15.0 Hidup Ini Indah
Bab 15.0: Hidup Ini Indah
![]() |
Perasaan yang jujur tak pernah tak betul. |
Di sebalik kesibukan kerjaya sebagai pendidik dan tanggungjawab menjaga Sophia, Rina tetap mencari celah untuk Andrey. Kadang hanya di hujung panggilan, kadang melalui mesej ringkas. Bila masa mengizinkan, dia akan bercerita, tentang zaman kanak-kanaknya, tentang rumah, tentang keluarga dan perkara kecil yang biasanya hanya dikongsi dengan orang yang dipercayai. Andrey mendengar. Selalu.
Namun dalam setiap perkongsian, Rina sedar satu perkara; ada garis yang perlu dijaga, walaupun hati mula belajar berharap.
“Jom kita cakap pasal sekolah sikit, boleh?” ajak Rina, selepas mereka menamatkan larian petang Ahad itu.
Sejak kebelakangan ini, Andrey menjadi sebahagian daripada rutin mingguannya. Petang-petang mereka berlari di taman, kadang berbual, kadang hanya membiarkan langkah seiring nafas. Sabtu pagi pula di AC Club; melukis, main muzik dan berbincang tentang seni. Bukan berdua. Itu aktiviti kelab. Tapi, ada juga hari mereka bermain badminton, atau berjalan mengelilingi tasik tanpa tujuan tertentu, tanpa sesiapa yang lain kecuali mereka.
Dan setiap kali cikgu Rina ajak, Andrey tak pernah menolak.
Perubahan itu nyata. Tidurnya lebih lena. Selera makannya kembali. Tubuhnya terasa ringan, dan mindanya tidak lagi dihimpit gelisah seperti dulu. Ada hari-hari yang masih berat, tapi kini dia tahu, dia tidak sendirian.
“Awak ambil empat subjek, kan?” soal Rina, sambil mereka melabuhkan duduk di atas rumput tepi tasik.
“Ha ah,” jawab Andrey. Nafas masih turun naik, tapi senyum sempat terselit.
“Saya nak awak buat keputusan, kalau boleh, biar cepat.”
“Pasal tukar subjek?”
“Ye. Bukan pasal jadi subjek.” Usik Rina. Mata dikenyitkan. “Awak betul-betul tak suka ekonomi atau semuanya bercampur sebab saya?”
“Bukan sebab cikgu. Ekonomi pun tak salah. I am the problem.”
“Masa tak tunggu kita, awak tau tu kan?”
Andrey angguk. “Saya dah banyak buang masa. Setahun layan perasaan kat rumah dulu. Rugi betul rasanya tak layan perasaan kat sekolah. Kalau tak, lama dah kita kenal.” Dia senyum nakal, menjeling. Rina balas senyuman itu. Hatinya terusik.
“Tak elok bebankan diri bila hati menolak. Kalau masalah tu datang dari dalam, cari jalan keluar. Kalau perlukan teman fikir, saya selalu ada.”
“Saya tahu cikgu ambil berat. Terima kasih.”
“Apa rancangan lepas habis semua ni?”
“Entahlah cikgu… “
“Rina.”
Satu patah itu cukup untuk menguji batas.
Bahu Andrey disentuh; cara dia memberitahu, tak ada apa yang salah. Dah selalu dia ajar budak itu sebut namanya tanpa sebarang title. Tapi masih tersasul.
“Untung sabut, timbul. Untung batu tenggelam. Saya sebenarnya tak ada apa-apa rancangan.”
“Mesti awak ada impian, cita-cita dan matlamat dalam hidup, kan? Kalau tak ada, masanya dah tiba untuk awak adakan semua tu.”
“Saya nak berseni. Nak berkarya… especially, muzik.”
Satu keluhan terhela dari ruang dada yang sarat dengan kata-kata tak terucap. Apa saja yang dah dia cakap atau cuba diluahkan, rasanya masih ada lagi yang tertinggal menebal dalam fikiran.
“Abah kata satu-satunya cara kita hargai perjalanan adalah dengan menebas hutan atau berjalan atas duri, bukan berjalan di padang luas tanpa sebatang pokok. Kat situla saya tengah jalan sekarang… agaknya… Hutan tebal, jalan berduri.”
