Join The Journey

Bab 13.0: Cemburu

Sebuah ilustrasi surreal bertemakan senja dan kekeliruan. Matahari terbenam menyinari langit malam yang bertabur bintang, di atas sebuah labirin rumit yang bersinar dalam garisan neon kehijauan. Di tengah labirin, tiada manusia kelihatan — hanya jejak sunyi dan bayang-bayang pencarian. Teks di atas berbunyi, “Hidup adalah soal masa dan pilihan”, diikuti tajuk utama “CEMBURU”. Di tengah imej tertera logo tajuk Suara oleh Ray FL, manakala di bahagian bawah tercatat, “Adakalanya, hanya ruang kosong yang boleh menjawab.” Suasana visual ini memberi rasa keliru, sunyi, dan pilihan yang menanti jawapan dari dalam diri.
Cemburu boleh bertunas dan memutikkan
rasa kehilangan tanpa pernah memiliki
Dah dua hari Sophia demam. Batuk-batuk, selesema, dan selama dua hari itulah Rina setia menemaninya di rumah kecil itu. Mujurlah cuti sekolah. Kalau tidak, dah tentu dia akan diberi cuti sakit, dan itulah yang paling dia cuba dia elakkan — tak mahu pelajarnya tertinggal. Tak mahu hidupnya terasa tak berguna lagi.

Jam 7 pagi, batuk mengganti jam loceng. Dalam lena yang terganggu, Sophia terasa badannya masih panas. Kepala terasa pusing.

Rina tak ada di sisi — awal-awal lagi dah bangun sediakan sarapan.

Badan masih terasa lemah namun dia gagahkan diri untuk bangun — nak ke dapur. Nak teman Rina memasak.
Perlahan-lahan dia turun dari katil.

“Hey, kenapa tak panggil? Bangun sendiri, jatuh ke apa nanti kan susah?” Bebel Rina sambil menarik kerusi lalu menuntun Sophia duduk sebelum menuangkan air masak ke dalam gelas dan menghulurkan kepada kawannya itu.

“Sarapan siap dah. Aku baru nak bawak ke dalam.”

“Kita makan kat sini je. Dah kebah sikit pagi ni.” Sophia tanggalkan koyok yang melekat di dahinya.

“Sure?” Rina melekapkan tapak tangan ke dahi Sophia. “Panas lagi.”

“Suam.” Balas Sophia, cuba berjenaka walau sebenarnya masih rasa lemah. Hatinya rasa terharu atas kesetiaan Rina yang begitu mengambil berat.

Crave Jasmine tea la...”
“Nanti aku buatkan. Minum barley ni sikit dulu. ”

Secawan barley suam dihulurkan bersama semangkuk nasi bubur dan sup ayam. Selepas menyediakan teh seperti yang diminta, Rina duduk berdepan, bersarapan sama.

“Cuti ada seminggu lagi. Aku ingat, hari ni kita balik rumah aku. Lepak sana dua tiga malam. Nanti aku teman kau balik sini balik.”
“Macam manalah aku kalau takde kau, Rina…”
“Sama macam aku waktu kau tak ada. Sunyi… macam rumah kosong — semua tingkap tutup.”
“Ye cikgu. Aku ikut kau balik hari ni.”
“Orang ajak tinggal sekali, kau degil.”

Bukan tak mahu tinggal bersama Rina, tapi dia terlalu sayangkan rumah kecil itu. Terlalu banyak kenangan. Terlalu banyak kisah dan cerita. Rumah itu adalah dengup jantungnya. Nadinya. Hatinya. Cintanya.

“Bila lagi appointment kau?”
“Cukup bulan.”
“Aku happy, kau teruskan.”
“Kalau tak pergi pun tak apa. Kau pun boleh bagi aku terapi. Kau lagi faham.”
“Aku bukan profesional. Kadang-kadang, diri sendiri pun tak boleh handle.”
“Agaknya kalau aku tak buat rehab, mungkin aku tak boleh mengajar dah.”

Teh Jasmine di hirup perlahan. Aromanya naik bersama wap yang membentuk bayang-bayang bunga putih di udara, membawa ingatan Sophia ke taman di pusat rehabilitasi.

Awal tahun hari tu, lima minggu dia di pusat pemulihan. Dunia tak ada cahaya. Hidup tak ada makna, namun terpaksa diteruskan. Sementara menunggu mati, mahu tak mahu.

Rina datang menjemputnya pada hari terakhir.

“Kita balik rumah aku dulu, ye. Aku rasa elok kau tinggal dengan aku buat sementara waktu.” Kata Rina yang dah menunggu di lobi, menyambutnya dengan pelukan.

