4 Heaven
Bab 4.0: Heaven
![]() |
Ada pertemuan menyatukan jiwa untuk mengingat semula kerana mereka tahu mereka pernah hilang. |
Tiada muzik. Tiada lagu latar. Hanya bunyi kapur menggarit papan hitam, dan pen menonyoh kertas. Lagu latar memenuhi ruang hari baru.
Andrey berjalan perlahan di koridor, langkahnya santai. Tiada rasa bersalah walau sedar dia telah lewat dua puluh minit untuk sesi pertama kelas Ekonomi. Berdiri di blok A, dia menyeluk poket beg sandang, mengeluarkan sekeping kertas. Dia berjalan sambil mencari nombor bilik seperti yang tertera di atas kertas tersebut.
Nama itu tertera dalam font mesin taip lama. Formal, tak ada apa yang menarik.
Andrey sengih kecil. Dalam kepala, dia sudah membayangkan satu figura; seorang cikgu bangsa India, berbaju sari jingga terang, bertocang panjang, mungkin mengunyah sirih sambil bercakap penuh semangat tentang inflasi. Dia hampir ketawa sendiri di tengah lorong yang kosong dan sunyi itu.
Entah kenapa, langkah bersahaja tadi bertukar degup sedikit laju, seolah-olah dia dapat merasakan nasib yang menunggu di hujung koridor.
Langkahnya semakin menghampiri destinasi. Pemegang pintu belakang disentuh dengan hujung jari, sebelum tapak tangannya memulas tombol. Pintu terbuka dengan senyap, dan dia menyelit masuk, hampir tanpa mencipta bunyi yang akan memecah kosentrasi kelas.
Andrey tunduk, terus duduk di kerusi pertama yang dia nampak, betul-betul di hujung kelas. Kerusi itu seakan memang menanti dia.
Bunyi kapur dan kertas bergabung dengan suara di hadapan. Jelas, tegas, dan lantang tanpa tanda-tanda mengendahkan kehadirannya, atau lebih tepat lagi, kelewatannya.
Beg sandang disangkut ke bahu kerusi. Mata mencuri pandang ke sekeliling kelas. “Boleh tahan ramai,” desus hatinya sambil bersandar tenang.
Wanita yang berdiri depan papan hitam, rambut coklatnya lurus, diikat malas, macam tak sempat sikat sebab bangun lambat. Bukan sari. Sirih pun tak ada. Tapi Andrey perasan ada mug putih dengan gambar Garfield, di atas meja guru. Andrey simpan ketawa dalam hati.
Cikgu Ireena Joseph mengenakan pakaian cukup ringkas — blouse warna teal, sesuatu yang membuatkan hati Andrey lebih padat daripada biasa.
“And this…” Suaranya menggema. “…is where we begin to understand how money shapes the world.”
Ayat itu menyentak Andrey, terasa seperti ditujukan kepadanya. Namun, dalam hati dia berbisik, “ni India bukan. Melayu pun bukan. Cina pun bukan.” Dia menyandar lebih selesa. “Mungkin dia tak perasan aku masuk,” fikirnya, separuh berharap. “Eloklah.”
Tanpa sedar, dia senyum kecil. Sketch book dikeluarkan. Tangannya mula ligat menconteng kertas. Selamat, Selesa. Dan dia juga tak sedar, sepasang mata sudah pun memberi perhatian ke belakang kelas.
Cikgu Ireena Joseph meneruskan kelas. Suaranya tidak terlalu keras, tapi kedengaran tegas, menguasai kelas dengan mudah tanpa perlu menjerit.
“Kelas ekonomi bukan tentang hafal definisi...” Dia berhenti menulis, berpaling perlahan. “Awak tau tentang apa Fuad?” Nama pelajar paling kuat ketawa dia petik sedangkan matanya mengimbas ke belakang kelas, mencari wajah yang lewat masuk. Dia tak marah. Dia cuma tahu... dia perlu menunggu masa yang sesuai.
