Suara ~ Bab 7 : Antara Dua Dia

Ray FL
0


T(caps)empat duduk paling depan selalu dikosongkan oleh rakan-rakan sekelas. Mereka semua tau aku akan menguasai kerusi tersebut, selewat mana pun aku menghadirkan diri dalam makmal. Tempat itu aku tempah supaya dapat wajahnya aku tatap dengan jelas. Supaya alunan suaranya bernyanyi betul-betul di telingaku. Tumpuan khas yang tak pernah gagal aku berikan pada gerak bibirnya telah membantu aku untuk memahami segalanya tanpa usaha keras. Itulah rahsia kejayaanku menjadi pelajar terbaik dalam kelas biologi.


Dia memiliki pesona yang mampu mendamaikan jiwaku yang selalu kacau bilau. Sophia. Cukup dengan hanya menyebut namanya, hatiku akan bergetar. Satu nama yang memancarkan keanggunan dan keindahan. Satu nama yang bermaksud kebijaksanaan.


Namun dalam kekaguman dan keasyikan melayan perasaan, seringkali juga aku tertanya-tanya pada diri sendiri apakah yang sedang melanda jiwa remajaku? Cintakah ini atau sekadar rasa kagum? Ataukah satu gangguan emosi? Aku tak ada jawapan. Kadang-kadang aku rasa macam aku ni dah ketagih. Sehari tak nampak dia, aku jadi resah gelisah. Hidup rasa tak lengkap. Macam gila bayang pun iya. Nyatalah hidup amat memeningkan kepala dan campur tangan hati menambahkan lagi tahap kecelaruan itu.


Selama aku menjejak remaja, tak pernah aku ada teman istimewa. Nak istimewa apa, yang tak istimewa pun tak ada. Dulu pernahlah aku ada rasa suka kat seorang dua kawan sekolah, tapi tak lah sampai macam ni sekali. Berbeza sangat. Kalau ditanya tentang cinta, dah tentu aku terkandas dalam memberi jawapan. Sememangnya aku tak faham langsung dan tak tau bagaimana rasanya bila ada teman istimewa, bila bercinta.


Satu yang nyata, aku ni berhaluan kiri. Aku suka perempuan. Dari cara dan gerak laku, tak mudah aku sembunyikan siapa aku. Itu memang ketara, bukan lagi rahsia. Tak ada apa pun yang nak dirahsiakan sebab bagi aku perkara itu normal. Kalau orang lain menganggap sebaliknya, itu masalah mereka, bukan masalah aku. Malangnya, masalah mereka itu sering mereka jadikan masalah aku.


Semasa tinggal di Pekan Mutiara, perkara inilah yang buat aku dianggap mahluk asing oleh rakan-rakan sekolah. Aku pula jenis yang tak reti nak berpura-pura. Apa aku tak suka, aku tak akan buat. Paksalah macam mana pun, dalam mempertahankan pendirian, bagiku hanya ada hitam dan putih. Itulah yang buat orang kata aku ni degil, kurang ajar, saja cari masalah. Besar sangatkah masalahnya bila aku memilih jadi diri aku sendiri, diri aku yang sebenar? Kenapa perlu ikut cara orang lain?


Aku tak pernah malu bersikap terbuka. Ini semua semulajadi. Sifat aku yang kelelakian, baik dari segi emosi mahupun penampilan, bukan dibuat-buat. Semua itu aku sedari sejak zaman kanak-kanak lagi. Bila meningkat remaja, aku mula sedar ada kelainan dalam diri, jiwa aku. Rasa minat dan tertarik terhadap perempuan begitu kuat. Kata dan hinalah, tak akan aku nafikan. Dan bila mereka menjauhi aku hanya kerana aku unik, itu sedikit pun tak menjejaskan aku. Lagipun aku ni bukan suka sangat bergaul. Kalau rasa tak serasi, aku angkat kaki.


Teringat aku pada Ziana. Seorang kenalan di Sekolah Pekan Mutiara. Entah apa sebab, kami boleh dikatakan agak rapat. Sampai ada manusia meniupkan khabar angin yang aku dan Ziana pasangan kekasih. Jauh panggang dari api, perempuan macam tu bukan taste aku. Dia menganggap aku teman baiknya. Selain aku dia juga mempunyai beberapa teman baik lagi. Oleh kerana bimbang kehilangan kawan-kawannya yang lain, dia selalu datang dan pergi dari hidup aku.


