Memuatkan resonansi…

9.2 Cap Jari


 Bab 9.2 Cap Jari

Tak payah cuba ubah hidup orang.
Cukup jadi saksi dia balik… bila dia hilang.
𝄞
“Kau OK?”

Andrey berhenti melangkah. Jacques rupanya masih setia menunggu di luar kelas, bersandar pada dinding dengan beg tergantung senget di bahu; gaya orang yang pura-pura santai tapi sebenarnya teruja nak tau cerita.

“Kantoi,” jawab Andrey pendek.
Jacques angkat kening. “Aku dengar… ”
“Kena buat balik.”
“Jom, cari Linda.”

Langkah dihayun menyusuri koridor. Sesekali Jacques mengulang apa yang dia dengar di balik pintu kelas tadi.

Dari tangga menuruni kafeteria, Andrey dah nampak Linda, tekun membaca di satu sudut. Tangna kanannya memegang pen sememtara tangan kiri menyuap sandwich ke dalam mulut.

Mereka terus menghampiri Linda. Andrey melabuhkan punggung di sebelahnya. Jacques ambil tempat bertentangan.

“Ada cikgu Rina jumpa kau?” Tanya Andrey.

“Tak de. Kau kenapa? Kena sampuk?”
“Aku dah kantoi.”
“Kantoi?” Dahi Linda berkerut sedikit.

“Cikgu kau tu…” Andrey ketawa hambar. “Kaki belit. Pandai dia berlakon. Psiko...” Luah Andrey yang sebenarnya lebih marah pada diri sendiri kerana cuai, kerana jujur pada waktu yang salah; terasa seperti dosa yang tak ada absolusi. Rasa meluat yang hampir terubat, kini kembali berulat.

“Singa gunung tu... padanlah suka ekonomi. Kalau jual biawak pun boleh jadi jutawan.”
Jacques meletus ketawa. Linda ikut tergelak. Keningnya terangkat.

“Apa kena dengan kau ni? Meracau macam kena santau,” Linda masih tak faham. “Jacques, kau faham ke apa spesis kawan kau ni?”

Jacques angkat bahu selamba. “Aku pun tak tau. Biawak zaman silam kot… sebab tu senang kena jual dengan singa gunung.”

Ketawa Linda makin kuat.
Andrey tak ketawa.

“Korang, seriuslah…” Dia tarik nafas panjang. Lepaskan. Tangan mencapai botol air mineral Linda dan diteguk tanpa minta izin.

“Linda,” katanya perlahan, lebih tegas. “Kalau singa tanya jangan deny, tauAku dah ngaku assignment tu kau yang buat. Kau ambil seratus pun aku bagitau.”

“Apa yang kau bongok sangat mengaku?” Linda membentak. Wajahnya berubah. Sandwich yang tinggal suku diletakkan ke dalam tray. “Hek eleh… mamat ni.”

“Entahlah…”
“Bodoh!” Bahu Andrey ditampar kuat.

“Auchhh…” Jacques menyampuk sambil tersengih. “Dia dah berkenan, Linda. Hati bergetar bila kena aummm sikit…” Jacques buat bunyi auman kecil, cuba melonggarkan suasana.

Andrey senyum tawar. Mukanya diangkat sedikit, pandangan terhala ke ruang makan khusus untuk guru. Rasa pedih datang lagi. Wajah cikgu Rina terbayang, bukan sebagai perempuan berambut coklat, tapi wajah singa gunung. 

“Aku tadi... cuak,” suara Andrey rendah. “Kena panggil… pastu dia keluarkan kertas tu. Manalah aku tak…” Dia berhenti. Jari mengetap. “Ahhh… tak apalah... biar aku handle.”

Linda tunduk. Sugul. Andrey kenal wajah itu. Wajah yang sedang kira hidup — mak, ayah, adik-adik, duit, yuran, esok lusa. 

“Kalau dia siasat semua orang…” suara Linda hampir berbisik.
“Habislah aku…”
“Sebab tu, Linda... aku mintak sangat, selain assignment aku, yang lain kau jangan mengaku.” Andrey menyampuk cepat. “Jangan jadi bongok macam aku.”