Dia ikut saja. Dia perlukan Rina. Dia perlukan seseorang. Tak mahu bersendirian, tak mahu sunyi kerana sunyi boleh menjadi kejam, sebengis kematian.

“Malam ni kita celebrate kepulangan kau kat tempat biasa. Aku belanja.”

Dan pada malam itu, Rina buka cerita. Tentang sekolah. Tentang kelas baru, tentang Kelab Seni dan tentang budak itu.

“Budak tu membuta je kerjanya dalam kelas. Assignment tak payah cerita. Cincai boncai. Aku tak faham kenapa dia ambil Ekonomi kalau tak minat.”
“Abis kau buat apa?”
“Kadang-kadang aku halau je. Mengganggu.”
Sophia ketawa. “Halau? Kau ni pun...”

“Dah tu pemalas sangat. Tapikan…” Rina mendekatkan sedikit mukanya ke muka Sophia. “Dia handsome.” Bisiknya sambil ketawa kecil.

“Lelaki?”

Rina menggeleng. “Seangkatan dengan Hans, dengan Kim.”

Sophia nampak ada sinar di mata Rina. “Marah marah sayang la ni, kan?” Usik Sophia sambil tersenyum. Tapi dalam senyuman itu, ada suara yang bergema.

Isyhk… taklah… Sebenarnya, ada benda yang buat aku kagum kat budak tu.”
“Apa dia?”
“Isnin nanti, aku bawak kau pergi Kelab Seni. Then you'll know.”

Sophia tak tahu wajah yang akan dia lihat Isnin nanti bukan sekadar ‘budak yang membuta dalam kelas’.

𝄞

Di tingkat dua bangunan, di mana terletaknya bilik guru, Rina berdiri di sisi sebuah tingkap casement bercermin gelap. Dari sudut itu, tempat letak kereta dan motor dapat dilihat dengan jelas. Riuh pelajar setelah tamat sesi persekolahan semakin reda. Tapi Andrey masih di situ.

Dan dia tak berseorangan. Ada seseorang meneman. Seorang gadis. Gadis muda. Nampak sebaya, cukup bergaya. Tak pernah dia nampak gadis itu sebelum ini.

Pelajar barukah? Kalau betul, apa kaitannya dengan Andrey? Setahu Rina tak ada kemasukan pelajar baru dan mustahil semudah itu Andrey mesra dengan seseorang.

“Jauh menung cikgu Rina? Ingat laki ke?” Satu suara mematikan fikirannya.

Rina melontar senyum nipis tapi masih belum mahu berganjak dari tingkap. “Bila masa pulak saya kahwin?”

Cikgu Izlan ketawa kuat. “Amboi… Kemain garang bunyi.”
“Ada kemasukan baru ke hari ni?”
“Kemasukan baru hapenya ujung-ujung tahun ni cikgu Rina oii… Kenapa tanya?”
“Saja.”
 “Apa yang beriya sangat ditenung tu?”
 “Pokok.”

Cikgu Izlan yang tak berpuas hati dengan jawapan yang diterima segera berdiri di sebelahnya, mendekati tingkap.

“Awak risau pokok tu toreh kereta awak lagi atau risau pokok tu jatuh hempap kereta awak?” Tanya cikgu Izlan.

“Budak-budak ni... bukan boleh percaya sangat.”

Cikgu Izlan ketawa. “Budak hape nya si Andrey tu, cikgu Rina oii… Masuk 20 dah. Kalau jantan dah lama jadi bapak orang. Student saya dulu tu. 2 tahun saya jadi cikgu kelas dia.” 

Tanpa diminta, cikgu Izlan bercerita. Rina teruja.

Mereka kembali ke meja masing-masing yang saling bertentangan.

“Tapi apa Arni buat kat sini?” Tiba-tiba cikgu Izlan bertanya kepada diri sendiri. Segera dia bangun semula, berjalan ke tingkap dan menjenguk sebentar.

“Hmm, betul la tu si Arni.” Ngomelnya sendirian. Walaupun perlahan, tapi dapat didengar dengan jelas.

“Arni siapa pulak?” Tanya Rina ingin tahu.

“Tu... budak yang tengah berbual dengan si Andrey tu... namanya Arni. Ex-student sekolah ni dulu. Budak kelas saya juga. Diorang memang rapat.” Cikgu Izlan kembali duduk, meneruskan kerja. 

“Ooo… kawan lama la. Padan tak pernah nampak.”