(ads)

#


Di sekolah, kerap juga aku terima surat. Ada yang nak jadi kakak angkat, adik angkat, abang angkat. Bila ingat-ingat balik, tak sangka rupanya aku masih ada dua tiga kerat peminat dan kebanyakan mereka perempuan, di kalangan kakak-kakak senior. Antara yang paling rajin mengutus ialah Ziana sendiri. Suatu pagi, ada surat bawah meja. Bukan satu kejutan. Tengok tulisan pun dah tau benar dari siapa. Macam selalu, tak ada perasaan apa pun bila surat tu aku buka. Isi kandungannya pun tak menarik perhatian aku. Sebab apa? Sebab ini bukan pertama kali.


“Aku terpaksa pilih antara engkau dengan kawan-kawan lain. Dia orang tak suka engkau. Kalau aku dengan engkau, aku akan hilang kawan. Diaorang cakap, kau sengaja nak ambil perhatian orang. Aku boleh nampak, apa diorang cakap memang betul. Perwatakan kau, cara kau... Aku malu dengan sikap kau. Kau tak malu ke? Kenapa kau tak boleh jadi macam kami? Normal macam kami? Kalau kau macam kami kan senang. Perempuan tetap perempuan, tak akan boleh bertukar jadi lelaki. Maafkan aku. Aku terpaksa memilih. Selamat tinggal.”

 

Suka ambil perhatian orang? Ayat ni buat aku nak tergelak sampai muntah. Ini ke yang dikatakan kawan baik, kalau kau sendiri tak kenal siapa aku? Tak, aku bukan orang yang suka cari perhatian. Aku cuma seorang yang istimewa. Keunikan aku tak sama dengan yang lain. Dan itu telah menjadikan aku popular. Popular dengan macam-macam gelaran. Terkenal dengan berbagai-bagai kritikan. Kutukan, hinaan tu memang biasa. Dan populariti itu telah menimbulkan kebencian orang. Nampak je aku, mulalah jeling-jeling, pandang semacam. Tak suka, tak apa. Lagi bagus. Lagi aman. Jauh dari pengaruh rakan sebaya, aku banyak menghabiskan masa untuk refleksi diri daripada melayan segala bullshits mereka.


Tak siapa yang tau, kalau boleh aku ni nak jadi macam kura-kura atau siput babi yang ada kelebihan menyorokkan diri dalam cengkerang. Tapi aku banyak kekurangan. Aku tak ada cengkerang. Dunia terpaksa aku hadap dan wajib aku hadap dengan menjadi tulen, bukan palsu. Salahkah aku jadi aku? Aku yang sebenar?


Semuanya berakhir bila aku berpindah ke sini. Sekolah ini mengizinkan aku jadi siapa pun asalkan tak menyusahkan sesiapa yang lain. Selama menuntut di sini, belum pernah aku terima hinaan atau penolakan walaupun aku tetap tak ada ramai kawan. Sewaktu menuntut di tingkatan empat, aku berkenan dengan seorang rakan sekelas. Namanya Hanna. Dia anak pengetua di Tasik Biru College. Kami pernah berbual- bual tentang penulisan dan sastera. Katanya dia minat menulis skrip. Aku langsung tak ada idea tentang itu. Tulis puisi atau lirik lagu, bolehlah. Jadi kami selalu bertukar-tukar idea. Hanna orangnya lemah lembut. Bertubuh kecil dan comel. Tutur katanya sopan. Dia juga agak pendiam. Tapi selepas O’Level, dia terbang ke Belanda mengikut kakaknya yang tinggal di sana. Tak pernah aku ceritakan tentang apa-apa kepada sesiapa pun tentang Hanna. Aku tak rasa Hanna tau aku suka dia walaupun ada juga aku bagi hint sekali dua. Selepas dia berhijrah, kami ada berbalas email tapi lama kelamaan, diam begitu saja. Mungkin Hanna dah jumpa kekasih hati.


