Andrey, saya rasa awak tau apa awak kena buat sekarang,” ujar cikgu Remy. “Minta maaf dan berterima kasihlah.” Terang cikgu Remy dengan suara tenang, membawa Andrey kembali ke realiti waktu.

Yes, of course… Dah tentu maaf, jabat tangan, bersyukur... Hati mengeluh. Satu perkara yang sememangnya tak nak dibuat. Tapi dia terpaksa. Hati menjerit… Biar aku ulang kuat-kuat... Aku terpaksa!

Dan dalam keterpaksaan itu jugalah dia berdiri, membongkokkan sedikit badannya. Tangan dihulur. Separuh hati. “I’m sorry and... thanks.”

Satu ucapan bernada sumbang dilafazkan. Pada waktu itu Andrey benar-benar rasakan maruahnya jatuh di hujung tumit seorang wanita.

Apapun kau nak kata untuk bela diri, kesalahan tetap dipihak engkau. Minda buat kesimpulan yang memanaskan hati apalagi bila melihat senyuman puas hati terukir di wajah cikgu Rina. Senyuman yang menaikkan seri keangkuhannya sewaktu tangan Andrey disambut.

Rina sengaja kuatkan genggaman. Dia dapat rasa tapak tangan Andrey berpeluh. “Apology accepted.” Katanya, ringkas.

“Baguslah kalau macam tu. Sekarang saya harap kamu belajarlah dari kesilapan, Andrey. Jernihkanlah apa yang keruh.” Pesan cikgu Remy sambil mengukir senyum.

“Ye.” Andrey menjawab sepatah. Kepalanya ditolehkan ke muka cikgu Rina. Mata bertemu mata dan sebelum bontot diceraikan dari kerusi, sempat cikgu Rina melemparkan satu senyuman kepadanya.

Kemudian Rina mengalihkan pandangan ke wajah cikgu disiplin di depan mereka. “Terima kasih, cikgu Remy. Macam yang dah saya tandatangani, fail tu boleh cikgu lupuskan.”

Arahan yang diberi berkumandang macam azan di telinga Andrey, seolah-olah cingu Rina mahu memberitahu bahawa dialah yang menguasai permainan ini.

“Boleh saya pergi sekarang?” Cepat-cepat Andrey minta izin sebaik saja cikgu Rina melangkah keluar. Dan tanpa menunggu kebenaran, dia meluru ke pintu, mengejar cikgu Rina yang berjalan tenang, seakan-akan memang menanti untuk dikejar.

“Cikgu!”

Laungan yang agak kuat itu, mematahkan langkah cikgu Rina. Dia berhenti tapi tak menoleh sikit pun, seperti mengisyaratkan Andrey untuk melutut di kakinya.

Kau kena minta dia pulangkan balik maruah kau dengan cara paling terhormat. Hati berpesan.

“Macam mana dengan motor saya?”
Cikgu Rina diam.

“Berapa cikgu?”
Dia terus diam.

“Nak duit? Saya bagi sekarang.”
Tetap mendiamkan diri.

“Dah dua minggu. Cikgu pun dah tutup kes. Saya hormat, saya sanjung budi baik cikgu. Terima kasih banyak. Tapi tolonglah, cikgu. Bagi balik motor saya. Kalau tidak, apa saya nak jawab dengan mak abah saya nanti? Please…” Andrey terdesak dan desakan itu memaksa dia melupakan pesanan hati.

“Cikgu...”

Tiada jawapan. Cikgu Rina memilih untuk berkeras, membiarkan rayuan itu tergantung di udara. Satu kepuasan menghangatkan hatinya pagi itu. Aku suka dengar kau merayu macam ni. Bersama senyuman meleret, dia pun berlalu, meninggalkan Andrey berdiri tercekat di koridor sekolah, macam patung yang baru kehilangan jiwa.

Rasa terhina membakar dada Andrey yang hanya mampu menatap punggung cikgu ekonominya itu, sampai bayang-bayangnya hilang ditelan kegelapan bilik guru.

Sia-sia. Betul-betul sia-sia.
Maka, dengan rasa dipersia-siakan itu Andrey melangkah menuju makmal biologi, tempat dia memujuk hati. Tempat di mana jiwanya selalu dibelai.

𝄞

Matahari pagi menerobos masuk melalui tingkap makmal biologi memantulkan siluet tubuh cikgu Sophia yang sedang menggerakkan kapur di permukaan papan hitam. Tubuhnya yang kecil molek, membuatkan setiap gerak-gerinya kelihatan seperti lukisan hidup.

