Bab 2.2: Ada Apa Pada Nama?
“Nak lepak kat studio seni lepas kelas nanti?” sapa Arni, dagu disandar malas di atas lengan yang berlipat. Suaranya seolah-olah membawa rehat kepada hari.
“Cikgu Fairuz tak ada. So technically… it's free for us.”
“Great.” Andrey senyum kecil sambil tunduk menyimpan bukunya. Suasana petang terasa lebih ringan tiba-tiba.
Studio seni petang itu sunyi seperti biara yang mengerti hati mereka. Mereka duduk bersila di atas lantai kayu, masing-masing dengan pensel dan kertas — dan diam yang tidak mendesak bicara.
Langit mula muram, cahaya senja menyelinap masuk perlahan-lahan dari tingkap — membasuh lantai dengan cahaya jingga. Andrey melukis, sementara Arni duduk bersila tak jauh darinya. Penselnya diam, tapi matanya tidak — memerhati Andrey dengan tenang.
“Aku tahu kau bukan macam orang lain…” suara Arni muncul perlahan, seperti desah angin yang menyentuh leher dari belakang.
Andrey menoleh, sedikit terkejut. Arni tidak senyum, tidak juga ragu. Wajahnya tenang — seolah-olah kata-kata itu telah lama disimpan.
“Bukan perempuan… bukan lelaki tapi tak juga macam yang orang faham.” Dia tersenyum, memperdengarkan teka-tekinya kemudian menyambung, “but I see you and I like what I see.”
Andrey diam. Tangannya masih memegang pensel, tapi lukisan sudah tidak bergerak.
“Tak semua orang boleh terima. Dunia kita kecil. Sekolah ni, walaupun bebas, ada je mata-mata yang suka menilai. Tapi aku tak kisah.”
“Aku tak nak kau sembunyi kalau duduk dengan aku. Aku nak kau tahu, aku nampak kau. Betul-betul.”
Arni selalu dikelilingi ramai, tapi tak pernah terasa ditemani. Wajahnya sering dipuji, kehadirannya dicari. Tapi semuanya seperti bayang. Andrey satu-satunya yang hadir tanpa niat,
yang tidak cuba menakluk, tidak cuba meneka. Dia hanya… hadir. Tanpa niat, tanpa paksa. Dan dalam kehadiran itu, Arni terasa… selamat.
Andrey tunduk. Ada sesuatu yang lembut mengetuk dadanya. Sejenak ingatannya dilambai wajah manis Kak Zu. Ini bukan kali pertama seseorang memahaminya. Tapi kali ini berbeza —seseorang menyuarakan kefahaman itu dengan keberanian — dan dengan rasa ingin mendekat.
“Arni…” Andrey bersuara perlahan. “Kau tak takut?”
“Tak,” balasnya ringkas. “Apa yang patut aku takut? Nak jadi diri sendiri… bukan dosa. Kalau orang lain takut, itu cerita diorang. Bukan kita.”
Andrey tak balas. Dia cuma pandang Arni — dan dalam hatinya, ada sesuatu yang bergetar. Dan dalam saat itu, mereka sama-sama tahu — hubungan ini sedang tumbuh bukan dari simpati, tapi dari pengiktirafan yang tulus.
Dalam dunia yang suka meletakkan nama pada segalanya, mereka memilih untuk tidak menamakannya. Kerana kasih yang ikhlas, kadang tak perlu disebut. Cukup jika ada dan tak lari bila dipandang.
Cahaya redup mencuri masuk dari jendela separuh terbuka di studio seni TBC. Andrey dan Arni berdiri di depan easel masing-masing, leka tenggelam dalam warna dan bentuk, sunyi yang tak perlu diisi dengan suara.
Pintu dikuak. Sepasang kaki melangkah masuk dengan gaya yakin. Zikri — Pelajar tingkatan lima, jaguh hoki di sekolah. Terkenal dengan ikon senyuman ‘abang-abangnya’, perfume yang kuat, dan kata-kata yang jarang bertapis.
“Weh... lawa lukisan kau.” Berdiri di belakang Andrey, dia menegur. Nada pujian itu macam ada yang berlapis.
“Kalau kau lembut sikit, try pakai tudung ke… confirm cun gila. Muka dah ada. Sayang lah.”