Perasaan itu tak sama dan tak sehebat apa yang aku rasa terhadap cikgu Sophia. Aku berterima kasih kepada abah kerana memaksa aku terus menuntut di sini. Kalau tak, tak dapatlah aku kenal dia. Selain Cikgu Sophia, apa yang aku alami dalam hati belum pernah terbit untuk mana-mana perempuan. Kadang-kadang aku rasa mata aku telah ditutup dari memandang perempuan lain.


Dalam keghairahan memuja dia, cikgu Rina muncul di celah-celah kekacauan yang menyesak akal fikirku sementara benakku tak pernah letih mengulang tayang babak ciuman di kedai kopi. Itulah kali pertama bibir ini merasa sentuhan bibir seorang perempuan. Tipulah kalau aku kata aku tak suka. Sedikit sebanyak mestilah aku terkesan sehingga babak itu selalu menjadi igauanku. Walaupun hanya sesaat dua, tapi masih aku ingat kehalusan bibirnya. Lembut. Basah. Dan perbuatan cikgu Rina dah membuka satu sensasi yang tak pernah aku alami walaupun ciuman itu sebenarnya dah memalukan aku depan orang ramai. Dalam hati, sebenarnya aku teringin nak rasa lagi… Kalau boleh nak lebih dari tu. Mungkin aku patut merancang jenayah lain untuk sesaat itu bertukar sejam, sehari, seminggu, selamanya… Ah, merepek!


Insiden antara aku dan cikgu Rina menganjakkan fikiran ini lebih ke depan. Macam-macam hal jadi tanda soal. Tambah lagi sekarang aku dah tau dia bukan homophobic, bukan juga transphobic. Kami bernaung di bawah satu payung. Tak sangka. Memang aku tak pernah menyangka sama sekali perempuan lawa macam dia sebenarnya berhaluan kiri. Untunglah siapa dapat. Buat diri aku, apa yang aku nak, apa yang aku tau sekarang hanyalah cikgu Sophia. Mengapalah ciuman itu bukan dari cikgu Sophia? Atau perlukah kereta dia aku toreh demi satu ciuman?


“Ciuman? Hahaha... dream on. Silap-silap kau dapat penyepak.” Begitulah otak dan hati aku mentertawakan usulan bodoh ciptaan nafsu.


Sia-siakah perasaan romantik yang aku simpan terhadap cikgu Sophia? Dia tu lurus ke bengkok? Satu demi satu tanda tanya menerjah gedung akal, meminta investigasi. Kalau cikgu Rina, selamba je dia confess. Tak ada segan silu, tak ada malu-malu. Macam mana aku nak korek pasal si Sophia ni pulak? Patut ke aku bersikap gentleman, terus mempamerkan cinta aku secara terang benderang? Atau perlukah aku jadi spiderman dengan menyorokkan muka di balik topeng? Hmm… Aku bukan manusia yang suka pakai topeng. Senyap-senyap aku berdoa semoga perasaan romantik yang tersemai di sanubari tak berubah menjadi melankolik.


Barangkali semua ini hanyalah satu godaan, tak lebih dari itu. Maksud aku bukan cinta sebaliknya sekadar keasyikan layanan perasaan. Tapi mengapa aku selalu terkenangkan dia? Kenapa ada rindu? Kenapa jantung aku berdegup laju bila dia di depanku? Kenapa dia begitu baik dengan aku? Benarlah kata orang, sesungguhnya sesuatu yang indah boleh menjadi satu percanggahan. Wajarkah dia aku tagihkan?


Kurenung lagi diri ini. Aku sedar siapa aku dan wanita seperti dia, sudah tentu ramai yang memuja. Mustahil masih ada ruang kosong dalam hidup dia. Kalau ada pun, tak mungkin untuk orang seperti aku. Aku tengok dia selalu duduk minum di kafeteria dengan seorang cikgu lelaki. Apa nama aku tak pasti tapi aku tengok cikgu tu macam ada hati nak mengorat cikgu Sophia aku. Cemburu menyerang. Aku tak suka cikgu lelaki tu. Adakalanya, kalau tak cikgu Sophia, dia pun suka duduk dengan cikgu Rina. Berborak, ketawa. Ahhhh… Lantaklah…


(ads)

#


“Mengelamun?” Suara yang selalu aku rindu telah membangunkan aku yang hilang dalam mimpi siang. Dia berdiri di sisi. Terasa tangannya berehat di bahuku.


