Bab 6.4: Hiss or Kiss

Aku mau kita bebas mencintai...
Bersama ke langit tertinggi bahagia.
Berdua menyelami lubuk tergelap derita.
𝄞
Pukul tiga, hari yang sama. Andrey memilih untuk melepak di kafe biasa, meja luar. Dia perlukan udara. Dia perlukan asap.

“Dua minggu,” dia fikir. “Macam bercuti. Tapi cuti dari apa? Dari maruah aku ke, dari dosa aku?”
Teh panas dihirup. Pizza masih berasap.

MP3 player memainkan Ordinary World. Suara Simon Le Bon masuk ke telinga macam puisi kehancuran bagi sesuatu yang indah.
What is happening to me?
Crazy, some’d say…
Where is my friend when I need you most…
Bait lagu itu diiring satu sentuhan di bahu, lembut dan bersahaja.
Jantung Andrey rasa bagai tercabut. 

Suara pemain mp3 direndahkan. Kepala ditoleh ke arah susuk tubuh yang berdiri di sisi, sebelah kanan. Tubuh itu kemudiannya melangkah dua tiga tapak dan kini berdiri tepat di depan muka Andrey. Di situ dia menancap mata garangnya yang berselindung di balik kaca.

“Teh?” Tanya Andrey, acuh tak acuh. 

Kejutan itu sebenarnya amat menyesakkan dada Andrey. Tapak tangannya mula terasa berpeluh. Gelisah. Dia cuba mengawal diri untuk bertenang, atau sekurang-kurangnya berlagak begitu. Namun, jiwa yang tadinya terbang ke syurga seakan ditarik kembali ke neraka.

Macam mana dia tau aku kat sini?

Bibir cikgu Rina yang tak dicalit sebarang pewarna menggaris senyuman kelat sambil mengawal nafas berat yang dihela. Berat bunyinya tapi bukan mengeluh. Kerusi ditarik. Tanpa dijemput dia mengambil tempat duduk, berdepan, muka ke muka.

“Now, tell me... ” Pelawaan tidak dihiraukan. “The suspension flies you over the moon, hmm?”
Andrey diam. Dia pegang cawan. Seru teh untuk tenangkan tangan.
Rokok dinyalakan. Asap dihembus.

“Nervous?” Senyum sumbing dilempar. “Dah tertelan lidah? Tadi bukan main petah. Sekarang… mute?” Rina bersandar. Tangan silang dada. “Atau tengah karang plot balas dendam baru?”

Asap rokok tak buat Rina berganjak. Dia macam kalis, bukan hanya pada asap, tapi pada semua api kecil yang cuba Andrey mainkan.

“Saya anggap awak ada penyelesaian bijak untuk hal ni.” Cikgu Rina terus bersuara, kali ini bernada tenang. Riak wajahnya kelihatan serius tapi tak setegang dan semerah tadi, sewaktu mereka di bilik kaunseling.

Mulut Andrey terkunci namun dalam diam, dia memerah otak. Kata-kata bijak harus diatur baik supaya tak kalah lawan bicara, namun, dalam hati Tuhan saja yang nampak yang otaknya dah nampak macam-macam. 

Entah-entah dia dah buat laporan polis. Karang tak pasal-pasal aku kena gari kat kedai kopi ni.

Untungnya, Andrey ada hati yang berani.
Ahhh, tak mungkin... Jangan jadi pengecut. Confident kena ada. Pandang mata, jangan alih. Dia bukan boleh buat apa-apa pun.

“Tunggu je la keputusan pengetua.” Kata-kata perangsang dari hati menyuntik ubat penenang dalam darah. Andrey menyandarkan badan, mencari selesa di tempat duduk.

“Hmm. So that's your move.” Balas Rina.

Kaki mereka tersentuh di bawah meja. Rina tak berganjak seakan mau mengunci. Tapi Andrey alihkan kakinya. Rokok yang dah habis di sedut sampai ke hujung dia tenyeh ke dalam bekas abu. Pandangan dilempar ke jalan, mengikut jalur yang matahari memantul di permukaan lantai.

“Kalau saya kena buang sekolah pun, saya tak kisah.” Nada suaranya hampir mati. “Tapi saya memang benci ekonomi. Dan saya tak suka cikgu.”