“Anak bekas pengetua TBC dulu. Cikgu Umar. Cikgu Rina tak sempat kenal kot. Dia pencen masa budak-budak tu form 4 lagi.”

“Ada saya baca dalam majalah sekolah dan dekat galeri di perpustakaan pasal cikgu Umar.” Rina tak berminat untuk ambil tahu tentang cikgu Umar. Dia hanya ingin tahu tentang Andrey. Andrey 4 tahun yang lepas.

“Saja datang melawat kot, sekolah lama. Jumpa kawan lama.” Sambil menanda buku, cikgu Izlan ringan mulut untuk terus berbual.

BFF la tu.” Rina melontar umpan. Mug Garfiled di tangan. Harum teh Krisan menerpa bagai mahu menenangkan kusut jiwanya.

“Tak taulah BFF ke apa. Arni tu je la kawan si Andrey sejak dia masuk sekolah ni 4 tahun dulu. Tapi yang saya dengar lain.” Balas cikgu Izlan sambil memandang sekilas.

“Lain?”
Couple kot… Ke hulu ke hilir berkepit macam belangkas. Tengoklah tadi tu...”

Rina teringatkan puisi dalam majalah sekolah yang selalu dibeleknya. Mungkin Arnilah gadis yang telah mengilhamkan puisi-puisi Andrey.

Didorong rasa cemburu, Rina bangun. Tingkap dihampiri lagi. Dia lihat Andrey dan Arni berpimpin tangan ke tempat letak kereta. 
Pintu dibuka. Keduanya tenggelam ke dalam sebelum meluncur laju, meninggalkan jejak tayar halus di hati yang sedang terbakar.

Rina menarik nafas.

Dadanya terasa sempit, seolah-olah tingkap tertutup itu membawa masuk udara yang terlalu padat. Panas. Menyesakkan.
Matanya masih melekat pada ruang kosong yang ditinggalkan kereta itu — seolah ruang itu masih menyimpan jawapan.

“Couple?” 

Adegan yang disaksikan memanaskan lagi hati Rina yang dah sedia terbakar bila mendengar cerita cikgu Izlan. 

“Biasalah tu, cikgu Rina. Ramai budak-budak macam tu sekarang ni.”

Bukan itu yang Rina hairankan.

Dia hairan pada diri sendiri, sebenarnya 
Kenapa dia rasa begitu terganggu? 
Bukankah dia hanya guru?

Dan pandangan mata Andrey pada gadis itu... terasa jauh dari apa yang dia kenal.
Rina tak sangka cemburu boleh bertunas hingga memutikkan rasa kehilangan tanpa pernah memiliki.

“Saya dengar si Andrey tu kecewa sangat sebab tak dapat ikut Arni masuk universiti sama-sama. Lepas O’Level Arni study dekat Unitech, ambil Architecture.”

“Memang betul ke diaorang berdua tu… bercinta?” Hati cemburu Rina meminta kepastian.

“Tengok gaya, camtulah… tambah lagi dengan cerita-cerita mulut orang kat TBC ni. Entahlah, cikgu Rina. Macam-macam hal budak zaman sekarang.”

Perbualan mereka terhenti bila cikgu Fizi menghampiri meja cikgu Izlan dari belakang. Bahu cikgu Izlan disentuh lembut.

“Apa you buat lama-lama kat sini?”

“Lah, buat apa lagi? Ni bersusun depan mata, tak nampak? You ingat I mengayat si Rina ni ke?” Jawab cikgu Izlan sambil menepuk-nepuk timbunan buku di atas mejanya. Cikgu Rina ketawa kecil. 

I tunggu lama kat kafe. You lupa ke… kata nak…” Tak sempat cikgu Fizi menghabiskan ayat, cepat-cepat cikgu Izlan memotong. “Slow lah sikit…” Pen merah di tangan diletakkan ke atas buku.

Sorry, bukan lupa tapi tak ingat.”

Rina dapat menangkap kata-kata yang disampaikan secara berbisik. Tak sedar dia ketawa lagi. Jawapan yang diberi cikgu Izlan menggelikan hatinya.

“Kerja menimbun.” Cikgu Izlan menjawab lembut tapi kali ini sengaja suaranya dikuatkan sedikit.

“Sabar sekejap, yang. Bagi I settle sikit lagi…” Dia berbisik semula.

Rina mengerling sekilas. Dia nampak cikgu Izlan mengusap-ngusap lengan cikgu Fizi. 

Dia cuba tahan ketawa dalam hati.
Tak payahlah korang nak cover-cover sangat…

Join The Journey
Comments

Comments [0]