“Tengah fokus,” jawabku, positif. Aku gosok muka. Gelagatku disambut dengan senyuman. Aku jatuh cinta lagi.

“Awak sorang je kat sini, lain semua dah keluar. Masa dah tamat. Awak tak cukup tidur ke malam tadi?”


Tertidur ke aku dalam kelas dia tadi? Aku pandang sekeliling. Nyata, bukan aku seorang di situ. Cikgu Sophia menipu... Aku berdua dengan dia.


“Hei, dah la... Apa kata awak pergi cuci muka lepas tu saya belanja minum kopi dan sandwich? Kita belum lagi bercakap tentang kes awak aritu. Saya teringin jugak nak tau cerita.”

Betul ke apa yang aku dengar ni?


“Jom la... Nak malu kenapa? Jom...” Dia menepuk lembut bahuku. Tak sangka betul hari ni aku kena loteri. Seingat aku tiket belum aku beli.


Aku yang terpukau hanya mengangguk, bersedia dengan rela untuk memenuhi permintaan gadis idaman. Kubiarkan dia mendahului. Tak tahu dari mana idea itu datang, tapi intuisi aku kuat mengesahkan bahawa dia pasti akan menjadi milik aku, suatu hari nanti. Satu hari yang indah…


Mengambil tempat duduk yang agak jauh dari manusia, bersama secawan kopi, ditemani seorang wanita yang cukup mempesona dengan matanya memandang tepat ke muka engkau, bersama senyuman tak lekang dari bibir, beritahu aku apa lagi kenikmatan yang nak diminta dari dunia fana ini? Itulah dia halusinogen yang membolehkan semua yang tak boleh. Hati berlagu meskipun lidah terpaku kelu. Bibir tak dapat bergerak tapi mulut rasa ringan, terus pandai nak berborak. Rasional menghalang, tapi tangan rasa dah pegang. Tuhan saja yang tahu betapa gementarnya aku. Kegugupan yang melanda rasanya macam naik roller coaster tapi dalam masa yang sama aku nampak ada istana di awan.


“Saya dengar banyak versi pasal kes awak dengan cikgu Rina. Dengar cerita dia cat motor awak.” Sambil membelek telefon bimbit dia bertanya. Rambutnya beralun jatuh lembut melepasi bahu. Cantik sungguh dia yang begitu kemas memakai blouse ungu cair, skirt pendek warna kelabu gelap. Solekan yang dikenakan pun nipis sahaja seolah-olah dia tau aku tak suka perempuan pakai mekap tebal-tebal.


Sesekali aku lihat dia tersenyum sambil jari-jari lincah menaip mesej. Entah dengan siapalah dia berbalas mesej agaknya. Tumpuan penuh dia bagi pada paparan telefon bimbit itu. Bahagia sangat nampaknya.


Teknologi kadang-kadang memang mengganggu. Masa tu jugaklah telefon bimbit aku bergetar-getar mintak diangkat. Melihat cikgu Sophia yang leka main telefon, aku pun keluarkan telefon. Mesej. Dari pemuja rahsia tu lagi. Aku agak dah. Asal kat kafeteria saja mesti mesej tak bernama itu masuk. Mungkin pekerja kat sini yang berminat kat aku. Kepala aku toleh ke kaunter.


“Takkan lah makcik tu…” Akal terkekeh. Hati terguling-guling ketawa bila melihat aku memerhatikan seorang makcik yang sedang berbual-bual mesra dengan beberapa orang pelajar.


“Hari ni dapat dating dengan cikgu. Well-done. I’m looking at you now. Hope you enjoy the conversation.

Mesej kedua pula berbunyi seperti ini, “andainya ada cinta, tunjukkan padaku cinta.”


Sudah… Apa benda cinta-cinta pulak ni. Berdebar pula rasanya jantung bila dah pandai mesej tu bercakap pasal cinta. Siapalah dia agaknya… Bulu roma tiba-tiba meremang. Mata aku pun apalagi, mulalah meliar tengok sana sini selepas makcik di kaunter itu tak menepati ciri-ciri suspek. Anak dara dia kot? Mungkin tengah masak kat dapur, siapa tau? Ah, lantaklah. Ni perempuan depan aku ni yang mesti aku layan sekarang.


Cikgu Sophia masih leka dengan telefon. Pakwe la tu. Geram pulak aku. Cemburu memang membara. Aku mengaku.