Andrey diam. Senyum nipis. Berus di tangan masih bergerak.
“Serius lah. Kau ada potential, tau. Bukan selalu jumpa yang rare macam kau ni. Si Arni ni, gaya je lebih pegang berus tapi lukis ayam jadi katak.” Sindir Zikri, diikuti ketawa sendiri. Dia menjeling sekilas ke arah Arni yang memalingkan muka, menunjukkan rasa meluat.
“Kalau kau ubah sikit cara kau bawa diri, meletop terus. Kalah si Arni ni.”
Arni berhenti melukis, tajam memandang Zikri dengan mata tak berkedip.
“Relaks la anak pengetua. Aku bergurau je. TBC ni kaulah ratunya. Mana ada boleh challenge.” Zikri masih lagi dengan senyuman dan gelak kecil dihujung suara.
Zikri sengih. “Alah, relaks la. Aku bagi pendapat je, takkan tak boleh.”
“Tak siapa mintak pendapat kau kat sini.” Balas Arni, agak kasar.
Zikri tergelak. “Chill la Arni. Aku bukan nak bergaduh pun. Aku blah dulu.”
Dia melangkah keluar, santai, meninggalkan kesan kata-katanya, berputar dalam udara di ruang itu.
Andrey tak berkata apa-apa. Tapi tangannya yang melukis tadi, kini berhenti. “Thanks…” Ucapnya perlahan, hampir tak kedengaran.
“Si Zikri tu… mulut kalah makcik bawang, otak tumpul. Poyo!”
Rungutan Arni disambut ketawa kecil Andrey. Pelahan dia menghampiri lalu tangan Andrey dipegang dan dalam nada lembut dia berkata, “jangan ucap terima kasih. Kau tak perlu jadi apa-apa selain diri sendiri. Itu pun dah cukup cantik.” Arni menyelak rambut Andrey yang sedikit terjuntai menutup mata ke belakang.
Tanpa disangka, Zikri muncul semula. Senyumnya sinis, dan suaranya — cukup kuat untuk melukai.
“Padanlah cover line baik punya… rupanya ada special menu.”
Pintu studio ditutup.
Ketawa Zikri makin kecil… dan akhirnya tenggelam bersama langkahnya yang menjauh.
“Shit!” Arni berpaling. Matanya menikam udara. Pandangan itu bukan sekadar marah —
ia membawa bara yang diam-diam terbakar dari dalam. Tajam, tegas dan penuh harga diri.
Sementara itu, Andrey tidak bergerak. Tubuhnya kaku, seolah segalanya membeku.
Tapi di dalam dada ada sesuatu yang bergegar. Getaran itu tak bersuara tapi cukup kuat untuk meruntuhkan tembok yang lama dia bina. Seakan ada takungan rasa dalam dadanya yang akhirnya… pecah. Bukan dengan letupan tapi melalui retak halus yang perlahan-lahan membelah.
Dan Arni tak perlu bertanya. Dia tahu. Dia dapat rasa — itu bukan marah. Itu adalah sesuatu yang lebih dalam. Sesuatu yang Andrey dah lama telan tanpa sempat ludah.
Perasaan yang menyesak dada — bahawa dia dah cukup.
Cukup diperhati.
Cukup dinilai.
Cukup dipaksa untuk jadi sesuatu yang bukan dirinya.
Dalam hening petang itu, hanya satu perkara yang kekal — Arni di sebelahnya. Tak mengubah. Tak menuntut. Tak bertanya. Cuma hadir. Dan bagi Andrey, itu lebih menyembuhkan dari apa pun.
Hari-hari berikutnya di TBC terasa berbeza walau langit masih membiru dan angin masih sama.
Namun suara sudah menjadi bayang yang mengekori setiap langkah.
Gosip bukan lagi sekadar cakap-cakap — Zikri telah jadi bukti yang mengesahkan segalanya. Di mata orang, Arni dan Andrey bukan sekadar kawan rapat. Mereka adalah pasangan yang bercinta tanpa ikrar, tanpa sentuhan, dunia sudah memberi label dan ia melekat.
Arni menyandar di bangku konkrit berhampiran tangga blok akademik bersama Andrey di sebelah. Tiada kata, tapi dada terasa berat.
“Aku pelik kenapa semua pandang kita semacam hari ni...” Arni bersuara. Nadanya mendatar.