Rina angkat kening. “Duly noted.” Nafas dilepaskan. Agak berat. Muka Andrey yang sedang bermain-main dengan sudu teh, dia pandang tepat-tepat. “Awak ingat kereta saya tu apa? Pokok getah?”

Andrey tergelak kecil, sinis. Pokok getah? Abih kepala aku ni apa? Kotak kosong?

“Saya tak nak drive dengan tulisan tu kat pintu kereta saya. Sekarang, dengan cukup sopan, saya bertolak ansur.”

“ Sopan…” Antara dengar dan tidak, Andrey menggumam. “Tak nak drive, naik bas,” balasnya sambil mencelup cebisan pizza crust ke dalam teh.

“Awak ni memang kurang ajar, kan?”
“Cikgu tak ajar.”
“Nak ajar macam mana kalau awak membuta? Dahlah buat salah, biadab pulak. Nak saya report polis?”
Reportlah.”
“Jangan cabar saya.”
“Cikgu yang cabar saya.”
“Balai dekat je tu.”

Shit. Balai? 
Tersedak tekak Andrey lepas kata-kata sendiri keluar. 
“Point your wish, miss.” 

Bayangan abah muncul. Lepas tu bini abah. Lepas tu tangan abah. Lepas tu... gulp.

Rina ketawa. Ketawa kecil yang buat teh terasa pahit. “Awak nak suruh saya lupa semua ni? Tak sangka pandai awak buat lawak. Saya anggap awak dah ada jawapan sebelum buat perkara sia-sia. Train your brain, Adriana.”

Sakit telinga Andrey bila nama itu Rina tekankan, seolah-olah sengaja menekan jiwanya.

“Saya tak de duit nak bayar. Sorry.” Kerusi di tolak sedikit ke belakang. Dia berdiri. “Biar saya tengok.” Dompet dikeluarkan dari saku poket belakang jeans Levi’s yang koyak di lutut. “Nah, RM45.70. Teh dan pizza ni kira cikgu belanja. Harap cukup untuk cat kereta cikgu.”

Rina tak ambil duit tu. Sebaliknya, dia ambil masa. Kepalanya digeleng-geleng. “Awak ingat saya nak duit awak?” Katanya sambil ikat rambut, buka cermin mata, lap dahi dengan tisu — seolah-olah tengah tukar watak.

Kemudian… “Motor tu… Aprilia tu. Awak punya, kan?”
Andrey angguk, waspada.
“Cantik. Pandai jaga.”
“So?”

Rina senyum nipis. “Saya nak simpan motor tu sebagai cagaran. Sampai awak bayar balik kos kereta saya.”

Andrey terus capai kunci atas meja.

“You can’t be serious.”
“I’m serious.”
“You must be joking.”
“No, I am not.”

Cepat-cepat Andrey bangun lalu menyarungkan jaket denim ke badan. Beg galas disandang ke bahu dan terus dia ke kaunter buat bayaran.

Laju langkahnya menuju anak tangga untuk segera ke tempat letak motor, nak larikan diri. Tapi, tangan Rina lagi laju, menangkap tangannya dari belakang. Tarik. Dan serta merta tiba dunia jadi perlahan. Orang sekeliling macam pelakon latar. 

Yang tinggal cuma dua watak:
Singgahsana dan pemberontak.
Singa dan rusa.

Argghhh... Malunya aku… Kau tak malu, Rina?!

Ketika itu, Andrey rasa Cikgu Rina memang gila.

Macam manalah perempuan mental macam dia ni boleh jadi cikgu? Cikgu aku pulak tu. Sakit otak betul!

Seluruh badan bagaikan lumpuh, bila tanpa segan silu cikgu Rina menggali saku seluarnya. 

Ohhh… My… Goodness…”

Tindakan cikgu Rina yang terlebih berani itu telah memaku seluruh tubuh Andrey di dinding kafe. Semakin cuba mengelak semakin dalam tangan cikgu Rina menyeluk. Tangan kirinya pula menyentap dan melipat tangan kanan Andrey ke belakang, mengunci mangsa daripada bergerak.  

Boleh tahan kuat minah ni. Ada tali pinggang hitam ke apa? 

Sempat lagi Andrey berbisik dalam hati walaupun dia terpana, jadi bodoh, tak berdaya. Atas sesuatu sebab yang tak dapat dijelaskan tanpa malu dia mengaku kalah. Tenyata cikgu Rina ada kuasa pukau, sepertimana dia memukau kawan-kawan sekelas dengan khutbahnya pasal ekonomi dan entah apa lagi. 

