Memuatkan resonansi…

1.3: Aku Bukan Dosa


Tuhan berbisik dari hati yang mendengar,
bukan lidah yang menghukum.
𝄞
Andrey berjalan menuju makmal sains sendirian selepas waktu rehat. Seperti biasa dia bersendirian, tak ada siapa yang nak meneman. Rakan-rakan di sekolah semua ada klik masing-masing. Dia hanya ada dia. Walaupun kadang-kadang ada juga rasa tersisih, tapi hidup lepas bebas macam burung telah menutup perasaan negatif tersebut.

It’s better this way. Ramai-ramai serabut.

Langkah kakinya terhenti bila dia terserempak lagi dengan pengetua sekolah yang berserban. 

Dia dipanggil. Bukan kali pertama.
“Bila awak nak pakai tudung?” Soal pengetua, lagaknya lebih mirip pendakwah jalanan daripada pendidik.

“Tengoklah.”
“Berdosa pakai macam ni.”

Andrey diam. 

“Saya tak nak tengok awak pakai macam ni lagi.”

Dalam hati, Andrey bertanya pada Tuhan, “apa dosa aku?”
Pandangan kosong dia berikan kepada pak serban. Bukan marah, bukan benci, cuma letih. 

Otaknya berfikir lagi, “kenapalah tak habis-habis hal itu yang dijadikan isu? Bukankah lebih baik menitikberatkan prestasi sekolah dari segi akademi, seni dan sukan?”

“Nabi tak mengaku umat.” Ayat yang sama diulang. Setiap hari. Setiap kali. Dah banyak kali. 

Dan soalan tu macam wabak; menjangkiti guru-guru lain, kebanyakan daripada mereka, guru lelaki. Guru perempuan tak ambil peduli sangat soal itu. Mungkin kerana mereka rasa juga rasa ditekan dengan peraturan yang cuba diterapkan pengetua baru. Andrey perasan, ada beberapa cikgu yang terpaksa menutup aurat sejak sekolah dikepalai pengetua berjubah. 

“Saya tak faham betul, kak…” Adu Andrey kepada Kak Zu sewaktu mereka menghabiskan petang di tepi sungai.

“Dulu, sebelum pengetua tu datang, tak ada masalah macam ni pun. Akak pun tak pakai tudung masa sekolah kat situ, kan?”
“Ha ah. Masa pengetua Ikhwan dulu, tak ada masalah. Cikgu pun ramai yang tak bertudung. Dia ni sampai huru hara jadinya. Tak patut betul.”
“Saya ni, kak, kalau boleh skirt ke pinafore ke pun saya tak nak pakai.”

Gadis itu diam. Dia hanya menggosok-gosok lengan Andrey, cuba memujuk untuk bertenang.

“Dia ingat ni sekolah pondok ke?”
“Agaknya dulu dia ajar pondok. Tu yang terkejut dunia tengok skirt.” 
“Saya pernah bawak buku tu masa cikgu Roslan panggil datang bilik disiplin.” 

Andrey teringat peristiwa beberapa bulan lepas sewaktu dia cuba membela diri bila dipanggil ke bilik disiplin.

“Dalam buku ni tak ada tulis pun pasal diwajibkan pakai baju kurung dan tudung.” Buku panduan pelajar yang memang siap sedia dibawa, dia buka dan dia tunjukkan kepada guru disiplin tersebut.

“Ini buku lama! Outdated.”

Selang seminggu selepas itu, cikgu Roslan, guru disiplin, datang meluru menyerbu dia pada waktu rehat, di kantin. Ruang makan penuh dengan pelajar-pelajar yang berbilang bangsa. Kantin sesak, macam biasa. Andrey sedang minum pagi bila sebuah buku berwarna kuning tiba-tiba melayang depan mata sebelum mendarat atas meja.

“Ni. Dah update. Baca!” Tengking cikgu Roslan tak semena-mena. Dalam sekelip mata, kantin yang riuh jadi padang senyap. Semua mata terpaku ke satu arah.

Melihat Andrey diam, tak menjawab, buku yang terdampar atas meja diambil lalu ditonyoh ke muka gadis itu. Sekali. Dua kali. Seolah-olah peraturan di dalamnya lebih penting dari maruah manusia.

“Awak baca buku ni dan ikut semua peraturan yang terkandung dalam tu.” Bentak cikgu Roslan tanpa rasa bersalah. 

Menjadi dirinya, Andrey hanya tunduk diam walaupun malu diperlakukan begitu di hadapan pelajar lain. Tiada yang menegur. Tiada yang datang menyentuh bahunya atau mencuit tangan cikgu Roslan.

