Join The Journey
Ilustrasi cahaya petang yang lembut, seorang guru muda duduk memandang pelajarnya yang tertidur di meja. Mug Garfield di tangan, senyuman kecil di bibir — dreamy, tenang, seolah-olah memahami bahawa kadang-kadang, mimpi lebih jujur daripada dunia nyata.

Bab 4.1: Hadir

𝄞
“Kau tak sunyi?”

Soalan itu melayang seperti bulu tangkis yang perlahan turun dari langit petang — tidak menghempas, tidak memaksa. Ia sekadar ingin tahu, tetapi di dalamnya tersembunyi keinginan untuk difahami.

“Sunyi?”

Senyuman kecil menjawab dahulu sebelum suara menyusul. Rina menolak daun pintu dewan, memberi laluan untuk Rina mendahului. Hembusan angin senja menyambut langkah mereka.

“Bukan ke hidup ni macam roda? Siang malam, riuh sepi, tawa tangis. Ada masa aku nak bersesak. Tapi banyak masa… aku pilih sunyi.”

Mereka berdua melangkah perlahan ke arah tempat letak kereta. Peluh di dahi masih segar dari perlawanan badminton tadi. Rina tewas lagi. Tapi dia tak kisah. Dah jadi rutin setiap petang selepas sekolah — mereka mencari peluh, dan dalam peluh itu, ada penyembuhan yang tak perlu disebut.

Langit mula mendung — kelabu dan berarak tenang, seperti mata seorang pengembara yang menyimpan terlalu banyak rahsia.

Rina dongak. Setitik gerimis hinggap di hujung hidungnya.

“Kalau kau tak ada… aku sunyi.” Ayat itu jatuh senyap dari bibir Sophia. Tak minta dibalas. Sekadar mahu didengari.

Rina diam.

Dia perasan dari tadi, ada sesuatu yang Sophia cuba sampaikan. Tapi dia tak tanya. Dia dah kenal sangat sahabatnya itu — tak perlu dipaksa. Bila waktunya tiba, dia akan cerita. Dan jika tidak, diam itu bererti dia masih perlukan masa.

“Budak yang kau selalu cerita tu…” Kata-kata Sophia berlari setakat itu saja. 

“Kita pergi dinner sambil tu nanti boleh kau cerita.” Rina memberi cadangan. Di kepalanya muncul muka Andrey.

“Elok jugak. Aku pun malas masak malam ni.”

Good. Tempat biasa?”

“Aku sayang kau.” Jawab Sophia. Kepalanya dilentokkan ke bahu Rina yang memandu. 

Tasik Biru Seafood Corner. Kedai makan kegemaran Sophia sejak bertahun dulu. Bagi Rina, makanannya biasa saja. Tapi dia tahu, bagi Sophia, tempat ini bukan soal rasa. Ia soal perasaan.

“Hari ni aku belanja.” Kata Sophia, menghulur senyum mesra.

Awan semakin kelabu dan akhirnya menitiskan gerimis. Gerimis bertukar renyai dan renyai menjadi hujan. Sedikit demi sedikit bertambah deras. Suasana tasik di luar kabur, dibalut kelam air dan lampu yang samar-samar bergetar dalam titisan.

“Lepas sekolah tadi, hujan lebat. Ni sambung balik. Harap esok tak hujan. Tak kering baju.”
“Banyak sangat ke baju kau basuh?”
“Yang tak basuh pun banyak.”
“Yelah, baru balik vacation. Kalau baju tak kering, rumah aku ada dryer.”
“Hmm, vacation sangat.”
“How do you feel?”
“Sama je. Macam biasa.”
“Tak nak ke tinggal dengan aku balik?”

Sophia menggeleng. “Bukan tak nak.” Pendek jawapan yang diberi dan Rina mengerti dia ada sebab tersendiri. “Nantilah…”

“Kau tanya pasal sunyi. Kalau kau tinggal dengan aku, tak lah aku sunyi tinggal sorang-sorang.”
“Roda hidup, kata kau tadi.” Ada senyum tawar di hujung bibir nipis Sophia — terharu atas perhatian dan kasih sayang yang Rina curahkan.

“Aku faham kau perlu privacy, tapi kau tau kan, berdua lebih baik?”

“Macam lagu tu?”

“Berdua denganmu, pasti lebih baik...” Rina menyanyi kecil, melontarkan bait-bait lagu yang dimaksudkan.