“Hmm, dapat pun.” Kunci dipegang, sengaja dihayun-hayunkan di depan muka mangsa. Garis di bibir semakin melebar. 

Bukan main seronok lagi cikgu Rina. Tak pernah Andrey tengok dia gembira macam ni sedangkan lidah Andrey masih kelu. Mata jadi kabur, sendi-sendi rasa berterabur. Darah tersekat dalam urat. Aksi berani cikgu Rina telah mematikan keupayaan Andrey untuk berfikir dan bertindak. 

Maruah diri gagal dipertahankan.

“Nak lari sangat daripada tanggungjawab sampai lupa helmet?” Cikgu Rina membuat isyarat mata, mengingatkan dia yang terlupa bahawa helmet masih lagi duduk di atas meja. Andrey mengeluh dalam hati, kesal dengan kelalaian sendiri.

Belum sempat akal memikirkan apa yang patut dibuat, Andrey terkaku. Lagi sekali. Tapi kali ini lebih mendesak. Dia disentuh tapi bukan lagi dengan kata, kali ini dengan rasa. Renungan mata cikgu Rina kini melumpuhkan dia. Bukan kerana renungan itu menawan, tapi kerana ia mengerikan. 

Bibir Rina, lembut, pantas, dan... macam tak kenal dosa pahala. Sekejap. Tapi cukup untuk menggoyahkan tulang belakang Andrey. 

“That’s for being very rude to me all the time,” katanya, tenang. Perlahan.

Andrey terasa kakinya tak lagi menjejak bumi, terawang antara tanah dan langit. Sepanjang sembilan belas tahun bernafas dalam planet ini, itulah satu saat di mana dia mengalami fenomena terbang ke eksosfera. 

Malu yang ditanggung lengkap dengan kepelbagaian emosi yang membingungkan. Suara tersekat di kerongkong tanpa mampu untuk melompat keluar dari mulut.

Itulah, aku dah cakap, jangan carik masalah. Sekarang tengok… 
Akal mula mengejek. Hati tertunduk diam, masih lagi kebas akibat dicium singa.

Bibir Andrey kesat dengan belakang tangan, kemudian belakang tangan dikesat ke seluar. 

Cikgu Rina kembali ke meja. Cawan teh diangkat, saki baki Earl Grey dihirup. Sekeping potongan pizza dia ambil lalu disuapkan ke mulut dan mengunyahnya pelan-pelan. Setelah potongan pizza itu habis dia telan, dia mencapai tisu. Mulutnya dikesat kemas sebelum kertas tisu diselitkan elok-elok bawah pinggan kemudian teh dihirupnya lagi. Habis. 

Kepala Andrey bertambah pening melihat gelagat cikgu Rina. Pelik. Pelik sangat. Malah, dari awal dulu lagi Andrey dah dapat rasa, cikgu Rina ni memang lain macam benar perangainya.

Tadi pelawa teh tak nak, sekarang teh aku kau telan habis. Pizza aku pun licin kau bedal. Mental. 
Andrey hanya mampu menelan kata-kata itu dalam hati.

“You wanna play a game, hmm? Let’s play, Andrey. This is merely a beginning.” Cikgu Rina menamatkan sinetron petang itu dengan satu peringatan. Helmet di atas meja dia capai. Beg tangan disilangkan ke badan lalu dia berjalan menuruni tangga menuju tempat letak motosikal. 

Andrey berlari mengerjar, cuba menyelamatkan Aprilianya tapi tak sempat. Cikgu Rina bukan saja licik tapi tangkas. Sambil tersenyum dia menaikkan ibu jari sebelum memandu pergi, meninggalkan Andrey terkulat-kulat.

Kau tengok, dia bukan je pijak maruah kau, cabul bibir kau, malah dia berjaya curi Lia depan mata kau sendiri. 
Kata-kata otak membuat perut Andrey terasa kecut. Kepalanya jadi pusing seakan baru dihantuk kuat ke dinding. 
Hati masih diam menahan sakit, masih tak percaya bibir dah kena cium! 
Rasa benci bercampur baur dengan perasaan yang semakin celaru dengan semua tindakan berani cikgu Rina.
Hairan. Kenapa dia cium? Sebab aku biadab, kurang ajar? Dia ingat ciuman tu akan buat aku tunduk kat dia? Akan melutut mintak maaf?