Blaus merah jambu dipadankan dengan chinos maroon; minimal tapi cukup menonjolkan keanggunan seorang wanita yang penuh karisma. Rambut ikalnya diikat kemas. Lembut wangian bunga mawar di luar kelas menyelinap di udara, melengkapkan sebuah pemandangan indah di dalam ruang itu.

Andrey memerhatikan setiap inci pergerakan cikgu Sophia dengan dada berdebar. Baginya, Cikgu Sophia adalah ciptaan Tuhan paling sempurna; definisi kecantikan dalam sebuah puisi nyata. Wajahnya bersih, sentiasa dihiasi senyuman dan senyuman cikgu Sophia bagi Andrey adalah bahasa rahsia dan hanya jiwanya yang faham.

Pertemuan pertama mereka di satu petang berdendangkan suara hujan, membuka mata Andrey kepada sebuah hakikat; Sophia adalah gadis yang selama ini dicari.

Cikgu Sophia mungkin tak sedar apa yang dah dia lakukan hanya dengan sekilas tatapan.
Setiap lontaran senyuman dari bibir dan matanya adalah pembebasan abadi sebuah jiwa.
Sesaat berada di dalam makmal, rasa macam seribu tahun di syurga.
Wanita itu buat dia terasa lebih hidup. 

Andrey menundukkan wajah, menahan perasaan yang menggelegak.“Morning...” Pintu makmal diketuk perlahan. “Sorry, I'm late.” Andrey menyapa.

Cikgu Sophia menoleh, seperti biasa, senyuman dihadiahkan. Sepasang mata milik gadis berkulit kuning langsat itu telah mencairkan hati Andrey yang beku. Senyuman bertukar. Cair. Andrey cair lagi. Fenomena yang terjadi pada hari pertama memandang wajah cikgu Sophia berulang lagi.

“Pagi, Andrey. Dua minggu, lama tu... Macam mana?” Serentak ucapan itu, kaki mereka melangkah untuk merapat, berdiri saling bertatapan seperti sepasang kekasih yang ingin melepaskan rindu setelah lama terpisah. 

Andrey memberi penjelasan ringkas atas kelewatan yang tak disengajakan. Dalam imaginasi, dia membuka ikatan rambut Cikgu Sophia yang lebih cantik bila gelombangnya jatuh sempurna ke bahu, seperti helaian sutera yang dirawat penuh kasih. Andrey dapat merasakan jari-jarinya berlari lembut membelai wajah dan rambut guru biologinya itu sambil menampalkan ciuman rindu di dahi.

Ini sering terjadi. Banyak kali, dalam angan-angan. Dalam mimpi-mimpi.

Kau multivitamin aku. Lafaz itu itu hanya dapat didengar akal dan rasa.

Bayangkan bagaimana rasanya selepas berlari di bawah terik matahari, tiba-tiba terjumpa sungai, siapa ada air oren berendam dalam airbatu. Macam tulah dia buat aku rasa. Nyaman, sejuk dan tenang seperti dikelilingi hutan hujan dan air terjun.

Realitinya, dia cuba membersihkan luka di hati setelah dicederakan singa gunung sebentar tadi. Dua minggu kita terpisah, Sophia. Aku rindu. Semuanya pasal kawan kau, si singa gunung tu.

“Andrey, awak OK?”
“OK, cikgu. OK. Saya seronok. Siapa yang tak enjoy cuti.” Jawapan itu membuat cikgu Sophia tertawa. Matanya menjadi kecil menandakan hatinya turut ketawa. Hati Andrey merasa lapang dengan kemesraan yang cikgu Sophia berikan.

“Tapi dua minggu ni dah banyak awak missed.” Ujar cikgu Sophia agak perlahan sambil menyelak beberapa fail kertas.

And the one I missed the most is you. Bisik Andrey ke mata cikgu Sophia. Dalam hati.

“Lepas kelas nanti boleh saya ambil bahan dari cikgu?”
“No problem.”
“Terima kasih, cikgu.”
“Andrey...” Cikgu Sophia menghentikan langkah Andrey yang dah bersedia untuk mengambil tempat duduk. Segara dia merapati. Tak mungkin akan dia lepaskan setiap peluang untuk menatap penuh seraut wajah yang selalu dirindu.

“Saya…”
“Kalau awak nak, kita boleh bercakap pasal kes dua minggu tu nanti.” Cikgu Sophia berbisik.

Menipukah telinga, atau akukah yang sedang bermimpi?
Kalau memang aku sedang bermimpi, tolong jangan kejutkan aku.

Comments

Comments [0]