“Kau boleh masuk bila-bila je kau nak.” Sambung Rina lagi. Nadanya bersungguh walaupun tahu, Sophia tak perlu diyakinkan tentang keikhlasan hati.

So, apahal dengan budak tu?” Tanya Rina, tak sabar nak dengar cerita tentang Andrey, si sleepy head. Tangannya lincah mengasingkan udang dari kulit lalu diletakkan ke dalam pinggan rakan sejawat yang setahun tua darinya.

“Budak?”
“La… tadi kau macam nak cakap something je pasal budak tu.”
“Budak mana?”
“Hmm, Phia… Andrey. Kau nak cakap pasal dia tadi, kan? Ke aku salah orang?”
“Andrey… Yes, of course, Budak tu. Sorry. Aku lupa langsung.”
“Kenapa dengan dia?”
“Petang tadi aku jumpa dia kat kafeteria lepas sekolah.”
Kau kena replace cikgu Lee, kan?”
“Ha ah…” Sophia berhenti seketika. Jus tembikai dihirup sebelum bicara diteruskan.

“Apa kau pernah cakap dulu tu… kau betul…”
“So?”
“Aku tak tau.” Jawab Sophia. Tangan kirinya memicit-micit dahi seakan pening memikirkan sesuatu yang berat.

“Aku rasa sunyi… sebak… lepas borak dengan dia tadi.”
“Banyak cerita balik hujan, macam sekarang ni. Kau rasa sunyi lagi?”
“Kau ada. Aku rasa lega sikit. Bila tau kena ajar dia, aku nervous.”
“Don't confuse nervousness with excitement.”
“Kau kata, dia lain dari yang lain. Introvert. Tak campur orang.”

“Ha ah… Dia macam suka berkhayal. Menung sana. Menung sini. Hmm… Macam unmotivated. Kawan pun tak de.”

“Ohh…” Penjelasan Rina membawa ingatan Sophia ke Tanjung Bayu.

“Kadang-kadang, orang pendiam macam dia tu bukan tak nak berkawan. mungkin dia tak tau cara nak mula.”

Rina ketawa. Panjang. Lesung pipit menyerlah dikedua belah pipinya.

“Aku faham…”

Di mata Sophia, Rina nampak seraut wajah sedang tersenyum.

𝄞

Lama dah Rina perasan, pelajarnya yang satu tu — si sleepyhead dengan rambut berantakan dan beg sandang lusuh — tak menunjukkan minat langsung kepada matapelajaran Ekonomi.
Dari awal, Rina dah tahu — Andrey langsung tak faham apa-apa tentang ekonomi. Bila buat tugasan, bunyinya lebih kepada prosa, puisi resah, daripada analisa pasaran.


Dan yang paling mencabar... budak tu dah pandai tidur dalam kelas, tanpa rasa bersalah langsung.

"Membuta!!!"
Rina campak seketul kapur — yang dah lebih kecil dari ibu jarinya — tepat ke dahi Andrey.

Kelas terdiam sekejap.
Tapi sunyi itu hanya bertahan dua saat sebelum pecah dengan suara nakal Fuad di barisan tengah.

"Aduh, mode rage dia dah ON! Aku nak keluar jap, tapi macam drama tengah best," bisik Fuad sambil buat gaya lipat tangan ala wartawan perang.

"Weyh, ni dah kali ketiga minggu ni," Mary berbisik kuat pada Tina di sebelahnya, mulut terlopong kecil.

Andrey gosok muka perlahan.
"Sorry," katanya, suara malas, separuh sedar, separuh pasrah.

"Awak jolok bulan ke malam tadi?" Rina memerli, sambil sebelah keningnya terangkat gaya mak-mak yang baru jumpa anak curi biskut raya.

Andrey angkat muka, mata separuh pejam, separuh nak ketawa.
"Tak. Saya kait bintang," jawabnya selamba.

Kelas meletup ketawa.
Tina sampai terbatuk. Fuad tepuk meja perlahan.

Rina geleng kepala, tapi senyum kecil tak boleh ditahan.
Dia capai mug Garfield kesayangannya, menghirup teh panas sambil menyambung bebelan.

"Kalau awak nak kait bintang, awak jangan kait impian awak sekali. Nanti bangun-bangun, semua planet pun dah pindah rumah.”

