Memuatkan resonansi…

16.1 Sebelum Pukul Dua Belas


“Ada apa dengan Sophia pagi tadi?”

Soalan itu tak datang sebagai kejutan. Sejak mereka mula berjalan menyusuri Tasik Biru petang itu, Andrey sudah dapat mengagak bahawa nama Sophia akan muncul juga akhirnya, menyelit antara nafas angin petang dan di celah diam Rina yang terasa lain.

“Dia ajak saya keluar.” Jawab Andrey. Tiada helah, tiada cubaan menyembunyikan apa-apa. Baginya, berterus terang jauh lebih mudah daripada membiarkan sesuatu tumbuh menjadi salah faham. Sebelum Rina sempat bertanya lebih lanjut, dia sendiri menyambung, menerangkan kenapa Sophia menjemputnya keluar makan malam.

Rina memandangnya dengan renungan yang sukar dibaca — tenang di permukaan, tapi dasarnya menyimpan banyak rahsia. Kemudian, dengan nada ringan, dia menikam tepat ke tempat yang paling ingin Andrey elakkan.

“Pasal tu dia kena pegang tangan awak?” Bibirnya mengukir senyum tipis yang entah mengejek, entah menahan sesuatu. “Itu yang awak tunggu-tunggu, awak sukalah, kan?”

Andrey senyum. Pandangannya diangkat ke langit seakan meminta Tuhan untuk menjawab soalan itu.

“Dah lama dia ajak. Itu dia jumpa saya pagi tadi, nak minta maaf sebab tak ada masa. Sibuk katanya. Malam minggu ni baru dia free.”

“Hmm, cam tu.” Rina mengalihkan langkah ke tepi tasik, ke kawasan rumput yang dibasahi cahaya matahari petang. Tanpa sepatah kata, dia duduk di atas rumput, seolah-olah mahu menjauh sedikit daripada dunia, atau mungkin daripada dirinya sendiri. Andrey mengikut, duduk cukup dekat namun masih terlalu jauh untuk memahami apa yang sedang bergelora di hati Cikgu Rina.

Untuk beberapa ketika, hanya angin yang bersuara.

Andrey mencuri pandang Rina yang sedang mengetap bibir bawahnya perlahan, seakan-akan menahan sesuatu daripada terlepas. Tangan kanannya naik menyisir rambut ke belakang, gerakan kecil yang entah kenapa terasa begitu menyentuh pandangan. Anak rambut di dahinya melekat nipis dek peluh, dan di bawah cahaya matahari yang semakin condong, wajah itu kelihatan bercahaya dengan cara yang menyakitkan hati— indah, tapi jauh; dekat, tapi tak pernah benar-benar dapat disentuh.

Andrey menelan liur. Dia belajar satu perkara lagi. Tentang kewujudan.
Ada manusia tak perlu berbuat apa-apa pun untuk mengacau seluruh isi jiwa orang lain. Cukup dengan diam. Cukup dengan kehadiran.

Rina memandang ke arah tasik; matanya dikecilkan sedikit seperti sedang menyoal sesuatu yang tak akan dapat dijawab oleh air. Kemudian, tanpa menoleh, dia bertanya, “Awak tahu apa itu cemburu… dan macam mana rasanya?”
Soalan itu keluar dalam bisikan yang kesannya lebih berat daripada batu yang dihumban ke tengah dada.

Andrey menggeleng; tak tahu sama ada jawapan yang berputar di kepalanya benar atau sekadar cara paling selamat untuk tak mengaku bahawa mungkin selama ini dia pernah merasa, cuma tak pernah berani menamakan perasaan itu.

Dan seperti selalu, dia memilih untuk berlindung di sebalik satu perkataan yang sering digunakan Rina ketika mengajar, seolah-olah dengan meminjam bahasa kelas, dia boleh mengelakkan bahasa hati.

“Define.”

Senyum kecil terukir di bibir Rina. Tangan Andrey dicapai dan digenggam, lalu dia menjalinkan jari-jari mereka dengan tenang tanpa rasa canggung, malah terasa seperti perbuatan itu adalah sesuatu yang wajar, sesuatu yang sudah lama berada di antara mereka.

“Bila hati degil tak nak tengok apa yang otak cuba tunjuk,” katanya perlahan, “rasanya macam ada gunung berapi tengah menahan letupan.”