𝄢
Meja guru terasa seperti meja timbang dosa selepas kelas pada hari Selasa yang cerah itu. Andrey dah bersedia dengan tugasan ekonomi di tangan. Tak ada fail atau folder plastik. Cuma helaian-helaian kertas bersusun kemas, tulisan tangan dengan dakwat hitam yang berombak menggigil. 

Rina menyambut tanpa banyak kata. Matanya meluncur di permukaan kertas. Satu persatu helaian diselak, dari muka pertama hingga terakhir.

“Ni, apa makna ni?” 
Cap jari yang tertempel di setiap helaian kertas tugasan, depan dan belakang, kini jadi persoalan.

“Pengesahan.”
“Bilalah awak ni nak matang, Andrey…” Suara Cikgu Rina kedengaran tenang, namun tetap tajam menikam. Dia tak pandang muka Andrey. Matanya menatap kertas tugasan tanpa berkelip.

“Tak percaya assignment tu saya yang buat?” 

“Malas saya nak layan budak kecik macam awak.” Nada Rina separuh menyindir, separuh kecewa. “Buatlah apa awak suka. Nak letak cap kaki tiga ke, cap gajah ke, cap kapak ke, cap badak ke, ikut suka awaklah.” Suara dari dalam hati Rina bergema.

Time. Between you and me, we need time. 
Dia sendiri tak pasti ayat itu untuk siapa. Andrey, atau dirinya sendiri.

Helaian kertas disusun rapi lalu diselitkan ke dalam fail sebelum dia menyandarkan badan ke kerusi.
Andrey pula, sedang hanyut dalam fikiran sendiri. Untuk seketika, kedua mereka diam. Masing-masing melayan suara dalam kepada sendiri. 

Dan wajah Linda mendorong hati Andrey untuk memecah sunyi di ruang itu. “Relakslah Rin… hmm, cikgu…” Katanya, separuh bergurau, separuh jujur. Antara sedar dan tak, tangan kanannya mendarat di atas tangan wanita itu.

Seakan ada arus halus menyelinap naik dari kulit ke dada, nafas Rina tersekat sejenak. Matanya jatuh ke tangan Andrey, kemudian kembali ke wajah. Beberapa detik berlalu sebelum dia perlahan-lahan menarik semula tangannya. Tidak terburu-buru, namun cukup tegas untuk menunjukkan sempadan.

Cermin yang membingkai mata disarung atas kepala. Masih bersandar tenang. Tapi jiwa? Dah jauh terbang dari tempat duduk.

Saja nak pukau akulah tu… Getus hati Andrey, sambil menjeling sekilas.
“Sorry…” Ada senyuman bersama mata yang dikecilkan, sengaja buat gaya comel. Sengaja mengusik, sengaja merayu.

Rina tunduk, konon membelek fail, tapi sebenarnya cuba sembunyikan senyuman yang ditahan dalam hati, bimbang akan melimpah ke bibir.
Dia berjaya. Hampir.

“Andrey, tahun depan awak dah dua puluh tahu. Bukan dua.” Kata-kata terhenti. Jarinya bermain dengan pointer kegemaran.

Grow up. Kalau benci dan dendam awak tak boleh awak padam, sikap saya, salah saya tak dapat awak maafkan, saya tak kisah. Sebagai guru, tugas saya mendidik. Awak berjaya atau tak, saya tetap mendidik tapi awak tau apa yang buat seorang guru happy?” 

“Bila pelajarnya berjaya.” Jawab Andrey. Yakin. Terkesan.

“Saya tak pasti awak akan lulus atau gagal,” katanya kemudian. “Tapi satu perkara saya pasti... awak dah mula belajar hal yang jauh lebih penting daripada ekonomi…”
“Apa dia?”
“Integriti,” jawab Rina. “Dan keberanian.”

Pipi kurus dan cengkung Andrey terasa seakan-akan ditampar oleh suara yang begitu tenang melafazkan ketulusan sebuah pendirian. Sekali lagi tapi kali ini, tamparan itu semakin lembut. 