Telefon bimbit aku simpan kembali dalam kocek seluar. Tak menghiraukan mesej itu dan cinta yang dia ucapkan, aku cuba bawa cikgu Sophia ke alam nyata. Mana tau kat situ nanti dapat bertemu cinta?


“Antik betul handphone cikgu. Kurun ke berapa punya handphone tu?” Dia ketawa sambil menggosok-gosok telefon bimbit berwarna perak tersebut.

“Barang antik selalu ada sentimental value. Ni hadiah dari orang paling istimewa, kalau awak nak tau.”

Okay, I got it. Aku tau mana aku berdiri. Bangun Andrey. Bangun. Dah, jangan tidur. Jangan bermimpi lagi.


“Pandanglah muka kau tu kat cermin Andrey, oii. Tengok diri kau betul-betul. Apa yang kau ada? Apa yang dapat kau bagi? Kalau kau dapat bagi sekali pun, aku tak rasa dia akan terima. Kau sedar tak kau tu siapa? Jangan mimpilah… Bayang dia pun tak kan dapat kau pegang.”

Satu suara bergaung di telinga. Kali ini aku tak pasti suara apakah itu. Bukan suara akal. Bukan suara hati. Mereka sendiri tak tahu siapakah yang membisikkan kata-kata tersebut. Mereka sendiri tak bersetuju dengan apa yang diperkatakan suara itu. Dan seperti aku, mereka juga rasa terhina.


So, apa cikgu Rina dah buat?”

“Cikgu Rina tu memang pelik. Kelakar. It was pink. Pink, cikgu.” Kupersetankan suara tersebut. Aku anggap suara itu hanyalah bisikan iblis durjana. Iblis memang benci kalau manusia bahagia. Setan tak suka orang yang ada cita-cita. Iblis dan setan takutkan orang yang sanggup berusaha. Mereka lemah dengan orang yang tinggi rasa percaya. Ada saja helah untuk menyesatkan manusia.


Cikgu Sophia ketawa mendengar mukadimahku. Telefon bimbit antiknya disimpan ke dalam beg tangan.


“Kenapa awak calar kereta dia?” Sekarang barulah dia pandang muka aku bila telefon bimbit hadiah dari orang istimewa itu tidak lagi melekat di tangan. Thank God.


Dari A-Z aku pun susun cerita, menutup bahagian ciuman, sudah tentu. Cikgu Sophia mesti dah dengar sebahagian cerita, dah tentu banyak yang ditokok tambah. Jadi, dengan senang hati aku ceritakan lagi. Versi original. Versi aku.


“Saya tau saya tak patut buat macam tu, memang salah saya.” Kutamatkan cerita dengan satu kesimpulan mudah, berbaur penyesalan.


“Hmm... Nasib cikgu Rina tak panjang-panjangkan hal. Kalau tidak susah jugak.”

“Itulah yang saya respek dia. Memang tak sangka langsung.”


Serentak dengan kata itu, cikgu Rina melintasi kami berdua.

“Hai,” dia menyapa ringkas. Tak berhenti singgah, dia terus berlalu. Kemudian aku nampak dia duduk bersama dua tiga orang guru lain untuk minum pagi. Cikgu lelaki tu pun ada.


“Siapa nama cikgu tu?”

“Cikgu mana?”

“Tu yang duduk sebelah cikgu Rina tu…” Aku tudingkan jari sekejap.

“Cikgu lelaki tu? Yang pakai kemeja pink tu?”

“Ye…”

“Cikgu Fizi. Kenapa?”

“Ohh… Dia boyfriend cikgu Rina ke?” Saja aku bertanya sedangkan aku dah tau tentang orientasi seksual cikgu Rina. Tak mungkin dia suka cikgu tu. Kan dia suka aku?


“Eh taklah…”

“Hmm… ke boyfriend cikgu?”

Cikgu Sophia tergelak panjang. Kepalanya digelengkan.

“Kalau ye, kenapa?”

“Kalau ye, eloklah.”

“Apa yang elok?”

“Sama-sama cikgu, kenalah.”