“Tentang hafal puisi agaknya, cikgu Rina?”
Kelas ketawa. Fuad tersengih. Cikgu Rina buat muka selamba. “Esok bawa Hamlet. Saya boleh ajar Shakespear.” Dia berhenti.Langkahnya diatur ke belakang. Perlahan-lahan Andrey tutup buku sketch. Dia menunduk bila cikgu Rina berhenti dan berdiri betul-betul di sebelah tempat duduknya.
“Ekonomi ni, tentang faham bagaimana dunia cuba tipu awak. Setiap hari.” Sambung cikgu Rina lalu melangkah ke hadapan semula.
Andrey tunduk lebih rendah seperti ingin menenggelamkan seluruh tubuhnya ke dalam meja. Dia rasa terpukul. Tak selesa. Tak faham sebenarnya. Ini kelas ekonomi atau falsafah?
Kertas di celah poket beg sandang di keluarkan lagi, untuk memastikan. Dia memandang ke depan. Betul. Kelas E05. Betul kelas Ireena Joseph. Andrey pandang ke depan. Cuba baca tag nama yang di dada guru muda tersebut.
Sah, walaupun tak sejelas nada suaranya. Suara yang bukan datang dari buku teks.
Tanpa sengaja, pandangan mereka bertembung. Hanya satu saat. Cepat-cepat Andrey tundukkan kepala. Jari-jarinya spontan menconteng sudut buku kosong, cuba mengabaikan getar kecil dalam tangan. Hatinya bersuara. Sedikit rungutan. Sedikit kekeliruan.
Aku tak faham ekonomi. Aku tak faham kenapa aku pilih subjek ni. Aku tak faham apa benda inflasi, deflasi, kroni, subsidi. Tapi yang paling aku tak faham... kenapa aku ada kat sini?
Di hadapan, kapur terus menari di papan hitam.
“Setiap pilihan ada kos. Setiap keputusan ada kehilangan.”
Seperti ada telepati, kata-kata cikgu Rina menjawab persoalan yang timbul di hati Andrey dan itu membuat Andrey senyum kecil tanpa sedar.
Sketchbook terus jadi saksi. Buku yang selama ini penuh lukisan burung, pokok, bayang, dan dunia yang tak berpeta. Tapi hari ini, di atas helaian kosong itu, dengan pensel yang digenggam sedikit ketat, dia menulis, bukan melukis:
Ekonomi pun ada falsafah. Ada psikologi. Mungkin sebab tu aku ada di sini. Aku bahagian kaji hayat dalam kelas ni.
Coretannya terhenti di situ. Bunyi penghawa dingin berdengung. Kapur terus bergesel di papan hitam. Andrey angkat kepala, menumpukan mata kembali ke hadapan.
Bosannya kelas ni. Kau tak bosan ke? Hati berbisik ke telinga kepala. Sedang dia cuba faham, dia ke situ untuk faham, bukan hanya hafal. Untuk hadir, bukan sekadar duduk.
Cikgu Rina meneruskan kelas dengan penuh semangat hinggalah loceng berdering dan dari jauh, sayup kedengaran bunyi pintu kelas lain ditutup. Matahari petang jatuh malas dari tingkap.
Ruang kelas kosong, hanya tinggal bau kapur dan kertas.
Buku dikemas. Beg sandang tersangkut di bahu. Sehelai kertas jatuh dari meja; lakaran tengkorak bersayap yang dilukisnya. Dia membongkok, mahu mencapai kertas itu. Tapi tangan lain yang lebih awal sampai dulu.
“20 minit lewat. Hari pertama. Impressive.” Nada itu tenang tapi maksudnya tak begitu terang. Kertas di tangan dipandang sekilas sebelum diserahkan kembali.
Kertas itu Andrey sambut dengan ucapan terima kasih. “Maaf... Cikgu Fauzi panggil pagi tadi... pasal Kelab Seni dan Kebudayaan.” Dia tidak membela diri. Hanya berkata jujur.