Andrey tertunduk, dihimpit sesal dan kesal. 
Kenapalah aku ni tak sedar diri? Kenapa aku selalu rasa aku boleh main-main dengan orang yang sebenarnya paling jujur dengan aku?

Malu.
Malu pada dirinya sendiri.

“Cikgu…” suaranya perlahan. “Kalau cikgu nak bawa hal ni ke atas… memang saya salah. Tapi… tolonglah jangan libatkan Linda. Saya sanggup buat lima assignment ganti kalau cikgu nak…”
“Saya belum jumpa bukti kukuh. Cuma ada satu ‘pengakuan tak rasmi’ hari tu,” kata Rina sambil menjeling.

“Linda perlu duit tambahan. Dia kena tampung yuran pengajian.” Nafas ditarik dan dilepas, berbelah bagi samada nak cerita atau tak. Akhirnya, dia memilih untuk akur pada masa dan pilihan.

“Mak dia sakit. Breast cancer.”

Penjelasan yang Andrey berikan membuat Rina terdiam. Sayu di hati terpantul di wajah. Dia teringat tentang kehilangan. Terimbas satu rasa. 

Sakit. Pedih.
Takut. 
Hilang.

“Saya faham…” Jemarinya bermain di sisi tugasan yang tadi ditolak ke tepi.  “Andrey, look… niat awak nak bantu kawan tu memang murni. Tapi cara awak tu…” Mata Andrey direnung, dalam. “Awak cuba bantu, financially, dan dia bantu awak, academically, tapi awak rasa adil ke tu?”

Rina tak tungguk jawapan. Dia mahu Andrey ambil masa memikirkan semua itu tanpa desakan. 

“Dia tolong awak buat assignment, siapa yang awak tipu sebenarnya? Saya? Linda? Atau diri sendiri?”
Rina menyentuh tangan Andrey — sedar dan ikhlas, seikhlas makna yang ingin dikongsi.

“Sehina-hina pengkhianatan adalah menipu diri sendiri.”

Ungkapan itu cukup menusuk. Meresap dan menembusi setiap rongga di celahan kewujudan. Andrey terasa ruang dalam dirinya dikorek dalam-dalam.

“Awak boleh bantu orang tanpa minta balasan, kan?”
Andrey mengangguk. “Betul, cikgu.”

“Bagus, awak ada hati, kesedaran, empati. Saya salute… tapi kan ada banyak cara nak bantu? Bukan sampai langgar undang-undang, susahkan diri awak sendiri. Buat sesuatu, jadikan ikhlas tu sebagai asas dan biarlah jalannya betul.”
“Saya fikir… ada permintaan dan penawaran kat situ.”

Rina ketawa kecil. Mata Andrey yang memandang meja kini beralih memandang wajah cikgunya. Merah. Bila ketawa macam tu, telinganya pun naik merah.
Hati Andrey turut bergegar sama. Makin merah.

“Andrey… Andrey…” Rina geleng kepala. “Well, kita akan bantu Linda… together. Tapi dengan cara yang betul, okay?” Dia tepuk tangan Andrey. Suara dan sentuhan itu bagai ikrar sunyi yang hanya dimengerti dua hati.

“Cikgu…”
“Saya pernah cakap, ingat? Awak boleh cari saya bila-bila. Nak cerita apa pun. Saya dengar.”

Andrey mengangguk. Wajah cikgu Rina ditatap lama, seolah-olah ingin mengukir kemaafan dengan pandangan mata.

Gosh, I really feel bad… Biar saya bersihkan balik kertas assigment tu.” Laju tangan Andrey cuba mencapai kertas tugasan tapi tangan Rina yang sampai dulu ke dalam genggaman. 
Mata pun bertemu. Waktu berhenti beberapa detik namun jantung tetap berlari. Makin laju.

“Tak payahlah… Dah cukup bersih dah ni,” balas Rina perlahan. “Saya tak nilai rupa. Saya nak tengok isi.” Matanya cepat melirik ke kiri dan kanan, bagai cuba menyedarkan Andrey, mereka di sekolah. Bukannya di kedai kopi atau tepi tasik.

“Maaf…” Cepat-cepat Andrey lepaskan genggaman.
“It’s alright.”