Dia membiarkan jawapan aku tanpa mengulas lebih lanjut. Mungkin betul agaknya cikgu Fizi tu pakwe dia. Apa boleh aku buat pun. Kedudukan aku bukan kat mana-mana, sekadar kat bangku sekolah. Aku pun tak sesegak cikgu Fizi tu. Siapa nak pandang aku?


Well, berbalik cerita awak dengan cikgu Rina. Saya rasa, kalau awak tak suka, tak boleh bawak sangat ekonomi, awak tukar je yang lain. Macam matematik atau fizik”?

“Hahha... Tak payah la cikgu. Menempah maut namanya.”

“Fikirlah betul-betul. Boleh tukar lagi. Ini untuk masa depan awak. Mesti awak ada cita-cita, kan?”

“Entahlah. Sebenarmya saya tak nak ambil A’Level, tapi bapak saya paksa. Ikutkan saya, saya nak buat diploma terus, ambil art atau muzik. Dah dapat pun tawaran buat diploma kat Akademi Seni tapi abah saya berkeras nak jugak saya buat A’Level.”

“Ohhh, macam tu. Tapi pendapat saya, ada betulnya keputusan abah awak tu. Ini penting untuk awak lanjutkan pelajaran nanti, tak kira la universiti dalam atau luar. Mungkin dia ada rancangan dan perspektif yang awak belum nampak.”

“Entahla, macam buang masa je.”

“Betul, kalau awak nak tumpu pada seni awak boleh buat dekat kolej je tapi fikirkanlah dari sudut positif; Future professional approach.”


Kering sangat perbualan aku dengan cikgu Sophia. Tak seperti yang aku mimpikan. Mood pun secara automatik bertukar menjadi idle. Dah tak de spark. Mata aku terpanggil untuk mengalihkan pandangnya ke arah meja yang dihuni cikgu Rina tadi. Hilang dah dia. Cikgu Fizi pun hilang. Entah bila semua cikgu tu lesap aku pun tak sedar sebab aku khayal tengok muka cikgu Sophia yang terus membebel pasal sekolah, universiti, masa depan. Semua tu menakutkan aku. Tapi aku berpura-pura menunjukkan minat pada usul nasihat dia, jadi aku hanya mengangguk dan diam. Fokuslah konon. Padahal nak saja aku tukar topik dan bagitau dia, aku suka dia.


(ads)

#


Macam biasa ada kelas ekonomi pada hari yang sama. Aku yang duduk membuat lakaran di dalam buku sketch memang peka dengan bunyi dan bau. Dapat aku dengar tapak kasut cikgu Rina dan bau minyak wangi dia, entah apa nama jenama. Kedua bunyi dan bau kian menerjah kedua lubang telinga dan sepasang lubang hidungku. Kan betul, dia masuk ikut pintu belakang. Memang perangai dia camtu. Konon nak surprise la. Dengan beberapa buku di tangan dan cermin mata diletakkan sempurna atas rambut yang dibiarkan bebas, maka detik-detik menghitung kebosanan pun bermula.


Menghargai nasihat cikgu Sophia tentang pentingnya pelajaran, aku cuba tumpukan perhatian tapi perhatian itu bertukar menjadi mimpi. Mimpi tentang ciuman si singa. Ciuman ringkas yang dia berikan padaku. Patutkah aku menuntut lebih banyak ciuman lagi? Gerak bibirnya aku ikut dan itu telah membawa aku terbang ke alam fantasi. Aku tak dapat menahan mata dan sekali lagi kapur mendarat di kepala.


“Pergi cuci muka.” Cikgu Rina mendominasi seperti selalu, tapi kali ini dalam nada tenang. Seperti polis di raja, aku menurut perintah, terus bangun untuk pergi ke tandas. Sempat wajahnya aku pandang sewaktu mengambil jalan keluar dari pintu depan. Sepintas lalu, kutangkap sedikit kemesraan dari keangkuhan yang terpancar dari sinar matanya.


Rokok dan kopi, dua elemen yang aku halalkan untuk mencuri masa cikgu Rina. Sedar tak sedar, masa pun tamat. Sampai habis waktu sekolah rupanya aku duduk berdaulat dekat situ. Dalam otak, aku berfikir tentang kedua-dua dia. Tentang diri aku. Lebih lanjut, tentang aku dan perbualan dengan cikgu Sophia pagi tadi dan kemudian kembali kepada ciuman pertama. Fikiranku berputar di sekitar episod itu sehinggalah cikgu Rina muncul di belakang bangunan, tempat aku membuang masa. Dia melabuhkan punggungnya, menyertai aku duduk di lantai simen yang sejuk.