Aib itu tak dilihat sebagai kesalahan seorang guru, cuma sebagai tontonan.
 
Saksi kepada kebesaran sebuah kuasa. 
Saksi kepada kesalahan sebuah pendirian.

Tak ada siapa yang menunjukkan simpati termasuklah Ziana yang sewaktu itu duduk makan bersama kawan-kawannya yang lain. 

Mee goreng dan sirap ditelan. Mulutnya diam, tapi jiwanya bergolak. Sebelum kembali ke kelas, dia singgah di telefon awam, mencari satu-satunya suara yang dia tahu akan ,mendengar tanpa menghakimi: Kak Zu.

Saki-baki mata pelajaran selepas rehat diteruskan tanpa resah walaupun insiden di kantin tadi masih terpantul-pantul dalam kepala. Dia duduk, diam dan tenang. 

Dan ketika cikgu terus mengajar di hadapan, dia hanya tunggu tiga perkara: 
deringan loceng, 
pintu terbuka dan 
dunia di luar pagar.
𝄢

Seperti yang dijanjikan, petang itu Andrey mengayuh basikal ke petak sawah. Di kejauhan, Kak Zu kelihatan tekun menyiang batas, rambutnya disanggul ringkas, lengan bajunya dilipat ke siku. Dia melambai bila ternampak Andrey.

“Tunggu sekejap! Akak dah nak siap dah!” Laung Kak Zu dari jauh sambil membetulkan topi jerami. Tapi Andrey tak peduli. Dengan seluar pendek yang sudah comot, dia terus melangkah ke dalam sawah, menapak ke arah satu-satunya manusia yang buat dia rasa tak bersalah menjadi diri sendiri.

“Eh, apa melampau sangat? Dah gila ke cikgu Roslan tu? Dulu dia tak macam tu. Mana kisah langsung orang nak pakai baju kurung ke, skirt ke. Ni semua pasal cikgu besar baru tu lah, akak sure.”
“Malu saya, kak.”
“Abih tak ada orang backup engkau?”

Andrey menggeleng sambil membantu Kak Zu menjinjing sebatang cangkul.

“Ziana ?”
“Dia dengan kawan-kawan dia tengok je.”
“Huh, kalau akak ada kat situ tadi, memang kena dah cikgu Roslan tu. Tak respek orang langsung. Apa kenalah manusia sekarang ni? Senang betul orang berubah nak nak lagi bila dah dibagi kuasa…”
“Rasa nak pindah je dari sini.”
“Hmm, nak tinggalkan akak?”
“Tak... saya bawa sekali...” Andrey pandang muka Kak Zu. Tenang dia rasa bila melihat senyuman gadis itu. “Dalam hati.” Dia menambah tanpa sedar, dia telah mengusik hati seorang gadis. 
“Akak ikut...” Kak Zu pandai menyorok pilu di balik gurauan dan senyuman.

Sungai yang mengalir perlahan menenggelamkan fikiran masing-masing buat seketika. Sebuah ranting kecil jatuh dari pokok, hanyut perlahan ikut arus sungai tenang. 

Dan ketika seekor burung hinggap di atas sebuah batu di tengah-tengah sungai, Andrey bertanya, “Kak… semua ni buat saya terfikir, betul ke saya ni berdosa atau satu dosa? Kalau Tuhan ciptakan saya camni, bukan ke seperti Dia menghukum saya sejak lahir?”

Kak Zu tak menjawab segera. Dia biarkan fikirannya menyelam ke dalam sebuah jiwa yang berjuang. 

“Orang yang menghukum lebih berdosa sebab tak ada siapa pun yang berhak untuk tentukan dosa dan pahala. Menghina sesama makhluk, sama macam menghina Tuhan, kan?”


 Jawapan Kak Zu memunculkan wajah mak di minda Andrey. “Akak percaya karma?” Mak selalu bercerita tentang karma.

Kak Zu mengangguk. “Itu satu hukum alam paling jujur, akak rasa... Setiap perbuatan, baik atau buruk, salah atau betul, ada pasangan dia nanti.” Lembut suara Kak Zu cuba menyuntik keyakinan kepada Andrey untuk membunuh apa yang tak sepatutnya dia rasa.

“Pakaian tak boleh tentukan hati seseorang, kan?” Tambah Kak Zu lagi. “Yang penting, apa yang ada dalam sini.” Dia meletakkan tangan ke dada Andrey.

𝄞

Puan Asha membaca surat yang baru sekejap tadi diterima. Surat dari Sekolah Menengah Seri Mutiara, yang ditandatangani oleh Tuan Pengetua, Haji Idris Mahmud. 