Cikgu Rina angkat kening sedikit. Ada kilasan minat di matanya, bukan pada alasan itu, tetapi pada apa yang disampaikan.
“Kelab Seni?”
Andrey angguk sambil membetulkan beg sandang di bahu. Wajah cikgu Rina dipandang tepat.
“Jadi... awak jenis yang percaya dunia boleh diselamatkan dengan lukisan dan puisi?” Nada cikgu sedikit sinis, sengaja menguji. “Sampai tak sempat nak kenalkan nama? Nak saya tulis absent dalam attendance?”
Andrey mula rasa tak selesa. “Andrey...” Dia berhenti sejenak, menelan malu. Malu nak sebut nama yang tertera di sijil lahir.
“Adriana... Adriana Arman Shariff.”
Serentak itu, bibir Rina perlahan melafazkan sesuatu. Berbisik, tapi Andrey dengar dengan cukup jelas.
“Heaven.”
Dahi Andrey berkerut sedikit. Dia cakap pasal lukisan aku ke?
“Pardon me?”
“Nothing...”
“Dah boleh masuk arkib lukisan tu.” Walaupun kehairanan, dia menjawab dengan pasti bahawa cikgu Rina menyebut tajuk lukisannya. Dada terasa kembang, bangga yang dia sendiri sukar mengaku.
“Masuk arkib?” Rina senyum. Lebih daripada senyum seorang guru kepada pelajar, ia senyuman manusia kepada manusia. Punggungnya disandarkan pada pada meja. “Kalau semua orang bakar karya sendiri lepas menang... dunia tinggal apa?”
Tanpa banyak fikir Andrey menjawab, “tinggal kenangan.” Kemudian dia menambah lagi, “kenangan berdebu.”
Senyuman cikgu Rina melebar. Di balik jawapan ringkas itu, dia nampak sesuatu yang lebih jujur daripada semua definisi dalam buku teks.
“Saya rasa... mungkin sebab tu saya terus jadi cikgu,” katanya perlahan. “...walaupun saya boleh jadi menteri.”
Rasa hairan Andrey sorokkan tapi dalam masa yang sama dia nak faham apa yang cuba disampaikan oleh cikgu Ekonomi ini.
“Dan mungkin sebab tu juga saya percaya... orang yang lambat 20 minit untuk kelas pertama ni sebenarnya masih ada sesuatu yang lebih penting dalam dada, daripada sekadar hafal definisi inflasi.”
Bunyi bicara semakin pelik, membuat Andrey bertanya spontan, “cikgu ajar sastera juga ke?”
Cikgu Rina ketawa perlahan, suaranya seperti baru bangkit dari tidur panjang. “Tak. Saya tak ajar sastera,” katanya sambil memandang hujung jarinya. “Tapi saya suka bercinta dengan kata-kata.” Dia angkat kepala, memandang Andrey dengan mata yang bersinar samar. “Sampai saya nak tahu... apa rasanya bercinta dengan angka.”
Jawapan cikgu Rina buat Andrey menggeleng sambil tersenyum nipis. Pada ketika itu, dia merasakan, dunia ini tak seharusnya dipenuhi logik kerana itulah yang memberi haraga kepada sebuah kehidupan.
“Lepas ni saya ada kelas Falsafah. Cikgu nak ikut?” Andrey memerli.
“Kalau saya ikut, siapa nak jaga kelas ni?” Dia melangkah sedikit ke hadapan, cukup dekat untuk Andrey rasa kehadirannya. “Awak?”
“Jumpa esok, cikgu.” Andrey senyum, tak tahu apa nak balas. Dia menundukkan kepala sedikit, sebelum berlalu bersama nafas baru.
Rina pejam mata. Tarik nafas. Perlahan-lahan melepaskannya. Mata dibuka. Dia pandang kerusi tempat Andrey duduk tadi.
Dalam hati, dia berkata, “Heaven... Akhirnya aku jumpa wajah sebenar balik lukisan tu.”

Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!