Kelas ketawa lagi.

Rina letak mug Garfield, kemudian bersandar ke meja guru, mata separuh pejam, suara jadi sedikit dreamy — macam sedang bercakap dengan langit, bukan dengan manusia.

"Tahu tak... ekonomi sebenarnya bukan tentang duit. Ekonomi... ialah tentang pilihan.
Setiap hari, kita tukar masa dengan sesuatu. Kita pilih nak tidur atau berjaga. Nak ingat atau nak lupa. Nak percaya atau nak lepaskan."

Dia berhenti sekejap, mengadap Andrey yang masih menggosok mata.

"Dan awak, Andrey — bila awak tidur dalam kelas saya, itu pun satu pilihan. Pilihan untuk percaya dunia lebih indah bila mata ditutup.”

Kelas senyap.

Tapi bukan senyap yang beku.
Senang. Hangat. Macam dengar bunyi penghawa dingin berdengung atas kepala pada petang yang panas.

Andrey pandang cikgu Rina. Matanya setengah terbuka. Dalam satu saat pendek itu,
dia rasa — cikgu ekonomi dia ni gila sikit. Tapi gila yang pelik-pelik membuatkan dunia terasa kurang menyakitkan.

Dia senyum senget.

"Kalau gitu, Cikgu... pilihan saya untuk tidur tu... ada kos ke?"

Rina ketawa kecil, ketuk meja perlahan dengan jari.

"Ada," katanya. Dia berdiri. Tuang teh lagi. "Kosnya... awak akan tertinggal keajaiban dunia yang sedang berlaku... walaupun dalam subjek ekonomi yang membosankan."

Kelas ketawa lagi — kali ini lebih perlahan, lebih ikhlas.

Fuad, si tukang usik kelas, angkat tangan separuh jalan, suara separuh bisik separuh jerit —

"Cikgu... bagi dia minum teh sikit. Mesti lepas tu dia tak mengantuk lagi!"

Gelak tawa meletus kecil di seluruh kelas.

Mary menambah, "bagi mug Garfield tu terus, cikgu. Mesti ada magic!"

Tina pula cepat menyampuk, sambil tahan ketawa:
"Jangan sampai mug Garfield tu yang melayang ganti kapur sudah!"

Kelas sekali lagi tergelak — lebih panjang, lebih terbuka.
Andrey geleng kepala perlahan, separuh malu, separuh terhibur.

Rina geleng kepala juga, berpura-pura buat muka serius sambil pegang mug Garfield erat-erat.

"Garfield ni... saksi bisu perjuangan aku mengajar kamu semua. Kalau dia melayang... alamatnya semua orang kena hafal satu kamus ekonomi!" Katanya, gaya separuh mengugut separuh bergurau.
"Dalam mug Garfield ni bukan teh biasa. Ini teh untuk orang yang nak bercinta dengan angka."

Andrey tersengih, letak dagu atas meja, suara malas tapi bergurau:

"Kalau teh tu boleh buat ekonomi jadi macam lagu cinta... dia sanggup kot,” Haikal, kawan baik Fuad yang paling kuat ketawanya pula mengusik.

Kelas E05 riuh dengan gelak ketawa.

Bukan mengejek — ketawa itulah adalah suara manusia yang kepenatan dalam hidup tapi masih mampu menghangatkan hati satu sama lain.

Di tepi meja guru, mug Garfield berkilau sedikit dalam sinar matahari petang yang semakin malas turun.

Dan dalam kepala Andrey — walau dia sendiri tak sepenuhnya sedar — ekonomi mula berubah dari sekadar angka, menjadi...
sebuah bahasa tentang masa dan pilihan.


Catatan renungan:

Ada tempat dalam hidup ini yang tidak memerlukan kita untuk sempurna.
Tidak perlu sentiasa berjaga, tidak perlu sentiasa tahu arah.

Ada tempat — seperti sebuah kelas berdebu, dengan bau kapur dan teh basi —
di mana kita boleh tertidur, tersenyum, terjaga kembali, dan masih diterima.

Kerana dalam dunia yang sibuk menuntut kecekapan,
kadang-kadang, keberanian sebenar ialah memilih untuk hadir,
walau hanya dengan mata separuh terbuka,
dan hati yang perlahan-lahan belajar untuk bermimpi semula.
Join The Journey
Comments

Comments [0]