Arni ketap bibir. Geram. “Zikri. Si speaker rosak tu.”
“Aku rasa... semua orang tengok aku macam aku ni bukan orang. Macam aku ni benda. Sesuatu untuk ditonton. Dipertikai. Alien agaknya.”
“Aku tahu rasa tu. Aku pun tengah rasa benda yang sama sekarang.”
Beberapa pelajar melintas. Yang perempuan, senyum-senyum sinis. Yang lelaki, bisik-bisik dan gelak bawah nafas. Arni pandang langit.
“Kau pernah fikir tak, Rey... mungkin kita memang couple. Tapi kita tak sedar?”
Andrey diam.
“Aku pun tak.”
“Tapi bila orang ulang-ulang cerita... kita pun mula tanya diri sendiri. Mungkin... kita sayang lebih dari sekadar kawan?”
Andrey angkat muka. Pandang mata Arni.
“Apa maksud kau... sayang lebih dari kawan? Kau sayang aku ke?”
Dalam kekalutan, Arni tertawa. Agak kuat. Dia menggeleng kecil. Wajah Andrey dipandang tepat. Tulus.
“Kau sayang aku tak?” Tiada jawapan diberi, Arni suka berteka-teki. Pertanyaan itu memecah ketawa dari dada Andrey. Mereka saling berpadangan, sama-sama ketawa.
“Sayang… lebih dari kebanyakan hubungan cinta yang pernah kau tengok.” Jawab Andrey dalam nada gurauan tapi terselit kebenaran.
Pipi Arni memerah sedikit. Mungkin teruja, mungkin juga malu tapi yang pasti jawapan Andrey melapangkan dadanya.
“Aku tak tahu apa nama hubungan kita, ni. Tapi aku tahu — aku tak nak kehilangan kau.” Arni genggam jari Andrey. Tak erat. Tapi cukup untuk memegang makna.
“Mungkin kita bukan couple. Kita sesuatu yang lebih penting dari tu — entah... mungkin...”
Dan di situ, di bawah langit yang tak berubah, mereka biarkan dunia menamakan mereka apa saja. Kerana antara mereka, tak perlu nama atau label. Hanya rasa yang tidak meminta untuk difahami sesiapa, kecuali dua jiwa yang saling berani untuk diam dan hadir.
𝄞
Tuan Omar Mustapha tahu, anaknya kini jadi buah mulut pelajar — malah gosipnya sudah sampai hangat ke bilik guru.
“Dia anak saya, betul. But don’t assume I’m just going to brush this off.”
Begitulah jawapan yang diberikan bila guru disiplin dan guru Hal Ehwal Pelajar mempersoalkan isu itu secara peribadi.
Arni pun tahu bapanya tak boleh biarkan cerita tu terus berlegar. Sebagai pengetua, dia perlu jaga reputasi dan kredibiliti. Kalau tak, mudah orang kata dia pilih kasih.
“Lepas rehat nanti aku kena jumpa si Omar,” Arni mengadu pada Andrey tentang surat yang diterimanya pagi tadi.
“Semua ni angkara mulut Zikri. Pandai betul tambah perisa. Makin hari makin rancak dia membawang pasal kita.”
Andrey cuma tersengih dengar ngomelan Arni. Walaupun dalam hati dia risau kalau-kalau dia juga akan dipanggil, entah kenapa, bila tengok wajah Arni waktu itu… hatinya rasa tenang.
“Ahh… tak minat aku. Kalau kau lainlah…”
Arni mengenyit mata sebelum berlalu, meninggalkan Andrey terpinga-pinga dengan kata-kata tergantung itu.
𝄢
Pintu bilik pengetua diketuk dua kali.
“Masuk,” suara itu tegas, datar. Arni melangkah masuk. Tak ada debar tapi dia tahu, di sekolah, dia bukan anak. Dia pelajar. Dan lelaki yang sedang duduk di belakang meja itu — bukan ayah, tapi Pengetua Tuan Omar Mustapha.
“Duduk.”
Arni menurut. Tangannya di atas riba, jari saling menggenggam.
“Saya panggil kamu bukan sebab saya nak menghukum. Tapi sebab saya perlu faham.”
Encik Omar membuka fail, memandang anak daranya acuh tak acuh.