“Mana Andrey?” Dia mematikan tumpuan anak gadisnya daripada sebuah buku di tangan.

“Surat apa tu, mak?”
“Panggil dia.”

Amanda patuh. Naik ke atas, pintu bilik terbuka luas.
Andrey terbaring lena macam ular sawa baru lepas telan pelanduk; tidur tak peduli dunia.

“Andrey… Andrey…” Amanda menggoncang bahunya perlahan. “Andrey…”
“Apahal... Mengantuklah…” Rungut Andrey. Matanya digosok-gosokkan dengan tapak tangan.
“Mak panggil.”

Dengan malas, dia bangun lalu menyandarkan badannya di kepala katil. 

“Apa pulak halnya ni?”
“Entahlah. Tapi aku nampak ada surat.”
“Surat?” Berkerut dahi Andrey kehairanan. “Surat apa pulak?”

Tak pernah dia dapat surat selama ini. Tanpa berlengah kedua beradik itu turun ke ruang tamu, penuh rasa ingin tahu, mendapatkan ibu yang sedang menunggu.

“Apa kamu dah buat kat sekolah?
“Belajarlah mak, buat apa lagi? Kenapa?”
“Kalau tak buat hal, kenapa pengetua hantar surat, panggil mak abah macam nak bicara kes?”

Andrey mengambil surat yang terbaring di atas meja lalu membacanya. 

“Saya tak buat apa salah pun mak. Ni tak de lain lah ni, mesti sebab uniform…”

Perkara yang sebolehnya dia sembunyikan, kini bukan lagi rahsia. Gangguan yang menghantui di sekolah nampaknya semakin parah sampai melibatkan orang tua. Hati Andrey berdebar. Ada benci. Ada geram. Ada marah.

“Betul, mak. Saya pun selalu kena.” Amanda menguatkan lagi pernyataan. Dia menyinggung perlahan kakinya ke kaki Andrey, menghantar isyarat supaya buka cerita. 

“This is not right.”

Andrey dan Amanda saling berpandangan. 
Dan topik tersebut menjadi perbincangan di meja makan malam itu.

“Dah orang jemput, tak elok kalau kita tak pergi.” Tuan Arman membuat konklusi dengan tenang.

“Inilah jadinya bila agama dijadikan budaya,” Puan Asha menyambung. Tak marah, tapi berbunyi kecewa atas ketidakadilan yang menekan kedua anak mereka. Dan yang lebih buat dia rasa kesal ialah bila agama dijadikan alasan untuk mengawal dan menunjukkan kuasa.

“Kat sekolah, orang panggil saya murtad.” Alang-alang dah jadi isu, Andrey tak ragu-ragu lagi untuk mendedahkan permasalahan yang ditimbulkan oleh pengetua baru Sekolah Menengah Seri Mutiara.

“See? That’s unacceptable.” Nada Puan Asha berubah. “Siapa bagi mereka hak persoalkan kepercayaan kita?”

“Kenapa tak cerita awal-awal?” tanya abah.

“Saya ingat ini cuma pasal uniform... tak penting... tak sangka pulak sampai anggap saya dosa, murtad...”

“As if they’re free from sin? Untouched by flaw?” Bidas Puan Asha. Dia tak pernah sama sekali terfikir selama ini anak-anaknya berhadapan dengan masalah seperti itu di sekolah. Arman, we must not let them. This is too much.”

“Don’t worry, sayang.” Abah pandang mereka semua satu persatu; isteri dan ketiga-tiga anaknya. 

“It’s love that unites us, not our beliefs.” Tangan isterinya dipegang kemudian dia meneruskan kata-kata, “Look… This is a personal choice. Mak dan abah dah berikan kamu semua kebebasan penuh,” sambungnya. “Pilih jalan hidup kamu. Agama kamu. Pegangan kamu. Asalkan ia tidak memudaratkan fikiran, roh, atau tubuh kamu.”

I’m struggling to put my beliefs into words. Macam orang cop saya dengan label yang saya tak pernah pilih… Honestly, it hurts...” Andrey menzahirkan pergolakan yang dialami. Semenjak dua ini, dapat dia rasakan hatinya dipanggil-panggil untuk merungkai misteri kewujudan dan permasalahan yang timbul di sekolah menguatkan lagi gema panggilan itu. Dia mahu menyahutnya. Dia tau, dia perlu menyahut panggilan itu.

“Belajar dulu sampai faham. Kaji dan teliti sebelum buat keputusan. Dalam soal memilih kepercayaan, mak dan abah bagi kebebasan penuh. Just don’t follow blindly. Itu paling penting.” Tambah Puan Asha, menyokong pendirian suaminya.