Senyum di bibirnya melebar sedikit, menampakkan barisan gigi yang putih bersih. Ada cahaya nakal pada wajah itu, tapi Andrey dapat menangkap makna yang lebih berat daripada gurauan.

“Cikgu ni penuh dengan seni dan falsafah.”
“Apa awak rasa bila Sophia ajak awak date?”

Andrey mengangkat bahu kecil.

“Biasa je.” Dia memandang tangan mereka yang masih bertaut. “Saya ingat dia dah lupa dan kalau dia lupa terus pun, saya tak kisah. Cuma… saya tetap akan ingat dia pernah ajak dan pernah berjanji.”

Rina diam seketika, seolah-olah sedang menimbang jawapan itu dari semua sudut. Suara Sophia terngiang di telinganya. 

“Malam minggu ni, aku bawak dia dinner tempat biasa. Dah lama aku janji... Kau OK kan?”
“Kenapa pulak tak OK? Kau patut keluar, mana tau bercakap dengan dia buat kau rasa hidup?”

Rina dah tau semuanya. Tak ada rahsia antara dia dan Sophia. Dia menoleh ke kanan, memandang Andrey yang sedang memandang wajahnya.

“Sophia tu macam mana pada mata awak?”
“She’s not a sharpshooter,” jawab Andrey, sengaja mengusik.

Rina ketawa kecil. Singkat, namun bunyinya seperti melodi yang dicipta alam.

“Nampaknya awak sekarang dah pandai tangkap kapur.”
“I’ll never waste any chalk anymore.”

“Bagus.” Tangan Andrey dilepaskan, sekadar untuk menepuk belakang tangan itu perlahan. “Harap awak enjoy. Tapi balik sebelum pukul dua belas.”

Andrey mengangkat kening.

“Aik… macam Cinderella pulak.”
“Kalau kasut kaca awak tertinggal, saya tak kutip.”

Andrey memandang kasutnya. Kemudian dia pandang Rina sambil tersenyum.

“Saya pakai sneakers.

Mereka sama-sama ketawa. Dan tawa Rina menyedarkan Andrey tentang kebenaran yang sengaja diselitkan di celah gurauan. 

Nada suaranya membuat pesan itu lebih daripada sekadar peringatan. Dan seperti selalu, Rina memutuskan sendiri ketegangan yang diciptanya. Dia memalingkan muka ke arah tasik. “Jangan balik lambat,” katanya lagi, lebih perlahan kali ini. “Saya tak suka tunggu lama-lama.”

Andrey terpaku. Segala bunyi di sekeliling seolah-olah tenggelam. Hanya mata Rina yang bersuara dengan hening di dalamnya yang terlalu berbahaya untuk ditatap lama-lama.

Janji tetap janji dan masa tak pernah pandai berhenti.

Malam itu, Sophia telah menunaikan janjinya. Maka Andrey pula harus menunaikan janjinya sendiri—pulang sebelum pukul dua belas.

Namun di hadapan Sophia, di bawah lampu restoran dan suara malam yang bergaul dengan bunyi pinggan mangkuk, fikirannya sesekali tetap melayang ke suatu sudut lain di Tasik Biru… kepada tangan yang menggenggam tangannya, dan kepada sepasang mata yang bertanya tentang cemburu.

“Saya betul-betul kagum dengan perubahan awak.”  Suara Sophia memecahkan lamunannya.

Andrey mengangkat muka. “Maksud cikgu?”

Sambil menyandarkan badan pada kerusi, Sophia tersenyum tipis.

“Saya kagum dengan kesan yang Rina tinggalkan pada awak. Lepas apa yang berlaku, bukan saja hubungan awak dengan dia semakin baik, malah, awak pun banyak berubah. Saya percaya dia bagi pengaruh yang besar kepada awak… pengaruh yang baik.”

Kata-kata itu diucap begitu teratur. Kelembutan suara Sophia menyentuh titik paling sensitif dalam dada Andrey.

Dia mengerling jam di tangan.

9:30 malam.

Masih ada dua setengah jam sebelum kereta kuda bertukar menjadi labu dan segala sihir malam tamat dengan sendirinya.

“Saya dengan Rina selalu bercakap pasal pelajar,” sambung Sophia. “Dan nama awak antara yang paling kerap dia sebut.”

“Seriously?”

Keterujaan itu terlepas tanpa sempat ditahan. Sophia mengangguk; matanya turut tersenyum. Dia sedar, dia baru saja menjatuhkan sebutir batu ke dalam tasik yang dalam.