“Ada suara-suara pasal kamu dan pelajar baru tu — Andrey. Saya tak nak dengar dari orang. Saya nak dengar dari kamu sendiri.”
Arni angkat wajah. Matanya jernih.
“Hmm... Mulut orang, kalau baik pun salah, kalau salah lagi salah. Salah ke saya rapat dengan orang yang buat saya rasa tenang dan dihargai?”
Encik Omar menancapkan matanya ke muka Arni. Pandangan lembut seorang bapa, renungan tegas seorang guru. Dia mengerti. Lebih dari itu, dia kenal anaknya.
“Baik. Kalau kamu yakin, jaga maruah. Jaga batas. Kawan yang baik tak pernah minta kita berubah untuk diterima. Dan seorang pelajar yang matang tahu bila untuk diam… bila untuk berdiri.”
Arni dibenarkan pergi. Dalam hati seorang ayah, Encik Omar mengerti ketulusan anaknya dan dia juga tahu bahawa Andrey bukan satu ancaman.
Sebaik meninggalkan bilik pengetua, segera Arni temui Andrey di tempat biasa mereka — dinding berlumut belakang bangunan seni.
“Macam mana?” tanya Andrey, suara hampir berbisik. Debar dihatinya makin kuat. Bimbang jika perkara tersebut menyusahkan Arni.
“Rileks lah…” Dia ketawa. “Bapak aku kot si Omar tu.” Ketawa masih menghias wajah manis Arni. Dia senang melihat riak wajah Andrey yang kalut, naif tapi cute.
“Dia tak marahlah. Nak tau je. Biasalah, responsibility, kan?” Arni senyum sedikit. “Kat sekolah, dia pengetua dulu, ayah kemudian.”
Andrey tunduk, helaan nafasnya perlahan. Gelombang di dadanya mereda. “Aku risau. Kalau aku bebankan kau…”
“Beban? Merepek! Kau…” Tangan Andrey Arni pegang. Erat, seerat matanya menancap mata Andrey. “Kau satu-satunya benda dalam sekolah ni yang buat aku rasa aku masih aku.”
Mereka senyap. Tapi itu bukan sunyi. Itu adalah ruang — di mana dua orang yang disalah faham, saling memahami.
𝄢
Zikri mengesat peluh di dahi selepas latihan hoki. Kawannya, Danial, menyerah botol air lalu Zikri menghirupnya rakus. Muka di kesat dengan tuala yang sama.
“Kau rasa salah ke apa aku cakap tu hari tu?” Entah mengapa soalan itu tiba-tiba terpancul.
“Hal Andrey dengan Arni tu lah.”
Danial gelak. “Macam tak biasa, bro. Kau tu mulut macam longkang kadang-kadang macam makcik bawang.”
“Aku usik je. Tapi… entah. Bila aku tengok muka dia lepas tu, rasa macam... aku dah terlebih. Tapi aku bukan nak hina. Aku…” Zikri berhenti di situ.
“Dia cantik. Tapi bukan macam yang aku faham. Tu yang buat aku tak tahu nak letak dia kat mana.”
Danial ketawa dan menggeleng, “Kalau suka cakap je terus terang, yang kau membawang hal orang kenapa? Bodoh betul!”
Zikri mencampak tuala pengapnya ke muka Daniel.
“Kau tak kena faham pun. Kau cuma kena tahu bila nak diam.”
Dan Zikri terdiam.
𝄞
Dalam bilik guru Hal Ehwal Pelajar, Encik Omar berbual santai dengan Cikgu Khairul.
“Macam mana masalah Arni — Andrey tu, cikgu? Perlu ke kita bagi bagi kaunseling?”
Encik Omar angguk perlahan.
“Saya faham, Arni anak cikgu tapi bila jadi bualan sekolah...”
Cikgu Khairul senyum tipis. “Maaf, cikgu Omar. Jangan salah faham. Saya cuma…”
“Bimbang.” Omar sambung ayat itu dengan nada penuh memahami.
Dia tutup fail di tangannya, berdiri perlahan. “Tapi kalau kita tak boleh beri ruang untuk mereka jadi diri sendiri, kita sendiri belum cukup layak untuk digelar pendidik.”
Dan kata-kata itu bukan sekadar nasihat. Ia seperti pintu yang dibuka... supaya angin lebih segar masuk.
Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!