𝄢

Andrey menemui Amanda yang duduk di bawah pokok menunggu sesi petang persekolahan bermula. Hari itu Jumaat. Amanda mengenakan baju kurung, tanpa tudung. Dia memilih untuk pakai baju kurung hanya pada hari Jumaat manakala hari-hari lain, seperti Andrey, dia lebih selesa mengenakan skirt atau pinafore.


“Abah dengan mak dah masuk tu. Apalagi agaknya lepas ni…”
“Entahla. Aku dah bosan dengan sekolah ni. Bilalah boleh blah dari sini…”
“Tengok je nanti.”
“Aku balik dululah, bosan aku. Jumpa nanti dekat rumah.”


Andrey meninggalkan adiknya yang mula dihampiri rakan-rakan. Terlihat kereta abah ada di tempat parkir, terus dia singgah sebentar untuk menyapa Uncle Black yang menunggu dalam kereta. 

“Dah lama dah ke mak dan abah masuk, uncle?”
“Dalam sepuluh, lima belas minit. Nak balik dah?”

Andrey mengangguk. 

Jangan risau sangat. Balik tido. Taulah abah mak nak deal macam mana dengan pak lebai tu.”
Bilalah boleh pindah dari sini... 
“Soon.

Selepas berbual kecil dengan pemandu keluarga, Andrey mendapatkan basikalnya dan pulang terus ke rumah.

𝄢

“Baik, cikgu. Kami faham peraturan tu. Tapi jelas Andrey tak buat salah hanya kerana dia memilih untuk tak mengenakan baju kurung dan tudung. Mungkin Tuan boleh terangkan,” Tuan Arman bersuara tenang, “kenapa perkara sekecil ini dijadikan isu besar hingga kami perlu dipanggil ke sini?”

Tuan Haji Idris Mahmud tidak menjawab pertanyaan itu. Sebaliknya, dia melempar satu persoalan lain, yang menjauh dari konteks.

“IC Tuan — Islam. Anak-anak pun begitu. Tapi IC Puan? Masih Buddha. Itu tak selari. Tak molek.” Kata-kata diakhiri senyum sinis. Kemudian dia menyambung, “mungkin perkahwinan campur yang buat Tuan berpaling arah.”

Darah Puan Asha menggelegak. Kata-kata itu dilemparkan tanpa sedikit pun rasa hormat. “Itu ke masalah yang nak dibincangkan?” Dia hampir bangkit dari duduk tapi rasional menahan. Mereka telah setuju Tuan Arman yang akan bersuara.

“Kenapa kaitkan hal peribadi dengan isu ini?” soal Tuan Arman. “Dua tahun lalu, di bawah Pengetua Ikhwan, tak pernah timbul pun soal anak saya pakai skirt atau pinafore. Kenapa sekarang jadi masalah?”

Dia tahu, kalau terus dilayan, perbincangan ini akan menyasar jauh dari tujuan. Tapi jelas, niat pengetua bukan untuk berbincang, sebaliknya untuk beri khutbah.

“Sebagai orang Melayu, kita Islam,” ujar Haji Idris. “Bertuah kita dilahirkan dalam agama ini. Kita wajib patuh pada ajaran Nabi. Andrey menggayakan imej lelaki. Nabi tak mengaku umat. Isteri Tuan pun tak menutup aurat. Dosa mereka... siapa yang akan tanggung?”

“Nabi tak mengaku umat, cikgu. Tapi cikgu pun bukan Nabi.” Balas Asha, tajam.

“Tak ada sesiapa yang menanggung dosa sesiapa.” Nada Tuan Arman sedikit naik, tapi masih terkawal. Dia diam sebentar. Kemudia menyambung, “maaf, cikgu tapi saya rasa, cikgu panggil kami ke sini untuk bincang soal seragam sekolah, bukan perkahwinan saya. Latar belakang keluarga kami tak ada kena-mengena.”


“Tuan salah,” balas pengetua. “Sebagai ketua keluarga, Tuan bertanggungjawab atas dosa isteri dan anak-anak. Isteri Tuan, saudara baru, harus dibimbing. Tapi nampaknya, Puan pun belum tukar agama. Jadi, perkahwinan ni tak sah dalam Islam... atau Tuan Arman yang bertukar agama?”

Kata-kata itu menghina. Tuan Arman telan marahnya dalam diam. Dia pandang Asha. Matanya menangkap sinar yang pernah membuatnya jatuh cinta. Sinar yang kini menjadi suaranya sendiri.

“Saya rasa ini dah melangkaui batas. Soal agama kami, perkahwinan kami... bukan urusan sesiapa. Kami datang nak bincang pasal uniform sekolah. Bukan akidah, bukan silsilah.” Nada Asha kekal tegas tapi berakar.