“Emm-hmm. Sleepy head, Picasso, Mozart… Zephyr. Entah apa lagi gelaran yang dia bagi.” Sophia berhenti seketika, kemudian menarik nafas perlahan sebelum menyambung. “Pasal hal toreh kereta tu… Rina pernah cakap pada saya dia memang tak nak besarkan benda tu. Dia tak nak masa depan awak rosak disebabkan satu kesilapan yang masih boleh diperbetulkan.”

Zephyr.

Nama itu membuat Andrey teringat lagu Zephyr Song yang pernah bergema dari radio kereta Rina, menjadi lagu latar bagi sebuah perjanjian damai. Dan ketika itu, dia mencuri pandang. Dulu dia tak faham kenapa lagu itu melekat di kepala. Malam ini baru dia sedar, lagu itu pernah hidup dalam ruang yang sama antara mereka.

Dia menunduk.

Rasa menyesal datang perlahan-lahan, namun menghentam begitu kuat. Semua kebodohan lama, sikap kurang ajar, semua waktu dia tidur dalam kelas yang memaksa Rina meninggikan suara dan akhirnya mencetuskan kata-kata keras — semuanya datang semula satu per satu, seperti hutang yang dikutip tanpa belas.

“Dia ada cakap pada saya,” Sophia menyambung lagi, “dia tak patut berkasar dengan awak. Katanya dia terlalu terbawa-bawa role sebagai cikgu. Tapi awak pun tahulah… tidur dalam kelas, tak fokus, buat hal—memanglah dia marah.”

Tekak Andrey terasa pedih.

Sebak mula naik perlahan dari dada ke kerongkong, menyesakkan ruang yang sempit di antara nafas dan suara.

“Ya,” katanya akhirnya, serak. “Saya memang salah. Tidur dalam kelas tu tak beradab. Memang kurang ajar. Tak hormat.”

Sophia mengangguk kecil.

“Sekarang, semuanya dah berubah ke arah yang lebih baik. Eloklah kekalkan begitu.”
“Saya cuba, cikgu.”

Sophia memandangnya beberapa saat, lama sedikit daripada biasa—menimbang sama ada dia patut mengatakan sesuatu atau membiarkan saja.

Akhirnya dia bersuara juga. “Dia sayang awak, Andrey.”

Ayat itu keluar begitu jujur. Sangat lembut. Tapi kesannya seperti batu yang dihempas tepat ke tengah dada.

Andrey terdiam lagi. Dia tak tahu yang mana lebih mengganggu—hakikat bahawa ayat itu keluar dari mulut Sophia, atau hakikat bahawa dia mahu mempercayainya sepenuh hati.

Dengan dada yang mula terasa sempit, dia meminta izin untuk menyalakan rokok. Barangkali asap boleh menutup pedih yang mula menggenang di mata.

Barangkali nikotin boleh menenangkan sesuatu yang tiba-tiba bergelora di dalam dirinya.

Sophia tak menghalang. Dan justeru kerana Sophia tidak menghalang, Andrey teringat pada seseorang yang pasti akan menghalang.

“Busuk tau tak? Nak muntah saya.”

Kotak Marlboro dirampas dari tangannya, lalu direnyukkan sesuka hati sebelum dicampak ke dalam tong sampah.

“Membazir! Duit tu kalau buat makan pun kenyang.”

Rina membebel tanpa henti, dengan wajah tegang dan mata membulat marah. Bila singa gunung dah mula mengaum, Andrey memang tak berani melawan. Mujur mereka berada di belakang bangunan, jauh dari mata orang. Kalau tidak, mahu juga dia menanggung malu percuma.

Puntung rokok yang terjatuh dikutip semula dan Andrey duduk kembali di atas simen kaki lima. Dia diam, menunggu bebelan seterusnya.

“Saya tak nak awak rosakkan badan awak dengan benda ni.” Suara Rina akhirnya melembut. “Racun ni, awak tahu, kan? Sayanglah diri sikit.”

Andrey membatu. Tak menjawab. Tak melawan. Kebenaran tak perlu bukti. Memang dia yang salah.

“Just so you know…” suaranya yang perlahan menembak tepat ke tempat paling rapuh dalam hati Andrey, “…even if you’re not feeling the love for yourself, right now, I’ve got plenty to give you.”