Dan bila Rina senyum tanpa menyembunyikannya, itu bukan senyuman yang memujuk. 
Itu senyuman yang mengganggu keseimbangan.

𝄞

Koridor terasa lebih panjang dari biasa. Langkah Andrey laju, tapi badannya berat. Seolah-olah ada sesuatu tertinggal di meja guru tadi atau sesuatu dibawa keluar tanpa izin.

Bunyi sekolah kembali normal. Ketawa. Pintu ditutup. Nama dipanggil. Tapi dalam kepalanya, suara cikgu Rina masih bergaung. Bukan saja ayat yang keluar dari mulutnya, malah, cara ayat itu dia lafazkan. Nota dari nada suaranya...
Saya tak nilai rupa. Saya nak tengok isi.
Andrey berhenti di tangga. Tangan menggenggam palang besi. Nafasnya tak sesak, tapi tak selesa.
Kenapa aku rasa macam ni? 

Dia toleh belakang. Rasa macam nak balik ke kelas E05. Kenapa?

Teruja? Tak.
Rasa bersalah? Lebih dari tu.
Rasa dilihat? Ya, sepenuhnya. Tanpa topeng dan itu, amat menakutkan.

Wajah Rina muncul lagi. Suaranya masih terngiang. Bukan sebagai cikgu. Bukan sebagai wanita. Hanya seorang manusia biasa. Dan Andrey sedar, resonansi itu tak meminta balasan, tak menjanjikan apa-apa,
tapi ia telah mengubah posisi dirinya dari tiada kepada ada. Dari membuta ke jaga.

Dia bukan lagi pelajar yang sekadar “nak lepas”. Dia sedang berdiri di sempadan sesuatu yang lebih berdikari dari segi emosi, lebih dewasa, dan lebih berisiko.

Telefon bergetar. Nama Linda. Andrey tak jawab terus. Dia senyum kerana dia faham bahawa membantu orang tak semestinya menyelamatkan diri sendiri. Kata-kata cikgu Rina menyedarkan dia bahawa ada pintu yang apabila disentuh oleh kesedaran tak boleh ditutup semula.

Langkahnya terus menuju ke padang belakang sekolah, di mana Jacques dah pun mengunggu. Dia menyertai Jacques yang baring atas rumput, merenung langit petang. Awan-awan berarak malas, seperti fikiran yang tak tentu arah,  namun tetap bergerak.

Beg galas jadi bantal. Tangan kanan diletakkan di dada.

“Linda dah balik... baju kejap dia call, on the way ke hospital.”
“Aku tak sangka dia simpan semua tu… sorang-sorang.”

Andrey tak menjawab. Jari-jemarinya bermain dengan Zippo, memutar, memetik seperti kepala yang berpusing cuba mencelikkan mata.

“Orang banyak makan yang paling banyak simpan.” Jacques menjawab kata-katanya sendiri, cuba berseloroh.

Andrey ketawa perlahan. Senyap.

“Sebelum kau datang, dia je kawan aku... selepas Arni.” Keluhan panjang dilepaskan, kemudian dia duduk, menyandarkan tubuh ke lutut. Rokok disua ke bibir. Api menyala, asap berarak ke langit.

“Banyak aku fikir malam tadi. Pasal Sophia. Tapi bila aku fikir Rina… Linda... aku rasa bodoh. Selfish.

“Semua orang pun struggle. Cara je lain. Ada yang menangis. Ada yang menulis, macam kau. Ada yang pakai mask, macam aku… mana nak nampak.”

Angin petang menyapa rambut.

Andrey pejamkan mata tapi dadanya terasa terbuka, seolah-olah sesuatu sedang menerobos masuk, bersama cahaya yang melimpah dari langit senja.

“Kau rasa kita boleh ubah hidup orang?”

Jacques tonyoh putung rokok ke dalam pocket ashtray sebelum menjawab.

“Tak payah ubah. Cukup kita ada. Bagi telinga. Duduk diam-diam. Linda tu kuat… dia tak perlukan penyelamat. Dia cuma perlukan saksi yang sanggup tunggu dia balik… bila dia hilang.”