“Ada saya suruh awak duduk sini sepanjang sesi?”


Hari ini adalah hari yang paling banyak menderaukan darah aku. Mula-mula tadi cikgu Sophia. Kemudian mesej tu. Sekarang si singa ni pulak. Nasib tak kena baham.


“Tak de. Saya sakit kepala.” Aku sandarkan badan ke dinding, cuba menutup rasa terkejut bila dia muncul secara tiba-tiba. Nafas panjang aku hirup. Mata aku biarkan memandang ke depan, ke arah padang. Ada anak sungai yang memisahkan padang dengan jalan. Selalu aku ke situ, berdiri di jambatan untuk melihat ikan-ikan kecil berenang di bawahnya.


Angin bertiup perlahan menggugurkan daun-daun dari pepohon yang meredupkan suasana belakang bangunan terbiar itu. Sehelai daun berwarna kuning yang mula mengering di hujung mendarat di atas rambut cikgu Rina. Kutepis daun tersebut lalu ia jatuh ke atas tanah. Dia mengutipnya lalu diletakkan ke atas tapak tangan.


“Sebab banyak sangat merokok? Saya memang suruh awak berhenti, kan?” Katanya sambil menyelitkan daun tersebut dicelah-celah helaian sebuah buku yang dibawa. Sementara aku pula mencapai kotak rokok dan lighter yang berbaring di atas simen lalu ku simpan ke dalam beg.


“Ye, betul. Ada cikgu cakap aritu.”

“Abis kenapa hisap lagi?”

“Entahlah, cikgu… Nak ringankan kepala.”

“Banyak lagi cara lain nak ringankan kepala.”

“Ini je yang ada. Yang saya tau.”

“Banyak lagi yang boleh bantu, yang awak kena tau.”

Ada je jawapan dia ni. Mukanya aku pandang sekilas. Tak sangka sampai ke sini dia akan cari aku.


What’s amiss? Boleh cerita?”

“Tak ada apa yang menarik pun.”

“Kalau malas tunggu bas, jomlah saya hantar awak balik. Takkan nak duduk sini sampai matahari terbenam.”

“Terima kasih. Tapi saya nak tunggu bulan jatuh ke riba.”


Jawapanku berjaya memecahkan tawa dari kotak suaranya. Rambut yang jatuh sedikit menutupi mata, diselak ke belakang. Sambil membuka ikatan rambut, dia bertanya, “nak jadi macam pungguk?” Kepala ditoleh ke arahku. Selepas mengemaskan rambut, ikatan dikenakan semula.


“Macam si luncai dengan labu-labunya.”

“Awak ingat saya nak biarkan?” Wajahnya tenang, tak lagi tegang. Ketara perubahan yang dia tunjukkan selepas apa yang terjadi antara kami. Meskipun sewaktu mengajar dia tetap mengekalkan imej garang, namun kemesraan yang dia hantar dari sekilas pandang dan segaris senyuman ringkas secara perlahan-lahan menjejak denai ke hati ini.


“Awak nak minum tak, makan ke? Atau sekurang-kurangnya temankan saya, boleh? Lapar…” Dia menepuk-nepuk perutnya. Perlakuan itu agak kebudakan tapi nampak manja. Suka pulak aku tengok.


“Macam mana tau saya ada sini?”

“Kan saya dah cakap, saya suka awak. Mestilah saya tau kat mana lubuk kegemaran awak.” Dia sentiasa mempunyai jawapan untuk setiap pertanyaan.

“Ahh... Tak payahlah serius sangat, cikgu.”

“Serius tak serius, sekarang jom ikut saya. We need some refreshments.” Cikgu Rina dah berdiri. Dia menghulurkan tangan. “C’mon…” Dengan penuh yakin tangan aku ditarik.


Elok jugak, boleh dia hantar aku balik. Aku pun memang malas nak tunggu bas, dan lagi, tanpa motor, semua rancangan tergendala. Biasanya lepas sekolah aku akan melepak di tasik sejam dua. Atau mana je hari boleh bawa. Tasik, sungai, perpustakaan. Bukan tak suka duduk di rumah, malah bagi aku rumahlah syurga. Tapi jiwa ni nak selalu dekat dengan alam. Bila dah puas bermeditasi, baru aku balik.