Keliru. Apa sebenarnya dia nak? Duit atau malukan aku? Nak aku sujud sembah kaki dia?

Marah. Dia curi motor aku. Harta aku. Buah hati aku. Kesayangan aku. Hukuman ni memang berat. Aku tak boleh terima!

Deruman enjin Aprilia semakin menghilang, sedangkan kesan ciuman masih menghantui seluruh kewujudannya — ciuman pertama yang tak pernah dia impikan.

Berjalan lemah ke tempat letak motosikal, Andrey mengharapkan apa yang terjadi hanyalah satu mimpi. Tapi sayang, tak seperti mimpi indah, mimpi ngeri boleh bertukar jadi kenyataan. 

Motor dah hilang dikebas cikgu Rina. Lesap tanpa dia berkuasa melakukan apa-apa, seolah-olah diri dah larut dalam sihir pemangsa. Hanya bekas tayarnya saja yang tinggal sepertimana dia ditinggalkan di situ dengan puluhan mata tersenyum kepadanya.

Dia bukan curi motor.
Dia curi maruah aku.
𝄞
Rina rebahkan badan ke atas katil, tubuhnya masih segar dengan sisa dingin dari bilik mandi. Langit luar mula kelam. Malam perlahan menjemput. Cahaya kecil dalam dadanya menyala perlahan… rasa puas. Teramat.

“Puas...” Bisiknya kepada diri sendiri.
Kereta? Akan siap.
Andrey. Budak tu. Motosikal dah dalam tangan. 

Hah. Sampai kau merayu, Rey.

Wajah pelajar itu muncul dalam fikiran — kurus, jaket Levi’s, seluar Levi’s, Rayban Aviator.
Depan panjang tutup dahi, belakang bersepah, macam tak sempat nak fikir gaya.
Selekeh. Macam seniman jalanan. Tapi entah kenapa… menarik. 

Simple. Real. Tak dibuat-buat. Introvert.
Rina senyum. Pandang ke dinding. Satu bingkai gambar tersenyum kembali.
Artistic.

Dia capai sebuah majalah sekolah yang terselit celah buku meja sisi katil. Diselak. Dihidu. Diteliti.
Puisi yang buat dia berhenti tempoh hari, dibaca semula:

Mungkin tak bisa kuselam lautan dalam.
Tapi bila mendongak ke langit, aku tenggelam ke dasarnya.

Poetic. 
Bisiknya lagi. Lembaran terus diselak. Mencari lagi karya Andrey Arman.

Aku mau kau bebas mencintai aku
dan aku mau bebas mencintaimu.
Bersama ke langit tertinggi bahagia.
Berdua menyelami lubuk tergelap derita.

Romantik... Huh. Ni mesti untuk awek dia. Tapi siapa?

Diselak ke gambar kelas 5 Art 1. Wajah-wajah kecil terpampang, dan Andrey terselit di antara mereka.

Muka sombong, ada awek ke? Rina  ketawa kecil.
Dia capai bahagian profil calon O’Level.
Andrey Arman.
DOB: 12 November — Scorpio.
Hobi: Melukis. Muzik. Berkebun. Tidur.
Warna kegemaran: Transparent.
Lagu kegemaran: Negaraku.
Cita-cita: 18-Wheeler Driver.
Falsafah hidup: My stomach is empty but my heart is full.
Baris-baris tersebut berjaya menukar senyum menjadi tawa dan ketawanya bertambah kuat. Hatinya terhibur. Lupa terus tentang kereta. Tentang motosikal.

“Ada sense of humour. Dia ni… rare.”

“Apa yang rare?” Suara menerpa dari pintu. Sophia berdiri dengan plastik di tangan.

“Eh, tak bagitau pun nak datang.”
“Macam tak biasa. Nah… mangga.”
“Favourite!” 

Rina senyum manja, bangun duduk bersila atas katil. Sophia ikut duduk sama.

“Ada benda rare ke dalam ni?” Halaman-halaman diselak. Tak ada apa yang menarik bagi Sophia. 
Dia meletakkan majalah tersebut di meja. Sambil membuka ikatan rambut, dia bertanya, “kereta masuk bengkel dah, kan?”