“Saya cuma nak faham...” ujar pengetua, matanya tajam setajam nadanya. “Kenapa Andrey menjauh dari ajaran Islam? Mungkin... rumah itu tak jadi tempat tarbiah. Kita sebagai Melayu Islam ada tanggungjawab, memimpin keluarga ke jalan lurus. Tapi Tuan sendiri... nampaknya membiarkan kefahaman longgar mengalir dalam keluarga.”

Tuan Arman tidak menjawab. Kata-kata itu terlalu rendah untuk dijawab tinggi. 
Dan ini bukan kali pertama dia dipersoal tentang kepercayaannya. 
Hak untuk memilih sering disekat oleh ayat yang kononnya datang dari langit, padahal hanya tulisan tangan manusia, bukan perjanjian antara dia dan Pencipta.

 Matanya kembali pada Asha. Dia teringat perbualan lama, bertahun dulu, sewaktu dia melamar wanita itu...

“I fell in love with your truth. That’s the ground I built my faith on, not fear, not dogma.”
“How about your family?”
“They will understand.”
“Do I have to convert?”
“You don’t owe your soul to anyone. Keep your light. My love doesn’t ask for conversion, only truth.”
Till death do us part and reunite us again on the otherside.”

Mereka berkahwin di Ireland. Majlis resepsi di tanah air dibuat atas permintaan keluarga, mengikut adat, bukan ritual. Asha kekal dengan nama pertamanya, dan mengambil Shariff sebagai nama keluarga.

Mereka tidak pernah melabel perkahwinan mereka dalam konteks agama kerana yang mereka pilih ialah cinta. Bukan paksaan.

“Dua tahun anak saya bersekolah di sini. Di bawah pengetua lama, tiada masalah. Kenapa bila cikgu ambil alih, semuanya berubah?”
“Sebab pengetua sebelum saya tak ikut ajaran Islam yang betul. Saya dilantik untuk membetulkan yang tersasar. Itu amanah dari Tuhan.”

Tuan Arman tarik nafas panjang. Tiada guna berbalah dengan manusia yang percaya dirinya sudah punya tempat di syurga dan berhak menentukan siapa layak dicampak ke neraka.

“Nak kenal orang, tengok hati. Bukan baca kertas.” Suaranya perlahan. “Sebab hati tu Tanah Suci tempat Dia tinggal. The Promised Land. Kalau manusia betul-betul faham.”

Dia pandang Asha. Mata itu menjawab: masa lebih berharga dari pertelingkahan.

“Kami boleh bawa hal ini ke PPD, ke Kementerian... atau Mahkamah Syariah kalau perlu. Saya tunggu.”

Untuk seketika, Tuan Haji Idris membisu. Lalu berkata, “kalau boleh diselesaikan cara baik, kita buat cara baik. Tak perlu bawa ke atas, cuma bawa ke jalan lurus. Jalan yang Nabi ajarkan.”

Tuan Arman memandang ke arah pengetua. Lama. Dia geleng kepala, tak percaya dengan apa yang dia dengar dari mulut seorang pendidik berpangkat pengetua.

“Kalau nak selesai dengan cara baik, tolong jangan tekan anak-anak saya. Biar mereka fikir sendiri.
Biar mereka pilih dengan jiwa yang sedar, bukan sebab takut. Iman... kalau datang dari paksaan, bukan iman namanya. Belenggu.”

Dia menyentuh lengan isterinya, lalu menautkan jari mereka, erat. 

“Kalau tak boleh bincang macam manusia... kita jumpa kat tempat yang manusia dipaksa dengar.”

Mereka bangun. 
Tak tinggalkan apa-apa kecuali cermin.
Dan mungkin, suara hati yang tak sempat dimatikan.

Suara Dari Dalam::

Ada keangkuhan dalam keyakinan bahawa seseorang memegang blue print of salvation orang lain. Authority melihat satu pelanggaran undang-undang; ibu bapa melihat satu pelanggaran terhadap jiwa. Tapi hukuman bukan tragedi. Tragedi terjadi bila jiwa dipaksa untuk yakin bahawa hukuman itu suci.

Keimanan sejati tak memerlukan pantauan. Ia bertapak dalam kefahaman antara fikiran-fikiran yang tahu bahawa Cinta — yang mentah, tanpa tapisan, dan tanpa pilihan, adalah satu-satunya agama yang benar-benar berkuasa untuk memerdekakan jiwa.

Not every reader is chosen to share:

The Endless Resonance

Struggling with something? Let Us Know
Comments

Comments [0]