Cikgu Rina mencadangkan sebuah restoran. Kehendaknya aku ikut tanpa banyak cakap. Aku patuh memandangkan aku pun bukan reti sangat pasal restoran. Amat jarang aku makan-makan kat luar kecuali sekali sekala minum teh dan pizza kat kedai kopi, tempat bibirku dicabul dan motorku dicuri.


Cikgu Rina kata makanan sedap kat situ. Dia memujuk aku untuk makan sama. Macam haritu, dia cakap aku ni pucat dan letih. Betul ke aku sentiasa kelihatan macam tu atau dia perlu tukar cermin mata?


“Awak ni memang selalu tak cukup tidur ke? Asik mengantuk je, kenapa?” Komen cikgu Rina selepas pelayan mengambil pesanan kami.


“Susah tidur malam. Maksud saya, tidur lewat.”

“Biasa tidur pukul berapa?”

“Tak tentu. Dua, tiga pagi. Kadang-kadang kucing dah mengantuk pun saya tak tidur lagi.” Aku menjawab jujur supaya dia faham kenapa aku selalu tidur dalam kelas.


“Kenapa? Belajar atau kepala berat memikir?”

Belajar, jarang. Banyak fikir tu, selalu.

“Apa yang awak fikir sampai tak boleh tidur?” Macam polis pulak perempuan ni. Banyak sangat soal.


“Pasal cikgu Rina. Dia tu selalu kacau saya tidur dalam kelas.” Saja aku mengusik supaya dia berhenti bertanya. Suka agaknya dengar jawapan aku, dia ketawa.

“Tidur kena cukup. Baru fit. Awak kena rajin exercise, baru senang tidur. Rajin bersenam tak?”

“Ikut mood.”

“Bersenam ni macam main muzik, macam berseni. Kena ada disiplin.”

“Saya rasa balik karang elok cikgu sediakan kertas soalan. Esok cikgu bagi saya. Boleh saya jawab semua yang cikgu nak tau. Ni sekarang saya lapar, haus, nak makan, nak minum.” Dia ketawa lagi, lebih besar dari tadi.

“Sarapan tak tiap pagi?” Dia tak peduli. Dia terus jugak bertanya.

“Tak pernah tak. Kenapa?” Aku tak respon apa-apa pasal exercise. Agaknya dia nampak aku ni lembik tak bermaya, tak cergas, tak fit. Pucat la ngantuk la hape... Adoiii... Ada je yang tak kena Rina oiii...


“Saya ingat nak ajak awak sarapan esok macam awak minum dengan cikgu biologi awak pagi tadi tapi lagi awal dari tu.”


Ahhh... Sekarang, apa??? Boleh pulak dia ingat aku minum dengan cikgu Sophia kat sekolah tadi. Rina… Rina…


“Tengokla...”

“Camne nak tahu?”

“Saya biasanya lambat...”

“Kalau camtu bagi saya nombor telefon awak. Biar saya kejut. Saya buat wakeup call.”

“Sekarang cikgu nak rutin saya?”

Dia angguk dan berkata, “ha ah, sekaranglah. Bila lagi?” Tegas dan muktamad tanpa ragu apalagi rasa bersalah. Telefon bimbit dia keluarkan. Selepas menekan beberapa butang, telefon itu diserahkan kepadaku. Di skrin terpampang namaku dah siap ditaip. Hanya perlu memasukkan nombor.


Oh Tuhan, aku benci bila dia merayu macam ni. Eh silap, bukan merayu tapi lebih kepada mendominasi. Aku cuba buat tak tau. Tapi dia penuh dengan idea.


“Kan motor awak esok lusa kot baru siap? Awak sanggup ke naik bas hari-hari pergi sekolah,?”

“Nak ponteng pon boleh je.”

“Rugi ponteng sekolah, tau?”

“Teksi banyak.”

“Tapi lambat. Saya cepat. Esok, pukul 7. Tepat.”


Aku tepuk dahi. Dia ketawa, senang hati.


 (getButton) #text=(Bab 8 : Kawan Baru) #icon=(link) #color=(#ff000)


Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!