Setapak dua melangkah, dia menoleh sebentar. Mata mereka bertemu.

“Jangan lupa basuh tangan,” sambungnya. “Busuk bau rokok. Saya tak suka.”

Andrey mengangkat tangan sendiri ke hidung.
Memang busuk.

𝄞

Rokok di antara jari Andrey padam sebelum sempat benar-benar bernyawa. Dia menekannya ke dalam bekas abu yang masih kosong, mematahkan bara kecil yang baru sempat hidup dua tiga sedutan.

Sophia memerhati.

“Kenapa?”

Andrey memandang puntung itu seketika.

“Busuk,” jawabnya ringkas, sambil memandang puntung dan asap yang semakin naik menipis dan hilang di udara. “Saya memang nak berhenti sebenarnya.”

“Baguslah.” Sophia menyandarkan badan ke kerusi. “Kesihatan tu penting. Daripada bakar duit untuk benda macam ni, lebih baik awak gunakan untuk benda yang lagi berfaedah. Pendapat saya je. Pilihan, awak punya.”

Andrey mengangguk, walaupun sebenarnya dia hampir tak mendengar hujung kata-kata itu.

Makan malam diteruskan, namun perbualan tak seperti yang Andrey harapkan. Ia semakin hambar. Sophia asyik bercakap tentang sekolah, tentang biologi, tentang peperiksaan, tentang masa depan—topik-topik yang wajar, topik-topik yang baik, topik-topik yang tak salah.

Cuma jiwa Andrey tak terusik. Dia cuba. Betul-betul cuba.

Dia cuba menikmati malam itu, cuba menumpukan perhatian, cuba meyakinkan dirinya bahawa inilah yang dia tunggu-tunggu. Bukankah dia pernah berangan tentang makan malam begini? Bukankah dia pernah memuja Sophia dari jauh dengan debar yang hampir memalukan?

Tetapi semakin lama, semakin jelas sesuatu yang tak mahu diakuinya.
Sophia cantik. Sophia baik. Sophia cukup menggoda untuk membuat darahnya berlari laju.
Namun dia tidak menyentuh ruang yang sama.

Tidak seperti Rina.

Rina tahu cara membebel sampai ke tulang, cara memarahi sampai dia rasa mahu menyorok, cara memandang sampai seluruh dada jadi sempit, dan cara mengambil berat sampai dia sendiri tak tahu apa yang harus dibuat dengan rasa itu.

Rina tahu cara menyentuh jiwanya, bukan setakat dengan tangan, tapi dilengkapkan dengan setiap perkataan, setiap larangan, setiap sindiran, setiap bentuk kasih yang bertopengkan wajah garang.

“Let’s take a walk,” kata Sophia akhirnya, barangkali turut merasa betapa udara di meja itu semakin padat dengan kata-kata yang tidak terucap.

Mereka pun bangun.

Angin malam menyambut. Sejuk. Segar. Lampu-lampu jalan memantulkan cahaya kekuningan di atas kaki lima yang lengang. Mereka berjalan bersebelahan, tetapi Andrey terasa fikirannya berada jauh di tempat lain—di Tasik Biru, di belakang bangunan sekolah, di dalam kereta Rina, di mana-mana sahaja yang pernah menyimpan suara wanita itu.

“Awak jauh termenung,” tegur Sophia.
“Sorry.”
“Fikir apa?”

Jawapan yang datang terlalu banyak hingga Andrey tak pasti mana yang patut keluar dulu.

Pasal Rina.
Pasal dirinya sendiri.
Pasal rasa bersalah yang tak habis-habis.
Pasal satu malam yang sering dia mimpikan.

Namun akhirnya dia hanya tersenyum kecil.

“Tak ada apa-apa.”

Sophia memandangnya lama. Dia tahu jawapan itu tidak jujur, namun dia memilih untuk tidak membongkar apa yang Andrey sendiri belum sanggup sentuh.

Mereka menyambung langkah.

Dan malam itu pun terus berjalan, perlahan dan tenang, tanpa letupan, tanpa sihir, tanpa apa-apa yang benar-benar mengubah hidup.

Inner Voice:
Sebelum pukul dua belas, dia sempat menjejak sebuah kemungkinan lalu pulang dengan sebuah nama yang semakin sukar ditinggalkan..
Not every reader is chosen to share:

The Endless Resonance

Struggling with something? Let Us Know
Comments

Comments [0]