Bab 14.2 Graffiti
![]() |
| Even rebellion, when written with love, becomes art |
Rosy berdiri sejenak di bawah bangunan. Matanya naik ke atas — ke tingkat empat.
Tangga konkrit itu gelap. Lampu koridor hanya menyala di setiap dua tingkat, berkelip seperti denyutan nyawa yang hampir padam. Dinding berconteng grafiti — separuh padam, separuh baru. Ada kesan cap tangan, ada kata-kata sumpah.
Naik satu tingkat, dia berhenti sekejap. Nafas ditarik.
Daki lagi.
Tangga terakhir, dia capai juga — depan pintu kayu lapuk itu.
Rosy ketuk dua kali.
Kreek.
Pintu dikuak perlahan dari dalam. Gary muncul, bersandar di birai pintu. Rambutnya separuh basah. Tuala kecil tersangkut di leher.
“Dah lama I tunggu.”
Rosy masuk tanpa senyum. Beg tangannya diletakkan atas sofa buruk yang tenggelam di sebelah kotak speaker karat. Dia melangkah ke tengah, pandang sekeliling. Sama. Bau yang sama. Dinding yang sama. Kekosongan yang sama.
“Mak aku ingat aku kat gym.” Nada Rosy mendatar. “So, don’t call me by name.”
Gary senyum sipi, tutup pintu.
“Nama tak penting. Yang penting… siapa yang datang.”
Rosy duduk atas katil — cadarnya renyuk, berselimut tuala basah. Sebelahnya, tingkap menghadap lorong belakang. Ada pokok ceri tua, separuh mati. Cahaya lampu jalan merah jingga membias masuk dari celah langsir tipis.
“Dah dapat kerja?” Tanya Rosy lebih ingin tahu daripada peduli.
Gary hanya tersengih sambil tarik pin tin Coke macam tarik grenade pin. Gas meletup kecil.
“Kerja dengan kau je cukup. Makan pun cukup.”
“Please… I bukan sugar mama.” Rambutnya diselar ke belakang. Poster Guns and Roses di dinding dia pandang tanpa rasa.
“Kau rasa aku stay sini sebab duit kau?” Gary mendekat, duduk di lantai menghadap Rosy. “No, babe. You’re the only person who doesn’t ask me to be something I’m not.”
Rosy bangun, berdiri di tepi tingkap, pandang keluar — mata kabur, fikiran berselerak.
“Penat apa?”
“Penat jadi Rosy.”
Bunyi jam dinding berdetik lambat. Gary tak tunggu luahan seterusnya. Dia terus menyambung,“or tired playing ‘school sweetheart’ with that Jacqui boy?”
“Dia nice. Real. Tapi... hopeful sangat.” Rosy ketawa kecil. “Bila aku dengan dia, aku rasa... aku kena jadi lebih dari Rosy.”
“Kau tak suka?” Tanya Gary.
“It’s exhausting.”
Gary bangun, ambil hoodie dari dinding, lempar ke arah Rosy. “You’re chaos, not a saviour. Sebab tu aku, sayang.”
Hoodie Rosy peluk. Dia suka bau yang melekat di situ — bau perfume murah Gary.
Di bawah, anjing kurap berkeliaran. Di atas, awan berat tergantung.
Di dalam rumah tak terurus itu, satu perasaan tumbuh dalam dua dada — bukan cinta, bukan benci — tapi kekosongan yang terlalu selesa.
Gary fikir dia kenal siapa Rosy dan tanpa dia tahu, cinta yang tak pernah mahu pulang ke rumah itulah yang cinta paling gelap.
𝄢
Lorong di hadapan rumah itu senyap tak bernyawa. Saat Rosy melangkah masuk ke halaman, lampu pagar automatik menyala — cahaya kekuningan membelah sunyi. Gril besi berkeriut perlahan sewaktu ditolak, seakan menyambutnya dengan enggan. Rumah dua tingkat berwarna beige itu tampak mewah dari luar, pagar batunya kukuh berdiri, tapi di balik segalanya… tiada kehangatan. Hanya dingin yang berakar di dinding-dindingnya.
Rosy menekan kod pada panel pintu utama. Bunyi beep kedengaran tiga kali sebelum pintu terbuka perlahan. Di dalam, ruang tamu diterangi lampu samar dari televisyen besar di dinding masih menyala, menayangkan iklan silih berganti — tiada suara, tiada penonton. Hanya cahaya bergerak tanpa makna. Udara diwangikan diffuser mahal — bau yang konon menenangkan. Bau yang cuba menelan kepalsuan.
Di dapur yang terbuka, seorang remaja lelaki sedang duduk bersila atas kaunter marble. Baju sukan Nike tersarung longgar di tubuhnya, rambut pacak tak terusik, sebelah telinga disumbat fon telinga bersambung ke MP3 player kecil yang terselit di pinggang seluar. Skrinnya berkelip dengan tulisan digital biru. Dia memandang sekilas kakak tirinya tanpa perasaan. Dah biasa Rosy balik lewat begitu.
“Seronok clubbing?” Amir menyindir. Wajah sinis terbias. Mata masih melekat di paparan PSP.
Rosy letakkan tote bag atas meja, lalu tanggalkan kasut tanpa suara.
“Seronok memerap macam tapai? Tapai pun tau pergi pasar.” Rosy mengembalikan soalan. Malas dia nak layan si Amir yang mulut mengalahkan makcik.
Amir gelak kecil, sinis. “Macam aku tak tau kau keluar dengan budak Gary tu.”