Sunyi. Tak kosong. Tak sepi. Ia sarat. Hidup.

“Thanks, Jacques.”
Ucap Andrey, tulus.
“For what?”
“For being a Jacques”


Jacques senyum. Pandangan dilempar ke langit yang semakin jingga.
“Aku pun tak sangka aku boleh jadi Jacques.”

Jujur. Dan cukup.

𝄞

Kafeteria petang itu seperti biasa—bising di tengah, sunyi di penjuru. Meja sudut yang jarang dipilih orang menjadi tempat dua jiwa duduk bertentang. Di antara mereka, hanya sebungkus roti dalam plastik jernih dan sebotol air mineral. Tiada pinggan. Tiada pinggan hati.

Tidak seperti sebelumnya, semakin hari wajah Linda semakin muram walaupun dia cuba menyembunyikannay dengan ketawa dan senyuman. Donut pun dah takberjaya buat dia cerita; tanda kecil yang Andrey perasan tanpa perlu disebut.

Andrey capai sekeping roti, koyak perlahan, suap ke mulut. Geraknya tertib, seolah-olah sedang mengatur ayat.

“Aku dah bagi cikgu Rina assignment tu.”
“Dah?” Linda tunduk, suaranya nipis.
“Dengan cap jari sekali.”

Linda ketawa kecil—tawar. “Kau memang gila.”

“Gila nak betulkan salah,” balas Andrey. “Gila nak lindung orang yang aku anggap penting.”

Linda masih tak memandang. Matanya tertumpu ke lantai, jarinya menguli plastik roti tanpa sedar. “Kau tak cakap pasal aku, kan?”

“Aku bukan jenis jual kawan.” Andrey tau, dia menipu, tapi penipuan itu untuk kebaikan dan atas permintaan cikgu Rina juga. Dia meminta Andrey untuk mengunci mulut, tak mahu emosi Linda semakin terganggu.

“Aku penat, Rey.”

Andrey angkat muka. Dia nampak jelas mata Linda bengkak, lingkar gelap membingkai kelopak. Tangisan itu pasti terlalu lama disimpan sendirian.

“Mak aku… makin teruk,” suaranya pecah. “Doktor dah mula cakap pasal palliative care.” Dia tarik nafas, tersekat di dada. “Ayah aku dah berbulan tak balik. Call tak angkat. Rumah senyap. Aku urus sekolah, hospital, adik… semua. Aku tak tahu sampai bila aku boleh bertahan.”

Andrey kehabisan kata-kata. Tapi dia tahu, Linda tak perlukan nasihat. Dia perlukan kehadiran. Seseorang yang duduk dan mendengar tanpa membetulkan apa-apa.

Roti di tangannya dibiarkan. Dia letak semula. Tangan kirinya mendarat perlahan di atas tangan Linda.

“You are not alone.”
“Kalau aku tumbang, siapa nak jaga semua ni?”

“Aku angkat kau bangun,” jawab Andrey tenang. “Kita jaga sama-sama.”

Air mata Linda akhirnya jatuh. Mungkin kerana lega, mungkin kerana penat yang diberi izin untuk berehat.

Andrey capai sekeping roti, suapkan ke mulut Linda.

“Kau makan sikit. Kalau tak, macam mana nak kuat? Kurus pulak nanti…” Dia mengusik, sengaja meringankan.

Linda gelak kecil sambil mengesat air mata. Suapan itu ditelan. “Roti ni tak sedap pun.”
“Sedap bila aku yang suap.”

Linda cebik. “Kau loser, Rey.”
“Loser… but I’m not lost.”

Mereka ketawa. Ketawa itu mungkin tak dapat menutup luka, tapi sekurang-kurangnya dapat memberi ruang untuk bernafas. 

Di antara kepingan roti dan botol air kosong, dua hati sedang belajar tentang  keberanian.
Dan kasih sayang paling tulus, tak dari niat yang sempurna.

Adakalanya ia datang dari kesalahan yang diakui oleh tangan yang tetap menggenggam ketika segalanya hampir runtuh.
Not every reader is chosen to share:

The Endless Resonance

Struggling with something? Let Us Know
Comments

Comments [0]