Dia toleh ke wajah Rina. Kata-kata abah seakan memantul dalam mata gurunya itu. Di bawah pancaran matahari petang, manik-manik peluh di garis rambut jelas kelihatan menuruni dahi. Tanpa berfikir panjang, Andrey angkat tangan lalu mengesat peluh itu dengan hujung jarinya.
“Pinjaman.”
“Pinjaman diberi bagi mereka yang layak.”
“Harap saya dapat bayar.”
“Semua pinjam, ada tempoh. Fikirkan empat, lima tahun akan datang dan tahun-tahun lepas tu.”
“Pinjaman ni pun satu ujian, kan?”
Rina angguk. Matanya tersenyum. “Tell me…” Tangan kiri Andrey cikgu Rina ambil, menyulamkan dengan genggaman jari-jemarinya.
“Saya tak tau... Saya cuba buat keputusan secepat mungkin.”
Bukan tak risau semua tu, tapi setiap kali memikirkan tentang masa depan, setiap kali itu jugalah dia terperangkap dalam kebimbangan. Andrey tak suka bila perasaan seperti itu datang mengganggu. Dia takut.
“Take your time. I'm here. Always.”
Pipi Andrey dicium. Rina ingin Andrey percaya, bahawa dia benar-benar sayang.
Perasaan yang jujur tak pernah tak betul.
Yang mencabar hanyalah keberanian untuk menghadapinya.
“Bayangkan lepas ni awak masuk universiti, atau Akademi Seni.”
Pandangan Andrey lontarkan ke dada tasik, mula melakar gambaran dengan warna pilihan cikgu Rina.
“Lepas tu awak mulakan kerjaya, tak kiralah, komposer atau pelukis, di jalanan atau di pentas... Apa saja. Dunia ni luas… nampak tak, awak ada semua potensi tu?”
Soalan cikgu Rina membuka mata Andrey untuk melihat apa yang dia terlepas pandang selama ini, semua yang sebenarnya terpapar jelas di depan mata.
“Saya pilih tu semua atas dasar minat saya, cikgu.”
“It’s Rina.”
“Rina…”
Nama itu jatuh perlahan dari bibir Andrey dan meresap ke jantung Rina lalu mengunci mata dengan mata. Kejujuran dan ketulusan terbias setiap kali renungan bersambut, mengajak hati dan perasaan, akal dan kewarasan untuk mencari makna.
Adakalanya, makna yang dicari terasa begitu hampir, tapi tak tergapai. Terkadang, terlalu jauh… tapi semakin jauh, terasa semakin dekat. Dan di waktu-waktu yang lain, bagai ada sesuatu yang menghalang perjalanan untuk meneruskan pencarian.
“Awak ada hidup sendiri, apa saja awak nak, hasil titik peluh awak. Tak ada siapa boleh kacau. Bebas macam burung.” Jari telunjuknya menghala ke langit, ke arah sekumpulan burung yang melintasi awan petang.
“You’ll see life through different eyes. Who knows… Awak sambung belajar, jumpa someone special, who helps you become the best version of yourself?” Rina berhenti seketika. Badannya dipusingkan sedikit supaya dapat mereka duduk tepat muka ke muka.
“Andrey…” Tangannya naik ke pipi Andrey, sentuhan yang hampir seperti doa. “Life is beautiful.
But it becomes truly beautiful when shared with someone...” Cikgu Rina menarik nafas. “Saya harap masa tu… awak dan saya, masih duduk macam ni.”
Dia berhenti lagi sebelum menghembus kata-kata yang akan melekat dalam ingatan Andrey sampai bila-bila.
“Saya nak jadi dia.”
Andrey kehilangan kata-kata.
Pengakuan cikgu Rina bermain dalam kepalanya hingga ke malam. Bait-bait kata yang dilafazkan dengan begitu tenang dan yakin kini menjadi lagu yang mendodoi hingga mata terlelap.
Namun tidurnya terganggung.
Tiga pagi. Notifikasi berbunyi.
Mesej dari Entah Siapa itu tak dihiraukan.
Hatinya terpanggil untuk menitip sebaris pesanan yang lebih penting, untuk seseorang yang nyata dan lebih bersedia.
Lunch hari ni. Pukul satu. Tempat biasa.

Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!