Rosy buat pekak. Peti ais dibuka. Sekotak susu soya dikeluarkan dan terus diteguk begitu saja, seakan ingin memadam bara di hati.
“Dulu jadi rider pizza. Sekarang jual karipap pulak ke budak tu?” Amir ketawa sendirian. Matanya masih tertumpu pada PSP di tangan.
“Nasib baik aku anak lelaki. Kalau aku ni engkau, lama dah papa campak keluar rumah ni.”
“Sial!”
Langkah dari tangga menarik perhatian. Puan Yusra turun perlahan, jubah satin kelabu membaluti tubuhnya. Rambutnya bersanggul kemas, wajahnya tampak muda dari usia, tapi matanya letih. Tajam.
“Rosy.”
Rosy mendongak.
“Esok ada majlis makan tengah hari dengan Datin Suraya. Pakai yang sesuai. Jangan buat perangai.”
Anggukan tanpa janji beri.
Puan Yusra turun dua anak tangga, berdiri di situ seperti ratu yang enggan turun takhta.
“Tak ada orang pandang pun.”
“Tuhan pandang.”
“He’s not dead.” Rosy balas cepat. Datar. “Dia dah bahagia dengan bini baru.”
Tiada balasan. Cuma pandangan yang meluncur turun seperti tirai. Puan Yusra berpaling dan naik ke ruang pejabatnya.
Amir turun dari kaunter. Dia berjalan malas sambil bersiul-siul, buka peti sejuk, ambil air mineral. “Nasib baik kau lawa. Kalau tak, aku rasa mak dah longgok kau kat rumah kebajikan.”
Rosy menjeling.
“Nasib baik bapak kau kaya, kalau tak, dari kecik dia dah tinggalkan kau depan masjid.”
Amir ketawa kecil. “Chill la, sis. I'm just joking.”
“Tak lawak, OK?” Tanpa menoleh, Rosy terus naik ke biliknya.
Dalam rumah sebesar itu, tak ada seorang pun bertanya, “Kau okay?”
Pintu bilik dihempas perlahan. Rosy bersandar, pejam mata. Nafas dihela panjang. Bilik tidurnya luas, terang, dihias gaya minimalist luxury. Hawa dingin menyejukkan malam yang panas. Tak ada apa pun dalam bilik tu yang dia pilih sendiri — kecuali satu: hoodie lusuh Gary yang disimpan dalam almari pakaian mewah, tersorok antara blouse-blouse mahal dari butik.
Penutup makanan perak atas meja kayu jati sebelah sofa dua seater, dibuka. Ada lasagna sejuk dalam pinggan kaca. Di atasnya, nota kecil dari bibik:
Makan. Jangan buang. Chef datang esok.
Di hadapan meja solek, dia tanggalkan hoodie yang dipinjam dari Gary. Sambil merenung wajah sendiri di cermin, subang dicabut dari telinga kemudian dia melepaskan ikatan rambut. Jemarinya berhenti saat melihat teddy bear comel yang Jacques hadiahkan sempena hari jadinya dua bulan lalu.
Beruang kecil itu duduk diam, tersenyum comel — masih pegang kad kecil bertulis “My sunshine, even when you’re fire.”
Dia mahu membalas senyuman beruang tak bernyawa itu tapi keluhan lebih cepat keluar dari dadanya.
TUK TUK TUK.
Tanpa tunggu izin, pintu ditolak. Amir masuk tanpa rasa bersalah. Dia berdiri sebelah Rosy sambil kunyah chewing gum.
“Kenapa kau sibuk sangat?”
“Seriuslah. Gary tu loser. Aku tau aktiviti dia.” Kata Amir yang dah pun duduk bersila atas sofa.
Rosy berdiri di depannya. Dengan mata tajam, suara keras, dia membentak, “Keluar!”
Amir ketawa kecil, jalan-jalan dalam bilik, tangan capai beruang atas meja solek.
“My sunshine, even when you’re fire — Jacques.” Amir baca tulisan atas kad kuat-kuat sambil senyum sinis. “Heh... Jacques pun kau layan, Gary pun kau kau layan.”
“Suka hati akulah nak layan siapa. Daripada kau tu, memerap kat rumah layan bibik. Macam aku tak tau rahsia kau!”
Kata-kata itu langsung tak menyentak Amir. Sebaliknya dia ketawa lebih kuat.
“Awek kuat marah ni selalunya kuat rindu... siapa kau rindu sebenarnya, hmm?” Dia angkat teddy bear tu tinggi-tinggi, sengaja nak mengejek.
Rosy bangkit, rampas semula.
“Jangan sentuh barang aku la, sial!”
Amir mendekat, berbisik, “Kalau betul Gary… atau abang Jacques tu sayang kau, dia takkan bagi kau duduk sini. Dia bawak kau lari.” Amir terus mencurah minyak. Perkataan ‘abang’ sengaja dia tekankan.
Rosy menggigil. Bibirnya bergerak, tapi tak ada suara.
Amir sengih puas. “Tapi siapa je nak jaga perempuan macam kau, kan?”
Dia tutup pintu dan berlalu, meninggalkan Rosy terduduk semula.
Tangannya memeluk hoodie lusuh Gary. Bau rokok yang lumat dengan perfume murah dan peluh — itulah yang menenangkan bukannya diffuser mahal Dato' Latiff.
Rosy baring di katil. Tanpa sedar, mata yang merenung siling mula basah dan airmata menitis jatuh atas teddy bear Jacques yang setia memandang dengan senyuman yang suci.
Terlalu suci untuk dunia seperti ini.


Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!