“Nasib sikit je yang nak di touch up.”
“Abis... motor kat porch tu… apa cerita?”

Rina memusingkan badannya. Meniarap. Dia memang dah bersedia nak ceritakan apa yang terjadi. Semuanya.

“Aik, dia biar je kau ambil motor dia?” 

Rina ketawa kecil. Badannya dipusingkan semula. Kini dia berbaring menatap siling. Sebiji bantal diambil, lalu dia memeluk bantal tersebut.

“Lain macam aku tengok kau ni.”
“Dia tak sempat nak halang, aku kebas terus. Aku cakap, tunggu dia bayar baru aku pulangkan motor tu. Cagaran.”
“Mahal ke repair kereta kau tu?”
“Tak la mahal mana. Tapi bukan duit aku nak dari dia.”

Tangan Rina mencapai beg tangannya. Sekeping kertas, dia keluarkan lalu dihulur kepada Sophia. Resit dari bengkel.

“Abis, kau nak apa? Apa plan kau ni sebenarnya? Jangan buat bukan-bukan, Rina. Kesian budak tu.”
“Kesian, kesian jugak. Tapi dia tu kena diajar. Biar tau nilai. Bukan harga.”
“Ish… Straight to the point, boleh?”
“Aku tak akan ambil duit dia. Tapi masa dia.”
Oooocayyy…. Lepas tu? Lepas masa dia kau ambik, apa lagi kau nak buat? Kau nak ambik apa pulak?”

Rina bangun. Dia berjalan ke tingkap dan menutupnya. Kemudian dia duduk di birai katil.

“Lepas tu kita tengoklah… dia merengek macam mana nanti.”
“Tak faham aku. Kenapa kena buat camtu? Kan senang kalau settle elok-elok je.”
“Jangan risau, aku tak kan susahkan buah hati kau tu.”
“Hai, Rina, Rina… Kalaulah mak ayah dia tanya mana perginya motor, kan ke susah dia nanti?”
“Itu masalah dia. Budak tu kena belajar hormat cikgu.”

Sophia senyap sekejap, pandang Rina, cuba meneka apa sebenarnya bermain di fikiran dan hati kawannya itu. “Aku tidur sini malam ni...” Katanya sebelum kembali ke topik perbualan mereka.

“Budak tu ada potensi. Rajin bertanya. Pandai. Cepat tangkap.”
“Itu engkau, bukan aku. Dia suka kau kot. Tu yang champion semacam.”
I don’t think so. Aku rasa semuanya pasal minat. Aku dengar parents dia paksa ambil A’Level sebab dia gagal buat IB.”
“Amboi sampai ke situ kau selidik, erk?”
“Apa nak heran, sekolah tu berapa banyak mulut ada. Hmm, kau mesti kenal Linda, kan? Budak ekonomi, best student kau tu...”
“Linda... Mestilah aku kenal. Best student aku. Kenapa dengan dia? Budak tu awek si Andrey ke?”

Bergoncang badan Sophia, ketawa gelihati mendengar andaian kawannya itu. 

“Dorang kalau couple, aku tak taulah motor tu nanti terjongket macam mana.”
“Jahatnya mulut kau, Phia…” Balas Rina tapi dia ketawa sama.

“Tak lah… Sebenarnya Linda yang cerita kat aku pasal budak tu.”
“Aik, macam mana pulak dia boleh cerita kat kau? Dia tak ambil bio kan?”

“Tak…” Sophia berhenti seketika, cuba mengingati hari dia berbual dengan Linda.  

“Masa latihan bola jaring, Linda, kau taulah kan… dia memang tak boleh bawak badan sangat kalau pasal sukan-sukan ni. Tapi dia rajin datang tengok. Aku masa tu duduk kat padang. Dia datang tegur, jadi kami borak-borak. Masa tulah dia cerita. Aku pun koreklah. Itu yang aku tau pasal budak tu. Tak banyak. Tapi adalah sedikit, sebanyak.” Terang Sophia panjang lebar.

“Ooo… Panjang kisah dia. Kena paksa rupanya.”

Sophia rebahkan belakangnya atas tilam. Matanya menatap siling.
“Aku faham macam mana rasanya bila dipaksa.”

Dan mata yang menatap siling itu, dia pejamkan.

Comments

Comments [0]